SOALAN
Apakah hukum memakai telekung bermanik yang mahal dan berharga ribuan ringgit?
JAWAPAN Syeikh THTL
Termasuk tabarruj.Tabarruj maksudnya menambah daya penarik pada busana wanita.
وَلاَ يُبْدِيْنَ زِيْنَتَهُنَّ إلا لِبُعُوْلَتِهِنَّ أو آبائِهِنَّ
“Dan janganlah mereka (wanita-wanita yang beriman) menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, atau bapak-bapak mereka…”
[an-Nuur: 31]
SOALAN
Bolehkah sekiranya solat dengan berseluar ketat dan kemudian memakai telekung di bahagian luar?
JAWAPAN Syeikh THTL
Boleh. Ianya diamalkan oleh kebanyakan wanita muda Arab Saudi. Kebanyakan wanita Arab Saudi memakai abaya berwarna hitam dan di sebelah dalamnya memakai seluar panjang yang ketat.
SOALAN
Bolehkah orang yang berpenyakit salisul baul menggunakan wuduk yang sama? Contohnya: Berwuduk untuk solat Zohor dan kemudian wuduk yang sama untuk solat badiyah.
JAWAPAN Syeikh THTL
Tidak ada ketetapan yang utama untuk orang yang berpenyakit seperti salisul baul (penyakit kencing tidak lawas atau tus).
Pertama:
Si fulan hendaklah bebas dari was-was.
Kedua:
Jangan dibiarkan penyakit tidak lawas itu berterusan sebab ia masalah yang lazim bagi lelaki berusia 50’an yang disebabkan prostate atau pundi kencing. Pembedahan kecil akan menyelesaikan masalah tersebut.
Ketiga :
Satu wuduk untuk satu waktu solat itu jika ia ditahap kronik. Maksudnya penyakit si fulan sudah tidak boleh dikawal lagi. Maka, si fulan perlu berwuduk dan untuk solat fardu sahaja. Tidak boleh lagi untuk dibawa ke solat sunat.
SOALAN
Bolehkah solat sunat 4 rakaat dibuat dengan sekali salam tanpa tasyahud awal contohnya solat sunat qabliyah zuhur?
JAWAPAN Syeikh THTL
Kaum salaf melakukan solat sunat dengan 2 rakaat 1 salam.
Dalil hadith:
صَلَاةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى
“Solat malam dan siang adalah dua rakaat dua rakaat.”
(HR Ibnu Majah, no 1322, Syaikh al- Albani, sahih Ibnu Majah)
Fatwa Syaikh Ben othaimin rahimahullah:
Solat sunat 4 rakaat hendaklah dengan dua salam.
Majmu’ Fatawa As-Syaikh Al-Utsaimin 14/288.
SOALAN
Saya keliru apabila pernah melihat Mufti Kuala Lumpur melakukan solat sunat ba’diyah Isyak 4 rakaat dengan tasyahud awal dan tasyahud akhir.
JAWAPAN Syeikh THTL
Jangan keliru sebab ia sememangnya khilaf. Dibolehkan solat 4 rakaat sunat dengan satu salam. Namun kaum salaf dan amalan di Arab Saudi tempat asal Islam, semua solat sunat dilakukan dengan 2 rakaat seperti yang dinyatakan di dalam hadith di atas.
Apabila mufti melakukan sesuatu yang berlawanan dengan amalan kaum salaf, maka utamakan kaum salaf dari khalaf.
SOALAN
Adakah solat sunat Dhuha juga boleh dilakukan dengan satu salam?
JAWAPAN Syeikh THTL
Mazhab Asy-Syafi’i di Malaysia menggunakan qaul ulama mazhab iaitu:
Asy Syarwani (ulama mazhab Syafi’i) di dalam kitab Haasyiyah, apabila membahas solat sunat Dhuha seperti berikut:
ويجوز فعل الثمان بسلام واحد، وينبغي جواز الاقتصار على تشهد واحد في الأخيرة، وجواز تشهد في كل شفع من ركعتين أو أربع.
Terjemahan:
Diperbolehkan melakukannya sebanyak 8 rakaat Dhuha dengan sekali salam dan semestinya dibolehkan juga melakukannya sebanyak 4 rakaat dengan sekali tasyahud saja di akhir solat atau dengan bertasyahud di setiap 2 atau 4 rakaat.
Maka dalam Mazhab Syafii bebas, 8 rakaat Dhuha, satu salam, 4 rakaat satu salam, samada 2 tasyaahud atau 1 tasyahhud. Mazhab ini bebas dan tidak terikat.