Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-37 dan Ke-38

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-37 dan Ke-38

543
0
Iklan

 

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat Ke-37

Takhwif Duniawi. Sekarang Allah ﷻ menempelak mereka. Mereka sangka mereka bagus sangat, maka Allah ﷻ perli mereka.

أَهُم خَيرٌ أَم قَومُ تُبَّعٍ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ أَهلَكنٰهُم ۖ إِنَّهُم كانوا مُجرِمينَ

Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum “Tubba’” dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

أَهُمْ خَيْرٌ

Adakah mereka yang lebih baik

Musyrikin Mekah memang rasa tinggi kedudukan mereka kerana ada harta dan kuasa. Malah mereka tidak ada rasa bersalah menentang Nabi Muhammad ﷺ kerana merasakan mereka lebih baik dari baginda ﷺ.

Maka, Allah ﷻ soal mereka balik dalam ayat ini: adakah mereka sangka mereka hebat?

أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ

atau kaum “Tubba’”

Adakah mereka lebih hebat dari kaum ‘Tubba’? Dikatakan bahawa Tubba adalah nama seorang raja yang baik dan rakyatnya dipanggil Tubba’. Sepertimana juga Bani Israel dipanggil sempena nama Nabi mereka, begitu juga rakyat Tubba’ ini mengambil nama raja mereka. Ada juga yang mengatakan mereka adalah orang Arab yang tinggal di Yaman yang berasal dari keturunan Qahtan. Puak Quraisy pula dari keturunan Adnan.

Mereka memerintah satu kerajaan yang besar di Yaman. Raja-raja mereka dikenali sebagai ‘Tubba’. Ini adalah gelaran kepada raja-raja mereka, sepertimana juga Raja Mesir dikenali sebagai Firaun, Raja Habsyah dikenali sebagai Najashi, Raja Parsi – Kisra, Raja Rom – Ceaser dan lain-lain.

Mereka ada nama mereka sendiri, tetapi pangkat raja mereka adalah begitu. Maka, raja kerajaan di Yaman ini dikenali sebagai Tubba’. Dikatakan mereka mengambil alih kerajaan Saba’ pada tahun 150 SM selama 300 tahun. Kerajaan mereka amat besar sampaikan ke negara Rusia sekarang.

Maka, mereka mempunyai kekuatan dan kekayaan yang banyak. Contoh kaum Tubba’ dibawakan kepada musyrikin Mekah kerana mereka kenal tamadun itu. Ada pula yang kata mereka adalah kaum selepas kematian Firaun dan tenteranya.

Mereka telah mengambil alih peninggalan kaum Firaun yang semuanya telah mati kerana ditenggelamkan dalam laut. Mereka menjadi hebat dengan apa yang ada dan mereka juga memerintah satu kerajaan. Allahu a’lam.

Salah satu kisah tentang mereka adalah seperti yang disebut dalam Surah Saba’ itu. Ini kerana mereka telah mengamalkan syirik, maka kerajaan mereka telah dihancurkan dan bangsa mereka bertebaran di Tanah Arab.

✍🏻Namun, sebelum itu, Raja Tubba’ adalah seorang yang baik dan telah menganut agama Tauhid sampaikan baginda memujinya.

وَقَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبُو زُرْعَة، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بن لَهِيعَة عَنْ أَبِي زُرْعَة -يَعْنِي عَمْرَو بْنَ جَابِرٍ الْحَضْرَمِيَّ-قَالَ: سَمِعْتُ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ السَّاعِدِيَّ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَسُبُّوا تُبَّعًا؛ فَإِنَّهُ قَدْ كَانَ أَسْلَمَ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Safwan, telah menceritakan kepada kami Al-Walid, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Lahi’ah, dari Abu Zar’ah (Yakni Amr ibnu Jabir Al-Hadrami) yang telah mengatakan bahawa ia pernah mendengar Sahl ibnu Sa’d As-Sa’idi r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Janganlah kalian mencaci Tubba’, kerana sesungguhnya dia adalah orang yang telah masuk Islam.

Namun, yang pasti siapa sahaja mereka itu, tentunya lebih hebat dari segi tamadun kalau dibandingkan dengan kaum Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ hendak memberitahu kepada Musyrikin Mekah itu, kaum Tubba’ itu hancur kerana tidak terima akhirat.

Tidak kira betapa hebat mereka, Allah ﷻ hancurkan sahaja dengan mudah. Adakah kamu rasa kamu tidak hancur kerana tidak menerima akhirat? Adakah kamu rasa kamu dapat menahan kemarahan dari Allah ﷻ dengan apa yang kamu ada?

وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

dan orang-orang yang terdahulu dari mereka?

Banyak lagi kaum-kaum sebelum kaum Tubba’ yang lebih hebat dari Arab Mekah. Sebagai contoh, sebelum itu ada kerajaan besar Firaun dan berbagai-bagai lagi tamadun yang hebat-hebat. Apalah sangat yang Mekah itu ada? Memang tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan tamadun lain.

أَهْلَكْنٰهُمْ

Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan,

Mereka yang lebih hebat dari penduduk Mekah turut Allah ﷻ telah musnahkan kerana mereka tidak beriman.

Adakah kaum Quraisy rasa mereka bagus sangat? Mereka tidak terfikirkah yang Allah ﷻ boleh sahaja musnahkan mereka sepertimana Allah ﷻ telah musnahkan kaum-kaum terdahulu yang lebih hebat dari mereka?

إِنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

Kaum-kaum dahulu itu memang hebat tetapi mereka syirik kepada Allah ﷻ. Oleh kerana itu, mereka telah dibinasakan oleh Allah ﷻ . Mereka juga tidak dapat menyelamatkan diri, maka kenapa Musyrikin Mekah ingat mereka boleh selamat?

Allah ﷻ tidak kira bagaimana mereka menjalani kehidupan keduniaan. Kalau mereka melakukan syirik dan berdosa kepada Allah ﷻ mereka akan tetap mendapat hukuman dari Allah ﷻ. Walaupun mereka nampak hebat dan berjaya dalam dunia.

Tafsir Ayat ke-38

Mereka yang tidak menerima kebangkitan semula itu sangka yang kehidupan dunia ini main-main sahaja. Allah ﷻ jadikan hendak main-main sahaja, nanti bila sudah mati, habis begitu sahaja. Ini kan main-main? Tentu Allah ﷻ tidak main-main dalam menjadikan dunia ini kerana ia adalah tempat ujian. Jadi ini adalah jawapan kedua bagi mereka yang menolak kebangkitan semula.

Ini juga adalah Dalil Aqli. Kenapa kita kena beriman dan ikut arahan Allah ﷻ sahaja? Tentulah kerana Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam ini. Allah ﷻ memberi dalil dalam ayat ini dan suruh kita melihat alam ini.

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما لٰعِبينَ

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;

وَمَا خَلَقْنَا السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi

Allah ﷻ memberitahu kita semua termasuk kepada Musyrikin Mekah bahawa Dia lah yang telah mencipta alam ini.

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya,

Segala apa sahaja yang ada dalam alam ini, adalah dari penciptaan Allah ﷻ belaka. Kita juga tidak tahu apakah yang ada di antara kedua langit dan bumi kerana ilmu kita terhad.

لٰعِبِينَ

secara main-main;

Bukanlah Allah ﷻ saja suka-suka ciptakan alam ini kerana tiada apa hendak buat dan bosan sangat, maka Allah ﷻ cipta alam ini. Kalau begitu, itu bermakna Allah ﷻ main-main sahaja. Namun, Allah ﷻ tidak begitu. Tidaklah sia-sia Dia jadikan alam ini.

✍🏻Telah disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالأرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَاطِلا ذَلِكَ ظَنُّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنَ النَّارِ}

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka. [ Shad: 27 ].

Bukanlah Allah ﷻ sengaja hendak tengok apa yang akan terjadi kalau Dia buat begini, begitu atau main-main dengan kita. Ini kita sebut sebab dalam agama lain, macam-macam fahaman karut yang ada. Sebagai contoh, dalam salah satu fahaman Hindu, memang tuhan dewa mereka bermain-main dengan manusia sebab hendak tengok apa manusia akan buat kalau begini dan begini. Macam budak-budak main mainan.

✍🏻Dan firman Allah ﷻ lainnya yang menyebutkan:

{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ}

Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. [ Al-Mu’minun: 115-116 ].

Allah ﷻ menciptakan alam ini semuanya bersebab. Bukanlah alam ini tempat kita tinggal sekejap, kemudian mati begitu sahaja tanpa ada apa-apa tujuan. Kehidupan di dunia ini ada tujuan. Allah ﷻ memberitahu dalam ayat seterusnya.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 37-38)

📍Adakah semua tamadun dahulu itu akhirnya syirik kepada Allah SWT (setelah maju). Oleh sebab itu Allah SWT hapuskan mereka lalu digantikan dengan tamadun lain silih berganti?

🔵Banyak yang maju dan hebat. Kemudian mereka mensyirikkan Allah SWT dan menentang rasul mereka. Maka Allah SWT musnahkan mereka. Kemajuan dan kehebatan tidak dapat menyelamatkan mereka langsung.

📍Allah SWT ciptakan alam ini dengan begitu hebat tetapi akhirnya Allah SWT akan hancurkannya juga. Adakah ia disebabkan perbuatan syirik manusia?

🔵Memang dunia tempat ujian. Allah SWT memang sudah qadarkan dari azali lagi yang dunia ini akan hancur apabila sampai masanya. Dunia bukan ditakdirkan kekal sampai bila-bila.

📍Adakah bila dihancurkan alam, ia termasuk alam selain yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera kita seperti alam janin, kubur atau barzakh?

🔵Ya

📍Sebenarnya saya berasa sayang bila melihat alam ini akan dihancurkan walaupun saya tahu memang itu takdirnya. Salahkah perasaan saya?

🔵Tidak redha dengan keputusan Allah SWT adalah satu kesalahan.

📍Adakah ia merangkumi keseluruhan alam makhluk iaitu dalam lingkungan lapisan langit pertama sahaja? Bagamana dengan alam langit kedua dan seterusnya pula? Adakah perbahasan ulama mengenai alam yang khusus dihancurkan dan alam yang khusus dibiarkan oleh Allah SWT?

🔵Alam akan mula hancur dari langit ketujuh. Alam baru akan dibina.

📍Jika dari langit ke-7 adakah termasuk sekali alam neraka yang telah diwujudkan sejak lama dahulu.

🔵Neraka alam lain kita tidak tahu di mana. Syurga dan neraka sudah ada. Maka ia akan kekal begitu. Allahu a’lam. Ada juga pendapat yang kata syurga dan neraka belum ada lagi. Ada juga kata syurga dan neraka sekarang bukan yang kekal punya tetapi sementara sahaja.

📍Saya juga berpendapat ia sudah ada/wujud berdasarkan kisah Israk Mikraj baginda SAW dan juga hadis berikut tentang kedalaman neraka.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ سَمِعَ وَجْبَةً فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَدْرُونَ مَا هَذَا ؟ قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ هَذَا حَجَرٌ رُمِيَ بِهِ فِي النَّارِ مُنْذُ سَبْعِينَ خَرِيفًا فَهُوَ يَهْوِي فِي النَّارِ الْآنَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى قَعْرِهَا فَسَمِعْتُمْ وَجْبَتَهَا   )رواه مسلم)

Ertinya:

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه berkata ia: “Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, tiba-tiba terdengar bunyi benda jatuh dengan kuat, lalu baginda bersabda: “Tahukah kamu suara apa ini”? Kami menjawab: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Lalu Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Ini adalah suara sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus sahaja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai pada dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar bunyi jatuhnya”. [ HR Muslim ].

Adakah dalil alam syurga dan neraka nanti turut dibinasakan sebelum hari kebangkitan?

🔵sebab ada pendapat yang kata syurga neraka sekarang ada yang sementara sahaja, bukan yang kekal.

 

📍Maksudnya syurga dan neraka baru akan dibuat setelah kiamat nanti?

🔵Itulah antara pendapat yang ada. Umumnya:

  1. Syurga belum ada lagi.
  2. Syurga dan neraka sudah ada.
  3. Syurga neraka sekarang tidak kekal.

📍Adakah salah kalau kita berpegang pada pendapat syurga dan neraka sudah ada dan kekal?

🔵Tidak. Tiada dalil khusus cuma yang ada adalah ijitihad. Kalau ijtihad, boleh pegang salah satu.

📍Kiranya masih khilaf dalam bab ini?

🔵Ia ijtihad dan kalau ijtihad tanpa dalil khusus, maka khilaf. Boleh pilih yang salah satu atau berlapang dada dengan terbuka kepada mana-mana. Cuma pandangan pertama itu adalah pandangan muktazilah. Muktazilah tidak terima sudah ada syurga dan neraka kerana mahkamah pengadilan belum diadakan, jadi macam mana hendak ada syurga neraka?

📍Bagaimana kita hendak fahami hadith dari Muslim, bahawa pintu Syurga akan dibuka pertama kali untuk Rasulullah SAW?

🔵Sebab itulah ada juga pendapat yang kata Syurga Neraka belum ada lagi seperti Imam Nawawi di dalam syarh Sahih Muslim di bawah ini perlu diperhatikan:

“Orang-orang yang dikhabarkan berada di dalam jannah bukan bererti ia sudah berada di jannah, hal itu adalah sebagai khabar gembira bagi para sahabat dengan kesaksian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, baik di dalam mimpinya mahu pun ketika mi’roj. Apabila penghuni syurga sudah ada sebelum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, bererti bertentangan dengan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,”Aku datang ke pintu jannah dan meminta supaya pintu itu dibuka. Penjaga jannah bertanya,”Siapakah engkau”? Aku berkata,”Muhammad.” Penjaga Syurga berkata lagi,”Aku diperintah untuk tidakmembuka pintu ini bagi siapa saja sebelum engkau.”

Beberapa sahabat yang dikhabarkan masuk jannah mereka masih hidup dan mustahil mereka ketika itu berada di dalam jannah. Al Kirmani berkata,” Seseorang tidak akan masuk Syurga kecuali setelah ia mati.” [ lihat Syarh Shohih Muslim ]

Mengenai yang sudah ada dalam syurga itu: Para syuhada akan diizinkan mengunjungi Jannah, sebagai keutamaan bagi mereka, namun mereka belum menikmati Jannah dengan badannya maknanya, kunjung sahaja. Maka banyaklah pendapat yang ada. Oleh kerana ia perkara ghaib, maka kita berlapang dadalah dalam hal ini kerana semua ada pendapat masing-masing dengan hujah. Semoga kita turut dapat masuk juga.

📍Apakah semua kaum Tuba itu hancur atau ada lagi orang yang beriman?

🔵Semuanya hancur.

 📍Ada dibahaskan juga yang dimaksudkan adalah syurga Firdaus?

🔵Syurga satu sahaja, tetapi ada 100 tingkatan. Firdaus adalah tingkatan paling tinggi.

 📍Apakah kondisi sekarang ini sama macam dulu. Nanti Allah SWT akan binasakan semua atau kerana ini akhir zaman maka Allah SWT akan biarkan sahaja sampai kiamat datang?

🔵Ya, sekarang ada satu umat sahaja dan tidak akan dihancurkan semua sekali kecuali Kiamat kelak. Zaman dulu banyak umat, hancurkan umat ini, ada umat lain lagi tetapi sekarang ada umat Nabi Muhammad SAW sahaja.

📍Adakah kisah Nabi yang masuk ke syurga tetapi tidak mahu balik ke dunia kerana sudah seronok di sana?

🔵Allahu a’lam samada kisah itu benar atau tidak.

📍Bolehkah kalau kita minta “darajatil ‘ula minal jannah? Saya temui lafaz ini dalam satu doa dari hadis Nabi. Adakah ia khas untuk Nabi?

🔵Saya tidak tahu.

📍Boleh bagi pencerahan Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia?

🔵Arasy itu makhluk paling besar dan ia milik Allah SWT. Maka Allah SWT tentulah lagi mulia.

📍Adakah masa itu juga makhluk Allah SWT?

🔵Ya

📍Apakah maksud makhluk di sini benda mati bukan benda hidup?

🔵Makhluk adalah semua yang selain Allah SWT, sama ada hidup atau mati dan Arasy juga adalah makhluk. Ia adalah makhluk paling besar meliputi alam ini.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 

إِنَّ الله عَلَى عَرْشِهِ وَ إِنَّ عَرْشَهُ عَلَى سَمَوَاتِهِ وَ أَرْضِهِ كَهَكَذَا وَ قَالَ بِأَصَابِعِهِ مِثْلَ اْلقُبَّةِ

Sesungguhnya Allah di atas ‘Arsy-Nya dan Arsy-Nya di atas langit-langit dan bumi, seperti begini dan beliau memberikan isyarat dengan jari-jemarinya seperti kubah.”

HR Ibnu Abi Ashim dalam As-sunnah 1/252

📍Di manakah malaikat ?

🔵Malaikat adalah khadam suruhan Allah SWT. Maka ada di merata-rata. Cuma tidak lepas ke langit ke tujuh. Malaikat perkara ghaib. Maka maklumat lengkap tidak ada.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan