Tafsir Surah Az-Zukhruf
Pengenalan:
Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam doa. Ini telah diberitahu dengan jelas dalam Surah Ghafir dulu.
Apabila diberitahu tentang ‘tauhid dalam berdoa’, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawab kesamaran-kesamaran itu, Allah SWT turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamim sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu.
Kita tengok balik surah-surah dulu:
- Surah Fussilat
Menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain daripada Allah SWT, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah SWT beritahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.
- Surah Syura
Menjawab kekeliruan kedua. Mereka kata ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah SWT itu boleh.
Surah Syura menolak dengan memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu sahaja dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.
- Surah Zukhruf
Menjawab kekeliruan yang ketiga. Ada yang berhujah, mereka tidak minta kepada selain daripada Allah SWT itu tetapi, mereka cuma seru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat daripada wali, Nabi atau malaikat itu supaya doa mereka makbul dan juga supaya mereka mendapat syafaat daripada mereka di akhirat kelak.
Mereka kata mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan mereka itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah SWT sahaja.
Allah SWT memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita ada fahaman sebegini, maka mereka juga sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at dan ini adalah Syirik Akbar, ia tentu bukan dari ajaran Nabi Ibrahim a.s. . Maka Allah SWT perbetulkan fahaman mereka dalam Al-Quran.
Allah SWT beri satu surah untuk beritahu manusia dan jin bahawa fahaman sebegitu adalah fahaman syirik. Maksudnya, minta sokongan dalam bentuk syafaat juga adalah syirik. Tidak kira kepada siapa yang mereka minta itu, walau mereka seru minta kepada Nabi Muhammad SAW kerana tidak ada sesiapa yang boleh memaksa Allah SWT untuk memberikan belas ihsan kepada kita di akhirat kelak.
Malangnya, ramai sekali yang melakukan syirik seperti itu. Mereka pergi jauh ke Madinah tetapi melakukan syirik di kubur Nabi Muhammad SAW dengan meminta syafaat di kubur baginda.
Mereka minta macam-macam di kubur Nabi Muhammad SAW, seolah-olah Nabi Muhammad SAW boleh mendengar apa yang mereka mintakan itu, sedangkan yang sahabat lakukan hanya memberi salam sahaja di kubur baginda. Ini semua adalah kerana kejahilan yang merata dalam masyarakat kita. Mengaku sahaja Islam, tetapi tidak belajar tafsir al-Quran dan tidak tahu tentang agama.
Maksud/Dakwa ini disebut dalam ayat 86.
وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفاعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ
Dan segala yang mereka sembah yang selain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat, kecuali mereka yang bersaksi atas kebenaran tauhid, mereka mengetahuinya dengan yakin.
Roh-roh yang mereka seru itu tidak mempunyai kuasa untuk beri syafaat kepada mereka. Roh-roh itu boleh ditafsirkan sebagai ‘Nabi, wali dan malaikat’ kerana mereka inilah yang selalunya diseru oleh manusia yang mengamalkan syirik.
Mereka tidak ada kuasa syafaat. Syafaat hanya milik Allah SWT sahaja. Kalau mereka sendiri tidak ada kuasa syafaat, bagaimana mereka hendak beri kepada orang lain? Jadi tidak ada harapan untuk mendapatkan syafaat dari Nabi SAW, wali dan malaikat itu. Melainkan orang yang bersaksi atas kebenaran tauhid. Kalimah الحَقِّ bermaksud ‘tauhid’.
Mereka menegakkan tauhid dalam kehidupan mereka iaitu mereka yang mengamalkan tauhid, faham tauhid dengan sebenar-benarnya. Mereka yakin dengan akidah tauhid. Mereka tahu bahawa seru Nabi SAW, wali dan malaikat itu adalah syirik dan mereka tidak lakukan.
Mereka bukan sahaja tidak lakukan syirik, tetapi mereka yakin dengan tauhid. Mereka yang sebegitu memang ada harapan untuk dapat syafaat. Mereka mungkin ada dosa dan mungkin dimasukkan ke dalam neraka untuk menjalani hukuman di neraka. Mereka boleh dapat syafaat dari mereka yang boleh beri syafaat kerana memang Allah SWT ada berikan orang-orang tertentu untuk beri syafaat nanti di akhirat seperti Nabi Muhammad SAW, akan diberikan kebenaran untuk beri syafaat di akhirat kelak.
Tetapi, itu di ‘akhirat’, bukan kita disuruh minta sekarang kerana Nabi Muhammad SAW sudah wafat, jadi bagaiana baginda hendak dengar? Masalahnya, ramai orang yang tidak faham apakah syafaat itu.
Kita kena fahami bahawa mereka yang memberi syafaat itu tidak ada kuasa mutlak untuk membantu sesiapa pun namun, Allah SWT benarkan mereka memberi syafaat untuk memberi penghormatan kepada mereka yang memberi syafaat itu.
Sebenarnya Allah SWT memang hendak menolong orang yang akan ditolong itu. Inilah yang dinamakan ‘syafaat dengan izin’.
Allah SWT cuma hendak memberi penghormatan kepada mereka yang memberi syafaat itu. Oleh kerana itu, kita kena faham yang pemberi syafaat tidaklah memiliki kuasa mutlak dan kita bukannya boleh minta terus syafaat kepada mereka itu.
Bukan wajib untuk Allah SWT memakbulkan syafaat mereka itu tetapi ia adalah kemungkinan sahaja. Mereka yang layak menerima syafaat itu adalah mereka yang menerima tauhid dengan hati yang yakin dan mereka yang mengamalkan tauhid. Kalau diri sendiri tidak mengamalkan tauhid, memang tidak ada harapan langsung untuk menerima syafaat nanti.
Surah ini adalah surah Makkiyah – diturunkan di Mekah. Perkataan ‘Zukhruf’ yang disebut dalam ayat ke 35 bermaksud ‘kecantikan’, ‘perhiasan’.
Surah ini menceritakan tentang realiti perhiasan dan harta di dunia ini. Allah hendak beritahu yang perhiasan dunia itu sikit dan ianya sementara sahaja. Kita diingatkan supaya jangan terpedaya dan terpesona dengan dunia sampaikan lupa untuk bersedia untuk akhirat. Kita diingatkan bahawa akhirat itu lebih penting.
Tafsir Ayat Pertama
حم
Haa, Miim
Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas dua ayat muqattaah ini sahaja. Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah SWT tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa.
Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah SWT tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi SAW memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah SWT tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad SAW.
Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu.
Mereka takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.
Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’.
Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.
Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.
Jadi, apabila al-Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat al-Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.
Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan al-Quran yang Allah telah jadikan untuk kita.
Tafsir Ayat Ke-2
Allah SWT menerangkan tentang al-Quran sebagai galakan untuk kita memahami dan mengamalkan ajaran dalam al-Quran.
وَالكِتٰبِ المُبينِ
Demi Kitab al-Quran yang menyatakan kebenaran.
وَالْكِتٰبِ الْمُبِينِ
Demi Kitab al-Quran yang jelas nyata.
Allah SWT bersumpah dengan Kitab al-Quran dalam ayat ini. Allah SWT boleh bersumpah dengan makhluk-Nya tetapi kita hanya boleh bersumpah dengan nama Allah SWT sahaja.
Malangnya, ada manusia yang bersumpah dengan cahaya api, dengan matahari yang sedang naik, dengan bulan, bintang dan sebagainya. Itu tidak boleh. Sepatutnya kita bersumpah dengan nama Allah SWT.
Apa sahaja yang Allah SWT gunakan sebagai sumpah-Nya, memberi isyarat kepada kedudukan yang tinggi perkara itu. Allah SWT ada bersumpah dengan masa, dengan buah Tin dan Zaitun dan macam-macam lagi. Jadi dalam ayat ini, Allah SWT bersumpah dengan al-Quran.
Maknanya, Allah SWT hendak meninggikan kedudukan al-Quran itu. Allah SWT memberitahu kepada kita ketinggian kedudukan al-Quran itu. Maka, kita pun hendaklah melihat al-Quran itu dengan ketinggiannya.
Perkataan الْمُبِينِ bermaksud ‘jelas nyata’. Lebih tepat lagi, ia memang telah jelas dengan diri sendiri dan tidak perlu dijelaskan oleh sumber yang lain. Sebagai contoh, telah jelas kepada kita bahawa tujuan utama al-Quran adalah untuk mengajak kepada menyembah Allah SWT sahaja.
Pengajaran tauhid dalam al-Quran adalah amat jelas sampaikan tidak perlu untuk merujuk kepada hadis atau kitab yang lain pun, kita akan dapat faham tauhid kerana pengajaran tentang tauhid itu diulang berkali-kali dengan berbagai cara.
Kalimah الْمُبِينِ juga bermaksud ‘memperjelaskan’. Al-Quran memperjelaskan kepada manusia tentang tauhid, aqidah, iman, membezakan kebenaran dan kebathilan dan macam-macam lagi perkara agama. Namun yang akan mendapatnya adalah mereka yang belajar tafsir sahaja. Maka, amatlah rugi kepada mereka yang tidak mahu belajar tafsir al-Quran ini.
Al-Quran itu semua ayatnya sahih. Tidak boleh dipertikaikan lagi. Ayat-ayat al-Quran itu sendiri sebagai bukti kesahihannya. Kehebatan al-Quran itu tidak mungkin dibuat oleh manusia, maka tentunya ia dari Tuhan yang Maha Mulia.
Satu lagi kehebatannya, ia mudah difahami, asalkan mahu datang belajar sahaja. Kalau ada sumpah, tentu ada sesuatu yang hendak ditekankan. Sebagai contoh, orang bersumpah: “Demi Allah SWT, aku tidak bersalah”.
Maknanya, dia hendak mengatakan dia tidak bersalah. Jadi apakah perkara yang Allah SWT hendak tekankan dengan sumpah menggunakan al-Quran ini?
Jawab sumpah adalah Nabi Muhammad SAW itu memang benar sebagai Rasul dari pemilihan Allah SWT.
Tafsir Ayat Ke-3
إِنّا جَعَلنٰهُ قُرءآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ
Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.
إِنَّا جَعَلْنٰهُ قُرْءآنًا عَرَبِيًّا
Sesungguhnya Kami jadikannya sebagai al-Quran dalam bahasa Arab,
Allah SWT menggunakan perkataan جَعَلْنَاهُ yang berasal dari kata dasar َجَعَل yang bermaksud ‘menjadikan’. Ia berbeza dengan kata dasar خَلَق yang bermaksud ‘mencipta’. Ini penting kerana kita tidak mahu ada pendapat yang mengatakan al-Quran itu ‘makhluk’ – dicipta.
Akidah kita mestilah faham bahawa al-Quran ini Kalam Allah SWT. Apabila digunakan perkataan جَعَل, ia boleh membawa banyak maksud dan tidak terhad dalam makna ‘mencipta’. جَعَل boleh merangkumi banyak makna termasuklah: membentuk, menyusun, dan sebagainya dan ia bermaksud membentuk sesuatu yang sudah ada.
Seperti Allah SWT menjadikan kita umat pertengahan. Sebagai contoh, kita sudah ada, tetapi Allah SWT bentuk kita jadi satu perkumpulan. Ini penting kerana masih ada juga umat Islam yang tidak faham, mereka mengatakan yang al-Quran itu ‘makhluk’, sedangkan perbincangan ini telah lama selesai berkurun yang lalu.
Perkataan ‘Quran’ itu bermaksud kitab yang selalu dibaca. Tidak ada kitab lain atau buku lain yang dibaca sebanyak orang membaca al-Quran. Walaupun kitab agama lain seperti Injil, tidak dibaca macam orang Islam membaca al-Quran. Sudahlah yang membacanya ramai, yang membacanya juga akan membacanya dengan banyak sekali.
Ramai umat Islam yang bukan sahaja banyak membaca, tetapi menghafal al-Quran itu. Ada yang hafal sebahagian dan ada yang menghafal keseluruhan 30 juzuk. Mereka itu di merata-rata dunia. Mereka sentiasa sahaja membaca al-Quran itu. Inilah salah satu dari mukjizat al-Quran, ia banyak dibaca.
Perkataan ‘Quran’ itu juga bermaksud ‘yang dibaca’. Memang ada kitab wahyu yang lain sebelum al-Quran, tetapi sudah tidak dibaca dan dijadikan amalan lagi kerana kitab-kitab itu sudah habis tempohnya. Hanya al-Quran sahaja yang tinggal yang dijadikan sebagai rujukan dan akan dibaca sampai ke Kiamat nanti.
Al-Quran itu mesti dalam bahasa Arab. Bahaya kalau al-Quran tidak disertakan dengan teks Arab. Sudah ada sekarang Kitab Terjemah al-Quran tanpa bahasa Arab. Ada pula di pusat dakwah. Tujuannya untuk memudahkan manusia yang tidak tahu bahasa Arab untuk memahami al-Quran. Tetapi ianya masih bahaya kerana ia akan menyebabkan kekeliruan.
Takut jadi macam Kitab Injil yang telah dialih bahasa dari bahasa asalnya dan penganutnya hanya merujuk kepada terjemahan sahaja sedangkan terjemahan itu tidaklah semestinya terjemahan yang benar. Sebab itu penting ada teks asal supaya boleh dirujuk. Teks Arab itu kena ada sentiasa supaya menjadi rujukan utama. Kita bimbang kalau tidak disertakan dengan teks Arab, akan ada yang sangka bahawa al-Quran itu ada dalam bahasa lain nanti jadi macam Kitab Injil pula.
Kitab Injil itu asalnya dalam bahasa Hebrew, tetapi penganutnya dahulu telah menterjemahkan Injil dan tidak menyertakan dalam bahasanya yang asal. Akhirnya, ramai yang telah keliru, dan agama Kristian yang asalnya benar, telah menjadi sesat.
Oleh itu, jikalau kita memberitahu kepada orang lain tentang ayat al-Quran, tanpa disertakan dengan teks asal al-Quran itu, maka hilanglah mukjizat yang ada padanya. Maka, kalau kita berikan mesej ayat-ayat al-Quran kepada kenalan kita, dalam Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya, pastikan kita masukkan sekali dengan ayat al-Quran yang asal.
Terjemahan yang ada hanya satu cubaan untuk menterjemah maksud ayat al-Quran itu sahaja. Tidak semestinya tepat. Bahasa Arab itu sendiri adalah bahasa yang tepat. Bagi yang belajar Bahasa Arab, akan faham apa yang kita maksudkan ini. Kalau dibandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Arab, bahasa Melayu kita adalah miskin kerana itulah kita kena tafsir dengan panjang satu kalimah dalam bahasa Arab kerana kalau hendak terjemah terus, tidak ada kalimah itu dalam bahasa Melayu kita.
Sebagai contoh, kita lihat kalimah ‘yaqin’ yang datang dari bahasa Arab. Kalau kita terjemah maksud yaqin dalam bahasa kita, bolehkah? Ia tidak sama dengan ‘percaya’ sahaja kerana yaqin itu datang setelah datang dalil dan diterima dengan hati kerana percaya. Kalau percaya sahaja, belum tentu ada dalil lagi. Oleh itu, kita kenalah belajar bahasa Arab juga untuk faham al-Quran ini dan janganlah putus asa untuk mempelajari bahasa Arab.
Bahasa al-Quran itu adalah bahasa mukjizat. Ia bukan bahasa Arab yang biasa. Kalau kita baca sudah lain dari bacaan tulisan Arab yang lain – siap kena belajar ilmu tajwid pula. Ejaan juga sudah tidak sama (sebagai contoh, lihatlah bagaimana ejaan ‘solah’ dalam al-Quran – begitulah yang sampai kepada kita).
Ini adalah kerana bahasa al-Quran itu adalah bahasa yang khas. Ia tidak sama pun dengan bahasa Arab yang dituturkan oleh bangsa Arab sekarang. Apabila dibaca, ianya sedap dan dapat membuka hati manusia untuk menerima kalau mereka membuka hati kepada kebenaran.
لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab supaya manusia dapat memahaminya. Pertamanya, ia diturunkan dalam bahasa Arab kerana penerima pertama wahyu ini adalah bangsa Arab. Apabila al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, mudah untuk mereka memahaminya.
Bayangkan kalau al-Quran diturunkan dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka tidak faham. Tetapi bagaimana pula dengan kita yang berbahasa selain bahasa Arab? Kenapa tidak diturunkan kitab dalam bahasa Melayu?
Ini kerana ada kelebihan pada bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang indah dan ia juga adalah bahasa yang tepat. Ia dapat memperjelaskan sesuatu idea dengan menggunakan bahasa yang ringkas. Kita nampak ringkas sahaja, tetapi apabila dibahaskan, disyarah, baru nampak yang ia membawa banyak maksud yang hendak disampaikan.
Kelebihan ini tidak terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain. Kalau perkara yang sama hendak disampaikan dalam bahasa lain, memerlukan perkataan yang panjang-panjang. Sebab itulah kita jangan tinggalkan teks al-Quran dalam bahasa Arab itu dan ini juga sepatutnya menjadi motivasi untuk kita belajar bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran, maka hendaklah kita belajar bahasa Arab itu supaya kita boleh faham dengan lebih tepat lagi al-Quran itu.
Ia memang mengambil masa. Sesuatu yang penting memang memerlukan masa untuk mendapatkannya.
Tafsir Ayat ke-4
وَإِنَّهُ في أُمِّ الكِتٰبِ لَدَينا لَعَلِيٌّ حَكيمٌ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami – sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.
وَإِنَّهُ فِي أُمِّ الْكِتٰبِ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Kitab Induk
Al-Quran yang dimaksudkan adalah al-Quran yang asal iaitu sebelum diturunkan kepada manusia, ia sudah ada. Bukanlah al-Quran itu macam mushaf yang ada di tangan kita sekarang. Kitab Induk yang dimaksudkan itu ada di Lauh Mahfuz. Bagaimana rupanya, kita tidak tahu. Ia dinamakan ‘Kitab Induk’ kerana ia adalah asal kepada semua kitab yang diturunkan kepada manusia. أُمِّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’ dan dari ibu itu akan melahirkan beberapa orang anak. Maknanya, dari Kitab Induk itu dikeluarkan beberapa Kitab. Allahu a’lam.
لَدَيْنَا
di sisi Kami
Apabila Allah SWT berkata yang ia di sisi-Nya, ini bermaksud ia dalam jagaan Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Apabila di sisi Allah SWT, maka ia juga berada dalam kedudukan yang tinggi kerana Allah SWT itu sendiri sudah berada dalam kedudukan yang tinggi.
Ayat ini memberitahu kepada kita sebelum al-Quran diturunkan kepada Nabi sedikit demi sedikit dalam masa 23 tahun itu, ia sudah ada di Lauh Mahfuz. Apabila al-Quran diturunkan, turun bersamanya 50,000 malaikat. Jangan kita sangka mereka itu untuk membantu Jibrail menjaga al-Quran dari dicuri syaitan. Itu adalah anggapan yang salah. Jibrail sendiri ditakuti oleh para malaikat, takkan syaitan berani hendak ganggu?
Sebenarnya para malaikat yang ramai itu ada bersama sebagai penghormatan kepada al-Quran. Macam kalau Sultan pergi ke mana-mana melawat kawasan, dia akan ditemani dengan ramai orang lain sebagai penghormatan kepadanya.
Al-Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad SAW selama hampir 23 tahun. Apabila berlaku sesuatu keperluan, maka ada ayat-ayat yang diturunkan. Umat lebih faham tentang apa yang hendak disampaikan kerana ia bersangkutan dengan kejadian waktu itu.
Maknanya, ia mengambil masa untuk memahami al-Quran. Kita pun yang sedang belajar tafsir al-Quran ini juga, perlu belajar sikit demi sedikit dan tidak gelojoh dalam menghabiskannya. Untuk belajar memahami al-Quran memang memerlukan masa yang lama.
Bukanlah seperti pemahaman puak Tarekat yang mana mereka mencari-cari untuk mempelajari Ilmu Laduni supaya mereka kononnya boleh terus faham agama dan ilmu hakikat dalam masa sehari. Itu adalah satu pemahaman yang sesat yang hanya diterima oleh mereka yang jahil dan senang ditipu sahaja. Malang sekali, mereka ini amat ramai dalam kalangan kita. Ada dari kalangan kawan-kawan kita, adik beradik kita. Semoga Allah bukakan pintu hati mereka untuk menerima Islam yang sebenar.
لَعَلِيٌّ حَكِيمٌ
sangat tinggi (kemuliaannya), banyak mengandungi hikmat bijaksana
Al-Quran itu berada pada kedudukan yang amat tinggi dan ia lebih tinggi dari mana-mana kitab, mana-mana buku. Lebih tinggi lagi daripada kitab-kitab lain yang diturunkan seperti Injil, Taurat, Zabur dan sebagainya. Kalau lebih tinggi dari kitab-kitab Kalam Allah SWT yang dahulu, apatah lagi kalau mahu dibandingkan dengan kitab-kitab karangan manusia.
Al-Quran sepatutnya menjadi rujukan utama. Sebab itulah kita sedih apabila diberikan ayat-ayat al-Quran kepada manusia sebagai hujah dan dalil, kadang-kadang ada yang berhujah dengan hadis, dengan kitab lain, dengan pendapat manusia dan macam-macam lagi.
Maknanya, orang itu tidak menganggap yang al-Quran itu berada pada kedudukan yang tinggi melebihi sumber-sumber lain. Sedangkan hadis juga tidak dapat menandingi ketinggian al-Quran. Oleh kerana itulah, kalaulah ada hadis yang nampak bercanggah dengan ayat al-Quran, pemahaman hadis itu perlu disesuaikan dengan ayat al-Quran kerana tidak mungkin Nabi SAW akan mengeluarkan kata-kata yang berlawanan dengan ayat al-Quran pula, bukan?
Al-Quran itu mengandungi banyak hikmat dan satu lagi makna dari perkataan حَكِيمٌ itu adalah: Al-Quran mengandungi banyak hikmah (kebijaksanaan) untuk memandu kehidupan manusia di dunia supaya hidup dengan selamat di akhirat kelak.
Orang yang bijak akan menggunakan nasihat-nasihat dalam al-Quran untuk menjalani kehidupan mereka. Kita selalu nampak di dada suratkhabar, banner masjid, tepi jalan, di TV dan sebagainya: “Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah”.
Adakah hanya cakap sahaja tetapi tidak disertakan dengan pembelajaran Tafsir al-Quran kerana kalau hendak kembali kepada al-Quran, kenalah belajar untuk faham al-Quran itu, bukan? Adakah ini hanya sebagai penyedap cakap di mulut sahaja atau hendak tunjukkan konon-kononnya kita beriman?
Sedangkan ayat ini memberitahu kita ketinggian dan kemuliaan al-Quran itu. Maka kita kenalah menghargainya. Menghargainya itu adalah dengan mengambil terus nasihat yang disampaikan di dalamnya, jangan abaikan. Jangan baca sahaja al-Quran itu, tetapi nasihat yang disampaikan tidak diambil.
Ringkasnya, telah disebut empat sifat al-Quran dalam ayat ini:
- Ada dalam Kitab Induk di Lauh Mahfuz
- Di sisi Allah SWT
- Maha tinggi
- Maha bijaksana
Tafsir Ayat ke-5: Zajrun
أَفَنَضرِبُ عَنكُمُ الذِّكرَ صَفحًا أَن كُنتُم قَومًا مُّسرِفينَ
Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).
أَفَنَضْرِبُ عَنكُمُ الذِّكْرَ صَفْحًا
Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan peringatan Al-Quran daripada kamu,
Kalimah أَفَنَضْرِبُ dari kata dasar َضَرَب yang bermaksud ‘memukul’. Tetapi apabila ditambah selepasnya dengan perkataan عن, ia membawa maksud yang lain. Ia membawa maksud ‘berpaling dari sesuatu dan tidak menghiraukannya’ atau dalam kata lain, menahan, meninggalkan.
Kalimah الذِّكْرَ merujuk kepada al-Quran. Oleh itu, ayat ini bermaksudnya, menahan dari menurunkan al-Quran kepada manusia. Adakah Allah SWT akan buat begitu?
Kalimah صَفْحًا dari kata dasar صَفَح yang bermaksud ‘tepi tangan’ ataupun ‘tepi leher’ dan ia juga bermakna ‘helaian-helaian’ – ada persamaan dengan perkataan ‘suhuf’.
Bukankah dengan helaian buku, kita akan mengalihkannya? Oleh itu, perkataan صَفْحًا dalam ayat ini memberi maksud kita mengalihkan pandangan kita dari sesuatu. Menunjukkan isyarat tidak suka, tidak kisah.
Kita disuruh untuk berdakwah dan memberi peringatan kepada manusia. Pertama sekali kepada ahli keluarga kita, kemudian kepada kenalan kita dan kepada orang lain. Kita kena ingatkan mereka dengan peringatan yang ada dalam al-Quran. Kita kena cari peluang untuk berdakwah kepada manusia.
أَن كُنتُمْ قَوْمًا مُّسْرِفِينَ
kerana kamu kaum yang melampau?
Dalam ayat ini bermaksud tidaklah Allah SWT berpaling dan tidak kisah dengan manusia sampaikan tidak memberikan al-Quran kepada mereka, walaupun mereka orang yang degil. Musyrikin Mekah memang kaum yang melampau dalam banyak perkara. Dalam kesyirikan mereka, dalam dosa, dalam kezaliman mereka dan dalam menolak ajakan Nabi Muhammad SAW.
Berkali-kali baginda SAW berdakwah kepada mereka, tetapi mereka melampau dalam menolak ajakan Nabi SAW. Mereka ada yang mengejek, ada yang menyakiti baginda, menghina baginda dan macam-macam lagi.
Mereka memang kalau dikirakan, tidak layak terima al-Quran. Tetapi Allah SWT tetap turunkan al-Quran kepada mereka walaupun mereka ingkar, walaupun kaum Musyrikin tidak mahu dengar. Supaya nanti di akhirat kelak, mereka tidak ada alasan tidak tahu agama kerana kitab al-Quran telah diturunkan.
Allah SWT akan tetap sampaikan kepada mereka, sehinggalah mereka tolak dan apabila mereka tolak, barulah keputusan akan dibuat. Allah SWT akan tetap sampaikan kerana akan ada yang juga dari kalangan mereka yang mahu terima.
Bayangkan kalau Allah SWT tidak menurunkan al-Quran kepada mereka. Maka kita tidak mendapat pengetahuan al-Quran ini juga. Walaupun ada yang tidak mahu, tetapi ada juga yang terima. Macam sekarang, kita tetap sampaikan ajakan tauhid ini walaupun ada yang tidak suka dan tidak mahu dengar. Walaupun mereka menolak, tetapi kita tetap menjalankan kewajipan berdakwah kepada mereka supaya nanti di hadapan Allah SWT , kita boleh jawab yang kita telah sampaikan. Cuma mereka sahaja yang tidak mahu dengar. Jangan kita tahan dakwah dan ajakan kepada pemahaman al-Quran dan agama, walaupun kita rasa mereka tidak mahu dengar. Manusia memang ramai yang tidak mahu dengar dakwah kerana mereka sangka mereka sudah selamat ataupun mereka memang tidak kisah dengan akhirat.
Tetapi walaupun mereka tidak kisah, telah melampau dalam hal agama dan kehidupan, itu bukanlah sebab untuk kita berhenti berdakwah kepada mereka. Selalunya kita kena berkali-kali memberitahu dan dakwah kepada manusia. Macam kita dengan anak kita. Kalau bagi nasihat, mereka akan cepat lupa dan mereka buat tidak tahu sahaja dengan nasihat kita.
Anda yang sedang membaca tulisan ini tentunya sudah ‘mahu’ kepada agama, hendak belajar tentang al-Quran, sebab itu anda sedang membaca lagi tulisan ini walaupun ia panjang berjela. Begitu juga mereka yang telah pergi ke kelas pengajian.
Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak kisah tentang agama iaitu ahli keluarga kita sendiri, kawan-kawan rapat kita sendiri, jiran-jiran kita dan orang di sekeliling kita? Ingatlah kepada mereka juga yang kita kena ingatkan dan ajar tentang al-Quran ini.
Mereka yang faham tentang kewajipan inilah yang pergi berjumpa dengan pemuda pemudi yang sedang berjoget di disko, kelab malam dan berdakwah kepada mereka. Merekalah yang pergi ke tempat-tempat yang orang warak tidak pergi, orang alim tidak pergi. Merekalah yang berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada mereka yang nampaknya tidak kisah dengan agama. Merekalah juga yang pergi berjumpa dengan orang-orang kafir dan menyampaikan ajakan tauhid kepada mereka.
Tetapi takkan kita hendak berhenti dari memberi nasihat kepada mereka? Kita kena terus berikan nasihat kepada mereka. Sama juga kita dengan manusia yang ingkar dan degil. Bukan sekali sahaja kita beritahu dan dakwah kepada mereka. Kita kena selalu memberitahu kepada mereka. Ada yang lama-lama akhirnya akan mendengar dakwah kita kerana selalu sangat kita beritahu mereka.
Macam anak kita tidak mahu makan, adakah kita berhenti dan tidak beri mereka makan? Tentu tidak. Kita akan beri dan paksa mereka makan juga kerana kita tahu yang ia penting. Begitu juga dengan agama ini. Ada orang yang kita nampak macam tidak ada harapan untuk beriman. Kita rasa macam mereka tidak akan dengar kita, tidak akan beriman, maka kita tidak dakwah kepada mereka. Itu adalah salah.
Kita tidak boleh buat keputusan begitu. Jangan kita awal-awal lagi sudah menghukum orang lain sebelum kita cakap dengan mereka. Kita tidak boleh memilih siapa yang dapat hidayah atau tidak. Kita kena sampaikan juga. Kalau kita tidak sampaikan, kita pula yang salah. Nabi tidak berhenti memberi dakwah kepada umatnya, maka kita pun jangan berhenti juga.
Kadang-kadang, ada yang marah kalau kita selalu beritahu mereka. Maka kita kena guna strategi. Berhenti dulu dari tegur mereka, tetapi kemudian datang balik dengan cara yang lain. Kena ubah cara kita. Mungkin kali pertama dulu, dia tidak suka dengan cara kita atau waktu itu dia sedang mood tidak baik. Kita tunggu mood dia sudah baik, baru kita tegur dia balik.
Allahu a’lam.