SOALAN
Adakah adab apabila belajar dengan guru tidak boleh banyak bertanya walaupun soalan remeh?
JAWAPAN
Kalau benar tidak faham, boleh sahaja bertanya kalau perkara penting.Para sahabat dilarang untuk bertanya, jadi yang banyak bertanya soalan remeh adalah golongan Badwi. Namun, sahabat suka kalau ada puak Badwi yang bertanya kerana mereka dapat ilmu. Selalunya kalau simpan soalan itu, teruskan belajar, soalan itu akan dapat jawapannya dengan sendiri.
Maulana Asri pernah cerita tentang seorang lelaki yang selalu tanya dalam kelas dia tetapi lama-lama sudah tidak perlu tanya. Maulana Asri tanya dia, kenapa lama tidak bertanya? Dia jawab: sebab bila dia terus pergi kelas, jawapan itu ada dalam kelas-kelas yang lain.
SOALAN 99 NAMA ALLAH SWT
1.Adakah Ya Hannan Ya Mannan ini nama-nama Allah SWT yang direka? Bolehkah berdoa mengggunakan nama-nama ini?
Adakah Ya mannan itu ada nama yang sama erti dengannya dalam 99 nama Allah SWT?
JAWAPAN
Al-hannan bukan salah satu dari nama AllahSWT. Al-mannan ya, dari hadis. Hadis yang sebut 99 asmaul husna itu tidak sahih. Bukan semua nama Allah SWT di dalamnya sahih. Ada yang cuba hendak senaraikan tetapi saya tidak tahu. Memang ada hadis sebut asmaul husna 99, namun tidak dinyatakan satu-satu nama-nama itu.
2. Adakah hadis ini sahih?
Dari Abu Huraira R.A.: Nabi saw. bersabda: “Allah itu memiliki sembilan puluh sembilan nama yang bagus. Barang siapa yang mampu menghafalnya, maka dia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil [esa] dan Dia menyukai [bilangan] yang ganjil.” – Sahih Bukhari
JAWAPAN
Ya, sahih. Lalu ada ulama yang mengumpulkan 99 nama itu, hasil dari al-Qur’an dan hadis. Jadi sebenarnya tidak sepakat 99 nama Allah SWT dalam lagu itu.
3. Maksudnya tidak sepakat yang kesemua 99 nama itu datangnya dari al-Qur’an dan hadis sahih? Contohnya Al mannan sepatutnya termasuk dalam senarai itu, tetapi tidak di masukkan?
Adakah boleh dibaca sebab anak-anak murid dari umur 4 tahun sudah mula menghafal nama-nama Allah SWT ini?
JAWAPAN
Tidak sepakat mana satu yang termasuk dalam 99 itu. Cumanya Allah SWT suruh seru namanya supaya kita berdoa dengan-Nya, bukan suruh buat lagu. Baca dan fahamkan maknanya sebab nama Allah SWT itu ialah sifat-Nya. Bukanlah maksudnya kalau kita hendak rezeki kita zikir Ya Razzaq, Ya Razzaq.Kita gunakan nama itu dalam doa kita: Ya Razzaq, berilah rezeki kepada kami.
4. Betul cara begitu. Seru doa dengan asmaa al husna. Ada seorang hamba Allah SWT, dia guna asmaa alhusna untuk tahu sifat-sifat manusia dengan cara kiraan nama. Entah macamana dia kira. Katanya rujuk kitab. Dia kenakan bayaran dan ada ramai pelanggan. Saya pernah nasihatkan dia tetapi tidak diendahkan.
JAWAPAN
Apabila sudah termasuk bomoh maka kita tidak boleh pergi.Dia guna ilmu nombor. Setiap huruf ada nombor dia. alif – 1; ba’ – 2 dan sebagainya, saya belajar juga. Sebagai contoh, kalau tengok kedai mamak, ada tulis 786 – itu adalah bismillahirrahmanirrahim. Ikut ilmu nombor itu. Jadi orang itu akan ambil nama, eja dalam tulisan arab dan ikut senarai. Sudah lupa cara macammana – rasanya dia kaitkan dengan 4 khalifah.Ilmu karut marut.
SOALAN PUASA DAN FIDYAH
1.Jika wanita haid belum ganti puasa selama 3 kali Ramadhan. Adakah kena qada, fidyah atau keduanya sekali?
Kalau sengaja tinggal puasa adakah benar tidak perlu qada atau fidyah, hanya perlu taubat?
JAWAPAN
Qadha sahaja. Soalan bahaya ni. Sebenarnya tidak ada ganti kerana dia sudah berdosa. Kalau dia puasa setahun hendak ganti satu hari dia sengaja tinggal pun, tidak diterima. Cuma, kalau kita jawab macam ni, tidak perlu qadha takut orang kata kita meringankan puasa pulak. Sebenarnya bila kita kata kena taubat walaupun belum tentu Allah SWT terima lagi.Maka kena ada rasa takut dan menyesal.
2. Sewaktu zaman remaja tinggalkan puasa, sekarang baru teringat untuk qadha puasa. Maknanya sekarang wajib qadha.
a. Betulkah pengiraan ini?
Contoh: purata 10 hari tidak berpuasa dan selama 10 tahun tidak qadha
(10 kali ramadhan x 10 hari = maknanya kena qadha 100 hari.
Dan tidak perlu fidyah.
b. Bolehkah fidyah itu kita bayar lebih dari yang ditetapkan?
JAWAPAN
Cara kiraan: 10 hari puasa tinggal, ganti 10 hari sahaja. Tiada gandaan. Ada pendapat yang mengatakan kena ganda dan ada juga yang kata kena qadha dan fidyah sekali. Namun pendapat ini tidak ada dalil. Itu yang kita tidak pakai. Kalau mahu, fidyah boleh dibayar lebih.
3. Adakah non-muslim berhak dapat agihan fidyah? Apa susunan keutamaan orang yang berhak menerima fidyah/zakat?
JAWAPAN
Syaikh Saleh Utsaimin berfatwa, kena beri fidyah kepada Muslim juga. Kalau duduk negara kafir, kena cari Muslim yang memerlukan. Kalau tidak ada juga, salurkan ke negara lain yang ada orang miskin yang memerlukan. Kalau sedekah, boleh sahaja beri kepada non muslim.
4. Adakah dalil tidak bayar fidyah keluar negara sebab tiada Muslim yang susah dalam negeri yang duduki?
JAWAPAN
Dalil tiada. Fatwa ulama berdasarkan kepada keadaan semasa.
Bukan semua jawapan agama ada dalam mantuq. Selalunya mafhum. Mantuq adalah jelas (cth: kena bagi fidyah kepada orang Islam sahaja).
5. Semasa sahur, tiba-tiba azan, bolehkah semasa kedengaran azan kita minum air seteguk dua sebab hendak berhenti terus rasa tidak selesa perut.
JAWAPAN
Zaman Nabi, azan Subuh ada dua, sekali bilal azan, hendak gerakkan dan sekali lagi azan Ibnu Abi Maktum – sudah masuk waktu. Boleh makan dan minum sehinggalah azan Ibnu Abi Maktum.
‘Aisyah ra bahwasanya Rasulullah saw bersabda,
إِنَّ بِلالا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
“Sungguh Bilal mengumandangkan adzan di malam hari. Tetaplah kalian makan dan minum sampai Ibnu Ummi Maktum mengumandangkan adzan.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Fiqh hadith:
Ada hadis khusus Nabi benarkan makan yang di tangan.
Diriwayatkan Abu Daud (hadits no. 2350) dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu; dia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمْ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
‘Jika seseorang di antara kalian telah mendengar panggilan (adzan, pen.) sedangkan bejana masih di genggaman tangannya maka janganlah dia letakkan bejana itu sampai dia menyelesaikan keperluannya.’
“Al-Albani berkomentar dalam Shahih Abu Daud, “Sanadnya hasan shahih. Al-Hakim, Adz-Dzahabi, dan ‘Abdul Haq Al-Isybili menilainya shahih. Ibnu Hazm menjadikan hadits ini sebagai dalil.”
6. Hadith dari Abu hurairah ini, ada sebahagian ulamak mendhaifkannye kan? Jadi ia khilaf, saya pegang tidak makan dan minum untuk lebih selamat.
JAWAPAN
Yer, memang lebih selamat kalau dengar azan sahaja terus berhenti. Namun kalau terbangun lambat, bolehlah hendak pakai qaul ini cuma jangan selalu diamalkan.
SOALAN SOLAT
1.Apakah betul tidak ada lafadz ushalli dalam niat solat?
JAWAPAN
Ini memang masalah besar di negara kita kerana mengambil fahaman mazhab Syafie yang salah. Ini adalah kerana mereka salah faham maksud ‘niat beserta dengan takbir’. Jadi banyaklah yang keliru tentang perkara ini sampai jadi masalah was-was ‘tak masuk’ niat. Ini adalah gangguan syaitan. Banyak orang buat kesalahan tentang perkara ini.
Sebenarnya takbiratul ihram itu sekali sahaja, dan tidak perlu susun niat dalam kepala waktu itu (sahaja aku solat zuhur …… ). Ini tidak perlu. Niat ni adalah lintasan hati, keazaman hendak buat. Bila lafaz, ia bukan niat. Ringkasnya, memang tidak ada lafaz usolli itu.
2. Adakah kena solat jika pecah ketuban?
Jika air ketuban keluar sedikit-sedikit dan tidak berhenti, adakah perlu cuci dan solat seperti biasa?
JAWAPAN
1. Air ketuban bukan nifas, maka boleh solat lagi.
2. Air ketuban adalah dikira najis. Maka kena dicuci dahulu.
3. Dikira keluar macam air kencing. Kalau ada wudhu maka batal wudhu. Kena ambil wudhu balik sebelum solat.Basuh dan pakai pad.
3. Jika sudah masuk waktu solat, mana yang perlu diikuti, azan yang berkumandang di handphone atau azan yang berdekatan dengan rumah? Maksudnya azan dekat handphone lebih awal masanya daripada azan ditempat sendiri. Solat bagi wanita yang kena awal ke tempat kerja seperti saya biasanya subuh jam azan dekat handphone 6.00 pagi tetapi azan di rumah masuk 6.03 pagi.
JAWAPAN
Untuk lebih selamat, pakai azan yang terkemudian. Sekarang ada dua masa. Satu yamg awal dan satu yang lewat sikit sahaja. Waktu yang awal itu, ada kemungkinan sudah masuk, tetapi untuk keluar dari khilaf, ambillah masa yang lewat sikit, memang pasti sudah masuk.
4. Betulkah bila tutup sliding door ruang solat utama menyebabkan jemaah yang solat diruang solat luar ‘putus saf’?
Boleh terangkan beserta dalil yang digunapakai. Tujuan sliding door ditutup kerana ON aircond ketika khutbah dan solat jumaat.
JAWAPAN
Tidak, bahkan semua pemisah, sungai, longkang, dinding batu, sliding door, asalkan makmum dapat mendengar suara imam oleh tukang jerit. Jika anda solat di Masjidil Haram dan Nabawi, ada yang solat di atas bumbung, ada yang solat di pekarangan masjid tetapi masih mendengar suara tukang jerit dengan jelas.
Di kelantan ada solat Jumaat tetapi dibahagi dengan jalan. Di Mekah, ada solat imam Baitullah tetapi mereka solat di surau hotel yang nampak ke masjid. Allahu a’lam
Dalilnya, Asma’ binti Abi Bakr pernah mengatakan,
أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – حِينَ خَسَفَتِ الشَّمْسُ ، فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ ، وَإِذَا هِىَ قَائِمَةٌ تُصَلِّى
“Aku pernah mendatangi ‘Aisyah -istri Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam-. Ketika terjadi gerhana matahari, para sahabat melaksanakan shalat, dan ‘Aisyah pun demikian.”
(HR. Bukhari no. 184). ‘Aisyah ketika itu melaksanakan shalat di rumahnya mengikuti shalat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Mazhab syafie juga pegang begitu. Jika imam shalat di dalam masjid dan makmum di luar masjid namun masih dekat, maka dibolehkan selama ia mengetahui shalatnya imam dan tidak ada pembatas di sana. (Mukhtashor Abi Syuja’, hal. 73).
Mengetahui shalat imam bisa jadi dengan mendengar suaranya, melihatnya, atau mendengar melalui pengeras suara, atau melihat sebagian shaf. Penulis Fathul Qorib katakan bahwa dengan melihat imam atau melihat sebahagian shaf.
5. Antara makmum lelaki dan wanita diletak tirai / hijab. Kadang-kadang makmum ‘lost’ (mungkin mic tidak berfungsi) Sampai ada yang selak tirai hendak tengok jemaah lelaki sudah rukuk atau sujud. Bagaimana keadaan ini?
JAWAPAN
Saya tidak tahu keadaan orang wanita. Patutnya kalau keadaan begitu, kena ada mukabbir (tukang jerit). Kalau kita tengok video solat kat Mekah contohnya, Imam takbir intiqal perlahan sahaja, tetapi ada ‘echo’ kan? Itulah mukabbir tu.
SOALAN TENTANG IJMAK DAN QIYAS
1. Dalam bab sumber hukum syarie dan dalil yang disepakati adalah al-Quran, hadith, ijma’ dan qiyas.
Apakah perkara yang boleh dalam agama yang boleh di gunapakai dalam qiyas?
Apakah dalam bab furu’ aqidah, qiyas masih juga boleh diguna pakai dalam menentukan sesuatu hukum.
JAWAPAN
Ijmak dan qiyas memang ada dalam Islam tetapi kena faham apakah maksudnya, dan bagaimana aplikasi dia.
a. Ijmak
Seluruh ulama yang layak buat ijtihad bersetuju atas sesuatu keputusan itu.
Persoalan: Bagaimana hendak mencari semua ulama agar setuju satu dunia ni? Ada persatuan ulama mujtahid ke? Yang duduk berbincang dan kemudian bersetuju atas sesuatu perkara itu? Memang boleh dikatakan hampir mustahil. Kalau ustaz satu kampung pun susah hendak bersetuju satu-satu perkara, apatah lagi kalau satu dunia. Ada masalah hendak kumpulkan mereka juga. Sebab itu, ijma hanya diterima zaman sahabat sahaja sebab waktu itu mereka boleh duduk bersama. Ini pendapat Imam Ahmad.
Contoh ijmak sahabat pada zaman Saidina Umar, iaitu apabila sahabat bersetuju bahawa kalau berjimak, walaupun tanpa keluar air mani, kena mandi junub juga. Kita terima ijmak itu kerana itu adalah salah satu sumber hukum kita. Tidak ada isu kita menolak ijmak ulama’.
Namun, selepas itu, tidak ada ijma lagi, sebab para sahabat pun sudah merata keluar tidak boleh duduk berbincang dan mencapai kata putus sekali. Zaman itu pun sudah susah, apatah lagi zaman sekarang? Oleh itu, walaupun kita kata ijmak boleh diterima, tetapi bolehkan dilakukan ijma’ itu lagi?
b. Qiyas
Menggunakan hukum yang telah sah, diaplikasikan kepada keadaan yang tidak ada pada zaman dulu kepada zaman sekarang.
Sebagai contoh, dadah tidak ada zaman Nabi, maka kena guna qiyas untuk mengetahui hukumnya. Cara untuk aplikasi adalah dengan tengok ilat yang sama antara keduanya.
Tetapi perlulah kita ingat bahawa Qiyas ini hanya boleh dipakai pada perkara ‘adat’ sahaja, bukan pada perkara ibadat. Ini kerana tidak ada qiyas dalam perkara ibadat. Imam Shafie sendiri ada kata: la qiyasa fil ibadah (tidak ada qiyas dalam perkara ibadat.
Lagi satu, yang boleh buat qiyas pun kenalah ulama yang boleh buat ijtihad.. bukan ‘ustaz’ biasa yang buat. Kena ada ‘ilmu alat’.. sebagai contoh, Ustaz Basit (Abu Anas Madani), ada ilmu alat untuk buat qiyas. Secara ringkasnya, qiyas memang diperlukan pada zaman sekarang sebab banyak perkara dunia yang berlainan dengan zaman Nabi dan sahabat. Namun, bukanlah dalam bentuk ibadat. Jadi, kalau ada yang reka cara zikir menari kerana pakai qiyas Jaafar bin Abi Talib melompat, itu adalah cara qiyas yang amat jelek.
2. Dalam bab qiyas, saya melihat ada segelintir ulama’ yang membenarkan hal tertentu dalam agama yang bertentangan dalam al Quran dan sunnah.
Contoh: Nabi Muhammad SAW meletakkan pelepah kurma pada mayat yang di seksa di dalam kubur untuk meringankan seksaan mayat tersebut. Masyarakat umum pula melihat hal ini bagus dan melakukan hal yang sama kepada jenazah yang dikebumikan.
Jadi apakah sebenarnya qiyas ini masih boleh di guna pakai dalam bab ibadat? Apakah syaratnya jika ada?
JAWAPAN
Tentang pelepah. Memang ada hadis. Hadis ini adalah sahih tetapi adakah sahabat ikut apa yang Nabi buat itu? Tidak, bukan? Ini kerana mereka tahu yang perbuatan itu adalah khusus untuk Nabi SAW sahaja. Hanya baginda SAW yang dinampakkan seksaan mereka dalam kubur dan baginda SAW pun nampak waktu itu sahaja. Kejadian ini tidaklah setiap kali baginda lalu, baginda akan nampak apa yang terjadi dalam kubur, pula.
Jadi, begitulah pemahaman kita dengan hadis. Kalau hadis itu sahih, tidak semestinya ianya untuk kita ikuti. Sesuatu hadis itu tidak semestinya ‘sunnah’. Sunnah bermaksud sesuatu yang kita patut ikut. Kena tengok apakah yang dilakukan oleh para sahabat dan bagaimana mereka faham kerana mereka lebih faham dengan kita. Malangnya, ada orang sekarang yang baca hadis ini dan kata ia sunnah. Banyak salah faham dengan hadis ini.
3. Dalam hal hadith dhaif juga di terangkan 4 syarat utama sebelum beramal dengan hadith tersebut. Jadi saya keliru dalam bab qiyas ini. Apakah ada syarat tertentu dalam penentuan sesuatu hukum yang menggunakan qiyas ini.
JAWAPAN
Beramal dengan hadis dhaif. Ada ulama terima (dan ada yang tidak terima). Malah yang terima ada letak syarat.
1. Hanya dalam fadhail amal. Kelebihan amalan.
2. Kena ada dalil sah pada amalan itu.
3. Hadis itu tidak dhaif sangat (dhaif jiddan)
4. Tidak boleh iktikad yang ia pasti dari Nabi.
Ini kerana hadis dhaif belum tentu dari Nabi dan bila sampai pada orang, kena cakap ianya adalah dhaif.
Contoh biasa ramai tahu…tentang solat 40 waktu di Tanah Haram. Hadis fadhail amal tentang nya adalah dhaif. Namun, ulama pakai kerana memang solat berjemaah ada pun dalam Islam. Jadi ia cuma sebagai motivasi untuk kita lakukan.
4. Kesimpulannya qiyas dan ijmak adalah untuk perkara dunia dan bagi perkara ibadat perlu ikut Quran dan sunnah sahaja.
JAWAPAN
Ya. Perkara ibadat sudah lengkap Nabi sampaikan.
5. Hal qiyas ini memang ramai yang keliru hingga sesetengah ustadz mengambil pandangan yang lemah ini dalam menentukan hukum seperti ruqyah dalam mandian dan makanan sunnah. Mereka menggunakan qiyas untuk membenarkan sesuatu perkara.
Ternyata kita harus fahami betul-betul maksud hadith sebelum beramal dengannya. Kerana tidak semua perkara dikatakan sunnah walau benar pernah dilakukan oleh Nabi..
JAWAPAN
Ya, sahih tidak semestinya sahih (boleh digunakan dalam keadaan /isu tertentu)
SOALAN PERHIASAN WANITA
Mengenai pemakaian komestik kanta lekap (yang pelbagai warna) untuk kecantikan. Bukan untuk mengatasi masalah rabun mata. Adakah ini dibenarkan oleh syarak atau ada sebarang larangan ke atasnya?
JAWAPAN
Apa sahaja perbuatan semata-mata bertujuan kecantikkan yang mampu menarik perhatian ajnabi dikira tabarruj. Ini sudah termasuk ubah kejadian yang Allah SWT telah jadikan. Seolah tidak suka dengan warna mata yang Allah SWT telah jadikan. Kalau hendak pakai contact lens sebab rabun, pakai yang normal sahaja lah.
Mencantikkan dan berhias diri sudah jatuh tabarruj kemudian merubahkan lagi kejadian asal tanpa sebab dari sudut kesihatan.
Dalil Aq Al-Ahzab 33:33 , Aq An-Nisa’ 4:119
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”. (Surah al-Nisa’:119)
Abdullah bin Mas‘ud berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.
SOALAN MENGENAI PEMIMPIN
1. Adakah jatuh syirik jika kita terima hukum-hukum manusia baik juga setara dengan hukum-hukum Allah SWT?
Bagaimana hendak atasi macam hukum orang berkhalwat iaitu pasangan bukan mahram berzina, mereka cuma didenda saja dan terlepas begitu saja. Bukankah ini juga menyalahi hukum Allah SWT?
JAWAPAN
Syirik. Hukum berzina ada dalam Quran tetapi hukum khalwat tidak ada. Itu termasuk dalam ta’zir yang pemimpin boleh buat hukum sendiri.
2. Bagaimana pula hukum mencuri?
JAWAPAN
Apabila pemimpin tidak menjalankan hukum hudud, ada beberapa sebab:
1. Kalau dia sangka hukum Allah SWT tidak bernilai dan hukum manusia lebih baik, ini syirik.
2. Kalau dia terima hukum Allah SWT itu baik, tetapi dia tidak mampu melakukannya, ini fasik. Ada dalam Surah Maidah tentang perkara ini.
3. Bolehkah kita engkari pemerintahan yang bersikap begini? Sedangkan ada dalil sahih taat kepada pemerintah?
JAWAPAN
Tidak boleh kerana kita kena taat kepada pemerintah.
Pemimpin kena jawab lah depan Allah SWT kenapa dia tidak jalankan hukum Allah SWT. Kita ambil pendekatan, didik masyarakat supaya faham agama. Maka masyarakat akan naikkan pemimpin yang faham agama juga. Sekarang masyarakat tidak faham agama. Maka mereka naikkan pemimpin yang macam mereka jugalah.
4. Ada hadith berkaitan ini ustaz?
JAWAPAN
Saya tidak pasti tetapi begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Di madinah baru ada syariat. Masyarakat sudah faham dan terima maka baru boleh dijalankan syariat Allah SWT.
5. Maksudnya, selagi masyarakat tidak faham Islam sebenar, maka syariat islam tidak boleh tertegak sepenuhnye?
JAWAPAN
Bukanlah semua kena faham. Semasa di Madinah pun, bukan semua faham kerana ada munafik tetapi kena ramai lagilah yang faham. Supaya ada yang dapat naik ke kedudukan pemimpin supaya dapat tegakkan syariat Allah SWT. Buat masa ini, kita amalkan mana yang boleh kita amalkan. Bab kepemimpinan, belum boleh lagi.