Tafsir Surah Az-Zukhruf
Tafsir Ayat ke-74
Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang penghuni-penghuni syurga. Apabila Allah SWT menceritakan tentang syurga, Allah SWT menceritakan juga tentang neraka.
Begitulah juga apabila diceritakan tentang orang beriman, diceritakan juga tentang orang yang tidak beriman. Begitu juga apabila Allah SWT memperkatakan tentang tauhid, Dia juga akan memperkatakan tentang syirik.
Oleh kerana itu, seorang guru mestilah memberitahu kedua-dua perkara itu iaitu kena beritahu kepada masyarakat apa yang perlu dilakukan dan juga perlu memberitahu kepada mereka apa yang perlu ditinggalkan.
Malangnya, kebanyakan guru hanya memberitahu apa yang perlu dilakukan sahaja, tetapi tidak memberitahu apa yang salah. Macam mereka cerita tentang syurga sahaja tetapi tidak sebut tentang neraka pula. Mereka tidak beritahu tentang kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat kerana takut masyarakat akan marah kalau diberitahu apa yang mereka lakukan adalah perkara salah.
Kesalahan seperti amalan-amalan syirik dan amalan-amalan bidaah tidak mereka beritahu kerana takut nanti masyarakat sudah tidak hormat mereka, tidak panggil mereka datang mengajar lagi, takut masyarakat tidak beri upah lagi kepada mereka.
Oleh kerana itu ramai masyarakat tidak tahu bahawa banyak perkara yang salah mereka lakukan kerana mereka tidak diberitahu. Kalau ustaz yang mengajar mereka turut tidak tegur, tentulah mereka sangka apa yang mereka lakukan selama itu adalah benar sahaja.
إِنَّ المُجرِمينَ في عَذابِ جَهَنَّمَ خٰلِدونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.
إِنَّ الْمُجْرِمِينَ
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa,
Dalam tafsir disebut dosa yang dimaksudkan adalah ‘dosa musyrik’. Mereka berdosa sama ada mereka sedar atau tidak sedar yang mereka telah melakukan syirik.
Mereka dikira salah dan berdosa walaupun tidak tahu kerana tidak ada usaha untuk belajar. Mereka juga telah terbukti berdosa dan telah dihakimi di Mahsyar. Mereka telah diadili dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT. Apa yang akan jadi kepada mereka?
فِي عَذَابِ جَهَنَّمَ خٰلِدُونَ
kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.
Mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka dan mereka akan kekal di dalamnya. Inilah sebesar-besar seksa yang mereka akan hadapi. Oleh kerana mereka kekal dalam neraka, ini bermaksud ‘dosa’ yang dimaksudkan adalah dosa syirik.
📍Azab yang paling berat di akhirat adalah kerana dosa syirik kerana jika seseorang itu beriman, tetapi ada melakukan dosa, dia akan dimasukkan ke dalam neraka tetapi tidak akan kekal di dalamnya.
Ini adalah pemahaman dengan ayat-ayat dan hadis Nabi. Cuma mereka yang melakukan syirik sahaja yang akan kekal dalam neraka selama-lamanya.
Tafsir Ayat ke-75
Allah SWT sambung dengan menceritakan azab kerana syirik.
لا يُفَتَّرُ عَنهُم وَهُم فيهِ مُبلِسونَ
Tidak diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka tinggal menderitainya dengan berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan),
لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ
Tidak diringankan azab itu daripada mereka,
‘Taftir’ adalah apabila sesuatu itu diringankan atau direhatkan. Itu tidak akan berlaku kepada ahli-ahli neraka walaupun sesaat, sejam atau sehari.
Mereka akan terus diseksa tanpa henti. Bukan itu sahaja, kekuatan seksaan itu juga tidak akan dikurangkan, malah akan bertambah. Memang ada ayat yang menceritakan bagaimana ahli neraka akan meminta kepada penjaga neraka untuk memberi rehat kepada mereka dari seksaan azab neraka, tetapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.
وَهُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ
dan mereka di dalamnya berputus asa
Kalimah مُبْلِسُونَ dari kata dasar ب ل س yang bermaksud tidak ada harapan – putus asa. Dari kata dasar yang sama juga Iblis dinamakan – kerana Iblis itu tidak ada harapan untuk selamat.
Ahli neraka memang ada merayu bersungguh-sungguh untuk diselamatkan dan dimaafkan, tetapi tidak dilayan dan akhirnya mereka akan putus asa. Ini dipanggil iblas. Mereka putus asa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka daripada keadaan itu. Mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana pun.
Permintaan mereka untuk keluar dari neraka, diberi rehat atau diberi kurang azab tidak diendahkan. Mereka akan terus menerima apa yang mereka akan terima di dalam neraka.
📍Tidak kah ini menakutkan sekali? Jadi kenapa tidak mahu mengamalkan tauhid? Kenapa ada lagi yang masih sembah dan buat ibadat kepada selain Allah? Kenapa ada lagi yang doa kepada selain Allah? Kenapa ada lagi yang mengamalkan tawassul dalam doa mereka?
Kalau di dunia, kita ada juga harapan yang kesusahan dan musibah yang kita hadapi akan diangkat, berkurang atau diberi penyelesaiannya.
Harapan itu akan mengurangkan sedikit rasa kesusahan yang kita alami itu. Paling kurang pun, kita tahu yang akhirnya kita akan mati dan apa yang sedang kita hadapi itu akan selesai juga dengan kematian kita.
Namun, bukankah di akhirat nanti tidak ada kematian? Ini dengan terang disebut dalam surah [ Taha: 74 ]:
إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ
“Sesungguhnya, sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.”
Tafsir Ayat ke-76
Adakah Allah SWT zalim dengan memberi azab kepada mereka selama-lamanya?
وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن كانوا هُمُ الظّٰلِمينَ
Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
وَمَا ظَلَمْنٰهُمْ
Dan tidaklah Kami menganiaya mereka,
Mungkin ada tertanya atau terfikir dalam hati: “tidakkah Allah SWT zalim dengan melakukan begitu?” Mereka gunakan akal mereka dan kira: manusia hidup dan buat salah selama mereka hidup sahaja (entah berapa tahun sahaja), tetapi kena azab selama-lamanya.
Jawapannya: Allah SWT tidak zalim kerana Allah SWT tahu apa yang akan dilakukan oleh manusia itu dalam ilmu-Nya yang sempurna – kalau mereka hidup lama lagi, mereka juga akan terus melakukan syirik.
Oleh dalam ayat ini, Allah SWT hendak memberitahu yang Dia adalah adil dan apa yang Dia lakukan itu tidaklah zalim. Allah SWT tidak zalim dengan mengenakan azab sesuka hati. Bukanlah Allah SWT terus membuat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka tetapi Allah SWT telah berikan peringatan demi peringatan kepada manusia.
Bukan sahaja diturunkan wahyu untuk manusia, tetapi Allah SWT bangkitkan juga para Nabi dan Rasul, para penyebar tauhid untuk memberi ingat kepada mereka; mereka sahaja yang degil tidak mahu dengar dan tidak mahu memberi perhatian. Jadi, tidaklah Allah SWT zalim.
وَلَٰكِن كَانُوا هُمُ الظّٰلِمِينَ
akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Mereka dikenakan azab kerana salah mereka. Allah SWT telah beri hidayah kepada mereka. Hanya apabila mereka menolak hidayah lah, baru mereka ditetapkan akan dimasukkan ke dalam Neraka itu.
Ini penting untuk kita fahami kerana jangan salahkan Allah SWT akan nasib mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu. Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka yang ingkar, bukan sebab lain. Ingatlah yang Allah SWT tidak pernah zalim sama sekali.
Tafsir Ayat ke-77
Selepas mereka dimasukkan ke dalam Neraka, apakah permintaan mereka?
وَنادَوا يٰمٰلِكُ لِيَقضِ عَلَينا رَبُّكَ ۖ قالَ إِنَّكُم مّٰكِثونَ
Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhan-Mu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”
وَنَادَوْا يٰمٰلِكُ
Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik!
Ini adalah permintaan mereka sebelum mereka jadi mublis (putus asa). Banyak sekali permintaan ahli neraka nanti yang disebut dalam al-Quran.
Mereka ada minta keluar untuk kembali ke dunia, mereka ada minta dikurangkan azab, minta diberi tangguh azab untuk seketika. Dalam ayat ini disebut lagi permintaan mereka. Ini adalah dalil bahawa nama malaikat penjaga neraka adalah Malik.
Banyak nama-nama malaikat yang tidak ada dalil, seperti nama Azazil, Izrail, sebenarnya tidak ada dalil. Maka, hendaklah kita guna nama yang digunakan dalam al-Quran ataupun dalam hadis. Nama Malik ini bukanlah bermaksud ‘Raja’ dalam bahasa, tetapi memang nama khasnya ‘Malik’. Allahu a’lam.
لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ
Biarlah Tuhanmu buat keputusan ke atas kami!”
Keputusan apa?
Keputusan untuk mematikan mereka terus. Mereka minta supaya mereka dimatikan sahaja kerana sudah tidak tahan menderita dengan azab neraka.
Kalimah لِيَقْضِ dari kata
dasar قضي yang bermaksud ‘memberi ketetapan’ dan dalam ayat ini bermaksud ‘ketetapan kematian’.
Macam kita kalau kena seksa di dunia, kita minta mati sahajalah, kerana sudah tidak tahan. Ini kerana kita tahu kalau mati, kesakitan itu akan berhenti. Malangnya, tidak akan ada kematian lagi di akhirat kerana mereka akan diseksa berterusan.
Kalau mereka mati, tidaklah merasa terseksa lagi. Padahal, tujuan mereka dimasukkan ke dalam Neraka adalah untuk merasai seksa. Maka, mereka tidak akan dimatikan. Mereka diseksa teruk sangat sampai rasa macam sudah hendak mati, tetapi mati tidak datang-datang.
Kalau sudah rentung, mereka akan diberi dengan kulit yang baru. Bayangkan, selalunya manusia tidak minta mati. Kalau sakit macam mana pun, manusia akan cuba hendak terus hidup juga. Manusia akan cari ubat, cari jalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan walau pun untuk masa yang sekejap lagi.
Namun lain pula di neraka nanti . Semasa di neraka, mereka beriya-iya minta supaya dimatikan. Menunjukkan seksa sangat rasanya. Kenapa mereka minta kepada Malik pula? Ini kerana apabila mereka berdoa Allah SWT tidak bagi mereka bercakap lagi. Itulah sebabnya mereka cuba minta kepada Malik pula.
قَالَ إِنَّكُم مّٰكِثُونَ
Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal!”
Selepas malaikat penjaga neraka ditegur selepas 1,000 tahun, baru dia menjawab tetapi jawapan yang diterima itu langsung tidak memberi kepuasan kepada mereka. Mereka diberikan jawapan yang mereka tidak akan diberi peluang langsung.
Sudahlah tidak ada peluang untuk diringankan azab dan direhatkan azab seketika juga tidak boleh, sekarang permintaan untuk dimatikan turut tidak dilayan.
📍Oleh itu ada dua yang kekal:
- Mereka akan kekal tidak mati-mati.
- Mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.
✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Az-Zukhruf (Ayat ke74 hingga ke-77)
📍Sekiranya kita melakukan perbuatan dengan riya’, adakah kita juga akan tergolong dalam golongan yang disebut itu (yakni kekal di dalam neraka)?
Apa yang saya faham riya’ juga merupakan sebahagian dari syirik juga kan ustaz?
🔹Riya’ dan sifat-sifat mazmumah yang lain adalah syirik khafi atau syirik kecil. Jadi tidak termasuk dalam syirik yang dimaksudkan dalam ayat ini (ayat ke-74).
📍Benarkah makna “menganiaya diri sendiri” dalam ayat ke-76 adalah mereka menolak wahyu setelah wahyu itu datang kepada mereka?
🔹Ya. Mereka yang buat salah sendiri. Tidak ada siapa pun yang paksa dan yang kena kesannya adalah mereka. Maka kerana itu dikatakan menganiaya diri sendiri.
📍Apa kah hukumnya jika membaca al-Fatihah atau Yaasin di kuburan? Tujuan ialah mengirim doa kerana masih banyak berlaku sekarang.
🔹Kuburan bukan lah tempat untuk membacakan al-Qu’an. Surah al-Fatihah dan Yaasin bukanlah surah untuk doa kepada simati. Maka perbuatan ini bukan sunnah dan perlu ditinggalkan.
📍Bagaimana kah amalan orang yang terakhir masuk syurga? Adakah hanya cukup dalam hati rasa percaya kepada Allah SWT sahaja?
🔹Beberapa kemungkinan:
- Malas beramal macam tiada langsung tetapi dia tidak syirik.
- Amal banyak, dosa juga banyak (Cancel out each other)
- Amal banyak tetapi ada fahaman atau amalan syirik. Bila syirik tiada pahala. Amal syirik = zero pahala
Kemudian dia taubat, kumpul pahala balik namun buat syirik, kosong balik. Jadi pahala tidak dapat kumpul.
Nota: Itu yang tidak buat syirik atau buat syirik tetapi sempat taubat. Kalau tidak taubat langsung? Kekal dalam neraka. Jika hendak taubat kena tahu mana yang salah. Baru dia akan taubat tetapi hendak tahu mana salah kena belajar tafsir al-Quran. Kalau tidak belajar, bagaimana?
📍Dalam senarai di atas, no 3 ini yang masuk dalam kategori muflis (bankrap) di akhirat?
🔹Tidak. Muflis (bankrap) itu sebab zalim dengan orang. Kena bayar pakai pahala. Kes lain.
📍Apa kah ini boleh jadi maksud orang terakhir masuk syurga sebab amalan sudah habis?
🔹Tidak tahu. Ada kemungkinan. Semua ini kita sampaikan, bukan: Owh…dapat tidak masuk syurga…Tapi: Alamak, bahayanya….aku takut dan tak nak masuk neraka. Janganlah jadi orang terakhir masuk syurga. Janganlah masuk neraka walaupun sesaat.
📍Benarkan kita masuk surga itu kerana rahmat dari Allah SWT, bukan kerana kita layak atau tidak?
🔹Ya,kerana rahmat-Nya. Tiada siapa pun layak masuk syurga kerana syurga itu sangat mahal. Hanya dengan rahmat Allah SWT sahaja boleh masuk syurga, jadi kena berharap kepada rahmat Allah SWT.
Allahu a’lam.