Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-24 hingga Ke-26

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-24 hingga Ke-26

262
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-24

Apakah Allah SWT suruh Rasulullah SAW berhujah terhadap dakwaan mereka yang hendak ikut apa yang diamalkan oleh orang-orang terdahulu itu?

Sebelum ini telah disebut bagaimana manusia ramai hendak ikut ajaran dan amalan tok nenek sahaja. Musyrikin Mekah begitu, masyarakat melayu begitu juga. Beginilah yang Allah SWT ajar Nabi SAW bagaimana hendak menjawab kepada mereka dan kita juga kena ikut bagaimana Nabi SAW menjawab dan berhujah dengan mereka.

‎۞ قٰلَ أَوَلَو جِئتُكُم بِأَهدىٰ مِمّا وَجَدتُّم عَلَيهِ ءآباءَكُم ۖ قالوا إِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ

Rasul itu berkata: “Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu ugama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.

‎قٰلَ أَوَلَوْ جِئْتُكُم بِأَهْدَىٰ

Rasul itu berkata: “Walaupun aku membawa kepada kamu yang lebih jelas hidayah petunjuknya?

Rasul itu berkata: “Masihkah hendak ikut mereka lagi walaupun aku bawa wahyu yang lebih baik lagi?”

 Kita juga kena kata begitu. Takkan hendak pakai lagi ajaran tok nenek kalau kita sudah bawa dalil dari al-Quran ataupun bawa dalil yang sah dari hadis yang sahih? Masih kamu hendak ikut juga? Ayat ini bukanlah hendak mengatakan ajaran tok nenek itu ada pimpinan, dan ajaran Islam punya lebih terpimpin. Tidaklah begitu.

Kalau faham macam itu, bahaya pula kerana seolah-olah mereka juga ada terpimpin, cuma kurang sahaja. Kita kena faham yang ayat ini sebagai cara berlembut hendak ajak sahaja. Ini cara dialog muzakarah yang Allah SWT ajar.

‎مِمَّا وَجَدتُّمْ عَلَيْهِ ءآبَاءَكُمْ

daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?”

 Ajaran dari al-Quran dan sunnah itu jauh lebih baik dari apa yang mereka amalkan dan ia tidak sama dengan apa yang mereka belajar itu. Mereka sahaja yang sangka amalan yang mereka lakukan itu benar, tetapi kalau dibandingkan dengan ajaran al-Quran dan sunnah, ia amat berlawanan dengan apa yang mereka lakukan.

‎قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ كٰفِرُونَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.

Setelah diberikan dengan dalil-dalil yang sah, akan ada juga yang masih ingkar tidak mahu ikut. Mereka ada yang berkata: “Apa yang kamu katakan itu sudah betul, tetapi yang guru aku ajar ini betul juga”.

Mereka yakin sangat yang guru-guru dan amalan tok nenek itu benar, sampaikan mereka tidak mahu juga hendak terima dalil yang diberikan. Hati mereka masih juga mahu menolak. Kedegilan mereka lebih kuat lagi. Padahal sudah habis hujah diberikan kepada mereka.

Allah SWT hendak beritahu kita yang memang ada manusia yang jenis macam ini, jadi jangan terkejut. Mereka tolak sebab mereka degil sahaja.

Tafsir Ayat ke-25

Ayat Takhwif Duniawi.

Selepas mereka menolak apa yang dibawa oleh penyebar tauhid dan penyebar tauhid tinggalkan mereka, adakah mereka akan dibiarkan begitu sahaja oleh Allah SWT?

‎فَانتَقَمنا مِنهُم ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

 ‎فَانتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan;

Allah SWT tidak akan lepaskan mereka begitu sahaja. Allah SWT akan beri azab kepada mereka kelak. Ada kaum yang Allah SWT putuskan langsung baka mereka sampai mereka tidak ada keturunan langsung.

‎فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan.

Allah SWT telah musnahkan kaum dan umat yang mendustakan kebenaran dahulu. Lihatlah sejarah apa yang terjadi kepada mereka. Ambillah pengajaran dari mereka. Jangan hanya membaca sahaja kisah mereka.

Maknanya, Allah SWT boleh balas keingkaran mereka semasa di dunia lagi, tidak perlu tunggu di akhirat. Allah SWT jadikan mereka sebagai pengajaran kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka.

Telah banyak umat-umat yang telah dimusnahkan kerana telah ingkar kepada Rasul-rasul mereka, seperti kaum Nabi Nuh, Luth, Aad, Tsamud dan banyak lagi. Lihatlah sikit bagaimana kesudahan buruk yang mereka alami.

Kalau Allah SWT tidak musnahkan mereka dengan azab yang menghancurkan tubuh badan, Allah SWT boleh hina mereka semasa mereka di dunia lagi.

Tafsir Ayat ke-26

Ini adalah Dalil Naqli Tafsili (kerana disebut nama Rasul).

Sekarang kita masuk kepada Kisah Nabi Ibrahim a.s kerana Allah SWT hendak ajar bagaimanakah akidah para Nabi. Kisah ini tentang bagaimana Nabi Ibrahim menghadapi kaumnya yang hanya ikut sahaja apa yang diamalkan oleh tok nenek mereka.

Kisah ini mulanya diberikan kepada Musyrikin Mekah. Ini adalah kisah sebenar Nabi Ibrahim a.s. dan Allah SWT sampaikan kerana Musyrikin Mekah perasan mereka ikut ajaran agama Nabi Ibrahim tetapi tidak sebenarnya.

Macam orang kita juga yang ramai perasan mereka sudah ikut ajaran Nabi Muhammad, tetapi tidak sebenarnya. Musyrikin Mekah tidak ikut ajaran Nabi Ibrahim padahal mereka sudah keturunan Nabi Ibrahim. Tidak boleh sangka baik dalam perkara ini.

Walaupun mereka keturunan Nabi, tetapi kalau salah, tetap salah. Tidak kira keturunan sesiapa termasuk sama ada mereka golongan ‘Habib’. Kita kena lihat benar-benar kisah Nabi Ibrahim ini dan ambil pengajaran darinya. Kisah ini adalah tentang akidah kerana pertembungan antara Nabi Muhammad SAW dan penduduk Mekah adalah tentang akidah.

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ وَقَومِهِ إِنَّني بَراءٌ مِّمّا تَعبُدونَ

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah

وَإِذْ قَالَ إِبْرٰهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ

Dan (ingatkanlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya:

Nabi Ibrahim berkata dalam ayat ini kepada bapa dan kaumnya selepas baginda dibakar kerana selepas baginda dinaikkan menjadi Nabi, baginda telah berdakwah kepada kaumnya.

Begitu juga dengan kita-apabila telah mendapat hidayah, kita kena sebarkan kepada orang lain. Jangan simpan sahaja. Apabila Nabi Ibrahim berdakwah kepada kaumnya, baginda telah ditangkap dan telah dimasukkan ke dalam api. Kisah itu ada disebut dalam surah yang lain.

Apakah kata baginda kepada mereka?

إِنَّنِي بَرَاءٌ مِّمَّا تَعْبُدُونَ

“Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah

Ini ada persamaan dengan kalimah syahadah la ilaaha illa Allah – iaitu menolak fahaman yang salah. Iman kena dimulakan dengan menolak fahaman yang salah.

Kalimah بَرَاءٌ bermaksud kita isytihar yang kita tidak ada kena mengena dengan perkara yang kita tidak suka. Kita jauhkan diri kita sebab kita tidak setuju.

Inilah yang dinamakan konsep wala’ wal bara’ – Cinta dan Benci iaitu kita tunjuk kita cinta kepada sesuatu yang baik dan benci kepada sesuatu yang tidak baik. Tidaklah kita tengok sahaja dan tidak buat apa-apa.

Kalau ada orang yang buat amalan bidaah seperti Majlis Tahlil, jangan kita ikut mereka pula. Kita kena tunjuk kita tidak suka. Yang Nabi Ibrahim berlepas diri itu adalah kerana mereka menggunakan perantaraan dalam berdoa.

Inilah penyebab kesesatan kepada manusia. Mereka mengaku bahawa Allah SWT adalah Tuhan tetapi mereka menggunakan perantaraan dalam doa. Itulah yang dinamakan Tawassul. Walaupun dalam masa yang sama, mereka percaya ada Tuhan yang Satu yang menjadikan alam ini.

Semua agama yang kufur ada perantaraan dalam doa mereka. Termasuk Syiah yang memuja Ahlul Bayt untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah SWT. Bayangkan bapanya dan kaumnya semua sekali mengamalkan syirik tetapi baginda tidak ikut mereka walaupun baginda berseorangan sahaja.

Bayangkan bagaimana baginda menolak ayah baginda dan kaumnya yang dia hidup dengan mereka dari kecil lagi. Maka tentu payah tetapi baginda sanggup lakukan. Maka kita jangan takut dengan kawan-kawan dan keluarga kita – kita kena berani menyatakan kebenaran.

Dalam ayat sebelum ini, disebut tentang mereka yang mengikut sahaja amalan orang lain. Memang jadi satu masalah apabila orang ramai dalam kalangan masyarakat kita buat perkara yang salah, tetapi kita hendak buat perkara yang benar.

Kita hendak larang sudah jadi satu masalah sebab ramai sangat yang buat. Kita hendak lawan pun, kita seorang sahaja. Maka, dalam keadaan begitu, kita disuruh mengikut sunnah Nabi Ibrahim yang menggunakan akalnya untuk menilai manakah yang benar.

Memanglah paling senang adalah kita ikut sahaja apa yang diamalkan oleh masyarakat yang ramai; tetapi tidak boleh begitu. Kita tidak boleh ikut mereka kalau mereka melakukan perkara yang salah. Kalau kita tidak boleh halang dan lawan mereka, sekurangnya kita kena isytihar yang kita tidak ikut cara mereka.

Ayat ini mengajar kita untuk berlepas diri dari mereka yang berbuat syirik. Kita kena beritahu mereka yang kita tidak setuju dengan cara mereka dan kita kena tinggalkan mereka. Jangan kita duduk-duduk dalam majlis mereka.

Jangan kita ada kena mengena dengan majlis mereka kerana kalau kita masih lagi bersama dengan mereka, ditakuti kita akan terikut-ikut dengan mereka. Kalau masyarakat buat Majlis Tahlil, jangan ikut serta, walaupun untuk makan sahaja.

Kenapa kita disuruh untuk ikut sunnah Nabi Ibrahim ini dengan isytihar yang kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan?

Ini kerana kalau kita tidak cakap dan senyap sahaja, nanti boleh dikira yang kita bersetuju dengan mereka. Macam kita sebahagian dari mereka pula. Oleh itu, kita kena pisahkan diri kita dari mereka dan untuk memisahkan diri kita dari mereka, kita kena isytiharkan. Tentunya ini memerlukan kekuatan iman.

Kita tahu, bukan senang hendak cakap perkara yang benar yang berlawanan dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat tetapi itulah agama – kena ada pengorbanan dan keberanian. Beranilah kerana benar.

Kita kena beritahu mana yang salah. Jangan kita senyap sahaja. Kalau kita senyap, macam kita setuju dengan kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Nanti orang jadikan kita sebagai jahil: “kau tengoklah, ustaz fulan itu pun senyap jer bila kita buat majlis ini…”.

Nabi Muhammad SAW juga telah isytiharkan perkara yang sama. Sebelum baginda SAW berpindah ke Madinah, baginda SAW telah isytihar yang baginda berlepas diri dari Musyrikin Mekah tetapi, bilakah baginda kata begitu? Selepas baginda SAW berdakwah kepada mereka bertahun-tahun lamanya.

Maknanya, kenalah dakwah dulu. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Maka bukan terus cakap kita tidak setuju dengan mereka. Hanya selepas mereka tolak ajakan dakwah kita berkali-kali, barulah kita isytihar sebegitu.

Allahu a’lam.

 

 

 

Komen dan Soalan