Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-59

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-59

610
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf
Tafsir Ayat ke-57

Sekarang kita lihat apakah hujah yang digunakan oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad SAW. Ini adalah Dalil Naqli tentang Nabi Isa a.s yang ditujukan kepada orang Mekah.

Ayat ini ada hubungan rapat dengan ayat ke-45 kerana manusia keliru dengan perkara luar biasa, ia menyebabkan manusia boleh jadi syirik. Masyarakat kita juga banyak keliru kerana mereka tidak belajar agama dengan benar.

Orang kita sangka ilah-ilah itu hanya patung atau berhala sahaja. Mereka tidak faham bahawa yang dipuja itu adalah yang di sebalik patung dan berhala itu, iaitu Nabi, wali dan malaikat. Jadi ayat ini ada kaitan dengan penghuraian maksud ‘ilah’.

۞ وَلَمّا ضُرِبَ ابنُ مَريَمَ مَثَلًا إِذا قَومُكَ مِنهُ يَصِدّو

Dan ketika (Nabi Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, (untuk membantahmu wahai Muhammad), tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya (kerana menyangka bahawa mereka telah menang)

وَلَمَّا ضُرِبَ ابْنُ مَرْيَمَ مَثَلً

Dan ketika anak Maryam (Nabi Isa) dikemukakan sebagai satu contoh

Apabila diberi contoh golongan yang memuja Nabi. Ini adalah kisah bagaimana beberapa lelaki dari kalangan Musyrikin Mekah telah berhujah dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka mengemukakan kedudukan Nabi Isa a.s sebagai hujah untuk membantah Nabi Muhammad SAW.

Sebelum itu, Nabi Muhammad SAW telah memberitahu kepada Musyrikin Mekah bahawa tidak ada sembahan yang baik selain Allah SWT. Maka mereka telah berhujah, bagaimana pula dengan Nabi Isa a.s? Nabi Isa a.s juga disembah oleh ramai orang yang beragama Kristian.

Kalau benar kata Nabi SAW, maka Nabi Isa a.s itu tidaklah baik kerana dia bukan Allah SWT. Padahal, sebelum-sebelum ini, Nabi Muhammad SAW telah mengatakan bahawa Nabi Isa a.s itu adalah seorang yang baik, seorang Rasul. Jadi macam tidak selari dan tidak kena dengan apa yang dikatakan oleh Nabi dalam dua perkara itu?

Itulah hujah yang mereka kemukakan kepada Nabi Muhammad SAW. Apabila tidak ada hujah, mereka akan pakai apa-apa hujah yang ada. Sampai hujah mengarut turut akan dikeluarkan juga. Begitulah juga dengan ahli-ahli bidaah di negara kita. Macam-macam hujah akal yang mereka akan gunakan.

Ada juga riwayat yang mengatakan pada satu ketika, semasa Nabi SAW berdakwah kepada Musyrikin Mekah, baginda membaca ayat [ Anbiya: 98 ]:

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَارِدُون

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang selain dari Allah, akan menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.

Maksudnya, Musyrikin Mekah dan berhala -berhala yang mereka sembah itu akan dimasukkan dalam neraka dan dijadikan sebagai bahan bakarnya. Mendengar baginda SAW membaca ayat itu, mereka bertanya adakah ayat ini merujuk kepada sembahan mereka di Tanah Arab sahaja atau seluruh dunia? Nabi SAW jawab di mana-mana sahaja.

Mendengar jawapan baginda SAW, mereka berkata, kalau begitu, maka Nabi Isa yang disembah, Nabi Uzair yang disembah dan malaikat-malaikat yang disembah juga akan masuk neraka dan dijadikan bahan bakar juga.

Mereka telah pusing kata-kata Nabi Muhammad SAW. Selepas itu mereka bersorak gembira dengan bising-bising. Kenapa? Mereka sangka mereka telah berjaya membungkam mulut Nabi Muhammad SAW. Rasa sudah menang hujah. Begini juga dilakukan pada zaman sekarang – pusing kata-kata orang lain dan buat bising sampai orang yang dipusing itu tidak dapat membalas balik.

Maka, Allah SWT telah menurunkan ayat 101 dan 102 dari surah Anbiya untuk lebih menjelaskan lagi:

إِنَّ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا الْحُسْنَىٰ أُولَٰئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.

لَا يَسْمَعُونَ حَسِيسَهَا وَهُمْ فِي مَا اشْتَهَتْ أَنفُسُهُمْ خَالِدُونَ

Mereka tidak mendengar suara api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Maknanya, mereka yang disembah tetapi telah mati itu tidaklah termasuk dalam golongan sembahan yang akan dibakar dalam api neraka. Perkataan ‘memperoleh kebaikan’ yang digunakan dalam ayat 101 itu bermaksud mereka yang telah dijanjikan dengan syurga.

Mereka akan dijauhkan dari neraka. Mereka dulu semasa hidup tidak pernah menyuruh supaya mereka disembah sebaliknya mengajar umat mereka untuk hanya menyembah Allah SWT sahaja. Hanya mereka yang selepas itu sahaja yang memandai-mandai menyembah mereka.

Tambahan pula, lihatlah perkataan yang digunakan dalam ayat 98 itu – وَمَا تَعْبُدُونَ – perkataan مَا itu merujuk kepada benda yang tidak bernyawa. Jadi, Nabi Isa, Nabi Uzair dan para malaikat itu tidak termasuk dalam ayat itu kerana mereka itu makhluk yang bernyawa.

Maka yang menjadi bahan bakar itu adalah berhala-berhala dan benda yang tidak bernyawa. Bukanlah Nabi, wali dan malaikat yang dihumbankan tetapi syaitan yang mengarahkan mereka memuja Nabi, wali dan malaikat itu.

Orang Mekah yang silap faham – mereka sangka yang dipuja itu yang akan dihumbankan ke dalam neraka. Mereka tidak faham kerana telah ada syirik dalam hati mereka. Kenapa Allah SWT masukkan sekali berhala-berhala dan sembahan mereka dalam neraka bersama dengan mereka yang menyembah?

Mereka akan dimasukkan bersama-sama sebagai tekanan jiwa kepada ahli neraka itu. Mereka akan lihat sendiri benda yang mereka puja dulu pun dibakar sekali dengan mereka. Setiap kali mereka tengok, mereka akan menyesal dan berkata kepada diri mereka: kenapalah benda ini yang aku puja dulu?

Jadi ia sentiasa menjadi peringatan kepada mereka tentang apakah yang menyebabkan mereka masuk neraka.

إِذَا قَوْمُكَ مِنْهُ يَصِدُّونَ

dengan tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya

Selepas mereka memberikan hujah seperti di atas kepada Nabi Muhammad SAW, mereka bersorak keriangan kerana menyangka bahawa mereka telah menang. Seolah-olah mereka berkata: “Owh bukan kami sahaja masuk neraka rupanya, tetapi Nabi juga boleh masuk neraka….”

Mereka mengejek apa yang Nabi Muhammad SAW sampaikan dan ia samalah seperti pengamal bidaah di negara ini. Apabila mereka berhujah, mereka berhujah tanpa ilmu tetapi yang kasihannya, mereka sangka mereka pandai.

Apabila diberitahu kepada mereka apakah maksud ‘bidaah’, mereka dengan cepat akan berkata: “Kalau macam itu, jangan pakai kereta lah, pakai untalah kamu semua! Sebab Nabi tidak pakai kereta, pakai unta sahaja..”. Mereka juga selepas bercakap begitu, mereka rasa bangga kerana ingat hujah mereka itu kuat benar.

Mereka sangka mereka telah membungkam pengamal sunnah dan pengamal sunnah tidak dapat menjawab hujah begitu. Mereka gelak sesama sendiri – “ha, tengok hujah kita, kita tengok macam mana mereka hendak jawab!”

Hujah sebegitu amatlah bodoh dan keluar dari mulut dan akal yang jahil sekali tentang agama. Ini kerana dengan terang menunjukkan yang mereka itu tidak tahu apa-apa pasal bidaah.

Mereka tidak tahu bahawa walaupun dari segi bahasa, ‘bidaah’ itu adalah ‘perkara yang baru’, tetapi yang dilarang dalam agama adalah perkara baru ‘dalam agama’. Bukanlah semua perkara kehidupan.

Namun, bagaimana lagi kita hendak memberitahu mereka, sedangkan mereka belajar juga tidak mahu, tetapi menyokong amalan bidaah dengan membabi buta sahaja. Jawabnya, kena tetap berdakwah lagi kepada mereka.

Kalimah يَصِدُّونَ adalah jenis kegembiraan apabila melihat orang lain jatuh. Macam kanak-kanak yang kalau mereka lihat kawannya jatuh, mereka bukan hendak tolong, tetapi mereka akan gelak dahulu terhadap kawan mereka itu.

Musyrikin Mekah sangka yang mereka telah menang hujah dengan hujah Nabi Isa a.s itu dan mereka gelak dengan mengejek baginda. Lihatlah bagaimana Allah SWT menggunakan perkataan قَوْمُكَ (kaummu) dalam ayat ini. Maknanya, Allah SWT masih menyebut yang penduduk Mekah itu kaum Nabi Muhammad SAW lagi.

Ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW belum lagi boleh meninggalkan mereka. Oleh itu kena terus berdakwah kepada mereka. Hanya apabila diturunkan Surah Kaafiruun, barulah mereka sudah tidak dikira sebagai kaumnya lagi kerana Nabi sudah disuruh memanggil mereka dengan gelaran ‘Orang Kafir’. Itulah masanya baginda disuruh meninggalkan mereka dan berhijrah.

Tafsir Ayat ke-58

Musyrikin Mekah sangka yang penyembahan Kristian kepada Nabi Isa a.s adalah sama seperti penyembahan mereka yang memuja perantaraan lain – Nabi, wali atau malaikat. Ini kerana mereka sangka ia sama lah yang menyebabkan mereka melakukan perbandingan dengan agama Kristian itu.

وَقالوا ءأٰلِهَتُنا خَيرٌ أَم هُوَ ۚ ما ضَرَبوهُ لَكَ إِلّا جَدَلًا ۚ بَل هُم قَومٌ خَصِمونَ

Dan mereka berkata lagi: “Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa?” Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.

وَقَالُوا ءأٰلِهَتُنَا خَيْرٌ أَمْ هُوَ

Dan mereka berkata lagi: “Ilah yang kami sembah lebih baikkah atau Isa?”

Mereka sangka yang sembahan-sembahan mereka itu lebih baik lagi kerana penganut Nasrani menyembah seorang anak Tuhan sahaja tetapi mereka puja lagi ramai, iaitu malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Tuhan. Tentulah malaikat lagi ramai, maka mereka sangka sembahan mereka lagi bagus sebab lebih ramai.

‎مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا

Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata;

Mereka ada sifat jadal – suka membantah dan berdebat. Mereka hanya mereka-reka perkara untuk berbantah sahaja. Mereka bukannya berhujah kerana hendak mencari kebenaran. Ramai manusia yang begini, amatlah malangnya. Mereka belum apa-apa lagi terus membantah dan mengajak untuk berdebat.

Bukannya kita melarang berdebat dan berhujah, tetapi berdebat lah kerana hendak mencari kebenaran, bukan kerana berdebat semata-mata dan hendak diri menang.

‎بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali berdebat.

Mereka suka berdebat bukan untuk mencari kebenaran tetapi kerana hendak menang sahaja. Mereka suka mencari salah orang dan mencari-cari sebab untuk berdebat. Mereka akan jadi amat bangga kalau mereka menang dalam perdebatan itu.

Allah SWT mengajar kita untuk tidak buang masa untuk berdebat dengan mereka. Jangan debat dalam perkara yang membuang masa.

Tafsir Ayat ke-59

Dalam ayat ini, Allah SWT memperjelaskan kedudukan Nabi Isa a.s. Allah SWT beritahu yang Nabi Isa a.s yang dipuja itu adalah dari fahaman syirik puak Nasara, bukannya agama yang sebenar.

Nabi Isa tidak pernah suruh umatnya puja baginda. Ini adalah ajaran ulama sesat mereka. Seperti ajaran sebenar Nabi Ibrahim bukan macam yang dibuat oleh musyrikin Mekah.

‎إِن هُوَ إِلّا عَبدٌ أَنعَمنا عَلَيهِ وَجَعَلنٰهُ مَثَلًا لِّبَني إِسرٰءيلَ

Nabi Isa a.s itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat kepadanya (dengan pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan Kami yang menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.

‎إِنْ هُوَ إِلَّا عَبْدٌ

Nabi Isa itu tidak lain melainkan hanyalah seorang hamba

Allah SWT menegaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Isa a.s itu adalah ‘hamba’ sahaja, jadi kenapa mereka memasukkan baginda ke dalam kategori ‘tuhan’ atau ‘anak tuhan’? Baginda tidak pernah menjadi tuhan dan baginda juga tidak pernah mengatakan yang baginda adalah tuhan ataupun anak tuhan.

‘Hamba’ itu apabila dinisbahkan dengan Allah SWT, ia adalah kedudukan tertinggi. Tidak sama kalau hamba dinisbahkan sesama manusia, waktu itu hamba itu adalah kedudukan yang rendah, bukan? Jadi apabila dikatakan Nabi Isa a.s. itu seorang ‘hamba’, ia bukanlah merendahkan kedudukan baginda, sebaliknya meninggikan kedudukannya.

Allah SWT telah berfirman dalam [ Maidah: 116-117 ] tentang perkara ini mengenai dialog antara Allah SWT dan Nabi Isa a.s:

‎وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِن دُونِ اللَّهِ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ إِن كُنتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Ambillah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?’ “Nabi Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

‎مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلَّا مَا أَمَرْتَنِي بِهِ أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنتَ أَنتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

“Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu’ dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau wafatkan aku, Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.

‎أَنْعَمْنَا عَلَيْهِ

yang telah Kami kurniakan nikmat ke atasnya

Sebelum ini, telah disebut yang Nabi Isa a.s adalah ‘hamba Allah’ tetapi, walaupun baginda adalah hamba Allah SWT, baginda juga telah diberikan dengan banyak kelebihan. Banyak sekali nikmat yang diberikan kepada baginda. Baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan manusia termasuk penyakit yang tidak boleh disembuhkan dengan cara biasa.

Baginda juga boleh menghidupkan yang telah mati, membuat patung burung dari tanah liat dan dengan menghembus patung itu, burung itu dapat hidup. Semua itu dilakukan dengan izin Allah SWT semata-mata, bukannya kuasa mutlak dari Nabi Isa a.s.

‎Dalam surah [ Maidah: 110 ] telah disebutkan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada baginda.

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي وَتُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ بِإِذْنِي وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِي وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu al-Kitab, dan hikmat pengetahuan, Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinKu; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata”

Oleh itu, ayat ini menyenaraikan kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi Isa a.s.

1️. Baginda ditemani dengan ‘Ruhul Qudus’ (Roh Suci) iaitu Malaikat Jibrail. Bermula dari waktu baginda belum lahir lagi, ibunya Maryam telah ditolong oleh Jibrail. Jibrail lah yang mengajar Maryam untuk pergi ke mana, buat apa dan sebagainya semasa hendak melahirkan Nabi Isa a.s.

Selepas lahir juga, Nabi Isa a.s telah ditemani banyak kali oleh Jibrail, antaranya, Jibrail lah yang menasihati baginda untuk pergi ke mana-mana kerana ada pakatan untuk membunuhnya. Jibrail juga membantu baginda dalam menyampaikan dakwah kepada manusia. Ada yang mengatakan, Jibrail sentiasa menemani baginda.

2️.  Nabi Isa a.s. dapat berkata-kata dari kecil lagi. Tidak ada lagi manusia yang boleh bercakap semasa bayi tetapi Nabi Isa sudah berdakwah kepada manusia semasa bayi lagi.

3️.  Baginda diberikan dengan ilmu pengetahuan Kitab dan Hikmah, iaitu ilmu dari Kitab Taurat dan Injil. Juga akan diberikan dengan ilmu al-Quran dan hadis Nabi SAW.

4️.  Baginda dapat membentuk patung burung-burung dari tanah liat dan apabila baginda menghembus kepadanya, patung itu hidup bernyawa.

5️.  Menyembuh orang buta dan berpenyakit sopak.

6️.  Menghidupkan orang mati.

7️.  Menyelamatkan baginda dari dibunuh oleh Bani Israil. Mereka sangka mereka telah menyalib dan membunuh baginda, tetapi sebenarnya yang dibunuh adalah orang lain.

📍Perkara yang paling penting sekali, baginda telah dikurniakan dengan pangkat kenabian.

‎وَجَعَلْنٰهُ مَثَلًا لِّإِسْرٰءيلَ

dan Kami jadikan dia satu contoh bagi kaum Bani Israil

Ini sebagai tanda kekuasaan Allah SWT yang boleh menghidupkan manusia tanpa bapa seperti Nabi Isa a.s. Kalau Allah SWT boleh menghidupkan manusia tanpa bapa, tentu Allah SWT boleh menjadikan apa sahaja, antaranya Allah SWT boleh menghidupkan manusia yang telah mati.

Waktu itu, Bani Israil telah lemah akidah mereka walaupun sepatutnya mereka ada agama kerana ramai Nabi-nabi telah dilahirkan dari kalangan mereka. Maka, Allah SWT memberikan Nabi Isa a.s sebagai penguat akidah mereka.

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan