Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-6 hingga Ke-10

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-6 hingga Ke-10

501
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-6

Takhwif Duniawi

وَكَم أَرسَلنا مِن نَّبِيٍّ فِي الأَوَّلينَ

Dan (ingatlah), berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

Allah SWT tetap memberikan peringatan kepada manusia. Selepas diberikan dengan kitab dari-Nya, diberikan pula para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia. Sudah banyak para Nabi dan Rasul yang diangkat oleh Allah SWT supaya manusia mendapat peringatan dan ancaman.

Begitulah sayang-Nya Allah SWT kepada kita. Dia tidak turunkan wahyu sahaja, tetapi diberikan juga para Nabi untuk menjelaskan maksud wahyu itu. Begitulah juga dengan al-Quran ini. Allah SWT tidak turunkan al-Quran sahaja, tetapi Allah SWT angkat Nabi Muhammad SAW sebagai rasul untuk mengajar kita tentang al-Quran kerana kalau Nabi SAW tidak mengajar, kita tidak faham pun apa yang hendak disampaikan oleh al-Quran dan kita tidak tahu bagaimana hendak mengamalkannya.

Zaman sekarang sudah tidak ada Nabi lagi tetapi kita ada ulama-ulama penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran yang sama. Carilah mereka yang dapat menyampaikan ajaran yang benar. Hendaklah mencari guru yang boleh mengajar tafsir al-Quran dan hadis Nabi SAW. Itulah ilmu yang perlu dipelajari mula-mula sekali. Sebelum belajar kitab-kitab dan ilmu-ilmu agama yang lain, belajarlah dua perkara penting ini dahulu.

Tafsir Ayat ke-7

Allah SWT telah turunkan penyebar tauhid kepada manusia tetapi apa yang manusia lakukan kepada mereka?

وَما يَأتيهِم مِّن نَّبِيٍّ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Dan tidak ada seseorang Nabi yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

 وَمَا يَأْتِيهِم مِّن نَّبِيٍّ

Dan tidak ada seseorang Nabi yang datang kepada mereka,

Apa yang selalu terjadi apabila seseorang Nabi datang berdakwah kepada kaumnya?

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

Ini adalah kebiasaan yang terjadi kepada para Rasul kerana ini adalah kebiasaan orang yang tidak mahu menerima dakwah. Mereka akan mengejek dan akan kata macam-macam. Mereka kata kita yang sesat dan tipu dan katakan Allah SWT tidak pernah kata begitu, tetapi kita sahaja yang memandai memperkatakan begitu.

Begitulah yang para Nabi terima dan inilah juga dugaan yang akan diterima oleh para pendakwah. Memang tidak boleh hendak ditolak lagi. Allah SWT memang telah sediakan siap-siap orang-orang sebegini sebagai ujian untuk kita.

Mereka yang lemah imannya, akan gagal dalam cubaan ini kerana kena kutuk, kena ejek sikit, sudah tidak berani berdakwah. Mereka takut dengan orang lain. Mereka takut dengan orang yang jahil!

Tafsir Ayat ke-8

Setelah mereka menolak, apakah kesan kepada mereka?

فَأَهلَكنا أَشَدَّ مِنهُم بَطشًا وَمَضىٰ مَثَلُ الأَوَّلينَ

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telah pun disebutkan (berulang-ulang di dalam al-Quran) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

فَأَهْلَكْنَا أَشَدَّ مِنْهُم بَطْشًا

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih hebat kekuatan serangan dari mereka;

Allah SWT memberi peringatan kepada Musyrikin Mekah. Allah SWT beritahu dalam ayat ini bagaimana sebelum mereka, telah ada kaum lain yang lebih kuat daripada mereka. Musyrikin Mekah sangka mereka kuat, tetapi yang lagi kuat dari mereka telah sudah dimusnahkan.

Musyrikin Mekah itu sangka mereka hebat tapi mereka lupa yang mereka itu mengharap makanan dari tempat lain kerana tempat tinggal mereka itu gersang tidak ada apa. Mereka dapat sumber kerana mereka ada keluar berniaga sahaja, kalau tidak, makanan juga mereka tidak ada.

Ada banyak jenis kekuatan, ada banyak peringkat. Ada yang kuat menahan serangan tetapi بَطْشًا bermaksud ‘serangan’. Ia adalah kekuatan yang boleh mencengkam dan memusnahkan. Bermaksud kaum itu amat kuat sampaikan boleh menyerang kaum yang lain tetapi mereka yang kuat begitu telah dimusnahkan juga.

وَمَضَىٰ مَثَلُ الْأَوَّلِينَ

dan telah pun disebutkan tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

Kisah-kisah umat terdahulu telah banyak disebut dalam al-Quran. Kita sendiri boleh periksa kebenaran kisah-kisah itu kerana kisah mereka ada disebut dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang telah mengkaji tamadun-tamadun dahulu. Ramai kaji kehidupan mereka, apa mereka pakai, apa mereka makan, tetapi tidak ramai yang kaji apa akidah mereka dan sebab apa mereka dimusnahkan. Sebagai contoh, kita belajar dalam sejarah tamadun Inca, tetapi adakah kita tahu kenapakah mereka dimusnahkan?

Kisah-kisah umat dahulu dijadikan sebagai pengajaran kepada kita supaya kita beringat dan jadikan mereka sebagai sempadan. Jangan kita buat seperti mereka kerana Allah SWT boleh sahaja kenakan azab yang sama. Jangan kita sangka kita terselamat. Ramai yang sangka apa yang terjadi kepada umat dahulu tidak akan terjadi kepada kita. Macam kita tengok orang kemalangan jalan raya.

Kita rasa mereka sahaja yang kena. Kita lupa yang kita pun boleh kena kalau Allah SWT sudah takdirkan. Ingatlah bahawa sejarah berulang kerana manusia tidak mengambil pengajaran. Mahu kah kita kehancuran yang sama diberikan kepada kita?

Ayat ini adalah amaran kepada penduduk Mekah dan sekitarnya. Musyrikin Mekah tahu tentang kisah kaum-kaum terdahulu yang telah musnah seperti kaum Aad dan Tsamud. Termasuk juga kita, kena belajar tentang kesalahan yang dilakukan oleh kaum terdahulu.

Memang Allah SWT turunkan al-Quran kepada mereka walaupun mereka ingkar, melampau dalam kehidupan mereka. Kemudian Allah SWT beri para Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada mereka tetapi kalau lama kelamaan mereka tetap ingkar, tidak mahu mendengar nasihat, masih lagi mengamalkan syirik, mereka akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

Kita juga tidak tahu sama ada Allah SWT akan terus memberikan peringatan kepada kita. Amalan syirik dan khurafat memang banyak diamalkan di negara dan dunia sekarang. Bukan sahaja diamalkan oleh orang kafir, orang Islam juga sekali. Kalau Allah SWT takdirkan azab diturunkan, ke mana lagi kita hendak selamatkan diri kita? Kalau kita tidak amalkan, kita akan terkena azab itu juga. Semoga kita diselamatkan oleh Allah SWT.

Tafsir Ayat ke-9

Ini adalah dalil Aqli I’tirafi. Ada akidah musyrikin Mekah yang benar dan beberapa perkara tauhid yang mereka sudah terima. Allah SWT iktiraf akidah mereka yang benar dan suruh betulkan mana yang tidak benar. Bukanlah semua akidah mereka itu salah.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ خَلَقَهُنَّ العَزيزُ العَليمُ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

وَلَئِن سَأَلْتَهُم

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:

Nabi Muhammad SAW disuruh bertanya kepada Musyrikin Mekah untuk mengeluarkan apakah akidah mereka sebenarnya. Ini adalah salah satu dari cara dakwah – bertanya kepada orang yang kita dakwahkan itu apakah pegangan mereka supaya kita boleh mengetahui apakah akidah mereka.

مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

“Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”

Alam yang begini indah dan hebat ini, siapakah penciptanya? Takkan ia terjadi dengan sendiri pula? Kita juga boleh tanyakan soalan yang sama kepada orang ramai kepada orang kafir, orang atheis dan orang Islam sekali pun.

لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Musyrikin Mekah juga akan mengaku bahawa Allah SWT yang mencipta langit dan bumi. Mereka tidak berdolak dalik. Yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui adalah hanya Allah SWT sahaja. Walaupun tidak disebut dalam ayat ini yang mereka menyebut nama ‘Allah SWT’, tetapi kita tahu bahawa yang mereka maksudkan adalah Allah SWT kerana dalam ayat-ayat yang lain, jelas mereka menyebut nama Allah SWT.

Mereka percaya bahawa Allah SWT adalah Tuhan. Mereka tahu bahawa Allah SWT adalah pencipta alam ini. Dari ini, kita tahu mereka ada apa yang dinamakan Tauhid Rububiyyah dalam diri mereka. Mereka terima bahawa Tuhan itu ada dan Musyrikin Mekah memang terima bahawa Tuhan itu bernama Allah SWT. Mereka tahu dan terima bahawa Allah SWT lah sahaja yang boleh mencipta alam ini.

Ramai yang mungkin terkejut dengan kenyataan ini. Mereka kehairanan dengan muka yang keliru, berkata: “Apa?! Musyrikin Mekah percaya kepada Allah SWT?!” Mereka kata kita sesat kerana kata Musyrikin Mekah ada tauhid. Ya, mereka memang ada sebahagian dari ilmu tauhid iaitu mereka percaya kepada Allah SWT. Ini jelas dalam hadis-hadis dan pembelajaran Sirah.

Bagi yang tidak tahu adalah hanya kerana mereka tidak belajar sahaja dan tidak belajar al-Quran kerana memang jelas dalam ayat ini memberitahu bahawa Musyrikin Mekah menerima akidah yang Allah SWT yang mencipta alam ini.

Maka, hendaklah mereka mempelajari Sirah untuk mengetahui bagaimanakah kepercayaan Musyrikin Mekah terhadap Allah SWT. Allah SWT hendak memberitahu mereka dalam ayat ini: Kalau mereka menerima Allah SWT yang menjadikan alam ini, maka hendaklah mereka sembah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain.

Oleh itu, dalam pembelajaran Tauhid Tiga Serangkai (atau digelar juga Tauhid 3T) (Tauhid Rubibiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Asma’ wa Sifat), kita belajar bagaimana Musyrikin Mekah itu ada pemahaman Tauhid Rububiyyah tetapi yang mereka tidak ada, adalah apa yang dinamakan: Tauhid Uluhiyyah. Ia adalah kepercayaan, hanya Allah SWT sahaja yang wajib disembah, diibadati, dipuja, diharap – tidak ada yang lain lagi.

Mereka tidak hanya menyembah Allah SWT. Mereka memang sembah dan berdoa kepada Allah SWT, tetapi mereka juga sembah dan berdoa kepada selain dari Allah SWT. Sebab itulah mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan mereka. Mereka merasakan yang berhala-berhala itu akan menyampaikan doa mereka kepada Allah SWT. Mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai tawasul.

Kenapa ayat ini penting?  Orang kita mengaku yang Allah SWT itu Tuhan, Dia yang menjadikan alam ini seluruhnya. Orang kita juga melakukan ibadat kepada Allah SWT tetapi dalam masa yang sama, orang Islam kita sembah entiti yang lain, taat kepada yang lain, melakukan ibadat kepada yang selain Allah SWT.

Maka, kalau itulah sifat Musyrikin Mekah, apa yang kita hendak panggil orang Islam sebegini? Musyrikin Malaysia? Musyrikin Indonesia? Ingatlah bahawa mengatakan yang Allah SWT itu Tuhan, tidak cukup lagi. Ia perlu diikuti dengan amalan yang benar iaitu kita mestilah hanya melakukan ibadat kepada-Nya sahaja.

Hanya sembah Allah SWT sahaja, hanya seru kepada Dia sahaja dalam doa. Inilah ajaran tauhid yang tidak dapat diterima oleh Musyrikin Mekah. Mereka marah dan menentang Nabi Muhammad SAW apabila baginda memberitahu mereka bahawa yang layak disembah hanyalah Allah SWT sahaja.

Musyrikin Mekah terima bahawa Allah SWT itu Tuhan tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan yang lain sebagai ‘ilah’ mereka – Nabi, wali, malaikat dan jin.

Mereka menganggap Allah SWT sebagai ‘Tuhan Utama’ dan sembahan-sembahan lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ atau ilah. Apabila Nabi Muhammad SAW datang dengan membawa ajaran la ilaha illallah, mereka tidak dapat terima, itu sebab mereka lawan baginda SAW. Mereka marah kerana mereka dilarang dari mengamalkan apa yang mereka sudah biasa amalkan. Mereka marah kerana Nabi Muhammad SAW menidakkan ilah-ilah yang lain.

Begitulah juga masyarakat kita yang jahil – mereka marah benar kalau kita kata tidak boleh seru Nabi, wali atau malaikat dalam doa kerana perbuatan itu menjadikan entiti-entiti itu sebagai ilah.

Tafsir Ayat ke-10

Siapakah Allah SWT? Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa iaitu tambahan maklumat yang Musyrikin Mekah tidak tahu.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ مَهدًا وَجَعَلَ لَكُم فيها سُبُلًا لَّعَلَّكُم تَهتَدونَ

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

 الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai buaian,

Kalimah مَهْدًا dari segi bahasa bermaksud ‘buaian’. Macam buaian untuk bayi yang bergerak perlahan-lahan, didodoikan sampai bayi itu sedap sahaja sampai dia tertidur. Buaian itu memang bergerak, tetapi bayi itu tidak tahu. Dia lagi suka dengan pergerakan buaian yang sepoi-sepoi itu.

Maknanya, Allah SWT menjadikan bumi ini sebagai tempat yang sedap untuk didiami. Bumi ini memang sentiasa bergerak kalau kita belajar sains tetapi kita tidak rasa pergerakan yang laju itu. Kita rasa tenang sahaja. Padahal, ia bergerak dengan kelajuan yang amat laju.

Kesenangan hidup di bumi ini dijadikan oleh Allah SWT untuk kita dari sifat Rahmat-Nya. Semua keperluan kita untuk hidup, telah diberikan kepada kita. Apa-apa sahaja kebaikan dan kesenangan yang kita dapat, ingatlah yang ia dari Allah SWT.

وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا

dan Dia telah mengadakan bagi kamu di bumi, jalan-jalan,

Allah SWT yang buat jalan sebenarnya. Kita ingat kita yang buat, tetapi rupanya Allah SWT yang jadikan. Lihatlah bagaimana asal kejadian jalan-jalan itu. Asalnya jalan itu adalah dilalui oleh binatang-binatang sahaja, tetapi lama kelamaan diikuti oleh manusia dan dibesarkan.

Mulanya sebagai denai sahaja. Kemudian diperbesarkan kerana sudah ramai orang yang lalu. Kemudian dibuatkan jalan tanah merah. Lama kelamaan apabila sudah maju, dijadikan jalan tar dan naik menjadi jalan raya. Akhir sekali, sampai jadi lebuhraya seperti yang kita nampak, kita yang jadikan jalan itu, kita yang letak tar, korek tanah itu untuk dijadikan lebuh raya tetapi ingatlah bahawa Allah SWT yang memulakan jalan itu, dan kita jadikan jalan itu dengan ilham yang Dia berikan.

Juga bermaksud, Allah SWT yang jadikan tanah bumi itu jadi sesuai buat jalan dan kemudian Allah SWT lah yang beri manusia itu dengan akal untuk buat jalan. Semakin maju manusia, semakin molek jalan kerana Allah SWT juga yang beri akal kepada manusia supaya boleh buat yang lebih baik. Tujuannya supaya kita dapat sampai lagi cepat dan selamat.

لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

Supaya kita boleh bergerak dan menuju ke destinasi tujuan kita. Ada banyak jalan-jalan untuk ke sesuatu tempat, maka kita kena pandai memilih jalan yang senang. Bukan hanya jalan kepada destinasi sahaja, tetapi mencari jalan kepada Allah SWT. Kehidupan dunia ini untuk kita lihat dan fikirkan supaya kita dapat memikirkan tentang siapakah pencipta alam ini? Tentunya ada yang menciptakannya, bukan?

Ada masalah sedikit dengan pemahaman ayat ini. Pihak bidaah dan sesat menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan terdapat banyak jalan menuju kepada Allah SWT. Mereka kata tujuan kita semua adalah untuk bertemu dengan Allah SWT dan boleh dicapai dengan berbagai cara, dengan jalan zikir, dengan jalan lagu, dengan jalan syair, dengan jalan sains, jalan silat, jalan tarekat, jalan sufi dan macam-macam lagi.

Macam kalau hendak pergi ke KLCC, ada jalan melalui Bukit Bintang, dari Jalan Istana, dari Petaling Jaya dan sebagainya. Mereka kata, asalkan boleh sampai ke KLCC, apa salahnya? Mereka kata ilmu Allah SWT ini luas, dan semua jalan-jalan itu benar belaka. Itulah masalahnya. Mereka tidak faham manakah jalan yang benar.

Sedangkan Allah SWT dan Nabi SAW telah memberitahu kepada kita banyak kali dalam al-Quran dan hadis bahawa jalan dalam Islam adalah menerusi jalan wahyu – al-Quran ataupun Hadis yang sahih kerana jalan-jalan lain tidak selamat. Jadi kena ikut jalan yang lurus dan jalan yang lurus itu telah dilalui oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita hendak selamat, maka ikutlah jalan mereka – jalan al-Quran dan Sunnah kerana jalan-jalan yang lain tidak selamat.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW:

عَنْ عَبْدِ اللهِ قَالَ خَطَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلاَّ عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ ( وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ )

Dari Ibnu Mas’ud , Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam membuat garis dengan tangannya, seraya bersabda kepada kami, “Ini jalan Allah yang lurus.”

Dan baginda membuat garis-garis banyak sekali di kanan kirinya, seraya bersabda,

“Ini jalan-jalan yang tidak satu pun terlepas dari pujukan syaitan untuk menyesatkan.”

Kemudian baginda membaca ayat 153 surat Al-An’aam,

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus. Maka ikutilah dia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain.” [HR Ahmad no 4205, Nasa’i; SHAHIH]

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa jalan yang lurus hanya satu sahaja. Jalan-jalan yang lain jangan diikuti kerana ia boleh menyesatkan kita. Jalan-jalan yang lain itu tidak selamat, walau bagaimana indahnya ia nampak kepada kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan