Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Kenapa Umat Islam Harus Terlibat dalam Pilihan Raya?

Kenapa Umat Islam Harus Terlibat dalam Pilihan Raya?

205
0
Iklan

Kenapa Umat Islam Harus Terlibat Dalam Pilihan Raya?

Ramai di kalangan ulama haraki kontemporari mengatakan bahawa terlibat di dalam pilihan raya adalah harus. Antara ulama yang mengatakan harus ialah : Muhammad Rasyid Redha, Hassan Al-Banna, Abu ‘Ala Al-Maududi, Abdul Qadir ‘Audah, Abdul Karim Zaidan, Dr Yusof AlQaradawi, dan selainnya.

Di antara dalil-dalil yang mengatakan harus adalah seperti berikut :

1) Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.

2) Pilihan raya merupakan satu adat dalam masyarakat dan tidak mengapa jika membuat satu perubahan dan satu ciptaan yang baru padanya.

3) Proses pilihan raya merupakan satu ba’iah (aku janji rakyat) merupakan aku janji rakyat yang menunjukkan mereka redha dengan calon yang di bai’ah dan calon yang mereka pilih.

4) Umat Islam meniru kebanyakan daripada sistem, cara, wasilah yang tidak melanggar syariat dan ulama sepakat.

5) Proses pemilihan adalah mengikut ijtihad manusia ; mengikut zaman masa selagi mana tidak menyalahi nas .

6) Sistem pilihan raya telah di persetujui di peringkat kuliah syariat, universiti-universiti, persidangan ulama feqah, oleh itu majoriti ulama mengharuskan terlibat di dalam pilihan raya kerana memboikot pilhan raya menyebabkan golongan rasuah dan pemimpin yang buruk akhlak akan terus memerintah.

7) Proses pilihan raya termasuk dalam tolong menolong yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Firman-Nya :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :“ Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya” (Surah al-Maaidah: 2)

8) Melalui pilihan raya membolehkan untuk mencapai kemaslahatan dan menolak kemudharatan, dan syariat Islam berusaha untuk mencapai kemaslahatan rakyat.

9) Proses pilihan raya merupakan salah satu cabang untuk melaksanakan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar.

Firman ALLAH SWT :

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. ”(Surah Ali-Imran: 104)

Dan ianya sebab manusia dijadikan sebaik-baik umat.

Firman ALLAH SWT :

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ

Maksudnya : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk (mungkar dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). ”(Surah Ali-Imran: 110)

10) Proses pilihan raya merupakan agen pengubah yang di gesa oleh syariat . Sabda Rasulullah SAW :

((من رأى منكم منكرا فليغيِّره بيده ، فإن لم يستطيع فبلسنه ، فإن لم يستطيع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان ))

Maksudnya : “ Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya , dan sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya ,dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis Riwayat Muslim)

(Parlimen adalah salah satu tempat untuk perbincangan mengurangkan kadar jenayah , kerosakan dan kemungkaran. Ianya adalah tempat untuk mengubah ke arah kebaikan dan melaksanakan perkara-perkara yang boleh mengatasi masalah jenayah maka, mereka mengharuskan untuk menghantar calon dalam pilihan raya Parlimen.) .

Walaupun pilihan raya merupakan satu perkara baru dan datangnya dari negara barat , namun ia merupakan peluang yang harus dimanfaatkan oleh umat Islam dalam memastikan tonggak negara di bawah pemerintahan yang adil, membantu rakyat yang miskin dan tertindas dengan cukai-cukai yang membebankan.

Di dalam kaedah fiqh berbunyi :

[ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجب]

Maksudnya “ Apa yang tidak dapat sempurnakan yang wajib melainkan dengannya maka ia dianggap satu perkara yang wajib” .

Pilihan raya juga dianggap satu kewajipan. Juga dapat diqiaskan dalam masalah berwuduk di mana tidak sah solat seseorang melainkan dengan berwuduk ,maka berwuduk dianggap wajib.

Oleh itu kalian perlulah teliti, berhati-hati, fokus kepada kebenaran apabila di beri peluang untuk memilih pemimpin semasa pembuangan undi nanti. Memilih pemimpin yang adil dan saksama merupakan satu kewajipan dan semua pemilihan dan keputusan yang kalian lakukan akan di catat oleh dua malaikat yang berada di kanan dan kiri . Jangan pilih pemimpin yang rasuah, mencuri harta rakyat, menzalimi rakyat dengan cukai dan tol-tol yang membebankan dan mempunyai sistem kehakiman yang berat sebelah dan lain-lain.

Semoga Allah SWT merahmati usaha dan perjuangan yang dilakukan. Sama-samalah kita berjuang menegakkan keadilan dan perlu bersatu tidak kira apa bangsa dan agama. Jangan terpedaya dengan janji-janji duniawi kerana kebanyakan harta dunia yang dijanjikan adalah tidak kekal, ia akan hancur musnah ditelan zaman. Namun, apabila kalian kejar akhirat dan mencari keredhaan Allah SWT dalam apa saja aktiviti yang dilakukan termasuk mengundi di dalam pilihan raya dan memilih pemimpin yang adil dan baik akhlaknya maka kalian akan menjadi hamba Allah SWT yang di kasihi dan dirahmati-Nya.

Kaedah fiqh dalam pilihan raya:

  1. Jika semua parti ada mudharat pilihlah parti yang paling kurang mudharatnya.
  2. Jika semua parti baik pilihlah parti yg paling banyak kebaikannya (menfaatnya) untuk rakyat.
  3. Pilihlah parti yang banyak menawarkan kebaikan untuk rakyat dan ada kemampuan untuk melaksanakannya.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan