Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-10 hingga Ke-12

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-10 hingga Ke-12

10364
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-10

Takhwif Duniawi dalam bentuk usluubul haakim (dengan gaya keras). Apakah kesan dari syak dan main-main itu kepada mereka? Allah SWT memberi ancaman kepada mereka dalam ayat ini.

فَارتَقِب يَومَ تَأتِي السَّماءُ بِدُخانٍ مُّبينٍ

Oleh itu tunggulah semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat),

 

Jika setelah diberikan dengan pelbagai dalil tetapi masih tidak mahu juga mengambil pengajaran, maka tunggulah kedatangan asap yang jelas. Maksudnya ialah menunggu dengan mengharap sesuatu akan berlaku.

Macam ahli politik yang menunggu-nunggu keputusan pilihan raya, bukan tunggu yang biasa (waiting in anticipation). Itulah maksud فَارْتَقِبْ.

Maksud دُخَانٍ adalah asap yang berwarna gelap. Ini telah berlaku kepada Musyrikin Mekah di mana mereka telah ditimpakan dengan kemarau panjang sampai debu berterbangan. Apabila terlampau kering, hingga keadaan menjadi berdebu teruk. Jadi keadaannya seolah-olah seperti diliputi oleh asap.

Maksud yang lain, mereka lapar sangat sampai nampak langit berasap. Jadi asap (dukhan) yang dimaksudkan dalam ayat ini bukan asap sebenar. Ada pendapat yang mengatakan kejadian ini berlaku selepas Nabi ﷺ berhijrah ke Madinah. Kalau begitu, ini bermaksud orang beriman tidak terkena azab ini.

Kemarau itu menyebabkan kelaparan yang teruk sampai mereka nampak semua berdebu. Mereka sampai sembelih unta sebab hendak minum air dalam perut unta itu. Ini adalah peringatan ancaman dari Allah SWT.

Ketika di dunia lagi mereka telah dikenakan dengan azab, maka kalau di akhirat tentu lagi teruk. Jadi ini adalah ramalan bala yang akan menimpa orang Mekah, akibat menolak wahyu kerana semasa ayat ini diturunkan, ia belum berlaku lagi.

Bagaimana ini terjadi? Apabila Nabi ﷺ ditolak, diejek dan ditentang, Nabi ﷺ telah berdoa supaya Allah SWT membantunya dengan menurunkan kemarau kepada kaumnya sebagaimana yang telah diberikan kepada kaum Nabi Yusuf عليه السلام. Apabila kemarau berlaku kepada kaum Nabi Yusuf عليه السلام, barulah keadaan Nabi Yusuf عليه السلام bertukar kepada kebaikan. Barulah kaum Nabi Yusuf hendak menerima baginda.

Ini kita boleh baca dalam Surah Yusuf. Sebelum itu, Nabi Yusuf عليه السلام banyak melalui kesusahan demi kesusahan. Oleh itu, Nabi Muhammad ﷺ telah berdoa semoga Allah SWT membantunya begitu.

Begitu juga, kaum Nabi Musa عليه السلام telah diberikan dengan 9 bala untuk merendahkan ego mereka seperti yang disebut dalam Surah al-A’raf.

Allah SWT telah memakbulkan doa baginda ﷺ dengan memberikan kemarau kepada Musyrikin Mekah. Mereka mengalami kemarau yang teruk sampaikan tidak ada makanan langsung hingga terpaksa makan bangkai binatang dan apa-apa sahaja yang mereka boleh dapat.

Azab itu untuk mengingatkan kaum musyrikin supaya mereka sedar tentang kesalahan dan kelemahan diri. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah SWT tidak membantu.

Apabila seseorang itu sudah terlalu lapar, pandangan mata mereka sudah tidak jelas lagi. Itulah sebabnya mereka seolah-olah macam nampak keadaan berasap sahaja. Tambahan pula, kalau sudah lama tidak turun hujan, habuk sangat tebal hingga naik di atas.

  • Itulah sebabnya disebut ‘asap’ dalam ayat ini. Suasana ini penting hinggakan surah ini dinamakan dengan ad-Dukhan yang bermaksud ‘asap’. Pendapat ini terdapat dalam Tafsir Ibn Kathir tanpa dibawakan tarjih hadis:

 

Sulaiman ibnu Mahran alias Al-A’masy telah meriwayatkan dari Abu Duha alias Muslim ibnu Sabiti, dari masruq yang mengatakan bahawa kami memasuki masjid Kufah yang terletak di dekat pintu gerbang masuk ke Kindah. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang sedang menceritakan kepada teman-temannya tentang makna firman-Nya: hari ketika langit membawa kabut yang nyata. (Ad-Dukhan: 10) Tahukah kalian apakah yang dimaksudkan dengan dukhan (kabut) itu? Kabut itu akan datang menjelang hari kiamat, lalu menimpa pendengaran dan penglihatan orang-orang munafik, sedangkan orang-orang mukmin hanya mengalami hal yang seperti pelik saja akibat kabut tersebut. Masruq melanjutkan kisahnya, bahawa lalu dia menemui Ibnu Mas’ud r.a. dan menceritakan kepadanya perkataan lelaki itu. Saat itu Ibnu Mas’ud dalam keadaan berbaring, lalu dia terkejut dan duduk, kemudian berkata bahawa sesungguhnya Allah SWT telah berfirman kepada Nabi kalian: Katakanlah (hai Muhammad), “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” [ Shad: 86 ]. Sesungguhnya termasuk pengetahuan itu ialah bila seseorang mengatakan terhadap apa yang tidak diketahuinya, bahawa hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Aku akan menceritakan hal tersebut kepada kalian. Sesungguhnya orang-orang Quraisy itu ketika menghambat agama Islam dan durhaka kepada Rasulullah ﷺ, maka Rasulullah ﷺ berdoa untuk memberi pelajaran kepada mereka agar mereka ditimpa kemarau seperti kemarau yang terjadi di masa Nabi Yusuf. Maka mereka pun tertimpa kepayahan dan kelaparan sehingga terpaksa mereka memakan tulang belulang dan bangkai. Dan mereka menengadahkan pandangannya ke langit, maka tiada yang mereka lihat kecuali hanya kabut.

 

  • Hadis yang lebih kurang sama dalam sahih Bukhari.

 

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir Telah menceritakan kepada kami Sufyan Telah menceritakan kepada kami Manshur dan Al ‘Amasy dari Abu Duha dari Masruq dia berkata; Ketika ada seorang laki-laki berpidato di depan suku Kindah seraya berkata; Pada hari kiamat kabut akan menghalangi pendengaran dan pandangan orang-orang munafik, dan orang-orang Mukmin akan diserang hawa dingin. Maka dengan marah Ibnu Mas’ud yang tadinya sedang bersandar, merubah posisinya dan duduk lalu berkata; Orang yang mengetahui sesuatu hendaklah ia mengatakan apa yang diketahuinya. Tetapi jika tidak tahu hendaklah ia mengatakan; Allahu A’lam. Karena termasuk dari Ilmu adalah mengatakan Allah A’lam terhadap sesuatu yang tidak diketahuinya. Sesungguhnya Allah berfirman kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: Katakanlah (hai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas da’wahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-ada.” [ Shaad: 86 ]. Dan sesungguhnya orang-orang Quraisy tatkala enggan menerima Islam, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakan bagi mereka: Ya Allah, timpakan kepada mereka tujuh tahun kelaparan sebagaimana yang telah menimpa Yusuf. Maka mereka pun ditimpa tahun kelaparan hingga mereka binasa karenanya, mereka makan bangkai, tulang, dan seseorang dari mereka melihat antara dirinya di bumi dan langit seperti ada kabut. Lalu Abu Sufyan datang seraya berkata; ‘Ya Muhammad, engkau datang memerintahkan kami untuk menyambung silaturrahmi, namun kaummu sekarang telah binasa, maka mintakanlah kepada Allah keselamatan. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam membaca: Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. Mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, lenyapkanlah dari kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman.” Hingga ayat: “Sesungguhnya (kalau) Kami akan melenyapkan seksaan itu agak sedikit sesungguhnya kamu akan kembali ingkar. [ Addukhan: 10-15 ], Bagaimana seksa itu akan dilenyapkan dari mereka pada hari kiamat sedangkan mereka kembali kepada kekafiran. Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah: Ingatlah) hari (ketika) Kami menghentam mereka dengan hentaman yang keras. Sesungguhnya Kami adalah Pemberi balasan. [ Ad Dukhan: 16] . Yaitu pada perang Badar. Sedangkan Lizaaman [ Al Furqan: 77 ], juga bererti perang Badar. Alif Laam Miim. Telah dikalahkan bangsa Rumawi di negeri yang terdekat. dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. [Ar Ruum: 1-3 ].

 

Dan kemenangan Ramawi telah berlalu. (HR. Bukhari: 4401)

 

  • Satu lagi pendapat, ayat ini adalah hendak menceritakan tentang tanda-tanda kiamat. Terdapat hadis Nabi ﷺ yang menyatakan salah satu tanda hari Kiamat akan tiba adalah asap. Ini terdapat dalam hadis:

 

Abu Sarihah alias Huzaifah ibnul Usaid Al-Gifari r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ muncul menuju ke arah kami dari ‘Arafah, sedangkan kami saat itu sedang membicarakan tentang hari kiamat. Maka beliau bersabda:

 “لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَرَوْا عَشْرَ آيَاتٍ: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدُّخَانُ، وَالدَّابَّةُ، وَخُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَخُرُوجُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، وَالدَّجَّالُ، وَثَلَاثَةُ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمُشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قَعْرِ عَدَنَ تَسُوقُ النَّاسَ -أَوْ: تَحْشُرُ النَّاسَ-: تَبِيتُ مَعَهُمْ حَيْثُ بَاتُوا وَتَقِيلُ مَعَهُمْ حَيْثُ قَالُوا”

 Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat sepuluh tanda (yang mengawalinya), iaitu terbitnya matahari dari arah barat, Dukhan (asap), Dabbah (binatang melata), keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, munculnya Isa putra Maryam dan Dajjal: terjadinya tiga kali gempa hebat, satu kali gempa di timur, satu kali gempa di Barat, dan satu kali lagi gempa di Jazirah Arabia; dan munculnya api dari daerah pendalaman ‘Adn yang menggiring manusia atau menghimpunkan manusia, api itu ikut menginap bersama mereka di tempat mereka menginap, dan ikut istirehat bersama mereka di tempat mereka istirehat.

 

Hadis ini diketengahkan oleh Imam Muslim secara tunggal di dalam kitab sahihnya. Kesan asap itu tidak teruk kepada orang beriman kerana mereka akan rasa macam demam selsema sahaja. Namun ia menjadi teruk kesannya kepada orang yang kufur.

Diriwayatkan juga oleh At Thabrani dari Hasyim bin Yazid, dari Muhammad bin Ismail bin Ayyas, dengan sanad yang sama, dan Sanad ini Jayyid.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبُو زُرْعَةَ، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ، حَدَّثَنَا خَلِيلٌ، عَنِ الْحَسَنِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “يَهِيجُ الدُّخَانُ بِالنَّاسِ، فَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فَيَأْخُذُهُ كَالزُّكْمَةِ، وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيَنْفُخُهُ حَتَّى يَخْرُجَ مِنْ كُلِّ مسمع منه”.

Ibnu Abi Hatim berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Zur’ah, menceritakan kepada kami Shafwan, menceritakan kepada kami Al-Walid, telah menceritakan kepada kami Khalil dari Al-Hasan, dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a, bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Dukhan (kabut) menggoncangkan manusia, tetapi bagi orang mukmim hanya mengalami hal seperti selsema, sedangkan orang kafir menjadi kembung kerananya sehingga kabut keluar dari semua lubang yang ada pada tubuhnya.

 

 Oleh itu, apabila Kiamat hampir tiba, keadaan akan berasap di seluruh dunia. Maka, kepada mereka yang tidak mahu menerima ajakan tauhid ini, maka tunggulah waktunya apabila Kiamat itu sampai. Mereka akan dihadapkan kepada Allah SWT dalam Yaumul Mahsyar di mana mereka akan ditanya tentang apakah yang telah mereka lakukan.

Ada juga yang berpendapat bahawa ‘asap’ yang dimaksudkan adalah keadaan berasap di akhirat kelak, bukan di dunia. Jadi ada beberapa pendapat yang dikeluarkan tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘dukhan’ ini.

 

Tafsir Ayat ke-11

Allah SWT sambung penerangan tentang asap itu. Bagaimanakah keadaannya?

يَغشَى النّاسَ ۖ هٰذا عَذابٌ أَليمٌ

Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”.

 

يَغْشَى النَّاسَ

Yang akan menimpa manusia

 

Yang menyeliputi manusia tetapi bukan semua. Ia hanya menyeliputi masyarakat Arab yang degil menolak wahyu.

هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”.

 

Ada jumlah muqaddar disini: ‘dikatakan kepada mereka’. Dikatakan kepada mereka bahawa inilah azab yang memedihkan. Makanan tidak ada, sampaikan mereka terpaksa makan kulit-kulit, termasuk kulit kasut. Begitulah teruknya keadaan mereka waktu itu.

 

Tafsir Ayat ke-12

Apabila mereka telah kena azab itu, mereka telah berdoa. Mereka berkata sepertimana kaum Qibti zaman Nabi Musa عليه السلام yang datang bertemu baginda untuk minta doa supaya Allah SWT angkat azab yang dikenakan kepada mereka.

رَّبَّنَا اكشِف عَنَّا العَذابَ إِنّا مُؤمِنونَ

(Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”.

 

رَّبَّنَا

Wahai Tuhan kami!

 

Selepas dikenakan azab, barulah mereka hendak berdoa terus kepada Allah SWT tanpa menggunakan perantaraan dan mengaku bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan.

Salah satu pendapat yang diberikan, Musyrikin Mekah telah menghantar wakil ke Madinah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ untuk berdoa kepada Allah SWT untuk diangkat azab itu. Ini adalah kerana kejadian itu berlaku setelah Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah.

Mereka dapat agak azab yang dikenakan itu adalah kerana kesalahan mereka. Maka mereka menghantar wakil seperti Firaun pernah lakukan, hantar wakil untuk bertemu dengan Nabi Musa عليه السلام agar baginda berdoa supaya diangkat 9 azab yang dikenakan kepada mereka.

اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ

Singkapkanlah azab ini dari kami,

 

Mereka sendiri mengaku dan menerima hakikat bahawa Allah SWT sahaja yang dapat menyingkap masalah dan azab yang mereka hadapi. Mereka sudah sedar bahawa tidak ada sesiapa lagi yang boleh tolong mereka. Maka sekarang mereka minta terus kepada Allah SWT.

إِنَّا مُؤْمِنُونَ

sesungguhnya kami akan beriman!”.

 

Mereka kata, kalau Allah SWT angkat azab asap itu, barulah mereka akan beriman. Inilah janji orang yang kufur.

Ada lagi tafsir tentang siapakah yang dimaksudkan berdoa ini. Sebelum ini kita telah sebut bagaimana Musyrikin Mekah telah menyesal dan sama ada mereka berdoa atau mereka minta Nabi Muhammad ﷺ doakan untuk mereka.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan ini adalah doa orang beriman yang tidak dapat berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana mereka tidak mampu. Mereka berdoa kepada Allah SWT untuk mengangkat azab asap itu kerana mereka turut terkena juga azab walaupun mereka telah beriman.

Jadi mereka berdoa kepada Allah SWT dengan mengatakan: “angkatlah azab ini kerana kami memang sudah beriman”.

Tafsir ini diberikan kerana riwayat tentang kedatangan Musyrikin Mekah ke Madinah itu dikhuatiri kesahihannya. Jadi mereka bertawassul dengan iman mereka (dengan mengatakan mereka beriman). Ini adalah tawassul yang dibenarkan.

Mereka telah beriman dan selepas itu baru mereka berdoa. Oleh itu, orang yang berjanji akan beriman atau berbuat baik kalau Allah SWT beri mereka sesuatu, itu adalah tanda dia itu bukanlah seorang yang beriman.

Contoh seperti seorang yang berdoa dan berjanji dengan Tuhan, kalau mereka dapat projek, dapat itu dan ini, mereka akan buat baik, akan datang kelas tafsir, akan tolong rumah anak yatim, beri sumbangan kepada madrasah dan sebagainya. Itu bukanlah iman yang ikhlas. Iman jenis ini tidak berharga.

Maka, janganlah kita bercakap begitu juga kerana itu adalah pernyataan yang tidak ikhlas. Mereka katakan selepas buat sesuatu, baru hendak beriman. Sedangkan kita memang kena beriman dan beramal dalam taat kepada Allah SWT.

 

SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 10-12)

 

Itulah sebabnya disebut ‘asap’ dalam ayat ini. Suasana ini penting sampaikan surah ini dinamakan dengan ad-Dukhan yang bermaksud ‘asap’. Adakah ini bermaksud asap yang mematikan orang yang beriman itu?

Tidak. Itu angin.

 

Maksudnya asap ini ada juga pada masa itu?

Asap sebagai tanda. Angin lembut akan mematikan apabila telah sampai masa hendak kiamat.

 

Bagaimanakah jika seseorang berdoa seperti;
” Ya Allah, haramkanlah neraka ke atas ibu & bapaku..” Adakah boleh berdoa seperti itu?

Boleh

 

Kalau kita membantu orang atau permudahkan urusan orang lain, lepas tu kita doa dalam hati supaya Allah SWT permudahkan urusan kita di akhirat nanti untuk ke syurga-Nya. Bolehkah berdoa begini dan jadikan amalan?

Boleh. Inilah cara doa Nabi Musa seperti disebut dalam surah Qasas. Ya, ini tawassul dengan amal kebaikan, memang boleh diamalkan.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan