Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran – Tip 1 – Global Champion

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran – Tip 1 – Global Champion

142
0
Iklan

Tip-Tip Cemerlang

Tip 1 – Cemerlang dengan menjadi Global Champion

Global Champion – Jaguh Global

Umat Islam perlu:

  • mempengaruhi dan memimpin dunia berdasarkan kebenaran dan keadilan;
  • menjadi contoh yang baik bagi golongan lain; dan
  • faham Islam dan berasa mulia dengan ajarannya.

“Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu umat wasatha agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan rasul menjadi saksi atas perbuatanmu.” [ al-Baqarah: 143 ].

Wasatha bermaksud terbaik. Individu yang berasa bangga dengan Islam akan menghiaskan dirinya dengan ciri-ciri terbaik berteraskan agama. Mereka layak memimpin dunia.

Ciri-ciri penting yang perlu ada pada umat Islam untuk menjadi jaguh global adalah:

1.  Produk yang istimewa.Produk Islam adalah ajaran dan sistem hidup yang tiada tolok bandingan. Lancelot Lawton di dalam The Sphere, berkataAgama Muhammad, saya terpaksa mengakui, adalah lebih sesuai bagi Afrika daripada agama Kristian. Malah ia mungkin juga lebih sesuai bagi dunia keseluruhannya.”

2.  Berfikir seperti pemimpin, bukan pengikut yang ditekan oleh al-Quran di mana Allah SWT menyuruh umat Islam berdoa “Dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” [ al-Furqan: 74 ]. Imam (pemimpin) bagi orang-orang bertakwa bermaksud pemimpin yang berkualiti tinggi.

3.  Perkongsian Nilai. Nilai bersama yang utama yang Islam tekankan ialah amanah. Imam Alusi berkata, “Amanah adalah tanggungjawab yang berkaitan dengan hak-hak Allah dan hak-hak makhluk sama ada dalam bentuk perbuatan, perkataan atau pun kepercayaan.”

4.  Memberi fokus kepada inovasi, kajian dan pembangunan. Nabi SAW bersabda “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.” [ HR Muslim ]. Umat Islam perlu mencontohi Zulkarnain kerana beliau tidak menguasai dunia secara semberono sebaliknya berdasarkan perancangan yang rapi. Kalimat yang diulang-ulang dalam surah al-Kahfi adalah faatba’a sababa yang bermaksud, ‘(Zulkarnain) telah menggunakan pendekatan atau jalan yang pelbagai (bagi mencapai matlamat). Ini menunjukkan Zulkarnain adalah individu yang inovatif.

5.  Mementingkan kualiti. “Dialah (Tuhan) yang menjadikan kematian dan kehidupan supaya Dia menguji siapakah antaramu yang lebih ihsan (baik) amalannya.” [ al-Mulk: 2 ].

6.  Tidak berasa inferior atau rendah diri. Allah SWT menyatakan “Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah berdukacita kerana kamu adalah golongan yang tinggi jika kamu beriman.” [ Ali Imran: 139 ].

7.  Mampu bekerjasama. “Bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.” [ al-Maidah: 2 ].

 

Ledakan Kecemerlangan

Islam adalah agama ciptaan Allah SWT. Justeru, ia adalah agama yang hebat. Individu yang mengenali Islam secara yang betul akan berasa izzah atau mulia dengan Islam.

Apabila orang itu berasa mulia dengan Islam, hidupnya menjadi lebih terarah.

Segala aktiviti dalam hidupnya akan dijuruskan bagi menjadikan dirinya insan mulia iaitu insan bertakwa.

Izzah juga menjadikan individu itu mengasihi yang makruf dan membenci mungkar. Utamakan inovasi dan kualiti dalam hidup.

Jangan lupa menceritakan keindahan Islam kepada orang bukan Islam, di dalam dan luar negara. Khalifah Omar bin Khattab pernah berkata, “Kita adalah golongan yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan yang lain daripada Islam, Allah timpakan kehinaan ke atas kita.”

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan