Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Kawthar – Tafsir Ayat Ke-2

Tafsir Surah Al-Kawthar – Tafsir Ayat Ke-2

534
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Kawthar

Kita telah bincangkan sebelum ini:

Bagaimana Rasulullah SAW mendapat layanan yang amat buruk dari Musyrikin Mekah, sehingga apabila anak lelaki baginda meninggal dunia semasa kecil, mereka telah bergembira dan meraikan kematian itu.

Sedangkan ia adalah satu kejadian yang amat menyedihkan bagi baginda SAW, atau bagi sesiapa sahaja. Maka untuk memujuk hati baginda, Allah SWT telah mulakan ayat pertama surah ini dengan berita gembira.

Ada beberapa pendapat, salah satu darinya:

Rasulullah SAW ada dua anak lelaki dari isterinya Siti Khadijah r.a. Mereka bernama Qasim (telah lama meninggal dunia) dan Abdullah. Pendapat pertama ini ialah mengenai Abdullah.

Ada juga yang mengatakan anak lelaki yang dimaksudkan di sini adalah anak baginda yang bukan dari Siti Khadijah r.a, dan anak itu bernama Ibrahim. Allahu a’lam.

Orang pertama yang mendengar tentang kematian Abdullah adalah Abu Lahab, kerana beliau duduk berdekatan dengan rumah Rasulullah SAW dan beliau juga adalah bapa saudara baginda.

Beliau amat menentang usaha dakwah Nabi SAW dan selalu mengatakan perkara yang buruk terhadap Nabi SAW.

Apabila Abu Lahab mendapat tahu tentang kematian anak Nabi SAW, dia telah keluar dari rumahnya sambil menari dan meraikan kematian cucu saudaranya itu.

Abu Lahab berkata: “Batara Muhammadun” atau “Muhammad telah terputus”

Maksudnya ~ keturunan Muhammad SAW telah terputus. Abu Lahab suka jika baginda tidak ada anak lelaki kerana anak lelakilah yang meneruskan nama keluarga.

Allah SWT tahu perasaan sedih baginda, lalu apabila Allah SWT menurunkan Surah Al-Kawthar ini, Allah SWT terus memberi berita gembira untuk memujuk baginda. Ini juga menunjukkan tingginya kasih sayang Allah SWT kepada baginda.

Akhir sekali, Allah SWT cuma berfirman :

إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ

(Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus)

Sesetengah mufassir membawa isyarat, bahawa langkah yang terdapat dalam surah ini :

1. Untuk menangani perasaan sedih, pertama perlu kenangkan semula kebaikan yang pernah kita dapat atau yang kita akan dapat.

2. Kemudian, melakukan solat kepada Allah SWT (sebagai tanda bersyukur).

Apa yang disebut dalam kisah ayat sebelum ini, setelah diberikan dengan segala nikmat, apa yang perlu dilakukan?

Tafsir Ayat Ke-2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.

Baginda diingatkan untuk mendirikan solat dengan kalimah :

لِرَبِّكَ

(untuk Tuhanmu).

Ini adalah perbandingan dengan solat kaum Quraisy Mekah sebelum ini yang hanya untuk menunjuk-nunjuk. Maka ayat ini berlawanan dari apa yang mereka lakukan.

Orang beriman akan solat kerana Allah SWT (ikhlas) bukan kerana hendak menunjuk kepada orang lain.

Selepas kita mendapat nikmat, tentulah sepatutnya kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang telah diberikan tetapi Allah SWT tidak pula menyebut ‘syukur’ secara langsung.

Sebaliknya Allah SWT menyuruh lakukan SOLAT. Ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk menunjukkan syukur kepada Allah SWT adalah dengan mendirikan solat.

Kerana itulah, Rasulullah selalu mendirikan solat sunat dua rakaat apabila sesuatu yang baik berlaku kepada umat Islam.

Ada beberapa perbezaan pendapat tentang solat apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini:

1. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah solat fardu.

2. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah solat Eid kerana selepas itu disebut tentang ibadat korban yang dilakukan pada Eidul Adha.

3. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat secara umum. Kerjakanlah solat sama ada yang fardu atau sunat. Ini adalah pendapat yang jumhur.

4. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat di Muzdalifah pada ibadat haji.

Selepas disebut tentang solat, disebut pula :

وَانحَر

(dan berkorbanlah).

Pendapat jumhur mengatakan yang dimaksudkan adalah korban penyembelihan pada ‘Eid al Adha. Ada juga yang mengatakan ianya bermaksud binatang yang diberikan dalam sedekah/zakat.

Musyrikin Mekah juga ada melakukan korban binatang tetapi mereka menyembelih binatang untuk berhala-berhala mereka.

Maka Allah SWT perbetulkan perbuatan mereka itu dan mengingatkan yang sembelihan mestilah atas nama Allah SWT.

Dalam Al-Quran, ada 4 jenis perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada binatang yang dikorbankan.

Pertama : Budun

بدن

Merujuk kepada binatang yang besar dan telah disembelih, darah masih lagi basah. Ini digunakan dalam Surah Al-Hajj (22) : 36

وَالبُدنَ جَعَلناها لَكُم مِن شَعائِرِ اللَّهِ

(Dan telah Kami jadikan untuk kamu binatang-binatang itu sebahagian dari syi’ar Allah SWT)

Kedua : Nusuq

نسق

Merujuk kepada binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini seperti yang digunakan dalam Surah Al-An’am (6) : 162

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

(Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan semesta alam.)

Ketiga : Hadi

هدي

Adalah daging binatang yang telah disembelih dan diagih-agihkan berdekatan dengan Baitullah. Ini disebut dalam Surah Al-Maidah (5) : 95

يَحكُمُ بِهِ ذَوا عَدلٍ مِنكُم هَديًا

(maka dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan buruan yang dibunuhnya,)

Keempat : Qalaa’id

القَلائِدَ

Adalah binatang yang telah di tanda kerana binatang itu akan disembelih sebagai korban dalam ibadat Haji. Ini disebut dalam Surah Al-Maidah (5) : 2

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحِلّوا شَعائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهرَ الحَرامَ وَلَا الهَديَ وَلَا القَلائِدَ

(Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id)

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Antara cara menenangkan hati ialah mengingati semula nikmat dan kemudahan yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita

Kedua :

Ibadah yang paling banyak lafaz tasbih dan tahmid ialah Solat.

Ketiga :

Sebagai umat Islam kita harus menunjukkan kesyukuran ke atas segala pemberian-Nya, salah satunya adalah dalam bentuk solat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan