Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-16 hingga Ke-18

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-16 hingga Ke-18

562
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-16:

أَمِ اتَّخَذَ مِمّا يَخلُقُ بَناتٍ وَأَصفٰكُم بِالبَنينَ

Patutkah Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak perempuan-Nya, dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

أَمِ اتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ

Patutkah Dia mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak perempuan-Nya,

Adakah patut Musyrikin Mekah mengatakan yang Allah SWT mengambil malaikat sebagai anak perempuan-Nya? Tidak pernah Allah SWT berkata begitu.

Ini hanyalah kerana kesesatan mereka sahaja. Mereka sahaja yang memandai-mandai setelah dibisikkan oleh syaitan untuk menyesatkan mereka. Mereka kata, anak perempuan Allah SWT itu (para malaikat) lahir kerana Allah SWT kahwin dengan jin. Masha Allah! Teruk sekali fahaman mereka.

وَأَصْفٰكُم بِالْبَنِينَ

dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

Tidak mungkin Allah SWT ambil anak perempuan dan berikan anak lelaki kepada Musyrikin Mekah? Itu adalah pembahagian yang tidak patut.

Allah SWT telah berfirman tentang perkara ini dalam surah [ Najm: 21-22 ]:

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah SWT anak perempuan (yang kamu benci)?

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

Allah SWT berfirman lagi dalam surah [ Nahl: 62 ]:

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ الْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الْحُسْنَىٰ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka mengadakan bagi Allah SWT apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah SWT. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

Maksud ayat ini adalah: Mereka sendiri tidak suka kepada anak perempuan, tetapi mereka berikan pula anak perempuan untuk Allah SWT. Ini amat tidak patut.

Dan Allah SWT berfirman lagi dalam surah [ Isra’: 40 ]:

أَفَأَصفاكُم رَبُّكُم بِالبَنينَ وَاتَّخَذَ مِنَ المَلائِكَةِ إِناثًا ۚ إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

Maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diri-Nya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.

Untuk diri mereka, mereka hendakkan anak lelaki tetapi untuk Allah SWT, mereka beri anak perempuan pula. Padahal kepada mereka, anak perempuan itu tidak bagus sampaikan ada yang menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Pada mereka, anak lelaki menguntungkan kerana boleh membantu dalam kehidupan mereka, sedangkan anak perempuan akan menghabiskan harta mereka kerana perlu dijaga. Sudahlah dijaga sampai besar, nanti selepas kahwin terus mengikuti dan berkhidmat dengan suaminya sahaja. Begitulah anggapan mereka.

Lihatlah bagaimana mereka memberikan apa yang mereka tidak suka kepada Allah SWT. Mereka tidak menilai Allah SWT dengan yang sepatutnya dan tidak menghargai Allah SWT sebenarnya. Mereka tidak suka anak perempuan, tetapi mereka beri anak perempuan kepada Allah SWT.

Tidaklah Allah SWT memerlukan anak, walaupun anak lelaki tetapi Allah SWT menceritakan bagaimana salahnya pemahaman Musyrikin Mekah itu.

Tafsir Ayat ke-17

Mereka kata Allah SWT ada ‘anak perempuan’. Bagaimana pula kalau mereka yang dapat anak perempuan?

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِما ضَرَبَ لِلرَّحمٰنِ مَثَلًا ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ

Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa ia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِمَا ضَرَبَ لِلرَّحْمَٰنِ مَثَلًا

apabila diberikan dengan berita gembira kepada salah seorang dari mereka dengan yang dijadikan mereka sebagai misal kepada Allah Yang Maha Pemurah,

Ini bermaksud kalau salah seorang dari Musyrikin Mekah, diberikan dengan berita yang mereka mendapat anak perempuan.

Kalimah بُشِّرَ bermaksud ‘diberikan dengan berita gembira’ dan ia juga boleh digunakan sebagai kata-kata perli. Macam kalau Allah SWT kata: “berikan mereka dengan ‘berita gembira’ akan dimasukkan ke neraka”.

Tentulah masuk neraka bukanlah berita gembira dan Allah SWT tahu yang mereka tidak suka mendapat anak perempuan, maka ‘berita gembira’ yang dimaksudkan adalah sebagai satu perli sahaja. Perli itu begini: Kamu berikan anak perempuan kepada Allah SWT, sekarang kamu juga dapat anak perempuan. Tahniah! Kamu dapat sama macam yang Tuhan ada!

Mereka telah jadikan ‘misal’ kepada Allah SWT iaitu yang mereka kaitkan dengan Allah SWT. Perkara yang dimaksudkan adalah ‘anak perempuan’. Tidak disebut ‘anak perempuan’ dalam ayat ini.

Al-Quran menggunakan bahasa isyarat yang merujuk kepada ayat-ayat sebelumnya kerana sebelum ayat ini adalah ayat tentang mereka memberikan ‘bahagian-bahagian’ kepada Allah SWT. Mereka kata Allah SWT mengambil anak perempuan.

Jadi, ayat ini bermaksud: Apabila mereka diberitahu yang mereka mendapat anak perempuan. Apa yang terjadi apabila mereka diberikan dengan berita itu?

ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا

mukanya menjadi gelap

Kalimah ظَلَّ dari ظ ل ل yang antara lain bermaksud ‘naungan’, juga bermaksud ‘berterusan’. Kalau sesuatu kawasan itu dinaungi dengan awan, maka ia menjadi gelap, bukan? Maka ini isyarat kepada wajah musyrikin Mekah yang dapat berita dia dapat anak perempuan.

Mukanya sampai gelap dan keruh muka mereka apabila mendapat berita itu. Itu adalah tanda mereka sedih sangat dan berterusan perasaan itu tidak berhenti. Bukan sahaja mereka sedih, tetapi mereka juga marah, malu dan macam-macam perasaan lagi dalam hati mereka.

وَهُوَ كَظِيمٌ

 sedang dia menahan perasaan dalam hati.

Mereka menahan kemarahan, kesedihan, malu dan bermacam perasaan mereka supaya orang tidak perasan yang mereka tidak suka dengan anak perempuan itu. Mereka tidak mahu orang tahu kerana itu akan menambahkan lagi malu mereka.

Lihatlah bagaimana marah dan tidak sukanya mereka apabila diberi berita yang mereka mendapat anak perempuan kerana mereka memang tidak mahu anak perempuan. Sampaikan ada yang apabila isteri mereka mengandung, mereka akan bawa isterinya itu ke kawasan pendalaman supaya jauh dari manusia lain.

Mereka akan duduk dalam khemah dan suami itu akan siap-siap gali lubang. Kalau isterinya melahirkan anak perempuan, terus dimasukkan ke dalam lubang yang telah siap digali dan dikambus dan kalau anak lelaki, barulah dibawa balik dan ditunjukkan kepada kaumnya yang lain.

Ada yang sampai tidak balik ke rumah jika mereka mendapat berita yang isteri mereka telah melahirkan anak perempuan. Mereka akan menyorok daripada khalayak ramai kerana malu.

Ini ada disebut di dalam ayat [ Nahl: 57-59 ]:

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ سُبْحَانَهُ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ

Dan mereka mengatakan Allah SWT mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).

 وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

 يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Dalam hal ini, Golongan Syiah telah memfitnah Saidina Umar dengan mengatakan yang Umar telah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Pernah dengar, kan? Cerita ini tersebar dalam masyarakat kita dan semua orang seperti menerima bahawa ianya adalah benar.

Ketahuilah yang itu adalah fitnah kepada Saidina Umar kerana tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan beliau ada membunuh anak perempuannya. Ketahuilah yang beliau dari bangsa Quraish dan bangsa Quraish tidak membunuh anak perempuan mereka.

Hanya puak tertentu dari bangsa Arab sahaja yang melakukannya, bukan semua dan kalaulah Umar membunuh anak perempuannya, bagaimana pula ada Habsah yang berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW? Kenapa tidak dibunuh juga?

Jadi, berhentilah kita mengatakan yang Umar membunuh anak perempuannya kerana beliau sudah mati dan kalau kita fitnah dia, bagaimana kita hendak meminta maaf? Janganlah tertipu dengan diayah yang dibawa oleh Syiah yang telah lama masuk dalam masyarakat kita.

Mereka memang benci dengan Saidina Umar dan mereka sanggup reka cerita palsu untuk menipu manusia. Maka janganlah berterusan dalam kejahilan. Memang sejarah yang kita ada kena dibersihkan kerana banyak yang salah, dan ini adalah salah satu darinya.

Tidak suka mendapat anak perempuan itu bukan sahaja terjadi kepada Musyrikin Mekah, tetapi kepada orang pada zaman sekarang juga. Ada yang tidak suka kalau mereka mendapat anak perempuan. Mereka rasa anak perempuan itu tidak menguntungkan. Dalam hati mereka, mereka mahukan anak lelaki tetapi sebenarnya anak perempuan lebih mulia dari anak lelaki.

Lihatlah dalam ayat [ Syura: 49 ]:

لِّلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Bagi Allah SWT jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah SWT sebut ‘anak perempuan’ dahulu sebelum sebut ‘anak lelaki’. Dari susunan itu, kita dapat isyarat bahawa Allah SWT mendahulukan dan memuliakan anak perempuan kerana kita faham bahawa susunan ayat-ayat al-Quran bukanlah tidak sengaja tetapi membawa isyarat tertentu.

Ada hadis dari Nabi SAW yang menyebut kelebihan mereka yang menjaga anak perempuan.

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.” Seorang lelaki bertanya: “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah SAW?” Sabda baginda: “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah SAW?” Rasulullah SAW menjawab: “Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Di dalam hadis yang lain:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a.,dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Maka, beruntunglah mereka yang diberikan kurnia anak perempuan oleh Allah SWT!

Tafsir Ayat ke-18

Allah SWT membuka apakah yang dalam hati mereka yang tidak suka dengan anak perempuan.

أَوَمَن يُنَشَّؤُا فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ

Patutkah (yang dikatakan anak Allah SWT itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

 أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ

Patutkah yang dibesarkan dalam perhiasan,

Ayat ini menceritakan tentang anak perempuan. Mereka itu biasa diberikan dengan barang perhiasan dari kecil lagi, dari bayi lagi. Bayangkan, selalunya anak perempuan yang belum berjalan juga sudah dipakaikan dengan loket dan gelang.

Bandingkan dengan anak-anak lelaki zaman itu: mereka bergaul dengan unta, binatang ternak, pedang dan lain-lain lagi yang sesuai dengan anak lelaki dan memang masyarakat Arab waktu itu mementingkan kekuatan badan dan kebolehan berperang.

Kalau anak-anak lelaki zaman sekarang, mereka main dengan kereta mainan, dengan pistol mainan dan lain-lain lagi yang menunjukkan sifat kelelakian mereka. Bukanlah kita hendak mengatakan ini salah, cuma hendak memberitahu kebiasaan yang dilakukan oleh ibu bapa kepada anak perempuan mereka dan apa yang dilakukan dalam kehidupan mereka.

Hendak menceritakan sifat perempuan itu bagaimana – mereka adalah makhluk yang lemah yang perlu dilindungi oleh mereka yang kuat. Allah SWT telah jadikan mereka memang begitu.

Allah SWT bertanya kepada musyrikin Mekah: Inikah yang kamu kaitkan dengan Aku? Kamu kaitkan Aku dengan makhluk yang lemah? Kamu hendak kata yang malaikat-malaikat itu lemah macam perempuan?

وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

dan sedang dia semasa berdebat tidak jelas?

Dalam berdebat untuk mendapatkan hak mereka dalam masyarakat. الْخِصَامِ adalah jenis perdebatan untuk mempertahankan diri. Memang begitu keadaan perempuan. Mereka tidak pandai berdebat dan kalau mereka berkata, tidaklah jelas macam lelaki. Mereka lebih kepada ikut perasaan. Keadaan di waktu itu juga mementingkan kekuatan badan dan kata-kata untuk mempertahankan diri. Begitu juga zaman sekarang.

Orang perempuan selalunya tidak pandai berdebat. Mereka susah untuk menegakkan hak mereka dan banyak bergantung kepada orang lelaki yang menjadi wali mereka. Mereka juga tidak pandai menggunakan kekerasan dan senjata serta tidak terlibat dalam peperangan kerana tubuh badan mereka yang lemah.

Mereka selalunya hanya akan menggunakan senjata mereka yang paling ampuh: Tangisan. Allah SWT tanya balik kepada musyrikin Mekah, adakah mereka seperti ini yang kamu kaitkan dengan Dia? Lihatlah betapa lemahnya orang-orang perempuan itu. Adakah patut mereka yang lemah di dalam masyarakat itu dikaitkan dengan Allah SWT? Tentulah tidak patut. Mereka sendiri juga tidak suka kalau mendapat anak perempuan.

Jadi ini adalah satu tafsir kepada ini. Allah SWT menyebut sifat-sifat yang ada pada perempuan itu.

Tafsir kedua kepada ayat ini:

Ini adalah kata-kata mereka yang telah diberikan dengan anak perempuan. Mereka menangisi nasib malang yang telah diberikan kepada mereka. Pada mereka, mereka telah diberikan dengan anak yang hanya hidup di dalam perhiasan sahaja. Mereka kena menghabiskan harta mereka untuk menjaga anak-anak perempuan mereka itu.

Apabila anak-anak perempuan itu dewasa, mereka begitu lemah sampaikan untuk mempertahankan diri mereka sendiri juga tidak boleh. Maknanya pada mereka, anak-anak perempuan itu langsung tidak dapat membantu ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi kalau ada pertelingkahan/peperangan.

Apabila anak itu sudah dewasa dan boleh berkahwin, mereka akan terus mengikut suami mereka. Bukannya berkhidmat untuk ibu bapa yang telah membesarkan mereka tetapi telah pergi kepada keluarga lain pula. Itulah rungutan mereka yang tidak suka bila mereka diberikan dengan perempuan.

Ini adalah tafsiran kedua dan dua-dua boleh dipakai.

 

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan