Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-88 dan Ke-89

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-88 dan Ke-89

439
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-88

وَقيلِهِ يا رَبِّ إِنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ لا يُؤمِنونَ

Dan (Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!”

وَقِيلِهِ يَا رَبِّ

Dan katanya: Wahai TuhanKu!

Kata siapa? Kata Nabi Muhammad SAW. Ini adalah kata-kata Nabi Muhammad SAW setelah berdakwah sekian lama. Namun Musyrikin Mekah itu tetap menolak dakwah baginda. Ini adalah kata-kata rayuan baginda kepada Allah SWT.

Lihatlah kata-kata Nabi Muhammad SAW ini. Baginda sendiri tidak bertawasul kepada selain Allah SWT. Baginda terus minta dan seru kepada Allah SWT sahaja. Bukankah Nabi Muhammad itu adalah ikutan kita? Adakah contoh bagaimana Nabi menggunakan perantaraan dalam doa baginda?

Ayat ini boleh diterjemahkan begini:

Allah SWT bersumpah dengan perkataan Nabi Muhammad SAW.

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman

Ini adalah kata-kata aduan dari Nabi Muhammad SAW kepada Tuhan-Nya. Setelah melihat apakah reaksi kaumnya terhadap dakwah baginda, baginda mengadu kepada Allah SWT yang kaumnya itu mungkin tidak akan beriman.

Bayangkan yang Nabi Muhammad SAW sendiri akan mengadu tentang mereka. Nabi SAW sendiri akan menjadi saksi bahawa mereka tidak beriman. Bayangkan dalam pengadilan mahkamah Allah SWT nanti, yang menjadi saksi mahkamah itu adalah Nabi Muhammad SAW sendiri.

Nabi ada juga mengadu di waktu lain dalam [ Furqan: 30 ]:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang ditinggalkan”.

Tidakkah kita takut kalau Nabi SAW sendiri beritahu kepada Allah SWT bahawa kita buat tidak kisah kepada Al-Quran yang Allah SWT telah turunkan ini?

Bukankah ramai antara masyarakat kita yang memang buat tidak endah sahaja dengan Al-Quran ini? Mereka membaca Al-Quran, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Tafsir Ayat Ke-89

Apakah jawapan Allah SWT kepada kata Nabi SAW itu? Ini adalah apa yang perlu Nabi SAW dan kita lakukan kepada mereka yang tidak mahu beriman dan benci kepada Islam.

فَاصفَح عَنهُم وَقُل سَلامٌ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): “Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ‘ Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! ”

“Maka janganlah engkau hiraukan mereka,

Kata dasar فَاصْفَحْ telah dibincangkan dalam ayat 5 surah ini. Kalimah ini digunakan untuk:

– Nabi dengan umat

– Ibu bapa dengan anak

– Suami dengan isteri.

Jangan hiraukan dan hukum mereka lagi kerana bila kita tidak hiraukan, kurang sedikit resah hati kita. Mereka hendak berdebat dan menentang itu adalah kerana mereka tidak faham. Allah SWT tenangkan hati Nabi dalam ayat ini supaya Nabi jangan putus asa.

Teruskan dakwah kepada manusia yang mahu mendengar. Bagi yang tidak mahu dengar, hanya mahu berdebat dan menentang sahaja, tinggalkan mereka.

Oleh itu, palingkan muka kamu dari memarahi mereka kerana marah bukanlah ubat. Cuma ajar supaya mereka boleh memahami dengan sukarela, tanpa paksaan.

وَقُلْ سَلَامٌ

dan katakanlah: ` Selamat tinggal!’

Kita disuruh kata begitu untuk habiskan perdebatan itu. Kalau cakap banyak akan buang masa. Inilah yang diajar kepada kita untuk kita katakan.

Kena tahu bahawa lafaz سَلَامٌ dalam ayat ini bukannya bermaksud ‘Salam sejahtera’ seperti yang selalu kita guna.

Tidak mungkin kita hendak kata mereka sejahtera pula setelah tolak wahyu. Maksud سَلَامٌ dalam ayat ini adalah ‘Selamat tinggal’. Ini dinamakan ‘Salam Mufaraqah’ iaitu ucapan selamat tinggal buat sementara waktu. Nanti datang lain kali di kesempatan yang lain. Ini bukanlah tinggalkan terus.

فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

Mereka akan mengetahui kelak

Mereka akan mengetahui akibat keingkaran mereka itu di Hari Akhirat nanti. Mereka sedap sahaja menolak dakwah Nabi dan penyebar tauhid kepada mereka, tetapi nanti mereka akan merasai akibat penolakan mereka itu di akhirat kelak.

Selain itu ia boleh bermaksud mereka akan dapat kebenaran. Akhirnya nanti mereka akan tahu apakah kebenaran itu dan mereka akan beriman. Lihatlah bagaimana mereka yang tolak Nabi pada awal Islam pun ramai yang masuk Islam akhirnya.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Az-Zukhruf (Ayat 88-89)

📍Sekarang dakwah untuk mengenali tauhid, untuk meninggalkan ajaran-ajaran bebas dari syirik dan bid’ah turut dapat bidasan dan tentangan, apakah silapnya? Benarkah kekerasan, sindiran penyebab dakwah tidak di terima?

🔵Biasa sahaja. Semua Nabi zaman berzaman akan ada sahaja yang menentang. Dakwah kena berhemah kerana bukan jalan kekerasan dan sindiran yang akan memenangkan dakwah.

📍Ramai yang belum memahami sunnah maka timbul pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan. Pertanyaan bagi yang mula belajar ini agak asas dan kurang penting, bagi orang berilmu hanya pertanyaan anak kecil. Apakah ada batas kesabaran dalam berdakwah sebab ada orang yang hendak diajar itu lambat memahami?

🔵Kena sabar dalam mengajar dan perlu sedar untuk mereka fahami itu bukan dari kita tetapi dari Allah SWT. Ada orang memerlukan masa hendak faham. Maka jawab sahaja biar berapa kali ditanya.

Kalau tidak boleh bersabar maka mungkin dia tidak sesuai hendak berdakwah. Hanya kena bantu di belakang sahaja tidak boleh duduk di hadapan.

Lihat [ Fussilat: 34 dan 35 ]:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

📍Ada pendapat mengatakan belajar fiqh lebih utama berbanding belajar tafsir. Fiqh lebih bersifat praktikal berbanding tafsir yang bersifat teoritikal. Apa pandangan ustaz?

🔵Tafsir adalah ilmu umum, ilmu asas. Jika hendak dapat praktikal kenalah ada teori dia dulu, bukan? Allah SWT sebut kelebihan Al-Quran dalam banyak sekali ayat Al-Quran. Malah yang lebih penting, Al-Quran ajar bab tauhid dan syirik. Kalau tauhid dan syirik masih tidak faham, pandai fiqah pun tiada mendapat pahala kerana belum sempurna imannya.

📍Adakah ucapan ” salam” yang kita ucapkan itu maksudnya sama dengan ‘assalamualaikum’?

🔵Salam: kesejahteraan

Assalamualaikum: Semoga Allah berikan kesejahteraan kepada kamu. Kalimah ‘salam’ hendak pendekkan sahaja. Macam kita cakap terima kasih. Lafaz penuh : aku ucapkan terima kasih kepada kamu.

📍Adakah ini turutan cara belajar yang betul iaitu membaca, mendengar dan menghafal? Adakah hafal itu harus sebab pernah terbaca dekat channel sunnah kena hafal dan amal. Jika amal insya Allah boleh di lakukan namun hafal agak sukar dan perlukan masa.

🔵JIka hendak belajar mesti sanggup tadah telinga hendak mendengar, gunakan akal untuk menilai dan tambahkan dengan bacaan untuk buat kajian. Ulangi cara ini. Hafal memang sangat bagus. Namun Allah SWT sudah tarik kelebihan daya ingatan zaman sekarang dan diganti dengan maklumat di hujung jari. Adil lah kan?

📍Dalam mempelajari Al-Quran, adakah wajib untuk mempelajari asbabun nuzul juga?

🔵Bergantung kepada keperluan. Ada ayat perlu tahu asbabun nuzul tetapi dalam 10% sahaja. Asbabun nuzul ini ‘tafsiran kedua’ sahaja. Tafsiran pertama tetap pada lafaz Ayat.

📍Apakah benar walaupun Nabi Muhammad SAW mengadu kepada Allah SWT, baginda tidak pernah mendoakan diturunkan azab kepada kaumnya seperti Nabi terdahulu?

🔵Tidak ada doa hancurkan semua seperti Nabi Nuh, Nabi Aad, Tsamud dan lain-lain. Namun Nabi Muhammad SAW ada doa menamakan individu tertentu agar mereka mati di Perang Badar. Kemudian Allah SWT tegur Nabi tidak doa begitu sebab ada yang Allah SWT hendak beri iman seperti kepada Abu Sufyan dan Khalid Al-Walid.

📍Adakah penggunaan perkataan”furqan” hanya untuk maksud Al-Quran sahaja?

🔵Tidak. Lihat sebagai contoh Baqarah 53. Furqan salah satu nama Al-Quran tetapi bukan untuk Al-Quran sahaja.

📍Apakah hukum mendoakan keburukan kepada orang lain?

🔵Ada juga sahabat Nabi doakan buruk tetapi tengok keadaan. Untuk kita, tidak perlu mendoakan sebegitu. Lebih baik doakan mereka diberikan hidayah sahaja ‘Ya Allah, berilah dia hidayah’

📍Bolehkah kalau orang yang menghalang dan merosakkan agama kita, kita tinggalkan selamanya biarpun ada hubungan kekeluargaan?

Bagaimana pula kalau orang itu membahayakan hidup kita?

🔵Itu memutuskan silaturrahim. Maka tidak dibolehkan. Lainlah kepada Nabi Ibrahim yang mendapat arahan Allah SWT.

Kalau mereka kafir dan menentang kita bolehlah. Namun di Malaysia tiada sebegitu. Kalau membahayakan nyawa, contohnya abang otak tidak betul maka bolehlah ditinggalkan mereka.

Mereka bukan lawan agama, tetapi sudah termasuk lawan fizikal. Maksud saya ‘penentangan agama’ masyarakat kita tidaklah teruk. Mereka melawan kerana salah faham sahaja. Boleh layan lagi dan boleh minum teh tarik lagi.

📍Apakah boleh kita ada perasaan takut dalam diri, andai termasuk dalam golongan orang munafik tanpa disedari. Apakah perasaan ini sudah termasuk was-was?

🔵Memang kena ada perasaan takut dan ini tidak termasuk was-was.

Al-Hasan al-Bashri berkata:

Tidaklah takut terhadap kenifakan kecuali seorang mukmin dan tidaklah merasa aman darinya kecuali ia seorang munafik.

(HR. Al-Bukhari dalam Kitab al-Iman)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan