Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-85 hingga Ayat Ke-87

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-85 hingga Ayat Ke-87

482
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir ayat Ke-85

وَتَبارَكَ الَّذي لَهُ مُلكُ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما وَعِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Dan Maha Berkat Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat; dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

 

وَتَبَارَكَ الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dan Maha Berkat Dia yang milikNya kerajaan langit dan bumi

Ayat ini menafikan syirik dalam berkat. Allah SWTlah sahaja yang mempunyai Keberkatan. Allah SWT lah yang Maha Berkat. Ini adalah salah satu dari Sifat Allah SWT.

Oleh kerana berkat itu milik Allah SWT, maka sesiapa yang hendak mengambil berkat kepada selain Allah SWT, itu adalah kufur. Maka, jangan minta berkat daripada makhluk, dari guru, ustaz, wali dan sesiapa pun.

Ramai masyarakat kita yang salah faham dengan maksud berkat. Oleh kerana itu mereka selalu melakukan tabarruk kepada perkara-perkara yang tidak patut, antaranya mereka bertabarruk dengan ustaz mereka, guru mereka, orang yang balik dari Mekah dan sebagainya.

Sebagai contoh, ada orang yang peluk mereka yang baru balik dari Haji dengan kata: “nak ambil berkat sikit”. Ini adalah salah sama sekali. Malah yang lebih teruk adalah mengambil keberkatan dari kubur seperti yang mula diajar oleh puak-puak Habib yang datang dari Yaman itu.

Ingatlah yang tidak ada keberkatan pada kubur, termasuklah kubur Nabi sendiri. Allah SWT ada memberi keberkatan kepada bebarapa perkara seperti Tanah Haram dan lain-lain lagi tetapi kenalah ada dalil baru boleh kita kata yang tempat-tempat tertentu itu ada berkat.

Perbincangan tentang tabarruk adalah perbincangan yang panjang yang perlulah dipelajari oleh orang-orang kita supaya tidak tersalah faham dan melakukan tabarruk yang dilarang.

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya;

Segalanya milik Allah SWT. Langit adalah milik-Nya dan bumi juga milik-Nya dan apa-apa sahaja di antara keduanya. Apa yang ada di antara keduanya kita tidak tahu, tetapi apa-apa sahaja yang ada antara keduanya, milik Dia sahaja.

Oleh kerana segalanya milik Allah SWT, maka Dia tidak memerlukan sekutu atau wakil.

وَعِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ

dan di SisiNyalah sahaja ilmu tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah SWT sahaja yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu dan apa yang benar-benar akan terjadi. Nabi SAW tidak tahu, para Malaikat hatta Jibrail juga tidak tahu bilakah akan berlakunya Hari Kiamat. Banyak kali diulang-ulang dalam al-Quran tentang perkara ini.

Maka, berhentilah untuk agak-agak bilakah akan berlaku. Namun yang pasti, ia akan berlaku. Apa yang kita perlu lakukan adalah bersedia untuk menghadapinya. Malangnya, ada orang yang mengaku ahli agama yang cuba-cuba juga untuk mengagak bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku.

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

Dalam dua ayat ini adalah pegangan Tauhid kita iaitu ada Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Asma wa Sifat. Itulah juga dinamakan Tauhid Tiga Serangkai atau Tauhid 3T.

Tauhid Rububiyyah – Allah SWT memberitahu kita yang Dialah yang memiliki alam ini. Itu adalah sifat Rabb.

Tauhid Uluhiyyah – Allah SWT memberitahu kita yang Dialah ilah di langit dan di bumi. Hanya Dia sahaja yang layak disembah dan layak diibadati.

Tauhid Asma’ wa Sifat – Allah SWT memberitahu salah satu Sifat-Nya, iaitu hanya Dia sahaja yang mempunyai ilmu tentang Hari Kiamat. Sifat ini tidak ada pada makhluk yang lain.

Tafsir Ayat ke-86

Ini adalah Maksud Surah ini.

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفاعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahui-Nya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).

وَلَا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ الشَّفَاعَةَ

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat,

Hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai kuasa syafaat. Allah SWT lah sahaja yang menentukan siapa yang boleh ‘beri’ syafaat dan siapa yang boleh ‘mendapat’ syafaat itu.

Maknanya, ‘pemberi syafaat’ Allah SWT yang tentukan, dan ‘penerima syafaat’ juga Allah SWT juga yang tentukan. Tidak ada sesiapa yang selain dari Allah SWT mempunyai kuasa penentuan itu.

Ramai yang mengamalkan tawasul dan menyembah kepada sembahan-sembahan seperti wali, Nabi dan malaikat kerana mengharapkan ‘syafaat qahriyah’ dari mereka.

Syafaat Qahriyah adalah ‘syafaat kasih-sayang’. Mereka sangka, kerana Allah SWT sayang kepada Nabi, wali dan malaikat itu, maka kalau mereka merapatkan diri dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah SWT akan sayang juga kepada mereka. Ini adalah fahaman yang amat salah sekali.

Syafaat memang ada tetapi kena faham syarat dia. Dalam potongan ayat ini seterusnya, Allah SWT memberikan dua syarat untuk membolehkan memberi dan menerima syafaat:

إِلَّا مَن شَهِدَ بِالْحَقِّ

kecuali sesiapa yang bersaksi dengan Kalimah Haq

Bermaksud dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid iaitu mereka yang hanya menyembah Allah SWT dan hanya mengikut agama dan amalan yang diajar oleh Nabi. Mereka ini sahaja yang dibenarkan memberi syafaat dan menerima syafaat.

Ini seperti para Nabi kerana mereka hanya menyembah Allah SWT sahaja, dan mereka itu dibenarkan memberi syafaat tetapi hanya kepada mereka yang layak sahaja. Yang layak menerima syafaat juga kena amalkan tauhid dan tidak melakukan syirik kepada Allah SWT.

Kalau mereka yang tauhidnya tidak sempurna, ada mengamalkan syirik dalam amalan dan fahaman mereka, mereka itu tidak ada harapan untuk memberi dan menerima syafaat. Malang sekali masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik, tetapi dalam masa yang sama mereka meminta-minta syafaat dari Nabi Muhammad SAW.

📍Meminta syafaat kepada Nabi Muhammad SAW itu juga sudah amalan yang syirik, kerana yang ada kuasa syafaat hanya Allah SWT sahaja. Mereka telah meletakkan kuasa Allah SWT pada Nabi Muhammad SAW pula, dan ini adalah syirik.

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

dan mereka mengetahui

Ertinya mengetahui apa yang mereka saksikan. Mereka tahu siapa yang mereka berikan syafaat itu. Mereka tahu siapa yang boleh diberikan syafaat itu. Juga Mengetahui bahawa menyeru Allah SWT sahaja yang akan dapat syafaat. Maksudnya, mereka ada ilmu tentang tauhid.

Hanya Allah SWT sahaja yang boleh beri syafaat. Nabi Muhammad SAW tidak dapat memberikan syafaat kepada mereka yang tidak layak. Nabi Muhammad SAW juga bukan boleh menentukan siapa yang dapat syafaat. Baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu.

Kalau ada yang mengamalkan amalan syirik, mereka tidak layak diberikan syafaat tersebut. Ramai yang salah faham tentang perkara ini. Maksud ‘mengetahui’ itu juga boleh bermaksud mengetahui tentang apakah tauhid dan apakah syirik.

Untuk tahu, kena belajar sampai faham. Kalau tidak faham, itu maksudnya tidak tahu dan mereka yang tidak belajar dan tidak tahu, akan terjerumus ke dalam lembah kesyirikan kerana tidak belajar.

📍Syaitan pasti akan mengambil peluang dari kejahilan mereka itu untuk menyesatkan mereka. Sebab itu orang yang masuk syurga adalah mereka yang ada ilmu. Tidak ada dalil yang kata ada orang jahil masuk syurga.

Maka, kita kenalah ambil usaha untuk faham tentang tauhid dan tentang syirik supaya iman kita sempurna. Kalau iman kita sempurna, barulah layak untuk mengharapkan syafaat dari Allah SWT.

Inilah kekeliruan yang amat banyak dalam masyarakat kita. Mereka sangka ada orang yang boleh memberi syafaat kepada mereka. Oleh itu mereka rasa selamat. Antaranya yang mereka keliru adalah tentang Nabi Muhammad SAW sendiri.

Mereka sangka Nabi Muhammad SAW itu ada ‘kuasa’ untuk memberi syafaat. Ini adalah kerana kekeliruan kepada dalil yang ada dalam al-Quran dan hadis. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar.

Bila tidak belajar, mereka ikut sahaja kata-kata orang yang tidak semestinya benar. Maka, oleh kerana mereka sangka Nabi Muhammad SAW boleh menentukan syafaat ikut kehendaknya, mereka telah meminta syafaat itu kepada Nabi SAW dalam berbagai cara.

Ada yang buat qasidah, ada yang minta syafaat kepada Nabi SAW di kuburan baginda, ada seru baginda malam-malam dan macam-macam lagi, antaranya mereka sedekah Fatihah kepada baginda sebagai ‘upah’ untuk beri syafaat kepada mereka. Ini adalah antara kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa sedar.

Tafsir Ayat ke-87

Ini adalah dalil Aqli I’tirafi.

Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah juga boleh terima yang menjadikan mereka adalah Allah SWT. Inilah dalil bahawa mereka itu ada Tauhid Rububiyyah. Maka, kenapa ada yang tidak dapat terima perkara ini?

Mereka sampai kata Ajaran Tauhid 3T adalah salah kerana mengatakan Musyrikin Mekah itu ada tauhid. Memang ada pun! Kalau tidak belajar tafsir al-Quran, tahu baca sahaja, memang akan kata begitu. Namun kita yang belajar al-Quran dan cuba menghayati al-Quran ini, memang selalu berjumpa dengan ayat ini. Apa mereka tidak baca al-Quran kah?

📍Dalil aqli i’tirafi bermaksud hendak menunjukkan kepada Musyrikin Mekah yang mereka juga sudah terima Allah SWT itu ada, hanya Allah SWT sahaja yang menjadikan mereka dari tidak ada kepada ada.

Kalau perkara itu mereka sudah iktiraf, maka kenapa mereka tidak terus sembah hanya Allah SWT sahaja?

‎وَلَئِن سَأَلتَهُم مَن خَلَقَهُم لَيَقولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?”

Tanyalah kepada Musyrikin Mekah itu. Tanyalah kepada musyrik zaman sekarang juga.

Tanya mereka: Siapakah yang menjadikan kamu dan alam ini?

لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”.

Lihat….Musyrikin Mekah kenal Allah SWT dan mereka terima yang Allah lah Pencipta alam ini. Musyrikin Mekah akan jawab yang Allah SWT lah yang mencipta dan menjadikan mereka.

Mereka tidak akan kata berhala yang menjadikan mereka, atau malaikat yang menjadikan mereka dan lain-lain. Mereka akan tetap kata Allah SWT lah yang menjadikan mereka. Ini disebut dengan jelas dalam ayat-ayat seperti ini.

Maka, kalau ada yang mempertikaikan ajaran Tauhid 3T yang mengatakan Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah, maka kita boleh katakan yang mereka itu tidak baca al-Quran – atau, kalau mereka baca, mereka tidak faham al-Quran; maknanya, mereka orang jahil.

Musyrik zaman sekarang juga, mereka mungkin tidak kenal nama Allah SWT, tetapi mereka akan jawab: Tuhan yang satu. Tanyalah kepada orang Hindu contohnya. Baru kita tahu bahawa patung yang mereka sembah itu adalah ‘dewa’ sahaja, bukannya Tuhan.

فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

(Jika demikian) maka bagaimana mereka boleh dipesongkan?

Bagaimana mereka boleh terpesong fahaman dalam bab tawasul? Kalau mereka kata Allah SWT lah yang menjadikan mereka, kenapa mereka boleh sembah selain Allah SWT? Kenapa mereka boleh minta kepada Allah SWTmelalui perantaraan?

Itulah yang menghairankan sekali. Tentulah ada banyak sebab yang antaranya kerana mereka sombong untuk terima kebenaran.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Az-Zukhruf (Ayat 85-87)

📍Tabaruk ini sama seperti amalan bila balik dari umrah orang hendak peluk sebab mahu ambil berkat?

Ya,sama. Tiada berkat kepada orang balik dari tanah suci.

📍Biasanya orang yang belum mempunyai anak akan dukung bayi baru lahir. Alasan mahu ambil berkat walaupun tidak percaya kepercayaan itu, hanya setakat perkataan senda gurau. Adakah boleh termasuk syirik bersikap begitu?

Tidak boleh. Berkat milik Allah SWT. Allah SWT yang tentukan. Jangan bermudah-mudah dalam perkara ini.

📍Adakah asma wa sifat ini ada hubungan dengan 99 nama Allah SWT atau sifat 20 Allah? Sifat 20 itu adakah milik tarekat?

Hanya dengan 99 sifat itu. Sifat 20 kita tidak pakai dan sifat ini bukan kepunyaan Tarekat walaupun Tarekat juga gunakan. Ramai yang pakai fahaman sifat 20 ini tetapi sebab ada masalah dalam fahaman ini, maka kita tidak gunakan.

📍Mengapa masih ramai yang buat amalan di kuburan? Adakah mereka tidak mahu berfikir atau ambil mudah hanya mengikut tunjuk ajar guru?

Ini disebabkan mereka jahil dan termakan dengan ajaran ajaran yang salah.

📍Anak saya belajar kitab tauhid sifat 20 di sekolah agama. Apakah yang harus dibuat sebab anak perlu belajar untuk ambil periksaan nanti?

Terpaksalah belajar sebab hendak lulus peperiksaan tetapi perlu ajar juga tauhid 3 kepada anak nanti.

📍Pemahaman saya hanya Allah SWT yang memberi syafaat dan Nabi SAW membahagikan sahaja. Selama ini hanya tahu dan diajar Nabi SAW yang memberi syafaat.

Itulah salah faham. Sedangkan dalam Al-Quran jelas dalam [ Zumar: 44 ]:

قُل لِّلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا لَّهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).”

📍Ramai masih tidak tahu sebab hanya belajar Nabi memberi syafaat dan untuk dapat syafaat kena rajin berselawat. Bolehkah Nabi beri cadangan syafaat kepada Allah untuk seseorang.

Jika hendak rekomen kena kenal orang yang hendak dicadangkan itu. Macam mana Nabi hendak rekomen kita sedangkan baginda tidak kenal kita? Baginda tidak tahu kita buat syirik atau tidak atau ada sangka seru-seru baginda malam-malam hari dan di stadium itu baginda kenal? Mungkinkah sebab datang ke kubur baginda, baginda sudah kenal?

Tidak sama sekali kerana baginda tidak tahu tentang kita. Baginda sudah lama wafat.

Jadi minta rekomendasi baginda dengan seru baginda adalah sia-sia dan perbuatan syirik.

📍Apa yang seharusnya kita buat semasa melawat kubur Nabi? Bolehkah kita berselawat di kubur baginda?

Lawat sahaja sebab kubur baginda ada di situ. Sama macam kubur lain, dianjurkan beri salam. Jangan minta apa-apa dan jangan cakap perkara lain sebab baginda bukan dengar kalau bercakap-cakap dengan baginda. Ahli kubur sudah terputus hubungan dengan kita.

Kita ke Madinah kerana hendak lawat Masjid Nabi dan bukan kerana hendak lawat kubur Nabi. Oleh kerana kubur Nabi ada di masjid itu, maka bolehlah kita lawat sekali. Selawat boleh dibuat di mana-mana. Bukan dekat kubur baginda sahaja tetapi bolehlah berselawat di situ.

📍Bolehkah kita buat kesimpulan mengenai pengertian syafaat ialah suatu pemberian yang luar biasa yang Allah SWT beri kepada umatnya yang taat?

Syafaat kepada ‘hamba’-Nya yang taat dan bukan umatnya .

📍Bilakah kita akan dapat syafaat? Jika orang taat pada Allah tentu akan masuk syurga, maksudnya jika hendak masuk syurga kena ada syafaat.

Syafaat besar adalah permohonan Nabi Muhammad untuk mempercepatkan hisab. Ini semua makhluk akan dapat dapat. Kemudian syafaat menyelamatkan mereka yang ada dosa dan patutnya masuk neraka tetapi kerana syafaat, dapat masuk syurga terus. Ada syafaat yang mengeluarkan manusia yang sudah masuk neraka ke dalam syurga.

 📍Seharusnya masuk neraka kerana ada syafaat dapat masuk syurga terus. Bagaimana hendak dapat syafaat? Benarkah syafaat Nabi ini buat pelaku dosa selain syirik?

Jaga tauhid, banyak amal dan jauhkan dosa. Kita masuk tetap ada dosa tetapi dosa sikit-sikit itu boleh diselamatkan dengan syafaat. Dosa banyak kena masuk neraka dulu namun masanya disingkatkan. Kalau ada fahaman syirik, tidak ada peluang hendak masuk syurga. Terus kekal dalam neraka.

Ya selain syirik. Syirik tidak dapat syafaat langsung.

📍Kenapa kubur Nabi panjang dan di atasnya ada penutup? Bukankah di atas kubur tidak boleh diletak apa-apa. Apakah ini hanya kelebihan untuk Nabi sahaja?

Kubur Nabi normal sahaja di dalam itu ada tiga kubur iaitu kubur Nabi, Abu Bakar dan Umar. Apa yang kita nampak itu adalah penutup bahagian luar sahaja. Tidak dibenarkan masuk dalam. Kubur Nabi sendiri tidak ada binaan dan tidak pernah ada gambar kubur Nabi.

Info yang tersebar di medsos itu bukanlah kubur baginda. Satu kubur Nabi sahaja yang pasti dalam dunia ini iaitu Kubur Nabi Muhammad SAW. Kubur-kubur Nabi lain tidak ada kepastian.

📍Saya banyak dengar cerita pengalaman dari orang yang pergi menunaikan haji. Mereka berdoa dekat kubur Nabi untuk minta diberikan syafaat.

Berhabis duit pergi umrah dan haji tetapi buat syirik depan kubur baginda. Ini adalah kekeliruan yang amat besar dalam masyarakat kita. Kalau bukan kita beritahu, siapa lagi? Biarlah dimarah dan dikutuk, saya sanggup dan saya terima.

📍Mohon jelaskan sifat 20 secara ringkas.

Ia disusun berdasarkan kepada ilmu falsafah dan ilmu akal dan digubah untuk menjawab hujah ahli falsafah Yunan yang menolak kewujudan Tuhan. Jadi ia tidak relevan kepada setiap zaman. Macam kita tidak menolak kewujudan Tuhan.

Oleh kerana menggunakan ilmu falsafah, ia susah difahami sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu utama yang patut diketahui oleh semua orang. Kalau sudah susah sangat, sikit sangat yang dapat faham. Kalau kita belajar tauhid dari al-Quran maka akan nampak mudahnya Allah SWT jelaskan tentang tauhid.

Sifat 20 tidak memberi penekanan tentang tauhid dan syirik. Sampaikan mereka yang mempelajarinya tidak nampak juga apakah syirik itu kerana itu mereka tidak kisah buat tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan