Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-78 hingga ke-81

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-78 hingga ke-81

414
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir ayat Ke-78

Ayat Zajrun. Kenapa mereka diseksa? Mereka diberitahu seperti yang disebut dalam ayat ini:

‎لَقَد جِئنٰكُم بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَكُم لِلحَقِّ كٰرِهونَ

(Bagi menyatakan sebabnya mereka dibiarkan di dalam azab, Allah Taala berfirman): “Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu (melalui Rasul Kami), akan tetapi kebanyakan kamu (telah menentangnya, kerana kamu) tidak suka kepada kebenaran itu”.

‎لَقَدْ جِئْنٰكُم بِالْحَقِّ

Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu

Mereka diseksa kerana Allah SWT telah menyampaikan kebenaran dalam bentuk Al-Quran dan telah dibangkitkan Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka.

Allah SWT telah memberikan guru-guru agama yang mengajar tauhid. Kalau dulu ada Nabi dan Rasul yang menyampaikan ajaran Allah SWT, tetapi sekarang manusia yang memberi peringatan itu. Bukannya Allah SWT tidak beri hidayah kepada mereka.

Tetapi apa yang terjadi?

‎وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَكُمْ لِلْحَقِّ كٰرِهُونَ

akan tetapi kebanyakan kamu tidak suka kepada kebenaran itu”.

Bukan mereka tidak tahu, tetapi mereka tidak suka kerana mereka sombong hendak ikut. Mereka berat hati hendak ikut. Hati mereka tidak boleh hendak terima. Mereka hendak menikmati kehidupan dunia tanpa kekangan.

Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam [ Shura: 13 ]:

‎كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).

Apabila tidak ikut, mereka akan buat perkara yang salah. Sebab itulah mereka di masukkan ke dalam neraka.

Tafsir Ayat ke-79

Ayat Zajrun (ayat teguran)

‎أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Bahkan mereka (yang kafir) itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan, maka Kami juga mengambil keputusan (menggagalkan rancangan mereka).

‎أَمْ أَبْرَمُوا أَمْرًا

Atau adakah mereka itu telah mengambil keputusan?

Kalimah أَبْرَمُوا dari kata dasar برم yang bermaksud ‘mengikat’ seperti mengikat tali. Jadi إبرَم bermaksud mengikat dan mengumpulkan sesuatu bersama.

Ini adalah satu peribahasa Arab. Sebab waktu itu, pembinaan rumah mereka menggunakan tali untuk mengikat bahagian binaan rumah dan ayat ini juga boleh bermaksud membuat rancangan.

Apakah rancangan mereka? Rancangan untuk menyelamatkan diri mereka dari neraka. Allah SWT tanya adakah mereka sudah ikat tali-tali mereka – sudah kah mereka ada rancangan untuk menyelamatkan diri mereka?

Ini kerana mereka berbincang sesama sendiri apa yang mereka akan buat kalau mereka dimasukkan ke neraka. Ada yang kata mereka akan merayu bersungguh-sungguh, ada yang kata mereka akan lawan dengan penjaga neraka kerana dalam Al-Quran disebut mereka itu beberapa orang sahaja.

Mungkin juga rancangan yang dimaksudkan adalah rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Ini kerana mereka sudah tidak boleh melawan Nabi Muhammad SAW dengan hujah, maka mereka buat perancangan untuk membunuh sahaja Nabi Muhammad SAW.

Kenapa mereka tidak bunuh dari awal-awal lagi? Ini kerana Nabi SAW ada penaung iaitu Abu Thalib tetapi selepas Abu Thalib mati, mereka nampak peluang untuk menjalankan rancangan mereka berhasil.

Namun, kabilah Arab amat kuat tahap persatuan mereka, sampaikan kalau kabilah yang membunuh ahli kabilah mereka, mereka akan bersatu untuk menentang kabilah yang membunuh itu.

Oleh itu, mereka telah membuat perancangan untuk bergabung semua wakil dari kabilah Arab untuk membunuh Nabi SAW. Itu adalah supaya Kabilah Bani Hashim tidak dapat hendak membalas balik kerana mereka terpaksa berhadapan dengan semua kabilah Arab.

‎فَإِنَّا مُبْرِمُونَ

maka Kami juga merancang

Kalau mereka telah tetap untuk tidak mahu beriman, maka Allah SWT turut membuat rancangan untuk menghancurkan mereka dan kalau begitu, Allah SWT juga sudah tetapkan akan masukkan dalam neraka.

Kalau mereka sudah dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak ada peluang untuk keluar lagi dari Neraka. Kalau mereka membuat rancangan untuk membunuh Nabi SAW, Allah SWT juga buat rancangan juga untuk menggagalkan rancangan mereka.

Rancangannya iaitu Allah hijrahkan Nabi SAW ke Madinah dan memenangkan Islam. Rancangan mereka tidak akan berjaya, tetapi rancangan Allah SWT akan berjaya.

Seperti yang Allah SWT firman dalam [ Ali Imran: 54 ]:

‎وَمَكَروا وَمَكَرَ اللهُ ۖ وَاللهُ خَيرُ الماكِرينَ

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Tafsir Ayat ke-80

Apa mereka sangka mereka akan lepas dengan perancangan mereka itu?

أَم يَحسَبونَ أَنّا لا نَسمَعُ سِرَّهُم وَنَجوٰهُم ۚ بَلىٰ وَرُسُلُنا لَدَيهِم يَكتُبونَ

Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) ada menulis segala yang mereka lakukan.

أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوٰهُم

Adakah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri?

Mereka sangka, dengan mereka berbincang sesama sendiri senyap-senyap di tempat tersembunyi, Allah SWT tidak tahu? Adakah mereka sangka perancangan sulit mereka itu selamat?

Sirr – perbincangan rahsia dua orang sahaja (atau apa yang ada dalam hati mereka dan diberitahu kepada orang lain).

Najwa – perbincangan rahsia lebih dari dua orang.

بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ

bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) ada menulis segala yang mereka lakukan.

Tentulah Allah SWT mendengar. Malah ada malaikat yang mencatat apa yang mereka rancangkan. Lalu bagaimana mereka hendak menyelamatkan diri mereka?

Semua itu akan dibentangkan kepada mereka sebagai bukti.

Tafsir Ayat ke-81

Balik kepada perbincangan Tauhid kembali. Ini adalah satu hujah yang Allah SWT ajar kepada Nabi SAW. Allah SWT menekankan yang Dia tidak mempunyai anak.

قُل إِن كانَ لِلرَّحمٰنِ وَلَدٌ فَأَنا أَوَّلُ العٰبِدينَ

Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): “Kalau betul Allah yang Maha Pemurah mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!”

قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدٌ

Katakanlah: “Kalau betul yang Maha Pemurah, mempunyai anak

Musyrikin Mekah itu menentang tauhid kepada Allah SWT. Mereka kata Allah SWT ada anak. Begitu juga agama-agama yang lain seperti Yahudi dan Kristian turut katakan Tuhan ada anak tetapi tidak pernah Allah SWT beritahu sendiri yang Dia ada anak.

Kalau ada, tentu Dia beritahu sendiri seperti firman-Nya dalam [ Zumar: 4 ]:

لَّوْ أَرَادَ اللهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendaki-Nya dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya.

Kalau Allah SWT hendakkan anak, tentu Dia sendiri pilih siapa anak-Nya, dan apakah yang kita perlu buat kepada anak-Nya itu – hendak kena sembah kah, hendak bagi korban kah dan sebagainya.

Sebenarnya, bukan ‘anak’ yang dimaksudkan. Mereka melantik ‘anak’ itu sebagai perantara doa sahaja untuk sampai kepada Allah SWT. Ini kerana mereka rasa Allah SWT tidak dengar doa mereka kalau tidak ada perantara.

📍Jadi, ‘anak’ yang dimaksudkan dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain adalah ‘na’ib‘ untuk menyampaikan doa mereka.

فَأَنَا أَوَّلُ الْعٰبِدِينَ

maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu;

Nabi SAW disuruh memberi satu hujah kepada manusia. Kalau Allah SWT itu ada anak dan Dia telah beritahu untuk sembah anak-Nya itu, tentu Nabi SAW sendiri akan mula-mula sembah kerana Nabi akan taat dengan apa yang Allah SWT suruh.

Namun Allah SWT tidak ada anak. Allah SWT tidak pernah kata Dia ada anak. Hanya yang Allah SWT suruh adalah menyembah-Nya sahaja. Jadi, kita hendak buat apa lagi? Sembah Allah SWT sahaja.

Jadi, apabila Nabi juga disuruh berhujah sampai begini, memang menunjukkan bahawa memang Allah SWT tidak akan ada anak. Jangan kita ingat ayat ini tidak kena kepada kita.

‘Anak’ yang dimaksudkan bukanlah ‘anak kandung’, tetapi ‘Anak Angkat’ Allah SWT (atau na’ib). Ini kerana manusia menyangka Allah SWT ada menyayangi makhluk-makhluk-Nya sampaikan macam anak angkat.

Maka, orang kita begitulah juga pemahaman mereka. Mereka kata ada orang yang rapat dengan Allah SWT, maka kenalah sembah mereka, beribadah kepada mereka, bodek mereka, gunakan mereka wasilah dalam doa dan sebagainya.

Sebab itulah ramai kalangan masyarakat kita yang beri salam, puji dan puja, sedekah al-Fatihah dan sebagainya kepada Nabi, wali dan Malaikat.

Apabila berdoa, sebelum berdoa mereka akan seru nama-nama wali, Nabi dan malaikat itu sebagai perantara dalam doa. Itulah salah faham dalam kalangan kita tentang ‘Anak Angkat’ ini.

Terjemahan kedua bagi ayat ini:

Nabi lah yang pertama-tama sekali mengingkari. Maknanya Nabi lah orang yang mula-mula menolak pembohongan itu iaitu menolak dengan beriman dalam mendustakan dakwaan Allah SWT ada wakil / anak / anak angkat / na’ib.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Az-Zukhruf (Ayat 78-81)

📍Apakah sebab orang kafir itu takut dengan Abu Talib?

🔵 Abu Talib orang dihormati dan dari keturunan mulia. Abu Talib juga adalah anak Abdul Mutallib, ketua Mekah.

📍Jika orang kafir buat strategi, Allah SWT dan malaikat mengetahuinya. Apakah Nabi SAW mendapat petunjuk dari Allah SWT tentang strategi kaum kafir sehingga Nabi SAW juga boleh buat perancangan supaya dapat memenangi peperangan.

🔵 Bukan semua keputusan yang Nabi Muhammad SAW buat berasaskan wahyu. Allah SWT benarkan Nabi buat keputusan sendiri, selalunya bab strategi perang baginda akan bermesyuarat dengan para sahabat.

Baginda tahu mana kena tunggu wahyu dan mana baginda boleh buat keputusan sendiri. Baginda menjadi contoh bagi manusia hingga akhir zaman. Kalau semua keputusan pakai wahyu, maka pemimpin zaman kemudian tidak boleh jadikan baginda sebagai contoh.

Manusia akan kata: owh Nabi bolehlah…dia dapat wahyu….

📍Salah faham dalam kalangan kita tentang ‘Anak Angkat’ dalam ayat 81 ini semua disebabkan tidak belajar tafsir? Bagaimana hendak ajak orang yang tidak tahu ini ustaz?

Ya kerana tidak belajar. Maka ajak sahaja nanti ada yang akan ikut dan ada yang akan tentang dan melawan. Ini biasa sahaja. Tidak boleh hendak harap semua akan ikut.

📍Apakah tips dan cara hendak ajak orang lain belajar?

Cerita pengalaman kita sendiri. Bagaimana kita dulu tidak tahu tetapi bila sudah tahu tafsir rasa rugi sangat masa tidak tahu itu. Cerita lah sedikit apa-apa perkara dan ilmu yang awak dapat. Bagi dia berasa minat.

📍Saya ada kongsikan tafsir surah az-Zukhruf ayat ke-78. Apa yang terjadi sama dengan zaman Nabi. Orang enggan terima kebenaran. Boleh dikatakan sombong padahal semua kena belajar sebab memang banyak yang tidak kita ketahui.

🔵AL-Qur’an memang az-zikra. Maksudnya pemberi peringatan. Beri ingat adalah kepada perkara yang orang sudah tahu. Allah SWT hendak beri ingat sahaja. Jadi tidak salah lah. Memang semua sudah tahu, hendak beri ingat sahaja kerana manusia ini pelupa. Selalu kena diberi ingatan.

  1. Bagi yang sudah belajar, ingatkan balik sahaja.
  2. Bagi yang tidak belajar, ingatkan balik fitrah yang sudah ada dalam alam roh lagi. Memang sudah kenal Allah SWT dan sudah kenal tauhid.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan