Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-17 hingga Ke-19

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-17 hingga Ke-19

917
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

1. Kisah orang yang menolak kebenaran serta akibat dari perbuatan tersebut.

2. Ancaman terhadap orang kafir adalah turut bermaksud sebagai pembelaan kepada orang yang beriman.

3. Orang yang mendustakan kebenaran ( Al-Quran ) merupakan orang yang melakukan kesalahan.

Seterusnya Allah SWT mencabar manusia yang telah berdusta kepada Allah SWT, untuk berbuat semahu mereka. Bahkan panggillah sesiapa sahaja yang boleh tolong mereka.

Tafsir Ayat Ke-17:

فَليَدعُ نادِيَهُ

“Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya)”

Jika diambil contoh sebelum ini:

Abu Jahal seorang yang mempunyai kedudukan dan dipandang tinggi. Oleh itu dia berasa hebat kerana dia berasa mempunyai banyak sokongan.

Maka Allah mencabar manusia seperti ini dan buka “tawaran” untuk turut memanggil sokongan bagi menolongnya.

نادِيَهُ

Bermaksud : Tempat awam yang mempunyai ramai orang yang mendengar. Ini kerana نادِيَهُ dari ن د و yang bermaksud “panggilan / seruan”.

Oleh itu نادِيَهُ adalah tempat awam di mana ramai orang mendengar jika ada suatu pengumuman. Sepertimana tempat ramai orang berkumpul.

Maksud mudah begini:

“Wahai orang yang hendak melawan Aku ( Allah ), pergilah ke tempat orang-orang berkumpul itu. Yang mana mereka itu mungkin sekutu kamu yang sama-sama ingin melawan Aku!”

Benarlah kata Allah SWT. Al-Quran itu pengajaran bagi orang yang berakal (boleh fikir). Satu ayat ini sepatutnya boleh jadikan seseorang tu “berhati-hati” kalau terfikir kerana ingkar.

Hari ini pun sama juga. Berapa banyak jumlah yang “menentang” Allah SWT atas dunia ini. Mereka juga bukanlah orang kecil, tetapi pemimpin-pemimpin dunia. Ibarat Abu Jahal yang juga punyai kedudukan dan sokongan.

“Penentang” Allah SWT hari ini juga pun sama! Bukan sekadar bertindak seorang, bahkan mencari sekutu dan pakatan untuk menentang agama Allah SWT ( Islam ). Gabungan dan sokongan satu sama lain dalam menentang kebenaran

Bagi kita ingatlah, mereka ( kuffar ) merancang dan Allah SWT juga merancang. Allah SWT jua sebaik perancang.

Rujuk surah [Al-Imran: 54]

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Itulah Al-Quran kisah yang akan berulang sampai kiamat. Manusia ni version 1.0 sahaja. Maka hendak selamat sampai bila-bila, ikutlah Al-Quran dengan betul.

Maka, ayat seterusnya memberikan gambaran “balasan” Allah SWT kepada mereka. Sesungguhnya manusia ( yang baik atau jahat ) tidak pernah terlepas dari perhatian dan balasan Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-18:

Peringatan Allah SWT:

سَنَدعُ الزَّبانِيَةَ

“Kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah”.

الزَّبانِيَةَ

Boleh bermaksud pengawal yang ramai. Mereka mengawal dengan menggunakan kekuatan, kelebihan / kuasa yang Allah SWT izinkan kepada mereka.

Contoh atas dunia ini, warden dalam penjara mungkin.

Ayat sebelum ini, Allah SWT beritahu: Panggillah sesiapa sahaja yang kamu ingin panggil!

Ayat ini: ( Tetapi ) Allah SWT pula memanggil malaikat-malaikat pengawal.

Ada beberapa maksud dari perbincangan kedua-dua ayat ini:

Pertama:

Allah SWT membiarkan orang “jahat” memanggil sekutu. Agar mereka berkumpul seterusnya diazab Allah SWT keseluruhan.

Sebab tu kadang-kadang banyak peristiwa akhir zaman seperti Islam tertindas, barulah kita tahu mana kawan / mana musuh

Kedua:

Allah SWT menggambarkan kekerdilan dan kehinaan manusia yang menentang agama Allah SWT. Betapa sebenarnya mereka tiada dapat memberi apa-apa masalah kepada Allah SWT.

Ketiga:

Perbandingan sekutu orang “jahat” dan tentera Allah SWT suatu perkara yang jauh. Ibarat langit dan bumi. Jadi, sepatutnya manusia berfikir sebaiknya untuk lupakan hajat jika ingin melawan Allah SWT.

Kadangkala kita rasa pedih / sedih melihat ujian kepada kita atau dunia Islam namun, Allah SWT Maha Mengetahui hikmah-Nya. Semua yang berlaku adalah atas izin-Nya.

Berbalik kisah Abu Jahal tadi, terdapat hadis riwayat Bukhari ini yang menceritakan “penentangan” Abu Jahal:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ : قَالَ أَبُو جَهْلٍ: لَئِنْ رَأَيْتُ مُحَمَّدًا يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ لَأَطَأَنَّ عَلَى عُنُقه . فبَلغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ :لَئِنْ فَعَلَهُ لَأَخَذَتْهُ الْمَلَائِكَةُ

“Dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Abu Jahal berkata, “Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad SAW sedang solat berdekatan Kaabah, aku benar-benar akan menginjak lehernya”. Maka ancaman itu sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: Sesungguhnya jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya)”.

Selesai sedikit cerita “penentang Allah SWT” kisah kerdil mereka yang sebenar. Lalu ayat yang akhir, menariknya Allah SWT mengajar apakah perkara yang sepatutnya orang beriman itu buat.

Tafsir Ayat Ke-19:

كَلّا لا تُطِعهُ وَاسجُد وَاقتَرِب ۩

“Sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujudlah dan dekatkanlah (diri mu kepada Tuhan)”.

كَلّا

Jangan, jangan hiraukan dan takut kepada orang-orang macam Abu Jahal (atau yang sama perangai) itu. Jangan hiraukan mereka! Sebenarnya mereka tidak kuat mana pun.

Kena ingat, Allah SWT jua punyai perancangan terbaik. Cuma Allah SWT berikan masa agar mereka lebih terhina dengan balasan yang bakal disediakan.

Contoh: Kisah tentera Abrahah

Boleh sangat Allah SWT hancurkan mereka dari awal! Tetapi Allah SWT biarkan Abrahah merancang, bela gajah elok-elok, keluar modal yang besar, bagi Abrahah dan tentera rasa yakin seolah-olah akan berjaya kerana tiada saingan lawan.

Tiba-tiba bila seolah telah dekat sangat dengan kejayaan “cita-cita” mereka menghancurkan Kaabah, dengan mudah Allah SWT hancurkan. Hanya dengan mengutus burung Ababil!

لا تُطِعهُ

“Jangan ikut dia!”

Bermaksud: Jangan takut dan taat kepada dia. تُطِعهُ dari ط و ع yang bermaksud ‘taat / ikut”.

وَاسجُد

“Dan sujudlah!”

Ini fokus kita sebagai hamba. Janji Allah SWT adalah pasti. Yang kita patut usaha adalah jadi hamba Allah SWT yang taat kepada-Nya.

وَاقتَرِب

“Dan rapatkan diri kamu”.

Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan berpandukan wahyu dan ajaran Nabi SAW. Jangan terpesona / terpedaya dengan “idea” yang bukan-bukan. Amalan yang tiada asas kononnya membawa diri mendekati pencipta.

Sekira ada hujah sekali pun, sebagai hamba Allah SWT mengikuti jalan yang Allah SWT telah tunjukkan merupakan cara paling selamat dan pasti. Orang bijak tentu dia hendak senang dan pilih jalan selamat, sebab dia tidak perlu berfikir dan boleh terus fokus.

Begitulah dalam keadaan seseorang ingin “mendekati” Allah SWT. Pilihlah jalan selamat dan pasti. Agar masa dan umur kita mampu memberikan manfaat paling besar tatkala bertemu Allah SWT nanti.

Dalam ayat ini:

Salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT adalah dengan banyak melakukan sujud.

Rasulullah SAW telah bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Tempat yang paling dekat bagi seorang hamba kepada Tuhannya ialah saat ia sedang sujud, maka perbanyakanlah berdoa (pada-Nya).

Kemudian jangan lupa agar sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT!

Lagi banyak musibah dan ujian melanda kita, maka sujud dan pohonlah hanya kepada Allah SWT sahaja, wasjud waqtarib ( sujud dan dekatkan lagi diri kepada Allah SWT ).

Ibrah dan kesimpulan:

1. Awal surah ini mengandungi arahan (اقرَأ bacalah). Penghujung surah ini pula mempunyai arahan (وَاقتَرِب dekatlah). Dengan itu kita boleh sedari, Allah SWT menyuruh kita membaca, mencari ilmu terutamanya Al-Quran.

Dan proses dengan ilmu itu sepatutnya membawa kita akhirnya menjadi orang yang bersujud dan semakin dekat dengan Allah SWT.

2. Allah SWT tidak sesekali terlepas pengawasan terhadap penentang-Nya termasuk kepada musuh Islam. Sebagai orang beriman, kita hendaklah sabar dan tekun menjadi hamba yang taat.

Kebenaran dan kemenangan akan tetap bersama orang beriman. Jadi siapkan juga iman kita, mudah-mudahan kita tidak ketinggalan, turut bersama dalam golongan yang berjaya nanti.

3. Untuk mendekati Allah SWT, kena ada ilmu. Awal surah Al-Alaq, perintah pelajari ilmu, terutama yang jelas terdapat dalam Al-Quran. Kaedah pula terdapat dalam sunnah baginda SAW.

Hadith Tsauban,maula Rasulullah SAW:

“Hendaklah engkau memperbanyak bersujud, sebab sesungguhnya engkau tidaklah bersujud kepada Allah SWT sekali sujud melainkan dengannya itu Allah SWT mengangkat mu sedarjat dan dengannya pula Allah SWT menghapuskan satu kesalahan dari diri mu.”

Tsauban, pembantu peribadi Nabi SAW bertanya kepada Nabi SAW, apakah amalan yang paling disukai Allah SWT. Lantas Nabi SAW menjawab, perbanyakkan sujud, yakni banyakkan solat kerana dalam solat banyak sekali sujud, solat fardhu, solat berjamaah, solat rawatib, tahajjud, dsbnya. (Ibn Uthaimin, Syarah Riadhus Solihin).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan