Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

1675
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

1. Perihal Abu Jahal yang menolak kebenaran walaupun dia tahu akan hal yang sebenar.

2. Ilmu sepatutnya menjadikan seseorang itu beriman dan bertaqwa.

3. Orang yang beriman akan sentiasa menjaga dirinya, kerana meyakini bahawa Allah melihat setiap tindak tanduk perbuatan.

Tafsir Ayat Ke-15:

Sekarang kita masuk ke bahagian seterusnya perbincangan surah ini.

Setelah Allah SWT menceritakan mengenai kisah orang yang menolak kebenaran, maka seterusnya Allah SWT menerangkan kesan jika menolak kebenaran.

كَلّا لَئِن لَم يَنتَهِ لَنَسفَعًا بِالنّاصِيَةِ

“Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya”

كَلّا

“Janganlah dia buat begitu – Akibatnya sangat bahaya kalau dia teruskan”

Di dalam Sirah, kita telah mengetahui bahawa Abu Jahal telah memberi amaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan larangan, supaya tidak solat di Kaabah serta pelbagai lagi larangan terhadap Nabi SAW untuk melakukan ibadah. Bahkan Abu Jahal mengancam jika baginda buat juga, Nabi SAW akan disakiti.

Ayat: “…… nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya”

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah hendak memberi dua hikmah yang utama.

Pertama:

Allah SWT memberikan amaran keras kepada musuh Nabi SAW yang menentang Baginda.

Maksudnya:

Cukuplah! Jangan menegah dan melarang orang lain dari melakukan kebaikan dan ingin beribadat kepada Allah SWT.

( Dalam ayat ini ) Demi Allah, jika si kafir itu tidak berhenti dari melakukan perbuatannya yang penuh dengan permusuhan dan perpecahan, maka nescaya Kami akan rentap ubun-ubunnya dan dia akan diheret ke neraka.

Huruf ل dalam لَئِن itu adalah sebagai penekanan (Allah PASTI akan buat).

Ini adalah satu ugutan yang dahsyat dari Allah SWT kepada manusia taghut.

Kedua:

Ayat ini berupa semangat dan sokongan terhadap Nabi SAW bahawa Allah SWT sentiasa membela Nabi SAW.

Dengan mengetahui maksud di sebalik ayat ini, bermakna seseorang itu tahu bahawa Allah SWT tidak sesekali membiarkan hamba-Nya yang berada dalam kebenaran.

Itu boleh menjadi “ubat” dan kepada hamba Allah SWT yang sentiasa berjuang dan sabar dalam perjalanan menjadi insan bertaqwa.

Persoalan dan maksud ayat ini TIDAK tertakluk kepada kisah Abu Jahal semata. Ia juga merupakan pengajaran penting agar kita tidak termasuk ke dalam golongan yang menghalang orang lain berbuat kebaikan.

Apatah lagi kena berhati-hati daripada menzalimi orang lain yang ingin melakukan kebaikan.

Hadis dari Anas r.a , Rasulullah SAW bersabda:

اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب

“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah”

[ Hadis Riwayat Imam Ahmad – sanad hasan ]

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

“Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. [Al-Mujadilah: 11]

النّاصِيَةِ

“Adalah bahagian di atas dahi – ubun-ubun”.

Apakah hikmah atau “isyarat” Allah SWT dengan menggunakan perkataan ini?

Pertama:

Sesetengah cara yang lazim digunakan oleh manusia ialah menangkap binatang dengan menangkap kepala / ubun-ubun.

Di sini Allah SWT memberitahu, jika orang yang ingin menghalang itu tidak berhenti juga Allah SWT akan menangkap dan merentap ubun-ubun mereka yang bermaksud Allah SWT akan segerakan hukuman, mematikan mereka dan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Kedua:

Selain itu, Allah SWT gunakan kalimah النّاصِيَةِ kerana di dalam tradisi Arab, النّاصِيَةِ adalah tempat kemuliaan seseorang. Budaya kucup dahi dan sebagainya.

Ketiga:

Ubun-ubun juga adalah bahagian yang tertunduk ke bumi apabila melakukan sujud dan akhir nanti kita juga akan dapati penutup surah ini juga akan ada Ayat Sajdah.

Keempat:

Ia juga adalah simbolik tempat akal dan pengetahuan dan kita telah sebutkan bagaimana Abu Jahal menolak untuk menerima ilmu agama dari Nabi Muhammad SAW sendiri.

Menunjukkan betapa dia sia-siakan akal untuk berfikir sejenak tentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Maka kerana itu, Allah SWT akan menangkap Abu Jahal di ubun-ubunnya, akan mengheret ke neraka.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga berfirman tentang balasan yang sama kepada orang yang menentang dan tidak mengendahkan kebenaran akan jatuh tersungkur muka mereka:

أَفَمَن يَمشي مُكِبًّا عَلىٰ وَجهِهِ أَهدىٰ أَمَّن يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

“Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?” [Al-Mulk: 22]

Namun, hari ini boleh jadi kesombongan manusia tu lebih tinggi, contoh:

Zaman itu sombong + jahil tentang sains penciptaan manusia. Namun setelah 1400 tahun berlalu, sains telah buktikan ayat penciptaan manusia itu benar.

Jadi, pada saya, siapa yang “tolak” kebenaran Al-Quran hari ini, itu lebih dahsyat (lebih teruk dari Abu Jahal).

Soalan: Adakah ramai yang tolak Al-Quran zaman sekarang sebab azabnya tidak terlihat di hadapan mata?

Jawapan:

  1. Sebab tidak “nampak” azab yang menanti.
  2. Memang telah bodoh sombong. Di akhirat nanti mereka nampak azab, hendak balik ke dunia tetapi “kalau” balik ke dunia semula pun mereka tetap ingkar (jadi ini bukan isu tidak nampak azab, tetapi memang tidak hendak cakap apa).

Allah SWT sentiasa bersama dan membantu orang yg benar. Usaha kita agar semak diri jadi hamba yang benar tersebut menurut “manual” yang betul.

“Tugas” Allah SWT kita tidak perlu sibukkan. Sebab tu Allah SWT kata banyak kali, janji-Nya itu adalah benar.

Tafsir Ayat Ke-16:

Ayat ini adalah penjelasan seterus bagi ayat sebelum ini. Iaitu:

ناصِيَةٍ كاذِبَةٍ خاطِئَةٍ

“Ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka”.

Yang ia dustakan adalah ajaran, seruan, agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang datang di dalam Al-Quran.

Mereka yang ingkar itu tahu bahawa Al-Quran itu benar, tetapi tetap menolaknya kerana kesombongan, ketakutan serta kejahilan mereka untuk “melepaskan” dunia dari dalam hati.

Disebabkan itu mereka akan keluarkan berbagai-bagai pendapat untuk menolak Al-Quran itu.

Allah SWT juga mengatakan yang ubun-ubunnya itu خاطِئَةٍ – membuat kesilapan. Ia dari خ ط أ yang bermaksud melakukan kesilapan tanpa mengetahui kesan dari kesilapan itu.

Begitulah yang telah dilakukan oleh Abu Jahal – dia telah melakukan perbuatan yang amat buruk kepada Nabi Muhammad SAW, dan dia tidak sedar itu kesilapan yang amat besar. Kesannya, dia akan diseksa selama-lamanya.

Soalan: Bagaimana kita hendak bertaubat jika kita lakukan kesilapan yang tidak kita sedari?

Jawapan: Kita disuruh istighfar dan mohon ampun setiap hari tidak kira sama ada kesalahan yang disedari atau tidak.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Manusia yang bijak, ialah manusia yang sentiasa memikirkan akibat dari perbuatannya. Apatah lagi perbuatan yang salah, yang mengundang masalah / azab kepadanya di kemudian hari.

2. Kemuliaan manusia ialah apabila dia kembali meletakkan diri / dahi untuk bersujud dan taat kepada Allah SWT.

3. Semoga kita terhindar dari menjadi orang yang “khoti-ah” yakni melakukan kesalahan kepada Allah SWT dengan menurut panduan yang betul ( Al-Quran dahulu, kemudian diikuti Sunnah).

Perbanyakan istighfar dan mohon ampun kepada Allah SWT, kerana sesungguhnya sebagai manusia, tentu ada sahaja kesilapan yang kita lakukan tanpa disedari.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan