Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-2 hingga Ke-5

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-2 hingga Ke-5

1180
0
Iklan

Tafsir surah Al-Jathiyah

Tafsir Ayat Ke-2 hingga Ke-5

Tafsir Ayat ke-2

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

تَنزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnya Al-Quran ini,

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memperingatkan kita bahawa Al-Quran itu diturunkan oleh-Nya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Quran ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini.

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Quran itu mengambil masa yang lama, bukan sekali gus. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya. Allah ﷻ mengambil masa untuk memberikan Al-Quran ini kepada manusia.

Kelebihannya, manusia dapat mengambil pengajaran sedikit demi sedikit kerana cara begini dapat memantapkan pemahaman dan ingatan kita terhadap Al-Quran. Jika diberikan sekali gus, boleh menyebabkan manusia lemas dengan maklumat kerana terlalu banyak diterima dalam satu masa.

Ini mengajar kita bahawa untuk memahami Tafsir Al-Quran, perlu mengambil masa yang lama dan tidak boleh dipelajari dengan kelam kabut. Kita kena memahaminya dengan mendalam.

Sekurang-kurangnya setakat yang kita mampu. Belajarlah sedikit demi sedikit supaya pemahaman semakin meningkat dan meningkat. Jangan kelam kabut hendak faham semua.

مِنَ اللهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Quran ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Ia daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu hanya pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Quran ini kepada kita. Oleh itu Al-Quran bukanlah dari kata-kata Rasul.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita. Maka dengar baik-baik, bahawa Al-Quran ini daripada Allah ﷻ, bukan dari orang lain.

Oleh itu, jangan kamu mempermainkan dan buat tidak endah kepadanya. Kamu kenalah belajar Al-Quran itu dan tafsirnya sampai faham. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak memahami apa yang hendak disampaikan dalam Al-Quran itu.

Malangnya, kebanyakan dari orang Islam hanya membaca sahaja Al-Quran ini tanpa memahami apa yang mereka baca. Oleh kerana itu, banyak perkara yang mereka langgar.

Ingatlah, Al-Quran itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan Sifat-Nya agar manusia dapat mengenal Allah ﷻ dan semua itu telah diterangkan dalam Al-Quran ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Allah ﷻ sebut dalam ayat ini yang Dia bersifat Maha Perkasa. Kalau kamu hendak lawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa jua. Dia kebal daripada segala ancaman makhluk.

Allah ﷻ tidak akan terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan makhluk serta daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa dan tidak ada sesiapa yang boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Ini berlawanan manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya atau tidak memberi sokongan kepadanya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa.

Allah Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ tetapkan, kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru.

Hukum dan undang-undang Allah ﷻ adalah tepat dan sesuai untuk manusia. Kalau ada yang rasa tidak sesuai, masalahnya dengan orang itu dan bukannya dengan hukum Allah ﷻ.

Maksud al-Hakim ada dua: ‘Yang Maha Bijaksana’ dan ‘yang menetapkan hukum’.

1. Al-Quran itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Quran itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Kita hendaklah mengikutinya kerana kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Quran itu, kita adalah orang yang bijak.

2. Dalam Al-Quran itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

Tafsir Ayat Ke-3:

Dalil Aqli kepada Qudrat Allah ﷻ

إِنَّ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّلمُؤمِنينَ

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Berbagai-bagai tanda kekuasaan Allah ﷻ terdapat dalam alam ini. Tanda-tanda itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh mengambil pengajaran adalah mereka yang beriman sahaja. Oleh itu, lihatlah bagaimana indahnya Allah ﷻ menjadikan alam ini.

Semakin beriman seseorang itu, maka semakin banyak tanda-tanda kehebatan Allah ﷻ yang dia akan nampak. Mereka yang tidak beriman akan melihat alam ini biasa-biasa sahaja tanpa terdetik dalam hatinya bahawa semuanya ini dijadikan oleh Allah ﷻ.

Namun apabila seseorang itu beriman, dia akan melihat segala keindahan dan kejadian alam ini adalah begitu hebat dan indah sekali. Malah mengingatkan dia kepada Allah ﷻ.

Bukti dari dalil itu telah diberikan kepada semua orang. Namun yang boleh ambil peringatan itu adalah mereka yang mukmin sahaja iaitu mereka yang ada inabah untuk beriman, mahu jadi orang beriman dan bertaqwa.

Malangnya, dalam dunia ini ramai saintis yang mengkaji tentang alam ini, tetapi mereka tidak menyandarkan kelebihan alam itu kepada Allah ﷻ. Mereka hanya melihat perkara luaran sahaja dan segala kehebatan alam itu hanya kejadian alam yang biasa dalam fikiran mereka.

Tafsir Ayat ke-4

Sambungan Dalil Aqli.

وَفي خَلقِكُم وَما يَبُثُّ مِن دابَّةٍ ءآيٰتٌ لِّقَومٍ يوقِنونَ

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

وَفِي خَلْقِكُمْ

Dan pada kejadian diri kamu sendiri,

Lihatlah juga kepada diri kita sendiri. Kita dijadikan dalam sebaik-baik kejadian. Padahal asal kita ini hanyalah sperma sahaja.

Sebagai contoh, tengoklah kepada kehebatan kulit kita sahaja sudah cukup. Tidak ada yang dapat menandingi kehebatan penciptaan kulit kita. Itu belum dikira penciptaan organ dalaman lagi.

وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ

serta (pada kejadian) segala binatang yang melata yang dibiakkan-Nya,

Binatang yang melata itu termasuklah kita dan binatang yang terbang di udara. Entah berapa banyak jenis binatang termasuk serangga yang hidup di dalam alam ini sampaikan para saintis juga belum lagi berjaya untuk mengenali kesemuanya.

Di segenap tempat di alam dunia ini sama ada sejuk atau panas akan ada sahaja kehidupan padanya.

ءآيٰتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang meyakininya.

Siapakah yang menjadikan segala binatang dan kehidupan itu? Itulah Allah ﷻ. Oleh kerana itu, hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ lah pencipta dan pentadbir langit dan bumi. Siapakah yang memberi makanan dan keperluan mereka kalau bukan Allah ﷻ?

Tanda ini semua manusia boleh melihatnya tetapi siapakah yang boleh mengambil pelajaran darinya? Ia hanya boleh difikirkan oleh mereka yang yakin sahaja iaitu yakin dengan Allah ﷻ, Hari Kebangkitan dan kekuatan serta kehebatan Allah ﷻ.

Selain itu, mereka mungkin belum yakin lagi, tetapi ‘mahu’ meyakini iaitu bagi yang membuka hati terhadap kebenaran.

Tafsir Ayat ke-5

Sambungan Dalil Aqli.

وَاختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَما أَنزَلَ اللهُ مِنَ السَّماءِ مِن رِّزقٍ فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَتَصريفِ الرِّيٰحِ ءآيٰتٌ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

وَاخْتِلٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti,

Lihatlah bagaimana siang itu sentiasa datang selepas malam dan malam sentiasa datang selepas siang tanpa ada perubahan padanya. Lihatlah juga bagaimana sifat malam itu amat berbeza dengan sifat siang. Ada perkara yang kita lakukan pada waktu malam dan ada yang khusus pada waktu siang.

Malam dan siang adalah tanda Qudrat Allah ﷻ, kerana bukanlah malam dan siang itu terjadi sendiri. Allah ﷻ yang jadikan siang dan malam. Bukanlah siang itu ada kerana ada matahari, tetapi Allah ﷻ yang jadikan siang itu.

Maka untuk mengingatkan manusia dengan perkara ini, Nabi ﷺ mengajar bacaan doa pagi dan petang. Doa ini diajar supaya kita ingat bahawa Allah ﷻ yang zahirkan malam dan siang.

وَمَا أَنزَلَ اللهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن رِّزْقٍ

dan juga(pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit,

Yang dimaksudkan ‘rezeki’ dalam ayat ini adalah ‘air hujan’. Kenapakah air hujan ini dinamakan ‘rezeki’? Ini kerana air hujan itu menjadi sebab untuk memenuhi pelbagai keperluan lain antaranya dapat kita dan binatang-binatang yang melata jadikan minuman.

Selain itu, air hujan juga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan untuk manusia dan binatang.

فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

lalu Dia hidupkan dengannya bumi sesudah matinya,

‘Bumi yang mati’ maksudnya adalah bumi yang gersang, tidak ada tumbuh-tumbuhan. Bila tidak ada semua itu, maka binatang dan manusia juga tidak mahu duduk di tanah kerana sumber makanan tidak ada.

Namun, apabila Allah ﷻ menurunkan hujan kepada bumi, ia seperti hidup semula. Tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan subur dan binatang juga akan datang kerana ada sumber makanan di tempat itu. Maka kawasan tanah itu akan ‘hidup’.

وَتَصْرِيفِ الرِّيٰحِ

serta (pada) pertukaran angin,

Lihatlah bagaimana pergerakan angin itu boleh berubah-ubah. Kadangkala dapat dirasakan, dan kadangkala tidak. Arah pergerakannya turut berubah-ubah. Kadangkala dari arah kanan atau kiri, atau dari arah depan ataupun belakang.

Tiupannya juga berbeza-beza. Kadangkala lembut sahaja bagaikan sepoi-sepoi bahasa, kadangkala sangat kuat sehingga boleh menumbangkan pokok! Kehadiran angin itu juga menggerakkan awan yang membawa air dari satu tempat ke tempat yang lain.

Peredaran angin adalah satu rezeki kerana dengannya dapat menyampaikan debunga dari satu tanaman kepada tanaman yang lain yang menyebabkan penumbuhan tanaman yang pelbagai.

Siapakah yang menentukan pergerakan itu? Adakah kita mempunyai kuasa langsung untuk mengubah pergerakan angin? Tidak ada langsung. Kita lemah dan hanya menerima sahaja apa yang Allah ﷻ berikan.

ءآيٰتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

(semuanya itu mengandungi) tanda-tanda bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Segala kejadian yang disebut dalam ayat ini boleh dirasai dan dilihat oleh semua manusia, tetapi siapakah sahaja yang boleh mengambil pelajaran daripadanya? Hanya mereka yang menggunakan akal sahaja yang boleh mengambil ingatan daripadanya. Mereka menggunakan akal untuk melihat alam ini dan berfikir tentangnya.

Allah ﷻ telah berikan akal kepada semua manusia, tetapi yang mahu menggunakannya tidak ramai. Ingatlah semua yang terjadi itu bukan terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan dengan Qudrat-Nya.

Allahu a’lam.

 

 

 

Komen dan Soalan