Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-82 hingga Ke-84

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-82 hingga Ke-84

495
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-82

Adakah benar tanggapan mereka itu? Tentu tidak!

سُبحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Ia) dari apa yang mereka katakan itu.

سُبْحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi,

Allah SWT itu Maha Suci dari apa yang mereka katakan itu. Mereka sahaja yang memandai-mandai cipta satu akidah baru dalam agama. Mereka tidak ada dalil.

رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Tuhan Arasy, – (Maha Sucilah Ia) dari apa yang mereka sifatkan itu.

Allah Maha Suci dari apa yang mereka sifatkan-Nya, iaitu Dia ada anak angkat. Allah SWT juga Maha Suci dari memerlukan perantaraan dalam berdoa, dalam ibadat (kecuali wasilah yang dibenarkan).

Maka, janganlah kita buat ibadat kepada entiti yang lain. Berhentilah dari beri salam, sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat seperti yang dibuat oleh ramai dalam kalangan masyarakat kita. Berhentilah dari mengamalkan tawasul yang dilarang. Allah SWT menyebut bahawa Dia adalah Tuhan Arash. Arash itu amat tinggi dan Allah SWT itu di atas lagi dari Arash.

Ini hendak menceritakan ketinggian Allah SWT. Allah Maha Tinggi dari apa yang mereka sifatkan. Apa yang mereka sifatkan kepada Allah SWT itu adalah tidak layak untuk Allah SWT.

Sifat memerlukan anak ini adalah sifat makhluk yang lemah yang mahukan kesinambungan keturunan kita. Kita juga memerlukan anak-anak untuk menolong kita dalam kehidupan dunia ini.

📍Allah SWT tidak perlukan semua itu. Jadi, kenapa Allah SWT perlukan anak?

Tafsir Ayat ke-83

Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

‎فَذَرهُم يَخوضوا وَيَلعَبوا حَتّىٰ يُلاقوا يَومَهُمُ الَّذي يوعَدونَ

Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan).

‎فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا

Oleh itu, biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main

‎يَخُوضُوا dari kata dasar خوض yang asalnya bermaksud masuk dalam air dan diliputi oleh air itu. Maksudnya, seseorang yang tenggelam dalam apa yang sedang dilakukannya kerana tengah leka sungguh. Bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.

Dalam konteks surah ini, ia tentang mereka yang membantah-bantah dalam ayat-ayat Allah SWT. Mereka bersungguh-sungguh bantah tentang agama. Mereka terus menentang dengan memberikan hujah-hujah bathil (tanpa nas).

Biarkan mereka dalam kesesatan dan sedang leka bermain-main dan leka dengan dunia. Tidak perlu layan bantahan dan debat mereka itu. Jangan hiraukan. Jangan pula berhenti dari tabligh kepada mereka. Teruskan berdakwah kepada mereka.

Ayat ini juga tentang mereka yang bermain-main hal agama. Kalau hal agama, mereka akan buat main-main. Kalau kita beritahu sesuatu tentang perkara agama, mereka akan jadikan bahan jenaka.

Malangnya, ada penceramah yang bergitu juga, sampaikan ada yang dalam ceramah agama, mereka akan buat lawak juga. Padahal, perkara agama ini adalah perkara yang besar, perkara yang serius.

Maka, jangan kita layan ustaz-ustaz yang menggunakan lawak dalam kuliah mereka. Itu bukanlah cara untuk menyampaikan dakwah. Juga tentang mereka yang leka dengan dunia. Mereka sendiri tahu yang mereka akhirnya akan tinggalkan semua perkara yang mereka kumpulkan itu.

Bagaikan budak-budak main permainan daun terup. Mereka pakai duit dari daun. Mereka juga tahu yang duit daun itu tidak laku, tetapi semasa bermain itu mereka bersungguh-sungguh benar.

Apabila emak mereka panggil mereka makan, mereka tinggalkan sahaja, bukan? Begitulah perumpamaan dan kerana itu Allah SWT gunakan kata mereka jadikan dunia sebagai permainan.

Mereka tahu mereka akan tinggalkan semua pencarian dunia nanti apabila mati kelak, tetapi semasa mereka mencarinya, bersungguh benar mereka, leka sungguh sampai lupa akhirat.

‎حَتَّىٰ يُلَاقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ

sehingga mereka menemui hari mereka yang dijanjikan kepada mereka

Maksudnya iaitu janji yang mereka dijanjikan untuk menerima balasan dimasukkan ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab seksa.

Waktu itu baru mereka menyesal kerana leka sangat dengan dunia, sampai tidak bersedia untuk akhirat.

Tafsir Ayat ke-84

Ini adalah Dalil Aqli.

‎وَهُوَ الَّذي فِي السَّماءِ إِلٰهٌ وَفِي الأَرضِ إِلٰهٌ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ العَليمُ

Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

‎وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَٰهٌ

Dan (ingatlah), Allah jualah ilah yang berhak disembah di langit,

Allah lah sahaja yang layak disembah oleh penduduk langit.

‎وَفِي الْأَرْضِ إِلَٰهٌ

dan Dia lah ilah yang berhak disembah di bumi;

Allah SWT lah sahaja yang layak disembah oleh penduduk bumi. Tidak boleh sembah selain Allah SWT. Kalau di langit, Allah SWT itu Tuhan dan di bumi itu juga Allah SWT sebagai Tuhan, maksudnya Allah SWT lah sahaja yang layak disembah. Tidak ada Tuhan yang lain.

Tidaklah ada satu Tuhan di langit dan satu Tuhan di bumi pula. Di kedua-dua alam itu, Allah SWT lah sahaja Tuhan yang boleh disembah. Takut ada yang salah faham pula dengan ayat ini dengan kata ada dua ilah pula.

‎وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

Kenapa Allah SWT sahaja yang layak jadi ilah? Ini kerana hanya Allah SWT sahaja yang memiliki dua sifat ini.

Allah SWT memerintah alam ini dengan Maha Bijaksana kerana Dia Maha Mengetahui keperluan segala perkara. Dia juga yang Maha Mengetahui apakah hakikat dunia dan hakikat langit.

Kita hanya dapat mengetahui sedikit sahaja berdasarkan dari kajian sains. Namun pengetahuan yang sempurna hanya ada pada Allah SWT sahaja.

Allah SWT tahu apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sebelum dia lahir lagi.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Az-Zukhruf (Ayat 82-84)

📍Adakah ayat mereka sifatkan di bawah ini bermaksud termasuklah zaman kita sekarang ini?

“Apa yang mereka sifatkan kepada Allah itu adalah tidak layak untuk Allah.”

Allah memerlukan anak, Anak memerlukan perantaraan dalam doa, Allah tidak dengar kalau kita berbisik-bisik dan macam macam lagi salah faham manusia terhadap Allah SWT yang disebut dalam al-Qur’an kerana itu kena belajar 30 juzuk ayat al-Qur’an.

📍Dunia ini memang ujian sebab ada ketika saya masih leka dan lalai dengan dunia ini walaupun terasa diri mendekati mati. Apakah yang harus dibuat untuk mengatasi masalah ini?

Selalu baca al-Qur’an akan selalu ingat mati. Ini kerana setiap mukasurat al-Qur’an itu ada sahaja sebut pasal mati secara jelas atau tersirat (direct or indirect).

📍Sebelum ini saya selalu akan minta orang doakan, tetapi sekarang sudah tahu cara berdoa yang betul. Bagaimana tanggapan kita kalau ada orang hendak minta kita doakan, sedangkan doa yang lebih baik itu kita doakan tanpa diketahui orang lain.

Orang tidak belajar dia akan berharap dengan doa orang lain. Kalau ada orang minta doakan, maka kita boleh doakan. Cuma kena ingatkan dia kena berdoa sendiri sebenarnya. Doa dia lebih maqbul kerana dia lebih ikhlas.

📍Bolehkah kita doakan juga sambil kita nasihatkan dia bahawa doa sendiri lebih baik dan akan dikabulkan.

Boleh, kerana dia sudah minta tetapi jangan ajar pula kata boleh minta. Kita memang sepatutnya doakan orang kerana itu lebih baik.

📍 Adakah kemungkinan yang suruh orang doakan ini, mereka tidak yakin doa mereka di dengar atau dimaqbulkan Allah SWT sebab itu ada perantaraan?

Ya, memang benar. Kalau tanya penganut agama lain juga begitu sebab itu mereka minta sami, paderi doakan jadi sama macam orang kita juga. Ini kerana mereka buruk sangka dengan Allah (doa aku Allah tidak dengar tetapi doa dia ini Allah dengar ….) Yang penting belajar cara doa maka selesai masalah.

📍Bolehkah jika saya doakan dia tanpa dia minta dan tahu supaya maqbul? Doa dari orang yang kita tidak tahu dia mendoakan kita itu maqbul.

Dalil ada katakan ia akan maqbul. Amalan ini bagus kerana doakan orang lain tanpa diminta. Malaikat akan doakan kembali buat kita. Ini ada dalil juga.

Dalil doa dimakbulkan:

“Saya pernah pergi ke Syam dan mengunjungi Abu Darda’ di rumahnya. Namun saya tidak bertemu dengannya, lalu saya pergi menjumpai Ummu Darda’. Setelah itu, Ummu Darda’ bertanya kepada saya; ‘Hai Shafwan, apakah kamu akan pergi haji pada tahun ini? ‘ Saya pun menjawab; ‘Ya.’ Ummu Darda’ berkata; ‘Mohonkanlah kepada Allah kebaikan untuk kami, karena Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ‘Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dari kejauhan tanpa diketahui olehnya akan dikabulkan. Di atas kepalanya ada malaikat yang telah diutus, dan setiap kali ia berdoa untuk kebaikan, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan ‘Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu.’ Shafwan berkata; ‘Setelah itu saya pergi ke pasar dan di sana saya bertemu dengan Abu Darda’. Ternyata ia pun mengatakan seperti itu kepada saya yang diriwayatkannya dari Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan telah menceritakannya kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun dari ‘Abdul Malik bin Abu Sulaiman melalui sanad ini dengan Hadits yang serupa. dia berkata; dari Shafwan bin ‘Abdullah bin Shafwan.

(HR. Muslim: 4914)

📍Dulu saya berpendapat minta tolong ustaz , orang soleh atau ulamak doakan lebih baik sebab ustaz itu banyak ibadatnya dan maqbul doanya.

Salah sangka. Mana awak tahu dia banyak ibadat? Mana awak tahu dia soleh? Mana awak tahu dia ikhlas dalam doa dia? Tidak dapat dipastikan. Maka berharap doa sendiri sahaja.

Kalau dia tahu masalah kita dan dia otomatik doakan maka baguslah.

📍Bagaimana pula kalau kita sudah bertahun mohon doakan seseorang itu untuk berubah tetapi masih begitu juga?

Doa tidak maqbul lagi. Kita WAJIB berdoa kepada Allah SWT tetapi HARUS sahaja Allah SWT hendak beri atau tidak. Macam Nabi Zakaria, lama dia doa dapat anak. Akhirnya baru dapat anak. Begitu juga dengan Nabi Ibrahim, apabila sudah tua baru dapat anak.

Jadi perlu bertenang dan sabar. Relaks lah sebab doa bukan macam order pizza akan sampai dalam 30 minit.

📍Saya pernah dizalimi dan saya doakan beliau ditimpa kecelakaan/kemalangan tetapi sampai sekarang tidak dimaqbulkan, hingga sampai tidak percaya betulkah doa orang dizalimi mudah dimaqbulkan. Sekarang sudah lima tahun berlalu, tetapi sekarang saya rasa agak keterlaluan terhadap doa saya, apa patut saya buat, perlu ke doa untuk batalkan doa itu?

Allah SWT lebih tahu mana doa yang patut dimaqbulkan dan mana tidak. Mengadulah kepada Allah SWT dan beritahu awak sudah agak redha. Kalau Allah maqbulkan semua doa orang yang dizalimi, agaknya habis hancur tiada orang hidup atas muka bumi.

Orang potong kita dekat jalan, kita sumpah dia.

Orang curi duit kita, kita doakan dia mati.

Amerika tindas Afganistan, kita doa negara Amerika hancur….

Lama-lama tiada orang lah tinggal atas muka bumi ini.

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan