Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-31 hingga Ke-35

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-31 hingga Ke-35

245
2
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-31

Jika Allah SWT hendak kenakan musibah atau azab, kita tidak akan mampu untuk menyelamatkan diri.

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ ۖ وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah SWT (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah SWT. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِي الْأَرْضِ

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan (kuasa Allah SWT) di muka bumi;

Tidak ada tempat untuk kita lari daripada apa yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita. Kita tidak boleh lemahkan atau tahan kuasa Allah SWT untuk mengenakan musibah kepada kita kerana kita tinggal atas bumi-Nya. Kalau Allah SWT hendak kenakan musibah kepada kita, ia pasti akan berlaku.

Kalau kesalahan jenayah dunia, edar dadah atau bunuh orang, boleh lagi hendak lari sampai polis tidak tangkap dan tidak kena penjara. Namun, tidak dengan Allah SWT kerana kita tidak dapat melemahkan kudrat Allah SWT untuk balas segala dosa kita.

Kenapa Allah SWT kenakan musibah itu kepada kita? Adakah Allah SWT benci kepada kita?

Tentunya tidak.

Bala dan musibah itu adalah sebagai amaran dan peringatan dari Allah SWT. Allah SWT hendak ingatkan kita bahawa ada kesalahan yang kita lakukan. Allah SWT hendak beritahu kepada kita bahawa kita telah lupa kepada Allah SWT yang kita telah buat kesalahan. Kita kena periksa balik, apakah kesalahan yang kita lakukan.

Ini adalah tentang musibah di dunia. Bagaimana pula di akhirat kelak? Allah SWT sambung dengan potongan seterusnya pula, iaitu keadaan di akhirat kelak:

وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ

dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah SWT. – sebagai pelindung

Tidak ada mana-mana guru, ustaz, tok Sheikh, wali atau sesiapa sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari azab Allah SWT. Kalau di dunia, ada orang boleh tolong kita, atau kita rasuah orang tolong kita, atau upah mereka, atau paksa mereka; tetapi segala itu tidak akan terjadi di akhirat kelak.

Hanya Allah SWT sahaja yang boleh melindungi kita dan menyelamatkan kita. Minta ampunlah kepada Allah SWT. Mintalah pertolongan kepada Allah SWT.

وَلَا نَصِيرٍ

atau pemberi pertolongan.

Allah SWT sahaja yang boleh memberi pertolongan kepada kita apabila kita ada musibah, ada masalah. Kalau satu dunia berusaha untuk tolong menyelesaikan masalah kita, jika Allah SWT tidak membenarkannya, masalahnya itu tidak akan selesai.

Lafaz وَلِيٍّ untuk penolong untuk selamatkan kita sebelum dari kena musibah.

Lafaz نَصِيرٍ pula untuk penolong ‘selepas kita kena’ musibah atau azab.

Maka, kita sepatutnya pergi kepada Allah SWT, bukannya lari daripada Allah SWT.

Malangnya, ada orang kita yang apabila ditimpa kesusahan, contohnya bisnes jatuh bankrap, isteri lari dengan orang lain, anak tinggalkan mereka, mereka bukan kembali kepada Allah SWT tetapi sebaliknya menjauhkan diri lagi daripada Allah SWT.

Mereka ada yang hisap dadah, minum arak sebab hendak lupakan masalah, ada yang bunuh diri, pukul orang lain dan macam-macam lagi kesalahan yang mereka lakukan. Itu adalah cara yang salah untuk menghadapi musibah yang telah dikenakan.

Musibah ini merupakan peringatan daripada Allah SWt. Tidak perlu doa kepada yang selain Allah SWT. Jangan minta pada Nabi, wali dan malaikat. Terus doa kepada Allah SWT.

Musibah dari segi bahasa adalah sesuatu yang ‘kena tepat’ pada tempatnya. Allah SWT yang tentukan ia akan kena, maka tidak dapat lari.

Ia menjadi ‘nikmat’ apabila dengannya, kita berubah ke arah kebaikan. Kalau tidak mengubah kita, maka ia menjadi azab kecil semasa di dunia, sebelum dikenakan dengan azab lagi teruk di akhirat.

Maksudnya juga, ada keharusan untuk rasa bersyukur dengan musibah yang diturunkan. Sebab itu ada riwayat sahabat risau bila tidak ada musibah kerana Allah SWT tidak beri peringatan kepada mereka. Apa yang terjadi kepada orang lain seperti musibah yang menimpa kepada keluarga kita adalah juga peringatan kepada kita.

“A good man would learn from his mistake but an even greater man would learn from other people’s mistake.”

Tafsir Ayat Ke-32

Allah SWT beri dalil tentang kekuasaan-Nya.

وَمِن ءآيٰتِهِ الجَوارِ فِي البَحرِ كَالأَعلٰمِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya

Ini adalah tanda yang kita sendiri boleh lihat. Kita tidak boleh melihat Allah SWT, tetapi kita boleh melihat tanda-tanda-Nya. Perkataan ‘alam’ itu sendiri bermaksud ‘tanda’. Dengan melihat alam, kita boleh melihat tanda kewujudan dan kekuasaan Allah SWT.

Dengan melihat tanda-tanda itu, kita boleh mengenali Allah SWT setakat yang kita mampu. Setakat yang Allah SWT benarkan sahaja.

الْجَوَارِ فِي الْبَحْرِ

ialah kapal-kapal belayar laju merempuh lautan.

Allah SWT banyak memberi isyarat kepada kebesaran-Nya dengan menyuruh kita melihat alam ini.

Dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh kita melihat kepada kapal di lautan pula. Lihatlah kepada kapal yang belayar laju di lautan itu. Ini adalah salah satu dari nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.

كَالْأَعْلٰمِ

seperti gunung,

Kalau kita lihat kapal-kapal besar yang berlayar di laut Itu, Ianya bagaikan gunung kerana besarnya kapal itu. Kalau di daratan, gununglah yang nampak dari jauh. Tetapi kalau di lautan, kapallah yang nampak dari jauh.

Bayangkan betapa hebatnya, kapal yang begitu besar, yang kalau kita pertama kali lihat, tentunya akan tenggelam, tetapi ianya dapat terapung di lautan. Dan dapat bergerak dengan bebas.

Begitu banyak barang yang boleh dinaikkan di dalam kapal itu seperti manusia dan barang-barang kargo dan jualan. Kemudian, kain layarnya pula tinggi menjulang, menambahkan imaginasi kita kepada bentuk gunung.

Tafsir Ayat Ke-33:

إِن يَشَأ يُسكِنِ الرّيحَ فَيَظلَلنَ رَواكِدَ عَلىٰ ظَهرِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

إِن يَشَأْ يُسْكِنِ الرِّيحَ

Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin,

Angin yang bertiup kencang itu, Allah SWT boleh menghentikannya. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh melakukannya. Allah SWT hendak ingatkan yang kapal di lautan berjalan dengan kudrat Allah SWT. Bukanlah kapal itu berjalan sendiri.

فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَىٰ ظَهْرِهِ

maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di atas belakangnya.

Apabila angin berhenti dan tidak bertiup di lautan, maka kapal-kapal itu akan berhenti tidak bergerak. Ini adalah ketika laut itu tenang ia akan hanya terapung-apung. Ini adalah untuk kapal layar kerana kapal layar memerlukan angin untuk menggerakkannya.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi tiap-tiap orang yang sabar, lagi bersyukur.

Sifat sabar dan syukur disebut di hujung ayat ini. Ia merujuk kepada mereka yang sabar semasa susah dan dia akan bersyukur di masa senang. Ini adalah dua sifat yang amat-amat penting. Ia perlu ada bagi setiap orang mukmin.

Pertama yang perlu disyukuri adalah kerana air laut itu tenang. Dan apabila disebut kapal yang berlayar, ia juga sebagai isyarat kepada perjalanan, safar.

Dalam musafir, kita memerlukan kedua-dua sifat ini. Kerana di dalam setiap perjalanan, kita akan menghadapi banyak masalah. Kita hendaklah bersabar bila kita diberikan dengan masalah-masalah itu.

Dalam masa yang sama, kita juga semestinya bersyukur kepada Allah SWT kerana Allah SWT telah memberi izin kepada kita untuk mengembara di atas muka bumi ini.

Sebagai contoh, perjalanan untuk mengerjakan Umrah dan Haji adalah perjalanan yang sukar. Maka hendaklah kita bersabar dalam perjalanan dan menghadapi kesukaran itu.

Namun, dalam masa yang sama, kita hendaklah bersyukur kerana Allah SWT memberi peluang kepada kita untuk mengerjakan ibadat itu. Berapa ramai yang teringin sangat untuk ke Mekah, tetapi tidak mendapat kesempatan itu.

Lihatlah, sebenarnya kalau kita ada rasa syukur, perasaan sabar itu akan datang dengan sendiri.

Tafsir Ayat Ke-34:

أَو يوبِقهُنَّ بِما كَسَبوا وَيَعفُ عَن كَثيرٍ

Atau (jika Ia kehendaki) Ia binasakan kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang-orangnya, (lalu setengahnya dibiarkan mati lemas) dan (setengahnya diselamatkan dengan jalan) Ia memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa mereka.

أَوْ يُوبِقْهُنَّ

Atau (jika Dia kehendaki) Dia boleh binasakan kapal-kapal itu

Allah SWT boleh musnahkan kapal itu dengan macam-macam cara. Kapal itu boleh bocor, boleh terbakar, boleh langgar batu karang, langgar bongkah ais dan sebagainya.

Hakikatnya, Allah SWT lah yang membinasakan kapal itu. Lihatlah apa terjadi kepada kapal Titanic. Mereka kata: “Tuhan pun tidak boleh menenggelamkan kapal ini”, tetapi akhirnya Allah SWT tenggelamkan juga.

بِمَا كَسَبُوا

disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang-orangnya,

Apabila dalam perjalanan kapal atau dengan perjalanan cara lain, tentulah banyak kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Allah SWT boleh sahaja memusnahkan mereka kerana kesalahan mereka itu.

Atau memang penumpang kapal itu adalah mereka yang banyak berdosa, berbuat syirik, kufur atau berlaku zalim kepada ramai orang. Allah SWT boleh beri balasan kepada mereka atas kesalahan dosa mereka itu serta merta.

Ini adalah takhwif duniawi. Jika Allah SWT tenggelamkan, bukanlah Allah SWT sengaja nak buat, tetapi kerana kesalahan mereka sendiri. Kalau tidak ada dosa, Allah SWT tidak akan beri musibah kepada mereka.

وَيَعْفُ عَن كَثِيرٍ

tapi Dia telah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa mereka.

Walaupun Allah SWT boleh balas kesalahan mereka itu dengan dihancurkan mereka, tetapi Allah SWT tidak buat begitu. Allah SWT telah maafkan kebanyakan dari dosa-dosa manusia.

Allah SWT tidak ambil kira kerana Allah SWT maha pemaaf. Bukannya mereka tidak ada dosa, tetapi Allah SWT maafkan.

Allah SWT boleh sahaja musnahkan sesuatu penduduk di suatu tempat yang banyak berbuat dosa seperti syirik, kufur or zalim tetapi kerana rahmat dan kebijaksanaan-Nya, Dia tidak lakukan. Kalau kita buat dosa sahaja, Allah SWT terus azab, semua manusia akan mati (disebut dalam ayat yang lain). Maka, Allah SWT beri peluang kepada kita untuk bertaubat.

Tafsir Ayat Ke-35

Ini adalah hikmah dijadikan ujian itu. Supaya mereka sedar.

وَيَعلَمَ الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِنا ما لَهُم مِّن مَّحيصٍ

(Berlakunya yang demikian supaya nyata kekuasaan Kami) dan supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui, bahawa mereka tidak akan dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).

وَيَعْلَمَ الَّذِينَ يُجٰدِلُونَ فِي ءآيٰتِنَا

Supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui,

Jumlah Muqaddar (tidak disebut tetapi ada sebenarnya) dalam ayat ini: Allah SWT tenggelamkan kapal di lautan kerana Allah SWT hendak balas kesalahan dan dosa hamba.

Mereka yang membantah adalah mereka yang tidak mahu beriman dengan ayat-ayat Allah SWT. Apabila diberitahu dengan makna yang disampaikan dalam Al-Quran, ada sahaja yang mereka tolak. Apabila diajak belajar wahyu, mereka tolak.

مَا لَهُم مِّن مَّحِيصٍ

bahawa mereka tidak akan dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).

Supaya mereka yang menentang ayat-ayat Allah SWT tahu bahawa mereka tidak ada kuasa hendak melepaskan diri dari musibah Allah SWT. Kalau Allah SWT hentikan kapal mereka, musnahkan kapal mereka, senang sahaja.

Dan kalau Allah SWT buat begitu, mereka tidak boleh hendak buat apa-apa pun. Katalah apa sahaja, ianya akan terjadi juga.

Lihatlah apa kata mereka yang membuat kapal Titanic itu: “Kapal ini amat kuat, sampaikan Tuhan pun tak boleh nak karamkannya!” Begitu sombongnya mereka dengan pencapaian dan kepandaian mereka. Tetapi lihatlah apa yang terjadi kepada kapal itu. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila kapal itu mula karam.

Orang-orang Musyrikin Mekah pun tahu bahawa apabila di lautan, yang berkuasa hanya Allah SWT sahaja. Maka Allah SWT ingatkan mereka dalam ayat ini.

Allahu a’lam.

2 KOMEN

  1. assalamualaikum wbt
    i. Adakah Jawsyan Khabir sebahagian dari sunah Rasullah?
    ii. Adakah meangamalkannya seperti yang dilakukan oleh Umat Islam Turki, sebahagian dari amal solleh?
    Terima kasih.

    • Jawapan Ustaz Azlizan: “Tapi saya tidak tahu apakah Jawsyan Khabir itu. Dan tidak tahu apakah amalan masyarakat Islam Turki… sebab saya tak tinggal di sana..”

Komen dan Soalan