Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-56 hingga Ke-59

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-56 hingga Ke-59

728
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-56

Ada ayat sebelum ini yang menyentuh tentang kematian. Bagaimana pun, musyrikin Mekah kata apabila mati, mereka akan menjadi seperti mati yang sebelum hidup. Maka, kali ini disentuh lagi hal kematian.

لا يَذوقونَ فيهَا المَوتَ إِلَّا المَوتَةَ الأولىٰ ۖ وَوَقٰهُم عَذابَ الجَحيمِ

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

لَا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu

Mati adalah satu benda yang paling ditakuti oleh manusia dalam dunia. Boleh dikatakan semua orang takut mati tetapi dalam syurga, sudah tidak ada perasaan itu lagi.

Allah ﷻ sudah tarik habis perasaan itu dari dalam diri kita. Ini adalah kerana Allah ﷻ akan panggil ‘kematian’ dan akan dimatikan ‘kematian’ itu. Maka, tidak akan ada kematian di akhirat, sama ada dalam neraka atau syurga.

✍🏻Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“يُؤْتَى بِالْمَوْتِ فِي صُورَةِ كَبْشٌ أَمْلَحُ، فَيُوقَفُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُذْبَحُ، ثُمَّ يُقَالُ: يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ”

maut didatangkan dalam rupa kambing kibash yang bertanduk, lalu dihentikan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih, dan dikatakan, “Hai ahli syurga, kekallah, tiada kematian lagi. Hai ahli neraka, kekallah tiada kematian lagi.”

Maka bergembiralah ahli syurga kerana mereka tahu mereka akan kekal dalam syurga; dan menangislah ahli neraka kerana mereka tahu yang mereka akan kekal dalam neraka. Bayangkan kalau seorang dapat duduk di hotel yang paling mahal dan mewah dalam dunia.

Memang dia seronok dan selesa semasa duduk di hotel, tetapi dia tahu yang lama-kelamaan dia kena tinggalkan juga hotel itu. Jadi, ini mengurangkan kenikmatan duduk dalam hotel tetapi kalau ahli syurga, mereka tidak ada kerisauan ini lagi.

إِلَّا الْمَوْتَةَ الْأُولَىٰ

selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;

Itu sahaja kematian yang mereka akan rasai. Hanya kematian di dunia sahaja yang mereka akan terima.

✍🏻Malah, tidur juga tidak diberikan kepada ahli syurga:

قَالَ أَبُو الْقَاسِمِ الطَّبَرَانِيُّ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ مُحَمَّدٍ النَّاقِدُ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ الرَّقِّيُّ، حَدَّثَنَا مُصْعَبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ الرَّبِيعِ الْكُوفِيُّ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيِّ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ المُنْكَدِر، عَنْ جَابِرٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سُئل نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيَنَامُ أَهْلُ الْجَنَّةِ؟ فَقَالَ: “النَّوْمُ أَخُو الْمَوْتِ، وَأَهْلُ الْجَنَّةِ لَا يَنَامُونَ”

Abul Qasim At-Tabrani mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Muhammad An-Naqid, telah menceritakan kepada kami Salim ibnu Abdullah Ar-Ruqqi, telah menceritakan kepada kami Mus’ab ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Imran ibnur Rabi’ Al-Kufi, dari Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Jabir r.a. yang mengatakan bahawa Nabi Saw. pernah ditanya, “Apakah ahli syurga tidur?” Nabi ﷺ menjawab: Tidur itu adalah saudaranya mati, maka ahli syurga itu tidak tidur.

Ahli syurga tidak penat, maka tidak perlu tidur. Malah kalau tidur, sudah rugi tidak dapat menikmati nikmat-nikmat dalam syurga selama beberapa jam. Maka ahli syurga tidak perlu tidur. Hanya rehat-rehat sahaja.

وَوَقٰهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

Kenapa mereka dikatakan ‘diselamatkan’ dari neraka? Ini adalah kerana semua kita kena lalui neraka di Titian Sirat nanti, termasuklah ahli syurga juga. Oleh itu, mereka yang tidak masuk Neraka adalah mereka yang telah ‘diselamatkan’. Waktu itu, kita sendiri akan melihat bagaimana azab dalam Neraka itu. Kita akan lebih lagi rasa bersyukur kerana kita telah nampak apa yang kita telah selamat darinya.

Kalaulah kita terus masuk Syurga, kita mungkin tidak dapat menghargai sangat. Namun, apabila sudah nampak neraka, kemudian dapat memasuki syurga, lagilah kita rasa bersyukur. Allah ﷻ memberitahu yang Dia yang selamatkan ahli syurga itu. Ini memberitahu kita bukan kerana amalan yang dilakukan menyebabkan kita selamat dari neraka.

Amalan kita tidak sebanyak mana, tetapi dosa kita tentu banyak tetapi Allah ﷻ yang selamatkan dari neraka itu. Ini adalah kerana Rahmat Allah ﷻ. Sesungguhnya hal itu mereka peroleh hanyalah berkat kurnia dan kebaikan Allah ﷻ kepada mereka.

✍🏻Ia seperti yang disebutkan di dalam hadis sahih dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:

اعْمَلُوا وَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ أَحَدًا لَنْ يُدخله عَمَلُهُ الْجَنَّةَ” قَالُوا: وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يتغمَّدني اللَّهُ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَفَضْلٍ”

Beramallah, luruskanlah dan dekatkanlah kalian, dan ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat dimasukkan ke dalam syurga oleh amalnya! Para sahabat bertanya, “Dan tidak pula engkau, wahai Rasulullah?” Rasulullah Saw. menjawab: Dan tidak pula aku, terkecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan karunia-Nya kepadaku.

Maka dengan rahmat Allah ﷻ lah sahaja yang dapat memasukkan kita ke dalam syurga walaupun dosa-dosa kita mungkin banyak. Dosa-dosa yang banyak itu Allah ﷻ telah ampunkan. Kalau Allah ﷻ kira semua sekali, tentu tidak ada harapan untuk sesiapa masuk syurga.

Tafsir Ayat ke-57

فَضلًا مِّن رَّبِّكَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.

فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ

sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu

Limpah kurnia yang paling besar adalah yang disebut dalam ayat sebelum ini, iaitu tidak ada kematian. Kalimah فَضْلًا adalah satu ‘pemberian yang tidak perlu diberi’. Dibandingkan dengan pemberian yang kita beri mungkin kerana seseorang beri kita sesuatu dan kita balas budi dia.

Jadi lain dengan فَضْلًا ini. Kita tidak perlu hendak bagi tetapi kita hendak memberi juga sebagai satu bonus. Jadi, segala kelebihan yang didapati dalam syurga adalah satu pemberian ‘bonus’ dari Allah ﷻ. Kalimah فَضْلًا juga bermaksud pemberian balas yang lebih lagi dari apa yang diberi.

Ini kerana kita tidak mungkin layak untuk masuk syurga berdasarkan kepada amalan kita. Namun, kita dapat masuk kerana Allah ﷻ hendak memberi kepada kita atas sifat rahmat-Nya dan Allah ﷻ puas hati dengan apa yang telah kita lakukan.

Bandingkanlah pemberian segala nikmat syurga itu dengan amalan kita yang sedikit. Amal sedikit sahaja, tetapi dibalas dengan banyak. Beramal beberapa tahun sahaja di dunia, tetapi dibalas dengan syurga selama-lamanya. Memang patut kalau lafaz فَضْلًا digunakan.

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kemenangan yang besar.

Iaitu selamat dari neraka dan dapat masuk syurga. Itulah kemenangan yang paling besar. Tidak ternilai harganya dan tidak mampu kita hendak membayarnya walaupun kalau kita beramal sepanjang hidup.

Kita tidak akan masuk syurga disebabkan amalan kita sahaja. Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ. Lafaz الْفَوْزُ selalu diterjemahkan sebagai ‘kemenangan’ tetapi ia adalah jenis kejayaan yang didapati dan dalam masa yang sama, terlepas dari keburukan.

Kita sudah dapat masuk dalam syurga, tetapi kita juga sebenarnya terlepas dari termasuk dalam azab neraka. Itu adalah kejayaan yang amat besar. Jadi kita masuk syurga bukan kerana ‘pahala’ kita. Maka, amalan bidaah masyarakat kita yang ‘sedekah pahala’ itu adalah sia-sia sahaja. Oleh itu, hentikanlah dari membuat amalan yang sia-sia dan menambah-nambah dosa sahaja.

Tafsir ayat ke-58

Sekarang berubah kepada topik yang baru pula iaitu tentang Al-Quran. Ini adalah kerana untuk masuk syurga, kena beramal dengan amalan Al-Quran. Nabi Muhammad ﷺ sudah tidak ada di kalangan kita untuk memberi nasihat terus kepada kita.

Namun, kita tetap ada Al-Quran ini. Maka, untuk masuk syurga dengan segala kenikmatan yang telah disebut di atas, kenalah belajar tafsir Al-Quran dan beramal dengan apa yang disuruh dalam Al-Quran. Selain itu kena mendekati Al-Quran dan selalu mendalami maksudnya. Untuk mendekatinya, Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita.

فَإِنَّما يَسَّرنٰهُ بِلِسانِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).

فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ

Maka sesungguhnya Kami memudahkan Al-Al-Quran

Allah ﷻ mengulang topik Al-Quran yang dibuka di awal surah. Surah ini dimulai dengan topik Al-Quran dan sekarang di bahagian akhir, diulang balik topik yang sama. Inilah kebiasaan di mana Allah ﷻ akan menutup dengan menyentuh perkara pertama yang disebut di awal sesuatu surah.

Allah ﷻ berfirman mengatakan Dia memudahkan Al-Quran untuk kita. ‘Mudah’ bukanlah bermaksud ‘Simple’ (senang), tetapi ‘Possible’ (tidak mustahil). Al-Quran bukanlah sesuatu yang mudah sangat sampai membaca sekali atau membaca sendiri boleh fahami, tidaklah begitu. Ini adalah kerana Al-Quran adalah amanat yang tinggi bahasanya dan hebat penerangannya.

Oleh sebab itu, kalau tidak belajar tafsir dengan guru, susah untuk faham apakah yang dimaksudkan oleh Al-Quran. Walaupun kalau kita membaca terjemahan atau tahu bahasa Arab, kita masih susah hendak fahami sebenarnya. Jadi, untuk benar-benar faham Al-Quran sebenarnya bukanlah mudah sehinggakan pelajar peringkat sekolah rendah juga boleh faham.

Namun, Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita untuk memahaminya asalkan kita meluangkan masa dan tenaga sedikit untuk mempelajarinya. Memang kena masuk kelas tafsir dan hendaklah berhati-hati dalam memilih guru. Jangan salah pilih, nanti tersalah fahami Al-Quran. Oleh itu kena cari guru yang memang ada sanad untuk mengajar.

Untuk memahami Al-Quran, ia memerlukan usaha tetapi boleh dilakukan. Itulah maksud يسر itu. Maknanya ‘mudah’ itu, semuanya sudah disediakan untuk mencapai maksud. Macam kalau kita ditugaskan untuk menggali lubang – kita diberikan dengan alat-alat untuk menggali lubang seperti cangkul dan sebagainya. Maksudnya, Al-Quran itu ‘dipermudahkan’.

Allah ﷻ memberitahu Al-Quran ini mudah sahaja untuk dipelajari. Ini untuk memberi dorongan kepada kita untuk belajar. Kalau kita sudah mula belajar tafsir Al-Quran, kita akan dapati yang ia lebih mudah dari belajar matematik dan sains di sekolah.

Cuma orang jahil wahyu sahaja yang kata tafsir Al-Quran ini tidak boleh dipelajari oleh orang awam. Ini adalah bisikan syaitan yang memang tidak mahu manusia kenal ajaran dalam Al-Quran. Maka syaitan bisikkan kepada orang jahil supaya berkata begitu untuk menakutkan orang belajar tafsir.

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Iaitu Bahasa Arab yang jelas. Sifat bahasa Arab ini lain dari bahasa dunia yang lain. Ini adalah kerana bangsa Arab tidak bercampur dengan bangsa lain semasa perkembangan bahasa Arab.

Jadi, pencapaian bahasa Arab telah dipertingkatkan dan menjadi bahasa yang amat mantap. Mereka adalah bangsa yang mementingkan keindahan bahasa, suka dan pandai berpuisi, bersajak dan sebagainya. Cuma apabila zaman berubah, bahasa Arab sudah dicampuri dengan bahasa lain dan ia sudah tidak mantap lagi.

Oleh itu, dalam memahami Al-Quran, kita kena cari maknanya yang asal. Ini dipanggil ‘bahasa Arab Klasik’. Bahasa yang digunakan dalam Al-Quran adalah bahasa yang mudah difahami. Bukan macam bahasa falsafah, yang berpusing-pusing sampai sudah tidak dapat faham apakah yang hendak disampaikan.

Susah sangat sampai orang biasa tidak faham. Jadi Al-Quran tidaklah susah sangat, tetapi masih kena luangkan masa untuk belajar, bukan boleh faham sendiri.

‘Bahasa engkau’ – maksudnya ‘bahasa Nabi’, iaitu bahasa Arab. Mungkin ada yang tanya, kenapa dikira mudah kalau bahasa Arab?

Ia dikira mudah kerana bahasa itu mudah untuk diterima kerana mudah untuk difahami. Kita yang memang asal tidak tahu bahasa Arab lagilah senang hendak faham Al-Quran ini. Maknanya, tidak tahu bahasa Arab juga boleh faham, kerana bahasa Arab ini adalah bahasa yang hebat.

Kalau tahu bahasa Arab, lagilah mudah faham apa yang dipelajari. Bahasa Arab itu sangat sesuai untuk memberitahu perkara yang tersirat kerana ia adalah bahasa yang kaya. Satu kalimah boleh membawa banyak makna. Sudah cukup untuk sampaikan sesuatu perkara yang besar menggunakan bahasa yang minima sahaja.

Selalunya, apabila seseorang itu sudah semakin tinggi ilmunya, sudah jadi Doktor Falsafah, dan ada PHD, cara cakapnya sudah lain sedikit sebab mindanya juga sudah berbeza.

Sampaikan perkataan yang digunakan kadang-kadang tidak difahami oleh orang biasa, apatah lagi orang kampung. Namun lihatlah, tiada yang lebih alim dari Allah ﷻ , tetapi Allah ﷻ turunkan Al-Quran yang mudah manusia fahami. Orang yang peringkat PHD boleh faham, orang kampung juga boleh faham. Begitulah hebatnya bahasa Al-Quran itu.

لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka mendapat peringatan.

Inilah tujuan Al-Quran untuk memberi peringatan kepada manusia dan jin. Kalau bukan peringatan itu datang dari Al-Quran, dari mana lagi? Ini kerana perkara-perkara ghaib memang kita tidak boleh dapat kalau hendak usaha untuk tahu sendiri.

Kalimah zikir yang digunakan juga sebagai isyarat yang Al-Quran ini mudah untuk dihafali. Asalkan kita mahu berusaha. Mulakan dengan sikit kemudian kita akan perasan bahawa ia semakin mudah. Kita juga boleh perasan yang kualiti hidup kita akan bertambah baik apabila kita mula menghafal Al-Quran.

Jadikanlah Al-Quran sebagai ‘zikir’ harian kita. Inilah zikir yang paling baik kalau dibandingkan dengan zikir-zikir yang lain.

Pahalanya lebih banyak dari zikir-zikir yang lain. Gantikan lagi yang biasa dinyanyikan dengan lagu Al-Quran.

Tafsir Ayat ke-59

Takhwif Duniawi. Namun, dengan segala peringatan serta dakwah yang diberikan, puak Musyrikin Mekah dan mereka yang degil, masih lagi tidak mahu beriman dan membantah usaha Nabi ﷺ. Inilah nasihat Allah ﷻ kepada baginda ﷺ dan kepada kita juga:

فَارتَقِب إِنَّهُم مُّرتَقِبونَ

(Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (wahai Muhammad akan kesudahan mereka), sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu).

فَارْتَقِبْ

maka tunggulah

Perkataan رقب bermaksud tunggu tetapi bukan tunggu sahaja; ia bermaksud ‘tunggu sesuatu yang akan berlaku’. Tunggulah sampai Allah ﷻ membuat keputusan. Jadi ini adalah amaran dari Allah ﷻ supaya prihatin dengan Al-Quran.

Kalau tidak kisah juga, maka kamu berjaga-jagalah. Nanti kamu akan tahu akibatnya dari penolakan pendustaan terhadap Al-Quran ini. Ayat ini bermaksud tunggulah kesudahan mereka. Contoh seperti Nabi Musa عليه السلام menunggu apa yang akan terjadi kepada Firaun kerana kita tidak mampu hendak buat apa-apa kepada penentang wahyu.

Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ dan tunggu apakah keputusan Allah ﷻ.

إِنَّهُم مُّرْتَقِبُونَ

sesungguhnya mereka juga menunggu.

Perkara yang mereka tunggu akan kematian Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana kata mereka, kalau Nabi ﷺ mati, ajaran baginda ﷺ ini akan mati bersamanya. Itu adalah penantian yang sia-sia dan ia memberi isyarat kepada kita: kalau mereka menunggu, maka kita juga kena lebih sabar menunggu daripada mereka.

Kemungkinan juga ia bermaksud: tidaklah yang mereka tunggu itu melainkan keputusan azab Allah ﷻ yang pasti akan kena kepada mereka. Mereka sahaja yang tidak tahu balasan buruk yang akan dikenakan kepada mereka nanti. Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat pertolongan, kemenangan, dan kalimah yang tinggi di dunia dan akhirat.

💟Sesungguhnya kelebihan syurga itu hanyalah untuk Nabi Muhammad ﷺ, dan bagi pengikut baginda ﷺ dari kalangan para Nabi dan para rasul serta orang-orang yang mengikutimu dari kalangan kaum mukmin.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 56-59)

📍Benarkah sesiapa yang mempunyai masalah di Padang Masyar makin lewat meniti Titian Sirat?

🔵 Ya. Laluan titian sirat sama tetapi yang melaluinya tidak sama. Ada yang laju, perlahan, merangkak dan ada yang tidak perasan lalu titian sirat sebab cepat sangat. Itu hendak bagi bertambah takut.

📍Apakah kesalahan yang sebahagian ahli syurga itu masuk neraka dulu kemudian baru masuk syurga?

🔵Macam-macam dosa. Kita juga ada buat dosa. Nanti ditimbang timbang pahala dan dosa, dosa lagi banyak. Maka kena cuci dosa dalam neraka dulu. Duduklah entah berapa lama.

📍Maksudnya perlu timbang dulu amal kita baru melalui titian sirat?

🔵Ya. Bagi yang banyak dosa itu, jatuh dalam neraka dulu. Kena tarik dengan cangkuk. Semasa itu bukan lalu kosong sahaja kerana ada cangkuk-cangkuk yang menarik dari bawah.

📍Walaupun berat sebelah timbangan dosa yang banyak adakah jika Allah ﷻ ampunkan akan dapat masuk syurga terus tanpa hisap?

🔵 Ya. Allah ﷻ boleh maafkan dan ampunkan dosa atau boleh mendapat syafaat yang selamatkan dari neraka. Mungkin juga masuk dulu neraka tetapi sekejap sahaja kerana syafaat mengeluarkan dari neraka. Ini semua maknanya sudah ada hisab lah. Kalau masuk tanpa hisab, sudah tidak masuk mahkamah dan timbang-timbang.

📍Bagaimana pula yang masuk syurga tanpa hisab?

🔵 Akan terus masuk syurga dan tiada soalan akan ditanya. Contoh seperti menteri-menteri dekat airport tidak melalui pemeriksaan macam kita. Mereka terus masuk kapal terbang sahaja.

📍Mohon syarah hadist ini. Adakah kambing kibash di dalam hadist ini adalah perumpamaan?

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

يُؤْتَى بِالْمَوْتِ فِي صُورَةِ كَبْشٌ أَمْلَحُ، فَيُوقَفُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُذْبَحُ، ثُمَّ يُقَالُ: يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ

Maut didatangkan dalam rupa kambing kibash yang bertanduk, lalu dihentikan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih, dan dikatakan, “Hai ahli syurga, kekallah, tiada kematian lagi. Hai ahli neraka, kekallah tiada kematian lagi.”

🔵 Allah ﷻ hendak matikan ‘mati’. Mati sudah tidak ada selepas itu (Terminated). Kibash itu mungkin dalam bentuk perumpamaan sahaja atau Allah ﷻ boleh sahaja jadikan mati itu dalam bentuk kibash. Ini kerana Allah ﷻ maha berkuasa hendak mencipta dan tukar ciptaan-Nya. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ.

📍Bahasa Arab adalah bahasa syurga. Maksudnya? Selama ini saya fikir di alam barzakh dan syurga pakai bahasa Arab. Oleh itu kena belajar bahasa Arab dan untunglah orang Arab sebab ini bahasa mereka.

🔵 Selalu disebut tetapi tiada dalilnya. Kita tidak tahu bahasa syurga apa. Maka hentikan dulu kata bahasa Arab bahasa syurga. Bahasa dunia dan akhirat tidak sama tetapi kita semua pasti akan faham. Kalau tidak, bila mati sudah kena kursus bahasa Arab pula sebab bila malaikat tanya tidak faham.

📍Adakah benar jika Al-Quran sudah diangkat maka akan terjadi kiamat? Apakah maksud Al-Quran diangkat?

🔵 Saya tidak pasti hujah itu cuma yang ada hanya ulama atau ilmu diangkat. Maksudnya mereka mati dan tiada pengganti.

📍Ahli neraka yang telah habis menerima hukuman dalam neraka akan masuk ke syurga juga. Benarkah ahli syurga akan kenal bekas penghuni neraka kerana ada tanda pada wajah mereka? Apakah tandanya?

🔵 Ya. Asalkan tidak amalkan syirik atau sempat bertaubat sebelum mati. Kalau ada buat syirik, tetap kekal dalam neraka. Mereka dinamakan golongan jahannamiyyun dan ada tanda tetapi tdak pasti bagaimana rupa bentuk tanda.

📍Jika isteri masuk syurga dulu dan suami masih di siksa dalam neraka maka siapa pasangan isteri di syurga

🔵Tidak tahu.

📍Apabila sudah dapat masuk syurga, adakah masih pakai nama Jahannam lagi?

🔵 Ya. Keadaan di sana kita tidak tahu. Ada pendapat kata mereka itu bangga sebab sudah selamat masuk syurga, sudah tidak kisah. Asalkan dapat masuk syurga.

📍Benarkah bekas ahli neraka yang terakhir akan dapat syurga yang luasnya 10x ganda bumi?

🔵Ya, sahih dari hadis.

✍🏻Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda: “Sungguh aku mengetahui orang-orang yang terakhir keluar dari neraka dan terakhir masuk syurga. Ialah seorang yang keluar dari neraka sambil merangkak-rangkak, lalu diperintah oleh Allah:

Masuklah ke syurga, maka ia segera pergi ke syurga, tetapi terbayang padanya syurga telah penuh, maka ia kembali dan berkata: Ya Tuhan aku dapatkan sudah penuh. Lalu diperintah lagi: Pergilah masuk syurga. Kemudian ia kembali berkata:

Ya Tuhan, aku dapatkan syurga sudah penuh, kemudian diperintah: Pergilah masuk syurga, maka di sana untukmu seluas dunia sepuluh kali, atau, untukmu seluas dunia dan sepuluh kalinya, maka ia berkata: Engkau mengejek dan mentertawakan aku sedang Engkau Raja Yang Berkuasa. Sungguh aku telah melihat Rasulullah SAW. tertawa ketika menerangkan hadis ini sehingga terlihat gigi gerahamnya. Dan itu serendah-rendah tingkat ahli syurga.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

📍Apakah surah yang ahli syurga mengucap salam diantara mereka tu,surah apa?

🔵Surah Maryam.

__لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَٰمًا ۖ وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam surga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezekinya di surga itu tiap-tiap pagi dan petang. [ Maryam 19: 62 ].

«لا يسمعون فيها لغوا» من الكلام «إلا» لكن يسمعون «سلاما» من الملائكة عليهم أو من بعضهم على بعض «ولهم رزقهم فيها بكرة وعشيا» أي على قدرهما في الدنيا، وليس في الجنة نهار ولا ليل بل ضوء ونور أبدا.

(Mereka tidak mendengar perkataan yang tidak berguna di dalam surga) pembicaraan yang tak berarti (kecuali) mereka hanya mendengar (ucapan Salam) dari para Malaikat buat mereka, atau dari sebagian mereka kepada sebagian yang lain. (Bagi mereka rezekinya di surga itu tiap-tiap pagi dan petang) dalam perkiraan kedua waktu tersebut menurut perhitungan waktu di dunia, karena sesungguhnya di dalam surga itu tidak ada siang dan malam tetapi yang ada hanyalah cahaya dan nur yang abadi.

(Tafsir Al-Jalalain, Maryam 19:62)

📍Tidakkah di sini ialah bahasa Arab?

يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَٰمًا ۖ وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا,

🔵Al-Quran juga sebut kalimah-kalimah para Nsabi terdahulu, bukan? Namun, mereka tidak sebut dalam bahasa Arab tetapi Al-Quran translate. Samalah juga bahasa di syurga. Nabi Musa bukan Nabi Arab tetapi Al-Quran sebut kata-kata baginda, bukan? Tentu Nabi Musa tidak bercakap bahasa Arab. Al-Quran translate supaya masyarakat Arab faham. Literal dalam Al-Quran, tidaklah semestinya sama seperti yang disebut.

📍Kembali kepada asal, iaitu Bahasa dunia dan akhirat tidak sama tetapi kita semua akan faham.

🔵Ya,benar.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan