Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Kenapa Kita Perlu Bermazhab?

Kenapa Kita Perlu Bermazhab?

430
0
Iklan

KENAPA KITA PERLU BERMAZHAB?

1.  Kita perlu bersyukur kerana hidup sebagai Muslim. Namun, untuk menjadi Muslim yang terbaik tidak cukup hanya membaca sendiri al-Quran dan hadis serta memahaminya dengan akal fikiran sendiri semata-mata, tanpa ada sebarang disiplin, kaedah atau garis panduan yang muktabar serta guru mursyid yang boleh memberi tunjuk ajar.

Bukan sedikit Muslim yang telah tergelincir dalam usaha memahami ilmu agamanya dek kerana mainan akal, hawa nafsu serta tipu daya Iblis dan syaitan. Ini kerana mereka cuba memahaminya tanpa sebarang disiplin dan kaedah yang muktabar serta guru yang mursyid.

2.  Selain teks al-Quran dan hadis yang bersifat jelas dan tetap maknanya, ada teks al-Quran dan hadis yang bersifat samar dan makna berlapis. Justeru, ia memerlukan kaedah yang terbaik untuk memahaminya.

Memilih yang terbaik tentu bukan suatu kerja yang mudah. Bagi mendapatkan kefahaman yang terbaik, tugas sukar ini telah dipikul oleh imam-imam mujtahid di kalangan para Salaf dahulu. Mereka telah mengusahakannya dengan kesungguhan dan kemampuan ilmu yang tiada tolok bandingnya pada zaman sekarang, selain mempunyai sifat soleh, warak, kuat beribadah, taqwa dan zuhud yang cukup tinggi. Pada hari ini, kita sebenarnya hanya mewarisi dan menikmati hasil usaha daripada mereka sahaja.

3.  Bagaimanapun, hasil usaha (ijtihad) yang digemblengkan oleh mereka itu tidak keseluruhannya sama dan mempunyai berbagai variasi, yang kita kenalinya sebagai ‘mazhab’. Namun, perselisihan antara mereka berjalan dengan penuh adab dan harmoni di atas dasar: “Pandangan kami benar, namun boleh jadi salah. Pandangan yang lain salah, namun boleh jadi benar”. Ia juga berdasarkan konsep; yang benar mendapat dua pahala dan yang salah tetap mendapat satu pahala.

4.  Terdapat sejumlah tokoh mujtahid Salaf yang masyhur dan terkenal, antara mereka ialah:

a. Imam Sufyan bin ‘Uyainah (198) di Makkah

b. Imam Sa‘id bin al-Musayyib (94) di Madinah

c. Imam Malik bin Anas (179) di Madinah

d. Imam as-Syafi’i (204) di Mesir

e. Imam al-Laith bin Sa’ad (175) di Mesir

f. Imam al-Hasan al-Basri (110) di Basrah

g. Imam Sufyan at-Thauri (161) di Kufah

h. Imam Abu Hanifah (150) di Kufah

i.  Imam Ibn Abi Laila (148) di Kufah

j. Imam Syuraik al-Qadhi (177) di Kufah

k. Imam Ibn Syubrumah (144) di Kufah

l.  Imam Ahmad bin Hanbal (241) di Baghdad

m. Imam Abu Thaur (240) di Baghdad

n. Imam Dawud az-Zahiri (270) di Baghdad

o. Imam Ibnu Jarir at-Tabari (310) di Baghdad

p. Imam Ishaq bin Rahawaih (238) di Naisabur

q. Imam al-Auza’i (157) di Syam.

r. Imam Ibn al-Mubarak (181) di Khurasan.

5.  Boleh dikatakan selepas kurun ketiga hijrah, hampir semua para ulama yang datang kemudian hanya bermazhab dengan mazhab imam-imam mujtahid tersebut. Ini kerana kemampuan yang makin berkurangan di kalangan para ahli ilmu, selain kejelasan usul mazhab yang telah disusun oleh imam-imam tersebut, serta faktor-faktor lainnya.

6.  Bermazhab bermaksud memilih keputusan dan kefahaman terbaik dalam isu-isu atau hukum-hukum furu‘ (cabang) berdasarkan dalil-dalilnya yang berbentuk zanni, terutama al-Quran dan sunnah, serta melalui kaedah-kaedah pendalilan yang terbaik menurut pandangan ijtihad mereka. Jika bukan kerana tujuan ini, maka tidak ada maknanya bermazhab. Hukum-hakam yang sudah jelas dan berbentuk qat’i tidak termasuk dalam persoalan bermazhab, seperti hukum berwuduk, bilangan waktu solat, bilangan rakaat solat, wajib bertaubat, haram mencuri dan seumpamanya.

7.  Dengan bermazhab menatijahkan pilihan terbaik menurut pandangan ijtihad masing-masing dalam memahami ajaran syariat Islam, di dalam rangka beribadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan cara hidup beragama yang mampu meraih keredhaan-Nya di dunia mahu pun di akhirat.

Mazhab pada hakikatnya adalah hasil penelitian secara mendalam yang dilakukan oleh para imam mujtahid untuk mengetahui kehendak sebenar dan batasan syarak yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis. Ringkasnya, bermazhab adalah memilih kefahaman terbaik yang selari dengan tuntutan al-Quran dan hadis, selain memelihara diri umat Islam agar tidak terkeluar daripada lingkungan syarak.

8.  Namun, kebanyakan mazhab yang disebut tadi telah pun pupus kerana tidak dipelihara, ditahkik dan dibukukan oleh pengikut-pengikut mereka kecuali 4 mazhab sahaja, iaitu mazhab Imam Abu Hanifah (Hanafi), mazhab Imam Malik bin Anas (Maliki), mazhab Imam as-Syafi’i (Syafi’i) dan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali). Hanya empat mazhab ini yang diwarisi secara bersanad, dikemaskini, dibuat redaksi, diperinci, ditahkik dan diberi khidmat oleh para alim ulama.

Adapun yang lainnya tidak sedemikian, meskipun pandangan-pandangan mereka ada direkodkan di mana-mana, namun ia tidaklah lengkap, terputus sanad, ada kemungkinan mereka menarik balik pandangan dan ada kalanya tidak diketahui wajah-wajah pendalilannya. Faktor-faktor sebegini menjadikan ia kurang dapat dipercayai dan diyakini, berbeza dengan 4 mazhab tadi.

9.  Oleh kerana dalam soal beragama perlu kepada pandangan yang jiwa kita berasa berpuas hati, yakin dan tenang menerimanya, maka ciri-ciri ini secara umum wujud pada keempat-empat mazhab muktabar tersebut, yang cukup teliti dan lengkap metodologinya dengan usul, kaedah istinbat dan susunan hukum fiqh yang sistematik berdasarkan inti pati al-Quran dan sunnah.

Hal ini menjadikan hukum-hakam daripada empat mazhab ini dapat dipertanggungjawab secara ilmiah. Kerana itu, ia kekal, bersambung turun temurun setiap generasi dan berkembang sehingga kini.

10.  Pada zaman ini, mereka yang anti-mazhab, atau tidak mahu bermazhab dengan keempat-empat mazhab ini dengan dakwaan mahu terus merujuk kepada al-Quran dan sunnah sebenarnya turut ‘bermazhab’ juga tanpa sedar. Ini kerana pandangan-pandangan yang dipilih dan didakwa sebagai kuat oleh mereka sebenarnya adalah kefahaman campuran yang datang daripada salah satu mazhab yang empat itu jua.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan