Kirim pahala melalui sedekah al-Fatihah kepada Ibu bapa yang telah meninggal dunia?
🔴 Memandangkan ulama’ mempunyai dua pendapat di dalam isu “menyampaikan pahala orang yang hidup kepada orang yang mati”, adakah boleh seorang anak yang soleh menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia berdasarkan hadith di bawah?
Hadith Nabi SAW:
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له
Terjemahan:
“Apabila mati anak Adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : sedeqah jariah, ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya dan anaknya yang soleh yang mendoakannya” (HR. Muslim no 1631)
Apabila terdapat dua pendapat ulama, kita perlu mentarjihkan pendapat yang paling kuat. Itu adalah metod (kaedah) untuk beramal dengan perkara khilafiah.
Adapun isu memberi sedekah bacaan al-Fatihah, ia bukanlah perkara khilafiah. Jikalau kita hendak memberi sedekah kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia, maka sedekahkanlah tanah, harta benda ataupun wang ringgit, bukannya dengan bersedekah bacaan al-Fatihah.
🔴 Apakah maksud “anak soleh yang mendoakannya” seperti yang disebut di dalam hadith di atas?
“Anak soleh yang mendoakannya” di dalam hadith tersebut ialah anak yang mukmin, menjalankan syariat agama dan tidak melakukan dosa besar. Doa anak yang soleh dan amalan solehnya memberi manfaat kepada ibu bapanya.
Ulasan
Amalan mengirim pahala ini bermaksud kita memiliki pahala tersebut dan berkuasa pula untuk memindahkan pahala itu seperti yang dikehendaki.
Sesiapa yang mencipta konsep “mengirim” pahala ini sudah termasuk ke dalam zon mengganggu (interference) tugasan malaikat dan kuasa Allah SWT.
Allahu a’lam.