Utama Bilik (93) Cabang Cabang Iman Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-71 hingga Ke-77

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-71 hingga Ke-77

814
0
Iklan

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-71

Menjauhi sifat dayus

Menjauhi dan menegur kesalahannya dan memperbetulkan kesilapannya yakni isteri.

Dayus bermakna tidak berani dalam erti kata menegur dan memperbetulkan keadaan. Sikap yang dianggap sporting atau open-minded dalam Islam tidak ada pada perkara maksiat

وروي عن ابي سعيد الخدري عن النبي انه قال الغيرة من الايمان وان المذاء من النفاق

telah berkata Abu Said Al-Khudri daripada Rasulullah SAW bersabda “Cemburu/Kewaspadaan itu sebahagian dari Iman dan dayus/pengecut itu bahagian dari Nifaq.

 

Cabang Iman Ke-72

Menjauhi perkara sia-sia

Sia-sia adalah suatu yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama, diri dan makhluk lain.

Dalam Matan Ar’bain (hadis 40) Al-Imam An-Nawawi ada disebut satu hadis riwayat At-Tirmizi

Di antara baiknya Islam adalah meninggalkan perkara yang sia-sia.

Kehidupan Nabi SAW adalah ‘bench mark’ kepada perbuatan yang manfaat segala yang dilakukan oleh Rasulullah SAW baik dalam bentuk ibadat khusus, akhlak dan tabii kebiasaan Nabi SAW memberikan manfaat kepada ummah.

Ulama-ulama terdahulu bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan masa 24 jam satu hari telah mengumpulkan hadis-hadis amalan siang dan malam. Amal Yaum Wa-Lail seperti Ibnu Sunni dan beberapa muhaddithin yang lain. Bahkan begitu banyak tulisan-tulisan yang menghimpunkan sunnah siang dan malam sehingga untuk kita mensia-siakan masa kita adalah mustahil jika kita mengamalkannya.

Waktu yang lapang adalah ujian buat Islam, kerana di sisi ulama-ulama terdahulu masa mereka dipenuhi dengan belajar, mengajar, beribadat, berjihad dan mentarbiyyah keluarga.

Berapa banyak Autobiografi Ulama’ semisal yang ditulis oleh Ibnul Jawzi, As Suyuti dan Zakariyya Al Khandlawi bahkan biografi-biografi ulama semisal Al-Imam Ahmad, An-Nawawi dan As-Syaikh Al-bani betapa mereka memaksimumkan masa yang dikurniakan kepada mereka.

Imam Malik menghabiskan masa lebih 20 tahun untuk menyiapkan Al-Muwatha’ begitu juga dengan hal Al-Imam Al-Bukhari dalam menyiapkan sahihnya.

Syaikh Dr Wahbah Az Zuhaili menguzlahkan diri selama lebih 12 jam sehari selama kira-kira 7 tahun untuk menyiapkan karya magnum opus Ensiklopedia Fiqh.

Syaikh Al-Albani masuk ke perpustakaan Zahiriyyah seawal Dhuha dan duduk mengkaji kitab sehingga sebelum hari gelap dan banyaklah lagi penggunaan masa yang diceritakan di dalam Al-Quran yang menakjubkan kita seperti 950 tahun dakwah Nabi Nuh a.s. Lawan dari perkara sia-sia adalah memanfaatkan masa .

 

Cabang Iman yang Ke-73

Menyemai sifat pemurah dan dermawan

Terdapat hadis Riwayat At-Tirmizi yang agak panjang matannya, mafhumnya:

Sesungguhnya orang dermawan itu dekat dengan Allah SWT, dekat dengan manusia dan dekat pula dengan syurga, jauh dari neraka.

Banyak hadis-hadis dermawan boleh dilihat dalam al-Bukhari dan Al-Muslim.

Sifat dermawan ini telah menjadi sifat Nabi SAW sehingga setiap Khumus (1/5) dari bahagian rampasan perang habis dibelanjakan kepada fakir dan yang lebih memerlukan di kalangan ahlusuffah. Beginilah kehidupan seorang yang telah mendapat lebih dari 10 Khumus.

Dari gambaran ini menunjukkan bahawa harta Baginda SAW telah di dermakan sehingga apa yang tersisa seperti yang digambar dalam rumah Baginda SAW.

Jika hendak diberikan gambaran tentang Khumus jika rampasan itu berjumlah 100,000 dinar maka 1/5 = 20% . Jadi, bahagian Rasulullah SAW adalah 20,000 dinar. Jika ditukarkan 1 dinar dengan nilai RM, satu dinar bersamaan dengan 4.25 gram emas. Jika diambil harga purata RM150 per gram maka 1 dinar lebih kurang 637.50. Maka, 20,000 dinar bersamaan dengan 12,750,000 kurang lebih 13 juta.

Berapakah nilai rampasan perang dengan Bani Quraizah?

Apa yang hendak di maklumkan adalah bahawa Rasulullah SAW adalah sangat-sangat PEMURAH dan Baginda telah menunjukkan sifat dermawan yang sangat tinggi.

 

Cabang Iman Ke-74

Mengasihi yang kecil/muda dan mengutamakan/menghormati/ mendahulukan yang besar/tua

لحديث جرير بن عبد الله في صحيح مسلم من لا يرحم الناس : لا يرحمه الل

Dari hadis Jabir RA seperti disebut di dalam Sahih Muslim mafhumnya sesiapa yang tidak mengasihi manusia, tidak dikasihi akan dia oleh Allah SWT. Manusia semua layak kita cintai kerana mereka adalah ciptaan Allah SWT yang terbaik. Tingkatan kasih atau tahap kasih di sebut dalam hadis yang lain:

وحديث عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما في سنن ابي داود ومسلم من لم يرحم صغيرنا ولم يعرف حق كبيرنا فليس منا

dan juga Hadis Abdullah bin Amr Ra disebut dalam sunan Abu Daud dan Sahih Muslim.

Sesiapa tidak kasih kepada yang kecil/muda di antara mereka, dan tidak menunaikan hak/menghormati yang besar/tua di antara mereka, bukanlah di kalangan kami.

Hubungan iman dan kasih serta hormat ini sangatlah akrab. Seorang yang memahami maksud iman lebih kasihnya pada yang muda dan lebih hormatnya pada yang tua. Kerana apa ? Kasih dan rahim ini adalah nikmat dan kurniaan dari Allah SWT seperti yang disebut:

وحديث ابي هريرة رضي الله عنه في الصحيحين جعل الله الرحمة مائة جزء فأمسك عنده تسعة وتسعين جزءا وانزل في الارض جزءا واحدا فمن ذلك الجزء يتراحم الخلائق حتى ترفع الفرس حافرها عن ولدها خشية ان تصيبه

Hadis Abu Hurairah RA dalam Sahihain. Allah SWT menciptakan Ar-Rahmah itu 100 bahagian, 99 bahagian dipegang oleh Allah SWT dan menurunkan satu bahagian ke muka bumi (dunia), dengan satu bahagian ini kita dapat lihat berkasih-kasihan makhluk di bumi sesama mereka, hingga lihat haiwan mengasihi anak mereka, memberi makanan dan membesar, menjaga dan memelihara anaknya.

Mengasihi yang kecil dan menghormati yang tua adalah cabang iman yang sangat-sangat penting begitu banyak dalil dan penegasan Rasulullah SAW mengenainya. Ayat “bukan lah daripada kalangan kami”. Itu adalah satu penegasan yang sangat keras. Jika kita bukan dalam kalangan pengikut Rasulullah SAW maka, kita pengikut siapa ? Nauzubillahimin zalik.

 

Cabang Iman Ke-75

Mencintai saudara seperti mana mencintai dirinya

Mengasihi Saudara sebagai Mengasihi Diri Sendiri

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه والسلام لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتىَّ يُحِبَّ ِلأَخِيُهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Dari Anas bin Malik RA katanya:

“Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga ia mengasihi untuk saudaranya seperti apa yang dikasihinya untuk dirinya sendiri.”

Iman bukan sahaja mengenai perkara ghaib tetapi ianya juga berkait rapat dengan hubungan sesama manusia dan sesama makhluk.

Dengan mengasihi sesama manusia, ianya dapat menzahirkan sifat keRahiman Allah SWT

Allah SWT mahu sifat kasih sayang di sebar luaskan

Tahap kasih sayang yang paling tinggi, biasanya kita peruntukkan untuk diri sendiri. Seperti mana jika kita memilih barang atau sesuatu sudah pasti kita memilih yang cocok dan bagus untuk kita. Begitulah juga sifat kasih untuk diri kita, kita akan memastikan kita menerima layanan kasih sayang yang terbaik untuk diri kita sendiri

Rasulullah ﷺ   memberikan isyarat bahawa tahap Iman kita tidak akan sampai ke tahap sempurna sehinggalah apa yang kita mahu untuk diri kita dari hal kebaikan dan kebajikan, itulah juga kita mahu saudara-saudara kita dapat dan perolehi.

 

Cabang Iman Ke-76

Mendamaikan dan meredakan pertelingkahan

Mendamaikan dan meredakan pertelingkahan ia seperti yang disebut dalam As-Sahihain dari hadis Umm Kalsum:

ولحديث ام كلثوم بنت عقبة بن ابي معيط رضي الله عنها في

الصحيحين ليس الكذاب الذي يصلح بين الناس فيقول خيرا وينمي خيرا قالت ولم اسمعه يرخص في شيء مما يقول الناس كذبا الا في ثلاث الحرب والاصلاح بين الناس وحديث الرجل امراته وحديث المراة زوجها

Yang mafhum maksudnya “tidaklah menipu seseorang yang mendamaikan sesama manusia..”

Bagaimanakah Rasulullah SAW mendamaikan manusia. Ia telah ditunjukkan dengan sunnah baginda dalam sirah apabila Aus dan Khazraj didamaikan dari peperangan yang telah menjadi tradisi ratusan tahun. Banyak lagi contoh ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam hal mendamaikan, antara lain mendamaikan dalam kes parit dan saliran air untuk tanaman kurma.

Cabang Iman Ke-77

Membuang duri atau halangan dari jalan atau laluan manusia

Ia di letakkan paling akhir dalam perbincangan cabang-cabang Iman kerana bersandarkan pada hadis cabang iman ini iaitu “serendah-rendah iman adalah mengalihkan duri dari laluan”

Dalam bab ini jika kita tidak mampu mengalihkan duri/halangan dari laluan yang dikatakan serendah iman, bagaimanakah kefahaman dan tahap keimanan yang ada pada kita.

Apatah lagi jika kita yang menjadi duri dan halangan kepada laluan manusia, seperti amalan parkir kereta di pintu jiran rumah, atau di laluan keluar masuk. Apakah kita benar-benar telah mengerti erti keimanan?

 

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan