Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Surah Ke-13 dan Ke-14

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Surah Ke-13 dan Ke-14

317
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat Ke-13

Allah SWT memberitahu bahawa mereka yang musyrik itu tidak akan beriman juga walaupun azab itu diangkat dari mereka. Ini kerana mereka meletakkan tauhid nombor 2 selepas keduniaan mereka.

أَنّىٰ لَهُمُ الذِّكرىٰ وَقَد جاءَهُم رَسولٌ مُّبينٌ

Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!

أَنَّىٰ لَهُمُ الذِّكْرَىٰ

Bagaimana mereka dapat beringat?

Bagaimanakah mereka dapat beriman kalau mereka meletak syarat untuk beriman? Kalimah أَنَّىٰ bermaksud sesuatu yang tidak akan berlaku. Maknanya Allah SWT hendak kata yang mereka tidak akan beriman.

Mereka kata, kalau Allah SWT hilangkan bala, baru hendak beriman. Sepatutnya mereka terus beriman, tidak tunggu diangkat azab kerana sikap sebegitu tidak akan menjadikan mereka beriman. Oleh itu, tidaklah mereka akan mendapat peringatan dari Al-Quran itu sebenarnya.

Tidak ada gunanya janji mereka hendak beriman. Memang begitulah sikap manusia setelah kena bala dan musibah, baru menyesal dengan kesalahan mereka. Kemudian mereka akan berdoa banyak-banyak, mengaku hendak buat itu dan ini, serta berjanji hendak beriman.

Namun mereka bercakap begitu pada waktu itu sahaja kerana selepas itu mereka kembali balik macam dulu. Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati mereka.

Sepatutnya mereka beriman dahulu, minta ampun dari kesalahan yang mereka telah lakukan, dan selepas itu, barulah mereka minta diangkat azab itu.

وَقَدْ جَاءَهُمْ رَسُولٌ مُّبِينٌ

Padahal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan yang jelas nyata

Kalimah مُّبِينٌ dalam ayat ini membawa maksud yang Nabi Muhammad ﷺ itu jelas seorang Rasul kepada mereka. Ini kerana:

  1. Sifat baginda ﷺ yang mulia sebagai bukti bahawa baginda bukan manusia biasa.
  2. Baginda ﷺ telah menyampaikan ajaran dan bukti dalil dengan sejelas-jelasnya yang sepatutnya tidak boleh dibantah lagi.

Musyrikin Mekah masih sanggup menolak baginda ﷺ dan tidak mahu beriman, padahal Nabi Muhammad ﷺ itu memang duduk dan berdakwah bersama dengan mereka selama ini. Nabi Muhammad ﷺ telah datang untuk menyampaikan ajaran wahyu, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu terima.

Maka, kalau diangkat azab itu, mereka juga tidak akan beriman, lagipun itu yang tersembunyi di dalam hati mereka sebenarnya. Malah janji yang keluar dari mulut mereka itu bukannya ikhlas. Begitu juga kalau sekarang ini, ada yang berjanji akan beriman andai dapat itu dan ini.

Kalau dapat sekalipun mereka tetap tidak akan beriman. Situasi yang sama juga terjadi jika mereka hendak mendapatkan sesuatu projek, sanggup berjanji akan derma kepada anak yatim, orang miskin dan sebagainya. Namun setelah dapat, tiada apa yang diberikan.

Tafsir Ayat Ke-14

Apakah tindakan mereka kepada Nabi ﷺ setelah baginda menyampaikan dakwah tauhid kepada mereka?

ثُمَّ تَوَلَّوا عَنهُ وَقالوا مُعَلَّمٌ مَّجنونٌ

Sekalipun demikian, mereka berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!”

ثُمَّ تَوَلَّوْا عَنْهُ

kemudian mereka berpaling daripadanya

Mereka berpaling daripada Nabi ﷺ, tidak mahu beriman dengan baginda dan menolak ajaran yang dibawakan. Malah ramai juga yang turut menentang. Sudahlah tidak mahu terima, mereka lawan pula.

وَقَالُوا مُعَلَّمٌ مَّجْنُونٌ

dan mereka berkata: “Dia adalah seorang yang menerima ajaran, seorang yang gila”.

Mereka mengata-ngata Nabi ﷺ pula. Sudahlah mereka tidak mahu beriman, mereka mengejek dan menuduh-nuduh baginda ﷺ . Mereka tidak dapat menerima yang Nabi ﷺ diberi wahyu, jadi mereka kata yang baginda ﷺ mendapat Al-Quran itu dari orang lain.

Mereka kata tentulah ada orang yang mengajar baginda ﷺ. Kalimah مُعَلَّمٌ itu bermaksud ‘diajar’. Mereka menuduh Nabi ﷺ diajar, atau baginda ﷺ ambil dari kitab-kitab dulu, campur-campur dan jadikan Al-Quran.

Antara tuduhan mereka, Nabi ﷺ mendapat pelajaran itu dari seseorang berbangsa Roman yang berada di Mekah. Jadi, mereka kata baginda ﷺ belajar dari orang lain.

Ini adalah hujah yang karut kerana kalaulah ada yang mengajar baginda ﷺ, tentu orang itu diketahui oleh mereka yang rapat dengan baginda ﷺ seperti Khadijah, Abu Bakr, Ali dan lain-lain. Namun, mereka yang rapat dengan baginda boleh terus menerima baginda ﷺ dan tidak memberikan apa-apa alasan yang karut pun.

Kemungkinan pertama, mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu sendiri yang gila kerana pandai-pandai mengaku Nabi.

Kedua, baginda ﷺ dituduh sebagai orang yang gila kerana kelakuan, amalan dan fahaman baginda tidak sama dengan kebanyakan (majoriti) orang lain dalam masyarakat Arab Mekah.

Ketiga, kerana baginda ﷺ asyik bercakap tentang perkara yang sama sahaja bila-bila masa. Kalau bercakap sahaja tentu hendak sebut tentang tauhid dan syirik.

(Begitulah kalau orang yang sudah belajar tafsir dan faham tentang tauhid, mereka akan selalu ingatkan orang lain tentang tauhid. Oleh sebab itulah orang akan gelar mereka orang ‘gila’).

Ada orang marah begini: “kamu ni tidak habis-habis dengan Al-Quran, hadis, Al-Quran, hadis! Apa takde benda lain lagi ke?”. Itulah kata-kata orang yang jahil dan menentang agama. Kalau tidak bercakap pakai Al-Quran dan hadis, hendak cakap pakai apa lagi?

Semua kemungkinan itu ada dan boleh diterima, sebab mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ bukan gila sebenar. Mereka kenal baginda ﷺ, malah mereka beri gelaran sebagai al-Amin (yang dipercayai).

Takkan mereka hendak tiba-tiba kata baginda ﷺ gila pula? Melainkan maksud ‘gila’ itu adalah dalam bentuk kiasan sahaja. Tuduhan mereka itu mengarut dan berlawanan antara satu sama lain. Kalau seorang diajar, macam mana pula gila?

Kalau gila, macam mana dia hendak diajar? Orang gila bukan boleh diajar. Tuduhan tidak masuk akal dan kalau kita dengar juga sudah tidak kena.

Tentulah itu adalah satu tuduhan yang amat salah sekali. Mereka berkata begitu kerana tidak ada hujah lain dan mereka sendiri boleh melihat kehebatan Al-Quran. Al-Quran itu adalah dari Allah SWT dan diturunkan melalui Jibrail.

Namun kerana mereka tidak dapat terima, mereka bagi macam-macam tuduhan. Janji mereka hendak tolak juga walaupun mereka terpaksa beri alasan-alasan yang bodoh dan tidak kena.

Mereka tidak mahu terima kerana kalau terima, mereka kena tinggalkan kesalahan-kesalahan yang sedang dilakukan. Mereka sudah kena sembah Allah SWT sahaja, tidak boleh zalim dengan manusia lain dan macam-macam lagi perkara baik yang diajar dalam Al-Quran. Mereka tidak mahu tinggalkan amalan dan perbuatan zalim mereka itu.

Macam masyarakat kita juga, walaupun telah diajar dengan ayat-ayat Allah SWT, tetapi masih ramai tidak mahu terima. Macam-macam alasan mereka akan berikan antaranya, mereka akan kata tafsir yang kita sampaikan itu salah.

Padahal mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Quran. Macam mana kalau mereka sendiri tidak belajar, tetapi hendak tegur kepada mereka yang belajar?

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mereka hendak juga berpegang dengan pemahaman salah mereka tentang agama. Ini kerana amalan salah mereka itu telah lama mereka belajar dan amalkan.

Macam kalau kita telah melabur dalam sesuatu perkara, tentu amat sukar untuk kita tinggalkan pelaburan mereka itu. Jadi mereka rasa ‘rugi’ hendak tinggalkan amalan itu atau segan hendak mengaku yang mereka dulu amalkan amalan yang salah.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 13-14)

📍Adakah termasuk syirik bagi yang berjanji akan beriman andai dapat itu dan ini?

🔵Bukanlah syirik, tidak terdapat syirik dalam hal ini.

📍Sifat baginda ﷺ yang mulia sebagai bukti bahawa baginda bukan manusia biasa. Adakah kenyataan ini menyatakan Nabi dilebihkan daripada orang biasa melalui mukjizat dan turunnya Al-Quran kepada baginda ﷺ?

🔵Ini kerana baginda adalah Nabi lagi rasul, maka tentulah tidak sama dengan kita.

📍Betulkah ada pendapat menyatakan jangan percaya dengan janji orang kafir?

🔵Sekarang dengan orang Islam juga belum tentu lagi, jangan berharap dengan manusia. Kalau ada yang baik dan dipercayai, itu bonus dalam kehidupan kita.

📍Adakah perkataan mubeen dalam ayat ini sama maksud dengan Yasin 7 mubeen yang diamalkan “mereka”

🔵Mubeen bermaksud ‘jelas nyata’ jadi memang banyaklah dalam Al-Quran. Amalan yang diamalkan itu adalah bidaah dan menjadikan Al-Quran sebagai azimat sahaja. Tiada amalan mubeen 7 sebenarnya kerana itu adalah amalan rekaan.

📍Zaman sekarang jika mereka hendak pegang amalan nenek moyang tentu mereka menolak bila kita kata perbuatan itu syirik atau bid’ah?

🔵Ya benar, lihat [ Zukhruf:36 dan 37 ].

📍Benarkah terjadinya syirik bila bertawassul dengan Nabi dan ambil berkat dari benda-benda yang kononnya mereka kata dari Nabi ?

🔵Ya, itu adalah syirik dan ada banyak lah lagi. Itu sebab kena belajar tafsir 30 juzuk supaya tidak tertinggal mana-mana syirik.

📍Adakah boleh jika kita berniat kalau lulus ‘exam’ dan mendapat keputusan cemerlang, akan puasa sunat 3 hari?

🔵Kalau dia berjanji kepada Allah, itu dinamakan nazar. Kalau nazar, kena tunaikan. Selalunya orang akan kata: Ya Allah, kalau kau bagi aku lulus ‘exam’ ini, aku akan puasa tiga hari. Nazar wajib ditunaikan, tetapi ia tidak digalakkan kerana kedekut dengan Allah ﷻ sebab sudah mendapat sesuatu baru hendak buat ibadat. Ini adalah kedekut.

📍Bagaimana pula kalau katakan begini, saya banyak duit nanti, saya hendak tolong kawan-kawan yang susah dulu?

🔵Bolehlah dia hendak cakap tetapi kita yang mendengar, jangan hendak harap sangat sebab ada orang yang tunaikan, ada orang cakap sahaja.

 📍Apakah yang mereka dapat apabila mereka bertawassul pada Allah ﷻ? Adakah mereka tetap alami asap tetapi tidak merasa dalam kesusahan atau Allah ﷻ suruh mereka berhijrah juga?

🔵Mereka berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi Allah ﷻ tahu hati mereka bukan beriman.

📍Mereka katakan fahaman wahabi ini menggunakan Al-Quran dan hadis untuk benarkan pegangan mereka dan gunakan akal untuk tafsir. Saya katakan memang kena pakai Al-Quran dan hadis tetapi mereka tidak mahu menerima. Bolehkah saya berlepas tangan dengan mereka?

🔵Memanglah kena gunakan Al-Quran dan hadis sebab kalau tidak hendak pakai apa lagi? Itulah tuduhan dari orang yang tidak belajar kepada orang yang belajar. Benda yang disebut di dalam Al-Quran terjadi depan mata, kan? Tidak perlulah berlepas tangan dari mereka kerana mereka masih memerlukan dakwah lagi.

📍Bukankah sebelum ini telah datang kepada mereka agama tauhid yang dibawa Nabi Ibrahim. Sudah tentu mereka sudah tahu agama tauhid ini. Kenapa mereka masih cakap Nabi gila pula?

🔵Begitulah manusia, dulu memang ada agama, tetapi lama kelamaan akan condong ke arah kesyirikan. Oleh kerana itulah kita kena terus dakwah dan ajar tafsir Al-Quran kepada manusia. Kalau dibiarkan sahaja dan tiada diberi peringatan, manusia akan condong ke arah syirik. Macam sekarang kita lihat sudah banyak jadi begitu cuma belum sembah berhala macam musyrikin Mekah sahaja.

Golongan habib sudah letak gambar habib yang telah meninggal besar-besar dekat kubur habib itu dan siap letak bunga-bunga lagi. Golongan syiah pula sudah mula buat patung Saidina Ali, tidak lama lagi hendak jadi berhala. Kita cubalah selamatkan mana yang boleh dengan cara sampaikan ajaran Al-Quran ini kepada manusia. Tidak mustahil kalau buat senyap sahaja, manusia akan pergi ke arah itu.

📍Pada zaman Nabi Ibrahim sudah ada agama tauhid. Apakah pengikut Nabi Muhammad ﷺ ada saki-baki peninggalan pengikut Nabi Ibrahim, atau pengikut Nabi Ibrahim memang sudah tiada sehingga orang Mekah dulu telah sembah berhala lagi?

🔵Kalau ada pun saki baki sahaja dan bukan semua penduduk Mekah itu sembah berhala. Macam Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah dan ada lagi orang-orang lain. Mungkin yang semua kenal adalah Waraqah bin Naufal, sepupu kepada Khadijah. Dia juga tidak sembah berhala, maka dia beriman kepada ajaran nasara pada waktu itu dan dia tahu membaca kitab bahasa Ibrani. Namun, memang mereka ini adalah golongan yang minoriti seperti kita ini, minoritilah juga.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan