Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-19 dan Ke-20

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-19 dan Ke-20

629
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat Ke-19

Sambungan dari kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun. Ini adalah dakwah Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun. Ia juga adalah peringatan kepada kita. Sebelum ini telah disebut tentang zalim kepada manusia, sekarang ayat ini tentang zalim kepada Allah ﷻ pula. Inilah zalim yang paling besar sekali.

وَأَن لّا تَعلوا عَلَى اللهِ ۖ إِنّي ءآتيكُم بِسُلطٰنٍ مُّبينٍ

Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah; sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

وَأَن لَّا تَعْلُوا عَلَى اللهِ

Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah;

Ini adalah dakwah Nabi Musa عليه السلام kepada bangsa Qibti. Nabi Musa عليه السلام bukan hanya diutuskan untuk Bani Israel sahaja tetapi baginda عليه السلام juga diutuskan kepada bangsa Qibti. Kalimah تَعْلُوا bermaksud ‘rasa tinggi dari orang lain’.

Nabi Musa عليه السلام mengingatkan Firaun dan kita semua supaya jangan melebihkan diri dari Allah ﷻ dan hendak tinggi diri dari Allah ﷻ. Maksudnya hendaklah rendahkan diri di hadapan Allah ﷻ. Jangan sombong untuk mentauhidkan Allah ﷻ kalau tidak, kita telah berlaku zalim kepada Allah ﷻ.

Itulah yang selayaknya untuk diri kita kerana tidak ada apa-apa untuk dibanggakan dan rasa diri itu lebih. Firaun merasakan dirinya terlalu tinggi. Dia sangka dengan kuasanya di bumi Mesir, dia boleh buat apa-apa sahaja yang dia hendak.

Oleh itu dia tidak mahu tunduk kepada ajakan tauhid Nabi Musa عليه السلام. Maka Nabi Musa عليه السلام mengingatkan Firaun yang dia bukannya menolak baginda, tetapi menolak Allah ﷻ sebenarnya.

Bagaimana pula dengan diri kita dan masyarakat? Ada antara masyarakat kita apabila diberikan dalil dengan ayat-ayat Al-Quran, mereka tidak mahu menerima dalil yang diberikan.

Mereka tidak mahu tunduk dengan arahan yang Allah ﷻ telah keluarkan dalam Al-Quran. Mereka yang tidak ikut suruhan Allah ﷻ dan Nabi, kerana mereka rasa lebih tinggi dari Al-Quran, lebih tinggi dari Allah ﷻ . Mereka rasa pendapat dan akal mereka lebih bagus.

Begitulah yang banyak terjadi dalam kalangan kita. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi, ramai yang tidak terima. Mereka hendak juga menggunakan pendapat akal mereka, kata-kata guru dan kitab-kitab selain Al-Quran.

Sikap begini seolah-olah mereka lebih tahu dari Nabi dan Allah ﷻ atau mereka rasa pendapat guru mereka lebih baik dari ayat-ayat Al-Quran. Masha Allah!

إِنِّي ءآتِيكُم بِسُلْطٰنٍ مُّبِينٍ

sesungguhnya aku datang membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

Nabi Musa عليه السلام bukan datang dengan tangan kosong tetapi dengan membawa mukjizat iaitu bukti yang baginda adalah seorang Nabi. Buktinya adalah dengan mukjizat yang diberikan kepada baginda عليه السلام . Mukjizat yang ditunjukkan oleh para Nabi adalah yang sesuai dengan zaman mereka.

Zaman Nabi Musa عليه السلام , umatnya banyak amal sihir dan mereka hormat dan pandang tinggi kepada ahli sihir. Zaman Nabi Muhammad ﷺ, pula mukjizat dalam bentuk bahasa yang hebat iaitu Al-Quran.

Mukjizat Nabi Musa عليه السلام yang ditunjukkan itu ada dua:

  1. Tongkat baginda عليه السلام yang bertukar menjadi ular.
  2. Tangan baginda عليه السلام bercahaya selepas meletakkannya di celah ketiak.

Bukan itu sahaja mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda عليه السلام. Ada lagi mukjizat-mukjizat lain yang semakin lama semakin besar seperti yang disebut dalam surah ini [ Zukhruf: 48 ]:

وَما نُريهِم مِن آيَةٍ إِلّا هِيَ أَكبَرُ مِن أُختِها

Dan tidaklah Kami perlihatkan kepada mereka sesuatu mukjizat kecuali mukjizat itu lebih besar dari mukjizat-mukjizat yang sebelumnya.

Maka, sepanjang Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada Firaun dan bangsa Qibti di Mesir itu, ada banyak mukjizat yang telah ditunjukkan kepada mereka. Kita tidak ada mukjizat, tetapi kita ada Al-Quran sebagai hujah kita. Ia adalah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ dan merupakan mukjizat terakhir yang akan kekal sampai ke Hari Kiamat.

Itulah dalil yang amat jelas sekali kepada mereka yang mahu membuka hati kepada kebenaran. Ini dinamakan Mukjizah Khaalidah – berkekalan sampai bila-bila. Mukjizat para Nabi lain, orang yang nampak sahaja yang tahu. Kita tidak nampak bagaimana tangan Nabi Musa عليه السلام bercahaya dan tongkatnya menjadi ular, bukan?

📍Namun, Al-Quran ini sampai bila-bila boleh nampak dan boleh baca hari-hari. Maka, amat sedih bila ramai dari antara kita yang tidak menghargainya.

Sedangkan mukjizat yang ada di dalam Al-Quran ini adalah jelas. Ia hanya tidak jelas kepada mereka yang tidak mahu belajar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.

Tafsir Ayat Ke-20

Ada idmaj sebelum ayat ini. Idmaj adalah kisah yang panjang diceritakan dalam surah-surah yang lain. Hanya yang tidak disebut adalah bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah lama berdakwah kepada kaumnya itu.

Sekarang terus masuk kepada kisah bagaimana mereka telah membuat keputusan untuk menyakiti baginda عليه السلام. Mereka marah sangat sampai mereka mengancam hendak sakiti dan hendak merejam baginda عليه السلام. Inilah kata-kata Nabi Musa عليه السلام kepada mereka apabila mereka mengancam hendak menyakitinya.

وَإِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم أَن تَرجُمونِ

Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku.

وَإِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي

Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku

Sebaik-baik pelindung adalah Allah ﷻ. Oleh itu, kita hendaklah meminta perlindungan kepada Allah ﷻ dan percaya bahawa Allah ﷻ akan melindungi kita. Senjata yang paling hebat bagi penyeru tauhid yang taat kepada Allah ﷻ adalah doa. Jangan kita pandang rendah kuasa doa ini.

وَرَبِّكُمْ

dan Tuhan kamu,

Tuhan Nabi Musa عليه السلام bukan Tuhannya sahaja, tetapi Tuhan kepada Firaun dan kaumnya juga. Walaupun mereka tidak mengaku Allah ﷻ itu Tuhan mereka, Allah ﷻ tetap Tuhan mereka.

أَن تَرْجُمُونِ

daripada kamu merejam daku.

Dari sini kita tahu yang Firaun mengancam hendak ‘merejam’ Nabi Musa عليه السلام. Apa yang Nabi Musa عليه السلام lakukan adalah mengatakan yang baginda berlindung kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ pelindung kita.

Kalau Allah ﷻ tidak izinkan sesiapa untuk mencederakan kita, tidak ada sesiapa yang boleh buat perkara tidak elok kepada kita. Inilah yang dinamakan tawakal. Allah ﷻ hendak mengajar kita untuk berdoa dan berserah diri kepada Allah ﷻ .

Kalau kita berdoa itu menunjukkan kita rapat dengan Allah ﷻ dan sentiasa mengharap dengan Allah ﷻ. Jangan kita jadikan doa sebagai jalan yang terakhir. Setelah sudah habis ikhtiar lain dilakukan baru hendak mencari Allah ﷻ , maknanya kita tidak kenal Allah ﷻ serta tidak bersungguh-sungguh berharap kepada Allah ﷻ.

Nota:

Ada juga pendapat yang mengatakan rejam itu adalah dengan kata-kata yang menghina dan mencaci maki. Ibnu Abbas عليه السلام mengatakan, demikian pula Abu Saleh, bahawa yang dimaksudkan dengan rejam ialah rejam dengan lisan alias mencaci maki.

Maka kalau pendapat ini dipakai, makna ayat ini ialah: ‘aku berlindung kepada Allah ﷻ yang telah menciptakan diriku dan diri kalian agar jangan sampai kalian menyentuhku dengan perbuatan atau ucapan yang buruk.’

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 19-20)

📍Adakah hadith termasuk juga mukjizat?

🔵Tidak.

📍 Al-Quran juga akan jadi hujah (pembela) kita di akhirat nanti. Bermakna meninggalkan Al-Quran adalah satu bentuk kerugian dan kezaliman pada diri kita sendiri, benarkan ustaz?

🔵Ya

📍Apa maksud Al-Quran akan menjadi kawan kita di dalam kubur?

🔵Ada teman atau kawan dalam kubur jadi tidak akan sunyi sangat yang akan jadi sesuatu yang boleh teman kita. Benda ghaib ini tidak boleh hendak dijelaskan lagi. Tunggu masuk kubur.

📍Mukjizat Nabi ini hanya berlaku sekali sahaja kan?

🔵Tongkat beberapa kali jadi ular, belah laut dan keluarkan air dari batu tetapi setiap kali dengan kehendak Allah ﷻ.

📍Jika ikut makna ayat tu, “jangan sampai kalian menyentuh ku dengan perbuatan atau ucapan buruk” ini termasuk memperkatakan ahli keluarga Rasulullah ﷺ juga?

🔵Ini teguran kepada musyrikin Mekah juga.

📍 Firaun ada caci maki Nabi dan menyakiti Nabi Musa? Berapa lama Nabi Musa عليه السلام berdakwah?

🔵Ya dia pernah hina Nabi Musa عليه السلام. Dakwah baginda bertahun tetapi berapa tahun tidak tahu.

📍Saya baru faham di sebalik ayat ini ada kisah-kisah panjang Nabi Allah Musa عليه السلام Pada waktu ini, adakah ramai orang-orang Israel ikut dakwah baginda dan beriman kepada Allah ﷻ?

🔵Ada yang beriman dan ada yang munafik.

📍Allah ﷻ dan Allah SWT. Boleh bagi pencerahan maksudnya?

🔵Makna :

Jalla Jalaaluhu : Maha Agung Keagungan-Nya

SWT : Subhanallahu wa Ta’ala: Maha Suci dan Maha Tinggi

📍Adakah hubungan di antara Bani Israel dengan negara Israel yang sekarang menjajah Palestin?

🔵Ada sedikit hubungan.

📍Nabi Muhammad ﷺ pernah berhijrah dari Mekah ke Madinah. Apakah Nabi Musa عليه السلام pernah juga hijrah?

🔵Peristiwa menyeberangi laut itu adalah hijrah.

📍Maksudnya, untuk jadikan Al-Quran teman hendaklah dengan membaca, mempelajari maksudnya dan mengamalkan. Jika hanya setakat membaca sahaja seperti kebiasaan orang-orang lakukan, adakah juga akan dapat jadi teman di dalam kubur?

🔵Tidak dapat, malahan lagi kena marah dengan Al-Quran disebabkan hanya baca tetapi tidak tahu amalkan.

📍Bagi orang yang baru mula hendak belajar Al-Quran, apakah yang patut dimulakan dahulu? Adakah perlu belajar mengaji / membaca al-Quran dahulu atau terus boleh belajar tafsir dan tadabbur?

🔵Tafsir.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan