Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-29 hingga Ke-33

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-29 hingga Ke-33

533
0
Iklan

 

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-29

فَما بَكَت عَلَيهِمُ السَّماءُ وَالأَرضُ وَما كانوا مُنظَرينَ

Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ

Mereka itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi

Kematian mereka beramai-ramai itu adalah kejadian yang pelik. Habis semua sekali dalam masa sekejap sahaja tetapi tidak ada sesiapa yang menangisi mereka. Bandingkan, kalau ada yang mati banjir sekarang, siap masuk surat khabar dan orang ramai akan sedih.

Firaun dan pengikutnya tidak dihiraukan kerana tidak ada siapa peduli golongan sampah. Mereka golongan yang hina. Semasa mereka hidup, memang penduduk sekitar memuji dan baik kepada mereka kerana kekuasaan yang ada pada mereka. Namun, apabila mereka mati semuanya, semua penduduk sekitar menarik nafas lega.

Langit dan bumi juga tidak rasa kasihan kepada mereka langsung. Sebenarnya, kalau orang beriman mati, langit dan bumi akan kesedihan. Ini kerana orang beriman itu tidak solat lagi di atasnya, tidak buat kebaikan lagi di atasnya.

Semasa orang beriman itu hidup lagi, amalan mereka diangkat ke langit dan bila dia mati, langit tidak menerima amalan orang itu lagi.

✍🏻Al-Hafiz Abu Ya’la Al-Mausuli mengatakan di dalam kitab musnadnya:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِسْحَاقَ الْبَصْرِيُّ، حَدَّثَنَا مَكِّيُّ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ عُبَيْدَةَ، حَدَّثَنِي يَزِيدُ الرَّقَاشِيُّ، حَدَّثَنِي أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “مَا مِنْ عَبْدٍ إِلَّا وَلَهُ فِي السَّمَاءِ بَابَانِ: بَابٌ يَخْرُجُ مِنْهُ رِزْقُهُ، وَبَابٌ يَدْخُلُ مِنْهُ عَمَلُهُ وَكَلَامُهُ، فَإِذَا مَاتَ فَقَدَاهُ وَبَكَيَا عَلَيْهِ” وَتَلَا هَذِهِ الْآيَةَ: {فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالأرْضُ} وذُكر أَنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا عَمِلُوا عَلَى الْأَرْضِ عَمَلًا صَالِحًا يَبْكِي عَلَيْهِمْ. وَلَمْ يَصْعَدْ لَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ مِنْ كَلَامِهِمْ وَلَا مِنْ عَمَلِهِمْ كَلَامٌ طَيِّبٌ، وَلَا عَمَلٌ صَالِحٌ فَتَفْقِدَهُمْ فَتَبْكِيَ عَلَيْهِمْ

telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Ishaq Al-Basri, telah menceritakan kepada kami Makki ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Ubaidah, telah menceritakan kepadaku Yazid Ar-Raqqasyi, telah menceritakan kepadaku Anas ibnu Malik r.a. dari Nabi SAW yang telah bersabda: Tiada seorang hamba pun melainkan mempunyai dua buah pintu di langit; sebuah pintu untuk jalan turun rezekinya, dan sebuah pintu lagi untuk masuk amal dan ucapannya. Apabila hamba yang bersangkutan meninggal dunia, maka kedua pintu itu merasa kehilangan dia dan menangisi kepergiannya. Lalu Nabi SAW membaca ayat ini: Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka. [ Ad-Dukhan: 29 ].

Menurut suatu riwayat, mereka tidak pernah mengerjakan suatu amal soleh pun di muka bumi ini yang menyebabkan bumi menangisi kepergian mereka. Termasuk juga tiada ucapan dan amal perbuatan mereka yang dinaikkan ke langit, iaitu ucapan yang baik dan amal yang soleh, yang kerananya langit merasa kehilangan mereka, lalu menangisi kepergian mereka.

📍Kisah 1:

Tempat yang kita selalu lakukan amalan baik akan sedih kalau kita tinggalkan mereka. Tahu kah anda kisah pokok tempat Nabi Muhammad ﷺ bersandar semasa beri khutbah? Nabi ﷺ akan bersandar kepada pokok itu semasa beri khutbah sebelum Masjid Nabi ada mimbar.

Apabila mimbar Masjid siap, dan baginda ﷺ tidak lagi bersandar kepada pokok itu. Ini menyebabkan pokok itu menangis kerana Nabi ﷺ sudah tidak lagi bersandar kepadanya. Nabi ﷺ kena peluk pokok itu, barulah pokok itu senyap. Ini disebut dalam hadis yang sahih dan ramai para sahabat yang mendengarnya. Ini adalah salah satu dari kisah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ .

Kisah ini mengajar kita bahawa alam ini menyimpan rasa sayang kepada kita apabila kita beramal berdekatan dengannya. Begitu juga, alam ini akan benci kepada kita apabila kita buat maksiat padanya. Ini adalah kerana alam ini beribadat kepada Allah ﷻ dan mereka suka kalau kita beribadat berdekatannya.

📍Kisah ke-2

Satu kisah juga disampaikan kepada kita: bagaimana Arash Allah ﷻ bergegar apabila Saad bin Muaz رضي الله عنه meninggal dunia. Saad adalah ketua kaum dari Yathrib yang mula-mula masuk Islam. Beliau telah memberitahu kepada kaumnya, kalau mereka tidak beriman kepada Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ , beliau tidak akan bercakap dengan mereka selama-lamanya. Petang itu, semua ahli kaumnya telah masuk Islam. Besar sekali jasanya sampaikan apabila beliau meninggal, Arash Allah ﷻ bergegar kerana kesedihan.

✍🏻Nabi SAW bersabda:

اهْتَزَّ الْعَرْشُ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ

Singgasana Allah Azza wa Jalla bergoncang kerana kematian Saad bin Muadz

[HR al-Bukhari]

📌Ini mengajar kita untuk memikirkan apakah kelakuan kita di dunia ini. Apakah yang kita buat dalam dunia dan adakah alam ini akan menangisi kita apabila kita mati nanti? Oleh itu, ke mana sahaja kita pergi, tinggalkan perkara baik di tempat itu. Sebagai contoh, apabila kita pergi ke hutan contohnya, laungkan azan untuk solat. Kemudian solatlah di dalam hutan itu.

Tempat itu akan menjadi saksi untuk kita nanti. Banyakkan juga tempat sujud kerana tempat sujud akan menjadi saksi buat kita nanti kerana alam ini menyaksikan segala perbuatan kita sebenarnya. Janganlah alam ini nanti menjadi saksi atas segala dosa yang kita lakukan di dalamnya.

وَمَا كَانُوا مُنظَرِينَ

dan mereka pula tidak diberi tangguh.

Mereka tidak diberi masa tangguh untuk bertaubat. Masa Firaun dan tenteranya hampir mati kelemasan dalam laut, baru mereka hendak beriman. Termasuklah Firaun sekali tetapi iman mereka tidak diterima waktu itu.

Ini kerana iman yang hanya timbul selepas melihat azab yang dikenakan kepada mereka, atau apabila nyawa sudah di halqum, tidak diterima. Mereka tidak akan diberi peluang. Begitu juga, kalau kita selama ini berbuat dosa dan syirik, dan apabila kita hanya hendak bertaubat apabila nyawa sudah di halqum, ia tidak diterima.

Apabila kita kena azab nanti, kita juga tidak diberi tangguh. Kita tidak boleh hendak minta dengan malaikat supaya jangan seksa kita dulu, tunggu sehari dua dulu, seminit dua pun, tidak. Apabila kita kena seksa, malaikat yang ditugaskan menyeksa, akan terus menyeksa kita.

Tafsir Ayat ke-30

Sekarang Allah ﷻ mengalihkan pandangan kita kepada Bani Israel pula. Ayat ini termasuk dalam jenis Tabshir Duniawi. Natijah yang terjadi apabila seseorang itu mengikuti Rasul mereka.

وَلَقَد نَجَّينا بَني إِسرٰءيلَ مِنَ العَذابِ المُهينِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israel, dari azab yang menghina,

وَلَقَدْ نَجَّيْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israel,

Allah ﷻ mengingatkan kepada orang Yahudi dan kita juga betapa mereka telah diberi rahmat dengan diselamatkan. Mereka dulunya menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kaum Qibti dan ditindas oleh kaum itu tetapi Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka.

Ini adalah kerana mereka telah mengikut Nabi mereka, Nabi Musa عليه السلام. Jadi mereka telah diberikan dengan keselamatan dari Firaun. Maka kalau kita ikut wahyu, kita juga akan selamat. Walaupun mulanya mungkin susah tetapi yang penting adalah hujungnya. Kalau ada kesusahan dan dugaan, maka kena tanggung dan sabar dahulu.

مِنَ الْعَذَابِ الْمُهِينِ

dari azab yang menghina,

Azab yang dimaksudkan adalah perhambaan ke atas Bani Israel. Ini kerana perhambaan adalah sesuatu yang amat menghinakan. Sudahlah dihambakan, ditambahkan lagi dengan seksaan yang dikenakan ke atas mereka.

Tentunya teruk sekali apa penindasan yang dilakukan oleh Firaun. Antara yang disebut adalah Firaun telah membunuh anak lelaki mereka.

Tafsir Ayat ke-31

Siapakah Firaun dan apakah sifatnya?

مِن فِرعَونَ ۚ إِنَّهُ كانَ عالِيًا مِّنَ المُسرِفينَ

Dari penindasan Firaun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya).

مِن فِرْعَوْنَ

Dari penindasan Firaun,

Dan mereka juga dikerah untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Antaranya, mereka telah dikerah untuk membina piramid yang kita boleh lihat sampai hari ini dan kerja-kerja berat yang lain. Kalau sudah dijadikan sebagai hamba, maka tentulah mereka kena buat macam-macam.

إِنَّهُ كَانَ عَالِيًا

sesungguhnya dia adalah seorang yang sombong takbur

Dia rasa dia tinggi sangat, sampai dirinya menjadi sombong kerana mempunyai kelebihan kerajaan yang besar dan kekuatan tentera. Selain itu turut memiliki kekuatan ekonomi dan tamadun yang tinggi. Maka kerana itu dia bersikap sangat teruk, berlagak dan sombong hingga orang bawah dia turut jahat sepertinya.

Macam kalau kita lihat pekerja satu syarikat yang sombong, ada kemungkinan ketua syarikat itu begitu juga, kerana orang bawahan akan ikut kelakuan orang atasan. Dalam ayat ini juga Allah ﷻ perli kepada pemuka Quraisy yang terlalu bangga dengan kedudukan mereka.

Namun, adakah mereka sama tahap dengan Firaun? Tentu tidak. Firaun yang hebat itu sangat mudah sahaja Allah ﷻ musnahkan.

مِّنَ الْمُسْرِفِينَ

dari orang-orang yang melampaui batas.

Tidak ada yang melebihinya dalam perangai buruknya. Lihatlah bagaimana teruk sekali seksaan yang diberikan kepada Bani Israel. Dalam Al-Quran telah disebut bagaimana dia telah menyalib keseluruhan ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام .

Bilangan mereka dikatakan sampai beribu orang waktu itu dan semuanya sekali telah disalib. Sedangkan isterinya yang beriman turut dia sanggup bunuh, apatah lagi kalau orang lain? Apabila dia buat keburukan, dia buat dalam keadaan melampau lebih lagi dari orang lain. Orang lain turut kejam juga, tetapi tidaklah sekejam Firaun.

Sebelum itu, kita juga telah membaca bagaimana beliau telah mengarahkan seluruh anak lelaki yang baru lahir dari Bani Israel dibunuh kerana dia takut ada penentangnya dari kalangan Bani Israel. Itu amat kejam dan entah apa lagi kekejaman yang dilakukan olehnya yang kita tidak tahu.

Allah ﷻ menegur musyrikin Mekah dengan membawakan kisah Firaun ini. Lihatlah bagaimana kaum musyrikin Mekah juga telah melampau dalam kegiatan mereka menyeksa orang Islam yang beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Kisah yang paling selalu masyarakat kita dengar adalah bagaimana Bilal telah dijemur di tengah panas dan ditindih dengan batu. Bukan Bilal sahaja yang diseksa, malah ramai lagi.

Allah ﷻ kisahkan bagaimana Firaun juga kuat menyeksa Bani Israil dan lihatlah bagaimana kesudahannya. Allah ﷻ memberi peringatan kepada kaum musyrikin dalam ayat ini sebenarnya.

Maka hendaklah mereka berhati-hati. Jangan mereka ingat mereka kuat dan mereka boleh terlepas dari hukuman Allah ﷻ .

Tafsir Ayat ke-32

Sekarang disebut tentang bagaimana mereka telah dilebihkan kedudukan mereka daripada bangsa lain pada zaman itu.

وَلَقَدِ اختَرنٰهُم عَلىٰ عِلمٍ عَلَى العٰلَمينَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu),

وَلَقَدِ اخْتَرْنٰهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Israel. Allah ﷻ telah memberi mereka dengan banyak kelebihan. Begitu banyak sekali kelebihan yang telah diberikan kepada mereka antaranya, paling ramai sekali golongan Rasul dan Nabi adalah daripada golongan mereka.

عَلَىٰ عِلْمٍ

dengan berdasarkan pengetahuan

Allah ﷻ tahu kelebihan dan kekurangan Bani Israel, tetapi Allah ﷻ tetap memberi kelebihan kepada mereka. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah memilih mereka di atas pengetahuan-Nya yang sempurna. Maka kita tidak boleh persoalkan pemilihan Allah ﷻ ini. Kita tidak mampu hendak mempersoalkan pilihan Allah ﷻ.

Ada dua pendapat tentang maksud ‘pengetahuan’ dalam ayat ini.

1. Oleh kerana ilmu yang mereka ada iaitu ilmu tentang tauhid, walaupun waktu itu mereka belum mendapat kitab Taurat lagi, dan tidak mahir tentang agama, tetapi mereka telah tahu tentang tauhid, mereka tahu tentang Allah ﷻ .

Mereka juga tahu serba sedikit tentang agama. Mereka tidak sama dengan bangsa Qibti yang mengamalkan agama syirik. Ini kerana pengetahuan agama yang sedikit ini juga, Allah ﷻ telah memilih mereka.

Oleh itu, tahulah kita yang pengetahuan agama lah yang menaikkan kedudukan manusia. Bukannya pengetahuan tentang dunia. Hanya dengan mengetahui agama, seseorang itu akan selamat dunia dan akhirat. Ini menunjukkan kepentingan ilmu.

Malangnya, masyarakat kita buat tidak endah sahaja tentang pengetahuan agama. Kebanyakan manusia lebih pentingkan kepandaian dalam hal-hal dunia. Kalau hal dunia, mereka sibuk mendapatkan ilmunya sampaikan dapat PHD, Master dan sebagainya.

Ini adalah kerana mereka hendakkan kehidupan yang senang, gaji yang tinggi dan sanjungan masyarakat. Namun, bagaimana dengan pengetahuan agama? Mereka tahu sedikit sangat, setakat ada-ada sahaja. Selainnya, mereka serahkan kepada orang lain kerana diri mereka sendiri tidak mahu belajar.

Mereka akan meminta kepada ahli agama untuk menjadi imam, membaca doa, memberi hukum dan sebagainya. Keadaan yang terjadi sekarang dalam kalangan masyarakat kita amat menyedihkan kerana mereka jahil tentang ilmu agama sampai boleh dipesongkan dengan mudah.

2.  Mereka dipilih atas pengetahuan Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu yang mereka layak dipilih. Allah ﷻ tahu yang mereka lebih layak lagi dipilih jika dibandingkan dengan Firaun dan kaumnya.

Allah Maha Tahu dan kita tidak tahu. Maka jangan kita persoalkan keputusan Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu kelebihan dan kelemahan mereka, tetapi Allah ﷻ tetap pilih mereka. Allah ﷻ pilih mereka walaupun Allah ﷻ tahu yang mereka akan melakukan kesalahan dan tahu yang mereka lemah.

Namun, kerana mereka duduk dengan Nabi, maka mereka telah diberi kelebihan itu. Kenapa Allah ﷻ pilih juga mereka? Katakan lah kita ada anak yang kita tahu mereka pandai.

Oleh itu tentu kita memberi mereka pendidikan yang terbaik. Namun, ada antara mereka yang tidak mahu belajar kerana rasa diri senang sebab tahu kita ada yang akan membantu mereka. Mereka fikir kalau mereka buat salah, tentu ada orang yang akan bantu dan selamatkan mereka.

Namun, kita sebagai ibu bapa tetap memberi peluang kepada mereka, bukan? Allah ﷻ tahu yang Bani Israel adalah bangsa yang pandai. Mereka ada potensi dalam diri mereka dan ada antara mereka yang baik. Namun apabila mereka telah menggagalkan diri mereka, barulah mereka ditinggalkan. Maknanya, Allah ﷻ tetap memberi peluang kepada mereka.

عَلَى الْعٰلَمِينَ

menjadi lebih dari penduduk dunia,

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka dari kaum Firaun. Bukan hanya sekumpulan Bani Israel yang diselamatkan tetapi keseluruhan kaum mereka. Malah Allah ﷻ juga telah menghapuskan Firaun dan tenteranya sekali. Termasuk mereka yang telah menyeksa Bani Israel sebelum itu.

Kemudian Allah ﷻ telah memberikan kerajaan Palestin kepada mereka dan pemimpin yang mulia seperti Nabi Daud عليه السلام dan Nabi Sulaiman عليه السلام . Dulunya mereka tertindas, tetapi kemudian Allah ﷻ telah muliakan. Mereka diberikan dengan entah berapa banyak rasul dan Nabi dari kalangan mereka.

Allah ﷻ telah menaikkan kedudukan mereka menjadi umat yang utama melebihi kaum lain waktu zaman mereka. Merekalah sahaja orang Islam waktu itu tetapi pada ketika itu sahaja. Bukanlah mereka terus menjadi umat pilihan sampai sekarang.

Ini kerana apabila mereka telah menyalahgunakan agama, maka kedudukan mereka telah ditarik dan diberikan kepada kita sekarang.

Maka, kita kena beringat dengan kelebihan yang Allah ﷻ telah berikan. Kalau kita juga buat seperti mereka, maka akan ditarik status keislaman kita dan akan diberikan kepada orang lain. Tidakkah ini amat menakutkan?

Oleh kerana itu Allah ﷻ banyak sebut tentang mereka dalam Al-Quran kerana hendak memberi peringatan kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka.

Tafsir Ayat ke-33

Tambahan maklumat tentang apakah lagi yang telah diberikan kepada Bani Israel.

وَءآتَينٰهُم مِنَ الآيٰتِ ما فيهِ بَلٰؤا مُّبينٌ

Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).

وَءآتَيْنٰهُم مِّنَ الْآيٰتِ

Dan Kami berikan kepada mereka daripada tanda-tanda

Ia adalah hujah-hujah, keterangan-keterangan dan mukjizat-mukjizat yang berbeza dengan hukum alam. Tanda-tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Banyak mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka. Antaranya:

▪️ Tongkat Nabi Musa عليه السلام menjadi ular.

▪️ Tangan Nabi Musa عليه السلام bercahaya.

▪️Laut terbelah dua dan mereka menyeberanginya dengan selamat.

▪️Nabi Musa عليه السلام memukul tongkat yang mengeluarkan air untuk minuman mereka.

Terdapat banyak lagi tanda-tanda yang telah diberikan kepada mereka. Semua tanda-tanda itu boleh dilihat dengan mata kepala mereka sendiri.

مَا فِيهِ بَلٰؤا مُّبِينٌ

yang mengandungi ujian yang jelas nyata

Tanda-tanda mukjizat itu adalah sebagai ujian kepada mereka. Apakah ujian itu? Ia adalah sama ada hendak bersyukur dan mengikut arahan Nabi Musa عليه السلام serta beriman kepada Allah ﷻ atau tidak. Bukan senang-senang sahaja Allah ﷻ beri tanda-tanda itu.

Ini memberi peringatan kepada kita. Walaupun satu-satu bangsa itu diberikan nikmat agama, tetapi dalam masa yang sama, mereka akan diuji dalam agama. Tidak ada yang tidak diuji. Ketika zaman itu, Bani Israel adalah umat Islam.

Pada masa sekarang, kitalah pula umat Islam yang memegang agama Islam. Kita sekarang sedang diuji sama ada kita akan bertanggungjawab dalam memegang agama Allah ﷻ ini. Kita juga diuji sama ada kita bersyukur atau tidak dengan kedudukan tinggi yang Allah ﷻ berikan kepada kita sebagai umat Islam. Ini adalah satu ujian dan tanggungjawab yang tinggi.

Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita sedang menjalankan tanggungjawab kita? Adakah kita sedang sampaikan agama tauhid ini kepada seluruh manusia? Kalau tidak, ada masalah di situ kerana berkali-kali dalam Al-Quran Allah ﷻ menyuruh kita sampaikan kerana ini adalah tanggungjawab kita.

Kalimah بَلَاءٌ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’. Ini kerana ia adalah satu perkataan yang boleh ada maksud yang berlawanan. Jadi kalau begitu, kita boleh terjemah ayat ini: “yang mengandungi nikmat yang jelas” iaitu Bani Israel telah diberikan dengan kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kepada bangsa lain.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 29-33)

📍Adakah pokok yang sama menangis dan berjalan menemui Nabi SAW?

🔵Tidak

📍Apakah pokok kalau kita tebang akan merasa sakit juga?

🔵Ada kajian mengatakan pokok juga ada kesan dengan perbuatan kita. Namun tidak mengapa sebab memang semua di atas dunia untuk kita gunakan. Binatang pun sakit juga tetapi memang sudah makanan kita.

📍Adakah berkaitan dengan surah al-Zalzalah yang bumi akan ditanya tentang amalan?

🔵Ya, ada kaitan. Bumi memang perhati sahaja apa yang kita sedang buat.

📍Jika kita buat kerosakan kepada bumi, adakah bumi akan mengadu nanti?

🔵Ya, bumi memang antara saksi.

📍Bagaimana kalau pemerintah Islam gagal perbetulkan aqidah orang Muslim?

🔵Pemerintah seperti bapa kepada rakyat. Nanti akan ditanya di hadapan Allah SWT.

📍Bolehkah kita menegur ustaz yang sibuk berdakwah untuk perbetulkan salat, jihad tetapi gagal mengajar aqidah sahih?

🔵Boleh kalau mampu lakukan.

📍 Adakah kita yang akan ditanya dulu kalau aqidah kerabat sendiri tidak dapat dibetulkan dan mereka juga telah mempunyai keluarga sendiri?

🔵Ya, masih ditanya tetapi orang perempuan tidak kena lah. Orang perempuan tiada kewajiban dakwah.

📍Maksudnya orang perempuan tidak dipertanggungjawabkan dengan urusan dakwah termasuklah dakwah kepada suami dan anak-anaknya?

🔵 Tidak. Kalau dia buat, maka pahala bonus untuk dia.

📍Benarkah kalau kita sudah sampaikan dan mereka tidak hiraukan, kita tidak akan ditanya?

🔵Ya, benar.

📍Maksud dari ayat ini Mesir akan diberikan kepada orang lain pula bermaksud akan ada Nabi lain yang akan berdakwah selepas hijrahnya Nabi Musa?

👉🏼Dia tidak benarkan sesiapa tinggal. Beginilah cara Allah ﷻ jadikan supaya mereka semua sekali keluar. Sebab Allah ﷻ hendak musnahkan mereka semua sekali. Allah ﷻ mahu mengeluarkan mereka semua sekali dari Mesir dan mereka akan dimusnahkan. Maka Mesir tidak terganggu dan akan diberikan kepada orang lain pula.

🔵Memang akan ada penduduk lain. Nabi lain pun mungkin ada kerana dalil umum setiap umat ada nabi-nabinya. Cuma nama nya kita tidak tahu.

📍Sejak Nabi manakah mansuhnya ilmu sihir ini?

🔵Ilmu sihir tidak pernah halal, jadi tidak pernah dimansuhkan.

📍Maksud bergegar di bawah ini adakah seperti terjadi gempa bumi?

Petang itu, semua ahli kaumnya telah masuk Islam. Besar sekali jasanya sampaikan apabila beliau meninggal, Arash Allah ﷻ bergegar kerana kesedihan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اهْتَزَّ الْعَرْشُ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ

Singgasana Allah Azza wa Jalla bergoncang kerana kematian Saad bin Muadz [HR al-Bukhari].

🔵Arash gegar tidak tahu kerana rupa Arasy pun kita tidak tahu.

📍Adakah hadis ini mengatakan setiap orang bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri?

“Setiap dari kamu adalah pengembala (pemimpin) dan akan dipertanggungjawabkan ke atas gembalaannya (orang bawahannya)…”

🔵Tanggungjawab mengurus dan mendidik.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan