Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Pengenalan Ayat Pertama dan Ke-2

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Pengenalan Ayat Pertama dan Ke-2

985
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Pengenalan

Surah ini adalah Surah Makkiah dan diturunkan di Mekah. Ia merupakan salah satu dari surah-surah hawaamim dan dimulai dengan huruf muqattaah haa mim.

Terdapat pertalian di antara semua surah-surah hawaamim ini, dan surah Ad-Dukhan adalah salah satu surah yang dianjurkan untuk dihafal.

Surah ini menceritakan tentang kekeliruan di dalam berdoa. Terdapat salah faham di dalam masyarakat kita kerana selalu menggunakan ‘tawassul’ yang dilarang dalam urusan doa mereka.

Surah ini juga salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Al-Fatihah.

Surah-surah hawaamin adalah tentang ‘doa’ di mana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah SWT, tanpa menggunakan perantaraan yang dilarang. Perantaraan di dalam bahasa Arab dipanggil tawassul.

Sepanjang kita belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh adalah berkenaan Tauhid di dalam berdoa. Ini telah diberitahu di dalam Surah Ghafir.

Dakwa surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain iaitu Tauhid di dalam berdoa dan istianah.

Surah ini mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid di dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul di dalam fikiran manusia.

Maka, Allah SWT turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu. Surah Ad-Dukhan ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

1️. Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama.

Mereka katakan apabila menyeru selain dari Allah SWT, mereka mendapat apa yang mereka kehendaki. Allah SWT beritahu di dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

2️. Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua.

Ada kononnya dalil-dalil menyatakan bahawa seruan selain kepada Allah SWT itu boleh. Surah Syura ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu sahaja. Maka selain dari dalil itu, yang membenarkan melakukan perkara dilarang di dalam wahyu adalah tertolak.

3. Kemudian, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga.

Ada yang berhujah mereka tidak meminta kepada selain Allah SWT tetapi, hanya menyeru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat.

Mereka berharap supaya doa itu dimakbulkan dan mendapat syafaat di akhirat kelak. Mereka katakan tindakan tidak meminta terus kepada seruan-seruan itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah SWT sahaja.

Allah SWT memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita ada fahaman sebegini, mereka juga sama dengan Musyrikin Mekah.

🔺Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

4️. Surah Ad-Dukhan ini hendak menjawab kekeliruan yang keempat.

Banyak ayat di dalam Al-Quran yang menyebut sifat Allah SWT yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Kesamaran tentang berdoa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah SWT, ada makhluk lain yang boleh mendengar doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa.

Mereka berkata begitu kerana akidah syirik mereka. Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka. Mereka beranggapan Allah SWT telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia.

Walaupun sudah mati, sekurang-kurangnya apa yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah SWT dan memberi keberkatan kepada mereka. Malah, bukan hanya mendengar tetapi boleh mengurus pula sebahagian dari alam. Maknanya mereka yang syirik itu berkata, makhluk seperti Nabi, wali dan malaikat ada kedua-dua kuasa itu.

Mereka beriktikad sembahan itu boleh mendengar dan mengurus, sebab itulah mereka berdoa kepada ilah selain Allah SWT. Itu adalah akidah syirik dan mereka yang ada akidah seperti itu akan kekal di dalam neraka.

Allah SWT hendak menekankan di dalam surah ini bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita. Maka, kita harus berdoa dan seru hanya kepada Allah SWT.

Allah SWT turunkan Surah Ad-Dukhan ini untuk menolak fahaman yang salah. Maksud surah ini ada pada ayat ke-6 yang memberitahu bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar iaitu dapat mendengar jenis pendengaran yang luar biasa.

Makhluk juga dapat mendengar, namun tidaklah mereka mempunyai pendengaran luar biasa seperti Allah SWT. Ini adalah Konsep Tauhid dalam Mendengar. Hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai sifat itu.

Selain itu, Allah SWT hendak memberitahu bahawa Dia sahaja yang tahu isi hati hambanya walaupun tidak berbunyi. Ini tauhid dari segi ilmu pula. Hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai sifat itu.

Tafsir Ayat Pertama

Ayat pertama hingga ke-6 ini adalah tentang Al-Quran dan galakan terhadap mempelajarinya.

حم

Haa, Miim.

Ini dinamakan Huruf Muqattaah. Kita tidak faham apakah maknanya yang sebenar.

Allah SWT sahaja yang tahu dan ada perkara-perkara yang Allah SWT sengaja tidak memberitahu kepada makhluk-Nya, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Kita adalah makhluk yang lemah, banyak perkara yang kita tidak tahu. Memang banyak pendapat yang diberikan tentang maksud huruf-huruf muqattaah ini.

Namun kita katakan, ia hanya setakat pendapat sahaja kerana tidak ada dalil yang sahih yang memberitahu kita apakah maksud sebenarnya.

Selalunya, selepas Allah SWT menyebut huruf muqattaah, ayat seterusnya adalah tentang Al-Quran.

Tafsir Ayat Ke-2

Allah SWT menerangkan tentang Al-Quran dalam ayat ini.

وَالكِتٰبِ المُبينِ

Demi Al-Quran, Kitab yang menerangkan kebenaran.

Allah SWT bersumpah dengan kitab-Nya di dalam ayat ini. Setiap sumpah ada perkara yang hendak ditekankan tetapi sumpah di dalam ayat ini adalah mahzuf – tidak disebutkan di dalam ayat. Jadi,l-jawapan kepada sumpah ini adalah: tidak ada satu tempat di dalam Al-Quran yang boleh diragui.

Apabila Allah SWT bersumpah dengan sesuatu, ia hendak menunjukkan kehebatan perkara itu. Banyak lagi perkara lain yang Allah SWT gunakan di dalam sumpah-Nya seperti masa, buah tin, buah zaitun dan macam-macam lagi.

🔺Oleh itu, sumpah Allah SWT ini menunjukkan kehebatan dan kepentingan Al-Quran. Perkara yang dijadikan sumpah oleh Allah SWT adalah sesuatu yang amat penting yang kita kena berikan perhatian. Ia bukanlah sesuatu yang biasa-biasa sahaja.

Jangan kita ambil mudah dengan Al-Quran dan ingat dengan hanya membaca sahaja ayat-ayatnya, sudah mencukupi. Itu adalah satu salah faham yang banyak berlaku di dalam masyarakat. Mereka ingat dengan membaca Al-Quran hari-hari sudah cukup, padahal tidak. Kita kena belajar tafsir Al-Quran supaya kita faham apakah yang hendak disampaikan dalam Al-Quran tersebut?

Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa kitab Al-Quran ini adalah jelas nyata. Ia amat nyata kerana ayat-ayat Al-Quran menerangkan perkara tauhid berkali-kali dan yang tidak nyata hanyalah kepada mereka yang tidak belajar. Kalau mereka membaca terjemahan Al-Quran sekalipun, masih lagi tidak faham kerana ada perkara tersirat yang hendak disampaikan.

Oleh itu, sesiapa yang belajar tafsir Al-Quran, akan tahu tentang apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Dia akan jelas dan faham tentang agama kerana panduan agama yang utama adalah Al-Quran. Semua orang terima ia adalah panduan yang utama.

Kenapa manusia masih tidak belajar tafsir Al-Quran? Kenapa ramai guru yang mengajar kepada masyarakat kita, sedangkan mereka sendiri tidak pernah belajar tafsir Al-Quran?

Apabila mereka tidak tahu tafsir Al-Quran, bermakna mereka sendiri tidak faham tentang agama. Namun mereka masih mengajar dan telah menyalurkan kekeliruan kepada anak murid mereka.

Hasilnya, apabila kita memberikan penerangan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka, mereka tolak dan katakan kita pula yang salah. Padahal, kita belajar tafsir Al-Quran dan mereka pula sebaliknya. Kenapa yang jahil pula hendak mengajar mereka yang berilmu?

🔺Apakah yang dijelaskan oleh Al-Quran? Itulah kebenaran yang hendak diberitahu kepada manusia. Kebenaran yang ada di dalam Al-Quran itu akan membezakan antara haq dan batil.

Untuk kita tahu sama ada sesuatu perkara itu benar atau tidak, rujukan utamanya adalah Al-Quran, kedua – hadis yang sahih. Bukannya pendapat akal, kitab atau ustaz itu ini dan ‘saya rasa’….

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 1-2)

📍 Memang banyak pendapat yang diberikan tentang maksud huruf-huruf muqattaah ini.

Pendapat yang bagaimana dimaksudkan dalam ayat tersebut?

🔵Saya tidak gunakan pendapat itu, jadi saya tidak sampaikan di sini. Ada yang memberi pendapat huruf ha maksud apa, huruf mim maksud apa dan sebagainya kepada huruf-huruf muqattaah yang lain. itu Semua hanyalah andaian sahaja kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak pernah beritahu.

📍Maksudnya mereka tafsir ikut akal?

Pelajar di sekolah arab ada mempelajari tafsir Al-Quran tetapi kenapa kefahaman mereka berlainan?

🔵Ya,ikut akal.

Saya tidak tahu bagaimana cara mereka tafsir tetapi, sebagaimana hadis ia boleh ditafsir dengan fahaman yang salah oleh golongan agamawan nusantara, begitu jugalah dengan ayat-ayat Al-Quran. Mereka tafsir ikut kehendak mereka.

📍Mereka beranggapan Allah SWT telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, hingga boleh mendengar seruan manusia.

Adakah sebab ini, surah Ad-Dukhan selalu digunakan oleh peruqyah dalam rawatan? Kawan saya selalu menjerit bila dengar perkataan “Zaqqum’ dalam surah ini semasa tengah berubat.

🔵Tiada kena mengena kerana surah Ad-Dukhan bukan surah ruqyah. Ia hanya digunakan boleh bomoh-bomoh sahaja. Jeritan itu adalah lakonan jin sahaja.

📍Bolehkah dibaca surah Al-Fatihah kepada air dan minum sebagai air penerang hati atau melembutkan hati?

🔵 Kelas kita adalah untuk mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan cuba memahaminya untuk menjadi panduan hidup kita. Secara umumnya saya tidak setuju menggunakan ayat-ayat Al-Quran itu dijadikan holy water, azimat, pendinding, hendak dapatkan itu dan ini. Pada saya itu adalah penyalahgunaan ayat-ayat Al-Quran dan digunakan tanpa melihat apakah maksud ayat-ayat itu.

Walaupun saya tahu ramai juga ustaz di luar sana yang berlapang dada dalam perkara ini, tetapi kalau tanya kepada saya, memang banyak yang tidak boleh.

Saya harap ini dapat menjawab banyak persoalan yang mungkin timbul.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan