Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-48 hingga Ke-51

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-48 hingga Ke-51

574
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-48

Masih tentang kisah Firaun dan Nabi Musa.

‎وَما نُريهِم مِّن ءآيَةٍ إِلّا هِيَ أَكبَرُ مِن أُختِها ۖ وَأَخَذنٰهُم بِالعَذابِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).

‎وَمَا نُرِيهِم مِّنْ ءآيَةٍ

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa

‎Kalimah آيَةٍ (tanda-tanda) yg dimaksudkan dalam ayat ini adalah Mukjizat. Pertamanya, Nabi Musa telah diberikan mukjizat tongkatnya yang menjadi ular dan tangannya yang bercahaya. Dua jenis mukjizat itu telah ditunjukkan kepada Firaun dan barisan pembesarnya di istana Firaun.

Juga tanda-tanda itu juga boleh bermaksud ayat-ayat kalam Allah SWT yang Nabi Musa belajar dengan bapa mertuanya Nabi Syuaib yang diberikan kepada baginda semasa pertama kali baginda bercakap-cakap dengan Allah SWT di Bukit Thursina seperti yang diceritakan dalam Surah Taha.

Waktu Nabi Musa berdakwah kepada Firaun, baginda belum diberikan dengan Kitab Taurat lagi. Tanda yang dimaksudkan dalam ayat ini juga adalah bala bencana yang dikenakan kepada Mesir kerana mereka tidak mahu beriman. Ia dalam bentuk hukuman kepada mereka bila mereka tolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Ada sembilan bala semua sekali. Ini diceritakan dalam surah yang lain.

‎إِلَّا هِيَ أَكْبَرُ مِنْ أُخْتِهَا

melainkan tanda itu adalah lebih besar dari kakaknya (yang terdahulu daripadanya);

Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa dinaiktaraf dari satu mukjizat ke satu mukjizat. Mulanya tongkatnya menjadi ular kecil, kemudian ular besar dan setelah itu menjadi ular yang lebih besar lagi yang memakan ular-ular jelmaan tukang sihir. Seterusnya tongkat itu telah membelah laut. Tongkat itu juga apabila diketuk kepada batu dapat mengeluarkan air.

Mukjizat itu semakin menjadi hebat. Kalau dimaksudkan ayat dalam bentuk hukuman atau bala yang dikenakan kepada Mesir yang sembilan jenis itu, ia semakin teruk dari yang sebelumnya. Apabila mereka minta pertolongan kepada Nabi Musa dan kemudian mereka memungkiri janji mereka, bala yang dikenakan semakin teruk lagi.

Ini biasa, seperti kalau anak kita degil, sudah diberi hukuman tetapi masih degil dan buat salah lagi, maka akan dikenakan dengan hukuman yang lebih berat.

‎وَأَخَذْنٰهُم بِالْعَذَابِ

Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana),

Inilah sembilan bala yang dimaksudkan. Ini adalah azab semasa di dunia sahaja, nanti di akhirat akan kena azab lain pula. Penduduk Mesir telah dikenakan dengan sembilan bala supaya mereka dapat berfikir.

Disebut dalam [ A’raf: 130 dan 133 ]:

‎وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

Terdapat di dalam ayat [ 133 ] pula:

‎فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Bala itu diberikan kepada mereka kerana mereka menolak dakwah dan ajakan tauhid dari Nabi Musa. Setiap kali bala itu diberi, ia lebih berat dari sebelumnya kerana mereka telah berjanji dan mereka tidak menepati janji mereka. Maka bala yang diberikan adalah lebih teruk dari sebelumnya. Akhirnya mereka telah dikenakan bala yang paling besar – mereka telah ditenggelamkan dalam Laut Merah.

Begitulah kalau ada penyebar tauhid sudah beri peringatan dan dia berkata: “kalau tidak ikut, jaga-jagalah…” – Kalau penyebar tauhid itu bercakap begitu dan mereka tolak, Allah SWT akan berikan bala atau musibah kepada yang menolak itu. Bala itu boleh jadi dalam berbagai cara. Tujuannya supaya mereka beringat dan kembali kepada akidah tauhid.

‎لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali (bertaubat).

Bala-bala itu telah diberikan kepada mereka yang menolak supaya merendahkan diri dan ego mereka, supaya mereka kembali kepada Allah SWT dan tinggalkan amalan salah mereka. Mereka kembali menyembah Allah SWT sahaja dan jangan sembah selain Allah SWT. Ini kerana apabila kena kesusahan, mereka tidak sombong lagi dan senang untuk menerima nasihat dari orang.

Sepatutnya, apabila kita kena bala, kita kena kenangkan kesalahan kita yang menyebabkan kita kena bala itu dan segera kembali bertaubat dan kembali memperbetulkan iman dan amal kita. Itulah sebabnya Allah SWT turunkan bala kepada kita – untuk mengingatkan kita.

Kalau kita dikenakan dengan musibah seperti perniagaan jatuh, kita jatuh sakit, atau apa-apa masalah lain, kejadian itu sepatutnya menyebabkan kita kembali kepada Allah SWT. Ini kerana kita akan terkenang betapa tidak ada dayanya kita dan mula kita berdoa banyak-banyak kepada Allah SWT sambil memperbanyakkan ibadat kepada-Nya.

Bukannya kita pergi minta air tawar atau cincin Azimat dari mana-mana bomoh untuk menghilangkan bala dan musibah itu. Semua adalah perbuatan syirik yang lahir dari akidah syirik yang sudah ada dalam hati. Namun ramai yang buat macam ini dalam masyarakat kita.

Sebab itu perniagaan perbomohan masih ada lagi dan kesyirikan masih ada lagi. Bukannya juga kita amalkan doa tolak bala dan doa-doa yang mengarut yang entah dari mana. Ini banyak terdapat dalam pasaran dan ada sahaja yang memberikan doa-doa sebegini.

Sebaliknya amalkan doa-doa yang diajar oleh al-Quran dan dalam hadis yang sahih. Kalau tidak tahu juga, doa sahajalah dengan bahasa kita yang kita tahu, susun ayat sendiri. Itu adalah lebih baik dari amalkan amalan yang entah datang dari mana.

Selalunya doa itu pula diambil dari kitab sekian-sekian yang tidak dikenali dan bukan kitab yang muktabar. Kemudian adalah diberikan dalam kitab-kitab itu, khasiat doa dan amalan itu, orang ini dapat ini, orang itu dapat itu. Itu semuanya adalah kisah dongeng sahaja.

Ayat ini juga diberikan untuk memberi amaran kepada Musyrikin Mekah dan kita juga. Jangan sangka ayat-ayat al-Quran untuk orang kafir sahaja. Musyrikin Mekah juga dikenakan dengan bala untuk menyedarkan mereka.

Bala berupa kemarau yang panjang sampaikan makanan amat susah dicari. Mereka juga telah datang kepada Nabi Muhammad SAW untuk berdoa kepada Allah SWT supaya mengangkat bala itu. Namun, seperti juga Firaun dan pengikutnya, selepas bala itu diangkat, mereka tidak juga mahu beriman.

Jadi, kalau orang kita dikenakan dengan bala, kemudian mereka berdoa dan berjanji untuk jadi baik, jadi taat, tetapi selepas bala diangkat, kembali kepada keadaan lama, tidak ada bezanya dengan Firaun dan Musyrikin Mekah. Sama sahaja perangai mereka.

Jadi, kalau kita juga masih lagi mengamalkan amalan syirik, pergi jumpa bomoh, jumpa tok lebai, tok imam, Darul Syifa’ atau Darul apa-apa, kemudian amalkan zikir-zikir syirik, fahaman-fahaman syirik dan sebagainya, kita turut boleh dikenakan dengan bala juga.

Semoga kita diselamatkan dari bala-bala itu. Itulah sebabnya kita kena ajar dan sebarkan ajaran tauhid dan larang manusia dari buat amalan syirik. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Tafsir Ayat ke-49

Seperti yang kita telah sebut, selepas mereka dikenakan dengan bala itu, mereka telah datang bertemu dengan Nabi Musa untuk memujuk baginda berdoa supaya diangkat bala yang dikenakan kepada mereka itu.

Waktu itu mereka sudah agak yang apa yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka sanggah Nabi Musa. Sebab itu mereka pergi minta tolong kepada baginda.

Ini adalah contoh kata-kata orang yang meletakkan syarat untuk mereka beriman. Sebagai contoh, ada yang berkata: kalau mereka dapat projek, mereka hendak belajar agama; kalau mereka berkata begitu, walaupun mereka dapat projek itu, mereka tidak akan beriman juga.

وَقالوا يٰأَيُّهَ السّاحِرُ ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ إِنَّنا لَمُهتَدونَ

Dan (apabila bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata: “Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu; sesungguhnya kami (sesudah itu) akan patuh beriman”.

وَقَالُوا يٰأَيُّهَ السَّاحِرُ

Dan mereka merayu dengan berkata: “Wahai Ahli Sihir,

Selepas bala dikenakan kepada mereka, mereka telah datang bertemu dengan Nabi Musa meminta pertolongan baginda untuk berdoa kepada Allah SWT. Mereka yang datang itu adalah pembesar Mesir. Lihatlah bagaimana mereka memanggil Nabi Musa dengan gelaran ‘Ahli Sihir’.

Ini adalah kerana zaman itu, mereka memandang tinggi kepada ahli sihir kerana ahli sihir itu adalah mereka yang dikira pandai dalam masyarakat. Merekalah orang yang pandai dalam hal macam-macam. Kalau ada masalah, masyarakat akan pergi kepada mereka untuk menyelesaikan masalah mereka.

Maka, panggilan mereka itu sebenarnya adalah panggilan hormat. Bukanlah Nabi Musa itu seorang ahli sihir dan tidak pernah baginda mengaku menggunakan sihir. Sebaliknya, baginda menentang sihir yang diamalkan oleh mereka tetapi mereka tetap gelar baginda dengan gelaran ‘Ahli Sihir’.

Begitulah manusia ada yang menggelar orang lain berdasarkan pemahaman mereka yang cetek dan jahil. Itulah sebabnya mereka yang tidak tahu apa-apa terus menggelar mereka yang mahu mengamalkan sunnah dengan gelaran ‘Wahabi’.

Padahal, mereka yang mengamalkan sunnah itu tidak pernah menggelarkan diri mereka dengan gelaran Wahabi. Mereka yang menggelar orang lain itu Wahabi juga tidak tahu apakah maksud Wahabi itu.

Oleh kerana itu, kalau ada sesiapa yang menggelar orang lain sebagai ‘wahabi’, secara otomatik sudah boleh tahu yang orang itu adalah orang yang jahil agama, yang mengikut sahaja apa panggilan orang lain.

Sampai sekarang juga permainan sihir masih ada lagi termasuk dalam masyarakat kita. Itulah mereka yang digelar bomoh, dukun dan pawang. Sekarang, untuk lebih mencantikkan lagi amalan itu, mereka menggelarkan diri mereka ‘ustaz’. Mereka pakai kopiah dan serban, tetapi sebenarnya yang mereka amalkan adalah ‘sihir’.

Mereka sangka amalan mereka adalah amalan yang benar, tetapi mereka sendiri juga tidak tahu yang mereka mengamalkan sihir dengan menggunakan jin. Cara termudah untuk tahu adalah, mereka-mereka itu boleh ‘scan’ jin. Mereka boleh scan jin sebab mereka sudah lama berkawan dengan jin.

Mereka juga tidak tahu mereka berkawan dengan jin. Ada yang sangka mereka berkawan dengan ‘wali Allah’. Cara untuk berkawan dengan jin, mereka kena melakukan amalan-amalan yang salah. Jikalau ada amalan mereka yang berbaur syirik dan ia adalah amalan bidaah, ia akan mengundang jin.

Semakin banyak jin, semakin ampuh ilmu mereka dan mereka boleh buat macam-macam. Sampai ada yang boleh terbang, boleh pergi ke mana-mana dalam sekelip mata, boleh tunjuk tupai di pokok dan tupai itu jatuh, dan macam-macam lagi.

Perkara yang menjadikan masyarakat keliru adalah kerana pengamal-pengamal sihir ini menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai amalan mereka. Jadi, orang yang jahil sangka tentulah ustaz-ustaz itu benar kerana menggunakan ayat al-Quran.

Pahahal, ia tetap juga sihir – cuma bezanya sihir guna ayat al-Quran. Ini kerana bukanlah sepatutnya ayat Quran digunakan sebagai azimat. Kalau masyarakat itu ada masalah akidah, mereka akan memandang tinggi ahli shir, bomoh, dukun dan pawang ini.

Mereka dijadikan tempat minta tolong jikalau masyarakat ada masalah. Macam-macam masalah akan dirujuk kepada mereka. Anak hilang, anak kena rasuk, tolak hujan, turunkan hujan, barang hilang, anak lari, isteri lari, suami lari dan beribu lagi perkara.

Sampai ada ‘Dukun Diraja’, ‘Pawang Diraja’, Raja Bomoh sedunia turut ada, dan sebagainya dalam kalangan masyarakat itu. Sama sahaja macam Negara Siam yang kafir itu. Mereka juga ada bomoh dan pawang Diraja mereka.

Maknanya, itu adalah pawang yang paling hebat dalam negara. Malah, negara kita lagi hebat, kita ada pula ‘Maharaja Bomoh‘ yang digemparkan dulu apabila kapal terbang MH370 hilang. Kita lihatlah bagaimana pengakuan yang dilakukannya dan apakah perbuatan bodoh dan khurafat yang dilakukannya.

Orang sesat seperti Maharaja Bomoh ini masih ada lagi kerana memang masyarakat kita pun memang suka benda-benda sebegitu. Jadi mereka masih ada kerja lagilah sebab ada orang cari mereka.

Panggilan mereka kepada Nabi Musa itu bukanlah dalam nada menghina, tetapi boleh dikatakan sebagai satu penghormatan dari mereka kepada Nabi Musa. Hanya kerana mereka sanjung Ahli Sihir, maka apabila mereka hendak minta tolong kepada Nabi Musa, mereka panggil baginda dengan gelaran itu sebagai pujian.

Namun ada juga pendapat yang mengatakan yang panggilan itu adalah sebagai panggilan untuk menghina Nabi Musa. Nabi Musa telah beritahu mereka bahawa baginda adalah ‘Rasulullah’ tetapi sebaliknya mereka tidak mengiktiraf panggilan itu malah memanggil baginda dengan panggilan ‘Ahli Sihir’. Maknanya, mereka tidaklah ikhlas apabila datang bertemu dengan baginda.

ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ

pohonkanlah kepada Tuhanmu dengan janji yang diberikan kepadamu;

Inilah permintaan mereka kepada Nabi Musa. Janji yang dimaksudkan adalah janji yang doanya makbul kerana pada mereka, Allah SWT telah janji untuk bantu Nabi Musa kalau baginda berdoa atau janji Allah SWT kepada mereka bahawa jika mereka meninggalkan amalan syirik mereka, maka mereka akan diselamatkan daripada bala itu.

إِنَّنَا لَمُهْتَدُونَ

sesungguhnya kami (sesudah itu) akan menjadi orang mendapat hidayah

Maksudnya, mereka berjanji untuk beriman. Mereka kata, kalau Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT dan bala itu diangkat, mereka akan beriman. Itu syarat yang mereka telah letakkan. Ini adalah cara orang yang tidak beriman kerana mereka letak syarat untuk beriman. Pada hal iman itu bukan boleh letak syarat baru hendak beriman. Memang kena terus beriman.

Sebagai contoh, ada kalangan masyarakat kita yang kata, kalau dapat harta, dapat projek, baru hendak buat Haji. Ini sudah main-main dengan agama dan ini salah. Ini kerana buat ibadah Haji memang sudah wajib.

Mereka ini adalah jenis yang tidak akan beriman, tidak akan buat amal, kerana perangai mereka sama macam Firaun.

Tafsir Ayat ke-50

Bila mereka berjanji hendak ambil agama tauhid, maka Allah SWT angkat azab daripada mereka. Namun mereka yang ambil agama kerana sudah tidak ada cara lagi, itu tanda orang yang tidak ada sifat juang. Mungkin juga kerana ada benda keduniaan yang mereka hendak. Maka iman mereka sebenarnya tidak berharga mana. Maka janganlah kita jadi begitu.

فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ العَذابَ إِذا هُم يَنكُثونَ

Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الْعَذَابَ

Setelah Kami angkat azab itu daripada mereka,

Memang Allah SWT telah makbulkan permintaan mereka kerana mereka telah berjanji untuk beriman. Nabi Musa telah pergi ke Bukit Thur untuk mendoakan mereka. Sangka baginda, memang mereka akan beriman. Maka baginda telah berdoa kepada Allah SWT, dan kerana Nabi Musa yang berdoa, maka bala itu semuanya telah diangkat.

إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ

mereka terus mencabuli janji.

Semasa meminta tolong kepada Nabi Musa, mereka kata mereka akan beriman kalau bala itu diangkat tetapi apabila bala itu benar-benar diangkat, mereka mungkir janji. Mereka masih tidak mahu beriman. Mereka tidak mengaku yang mereka pernah berjanji begitu dan sengaja lupa apa yang mereka telah janjikan. Mereka tetap kufur.

Bukan sekali, tetapi banyak kali mereka memungkiri janji untuk beriman jikalau bala itu diangkat. Apabila diangkat satu bala, mereka masih tidak beriman. Maka Allah SWT turunkan bala lagi yang lebih teruk lagi. Mereka pergi minta tolong kepada Nabi Musa sekali lagi. Perkara ini berulang berkali-kali.

Begitu jugalah mereka yang berjanji untuk beriman, untuk datang kelas pengajian, untuk belajar tafsir dan sebagainya, kalau mereka mendapat apa yang dihajatkan. Sebagai contoh, ada yang berkata, “kalau ustaz doakan untuk saya, saya berjanji untuk beri beras 30 kampit kepada madrasah Ustaz”. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak beriman.

Sepatutnya mereka sudah kena datang kelas, belajar agama dan infak kepada jalan agama. Namun mereka meletakkan syarat pula untuk buat benda-benda yang mereka memang patut buat. Selalunya mereka yang berkata begitu, mereka tidak tepati janji mereka.

Tafsir Ayat ke-51

Firaun adalah seorang yang pandai berhujah kerana itu banyak hujah Firaun ada dalam al-Quran ini. Kita boleh lihat bagaimana hujah-hujahnya itu dipakai sampai ke hari ini oleh berbagai jenis orang.

Kadang-kadang manusia berhujah dengan menggunakan hujah Firaun, tetapi mereka tidak perasan mereka cakap sama sahaja macam apa yang dikatakan oleh Firaun. Ini kerana mereka tidak belajar tafsir al-Quran, mereka juga tidak perasan kata-kata mereka sama sahaja dengan kata-kata Firaun.

Ini adalah salah satu dari hujahnya.

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يٰقَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهٰرُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Tidakkah kamu melihatnya?

 وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ

Dan Firaun pula menyeru kepada kaumnya,

Selepas bala itu diangkat, Firaun telah memanggil kaumnya dan menyampaikan ‘Ucap Utama’ atau pengumuman penting darinya, sebab dia kena kawal keadaan kerana dia tidak mahu rakyatnya beriman kepada Nabi Musa. Bahaya kalau masyarakat sedar yang bala itu diangkat kerana doa Nabi Musa pula. Ini kerana kalau begitu, tentu ramai yang akan beriman dengan baginda. Jadi Firaun kena kawal keadaan.

قَالَ يٰقَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ

katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya?

Firaun kata kerajaan Mesir itu adalah kepunyaannya. Dia yang maha berkuasa di Mesir. Ini memang benar dari satu segi kerana Firaun adalah Raja Mesir. Firaun memerintah cara diktator. Dia adalah yang paling berkuasa di Mesir. Pembesar-pembesarnya pula adalah dari kalangan kaum kerabatnya juga. Maka, tidak ada yang lebih berkuasa dari Firaun.

وَهَٰذِهِ الْأَنْهٰرُ تَجْرِي مِن تَحْتِي

dan sungai-sungai ini mengalir di bawahku?

Ertinya ia dibawah perintahnya. Memang dia ada ilmu untuk mengubah aliran sungai itu untuk mudik ke hulu kembali. Dia boleh buat begitu dengan ilmu sihir. Begitu hebatnya Firaun waktu itu dengan ilmu sihirnya. Bukannya betul jadi, tetapi tipu pandangan mata sahaja.

Ada juga disebut dalam riwayat, bagaimana Sungai Nil itu hanya akan mengalir kalau diberikan dengan korban anak dara setiap tahun. Perkara itu berlangsung sampailah ke zaman Saidina Umar memerintah. Ini adalah ujian dari Allah SWT untuk menguji hamba-Nya.

Mungkin juga, maksudnya, dia boleh kawal laluan sungai itu dengan menutup aliran sungai ke tempat-tempat tertentu. Kalau ada orang yang dia tidak suka, dia akan suruh orang tutup laluan sungai itu ke tempat orang itu. Maka, susahlah orang untuk bercucuk tanam kerana sungai itu adalah punca rezeki untuk mereka.

Jadi Firaun gunakan asbab keduniaan sebagai hujah dia. Selain itu ia juga boleh bermaksud sungai itu mengalir di bawah istananya. Begitu hebat sekali istana Firaun, sampaikan boleh dibina di atas Sungai Nil.

أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Tidakkah kamu melihatnya?

Lihatlah bagaimana Firaun sedang kempen kepada rakyatnya supaya tetap ikut pemerintahannya. Dia halang rakyatnya dari ikut dan beriman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.

Firaun kempen menggunakan pangkat (jah) dan maal (harta). Cara inilah yang digunakan oleh kebanyakan manusia untuk menyesatkan manusia lain.

Dia menceritakan kehebatannya dan apa yang dia telah buat untuk menguatkan hujahnya dengan memberi isyarat yang kalau mereka tidak ikut, mereka akan ada masalah nanti. Kesannya akan susah kehidupan mereka kalau tidak ikut apa yang dia suruh.

Samalah dengan apa yang dilakukan oleh orang politik sekarang. (Tiada kena mengena dengan mana-mana parti). Ungkit dan janji sana sini. Kemudian bagi ancaman pula. Mereka akan menggunakan kuasa politik yang mereka ada untuk memaksa rakyat ikut telunjuk mereka.

Lagi satu, Firaun telah mengambil kesempatan dengan kejadian bala itu dengan memberitahu kepada rakyatnya bahawa bala yang terjadi kepada mereka itu berhenti disebabkan olehnya. Dia kata sebab dialah yang bala itu diangkat. Sebenarnya, yang mengangkat bala itu adalah Allah SWT kerana mereka telah berjanji yang jikalau bala itu diangkat, mereka akan beriman.

Setelah bala itu diangkat, Firaun telah pusing cerita dengan mengatakan yang dia maha berkuasa dan Sungai Nil mengalir dibawah takluknya. Begitulah bijaknya Firaun mengambil kesempatan dan mengawal pemikiran rakyatnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan