Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

817
0
Iklan

Tafsir Al-‘Alaq Ayat Ke-13 dan Ke-14

 Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

1. Pengetahuan mengenai khilaf yang mengatakan tujuan ayat kepada Nabi SAW atau Abu Jahal.

2. Kerugian besar bagi mereka yang tidak manfaatkan nikmat dalam kehidupan untuk agama.

3. Perlu usaha untuk berada dalam petunjuk Allah SWT.

Jika menurut surah, kita masih lagi dalam perbincangan yang sama, iaitu 3 kali Allah “bertanya” dengan lafaz Aro-aita kepada kita.

Tafsir Ayat Ke-13:

أَرَأَيتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ

“Bagaimana pendapat mu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling?”

Pada kali ini, ayat ini jelas memperkatakan mengenai Abu Jahal.

Iaitu; menceritakan tentang sifatnya yang mendustakan Nabi SAW bahkan berpaling dari baginda SAW.

Abu Jahal mempunyai peluang untuk mendapat kebaikan yang banyak sekiranya dia beriman dengan ajaran Nabi Muhammad SAW, tetapi dia melepaskan peluang itu.

Secara ringkasnya, apakah yang Allah SWT “suruh kita lihat” pada ayat ini? iaitu, kerugian yang besar bagi orang yang menolak Agama Islam.

Lebih difahami, mereka yang menolak wahyu ( Al-Quran ) yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

Kebodohan Abu Jahal yang tidak mahu menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW menyebabkan dia berada dalam kerugian yang besar sedangkan dia sangat berminat mendengar bacaan Al-Quran.

Dalam banyak perkara Allah SWT menyuruh kita berfikir, tidak bertindak secara sembarangan iaitu dengan mengasah cara berfikir dan mengikut manual yang telah Allah SWT sediakan (Al-Quran).

Abu: Bapa

Jahal: Kebodohan / Jahil.

Maka, jangan jadi seperti Abu Jahal. Betapa sebenarnya teramat rugi bagi orang yang terhidang di hadapannya tempat-tempat pengajian agama (terutama Al-Quran) tidak mengambil kesempatan untuk mempelajarinya, kerana boleh jadi potensi yang ada padanya boleh berkembang luas apabila berlandaskan agama.

Ramai orang yang hendak jadi seperti Abu Jahal. Puncanya? Ulang kaji ayat sebelum ini:

كَلّا إِنَّ الإِنسانَ لَيَطغىٰ

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas”

أَن رَآهُ استَغنىٰ

“kerana dia melihat dirinya serba cukup”

Orang itu jadi begitu kerana mereka sangka dan rasa yang mereka itu serba cukup, tidak perlukan Allah SWT serta petunjuk-Nya.

Pada pandangan mereka:

1. Hidup ini biar diatur sendiri tanpa perlu mengikut agama. Berdasarkan akal fikiran semata dan tidak memerlukan wahyu Allah SWT. Apatah lagi hari ini ada yang berasa kolot apabila mengikut agama.

2. Mereka merasa cukup sekadar berada dalam kehidupan – cukup makan dan pakai, selamat dari bahaya. Bina kehidupan dunia, tanpa teringat untuk bersedia terhadap kehidupan yang kekal abadi (akhirat).

Maka, digambarkan oleh Allah SWT seperti kisah Abu Jahal.

Itulah antara punca Abu Jahal menjadi sombong, tanpa menyedari kesombongan itu hanyalah alat kecintaan terhadap dunia. Dipermudahkan cerita, dunia ada dalam hatinya.

Soalan: Bolehkah juga dimaksudkan orang yang mengikuti pengajian agama pun boleh buta akan kebenaran? Dia berlaku zalim tetapi merasa diri dia yang terzalim? Dia merasa benar sedangkan dia di pihak yang salah?

Jawapan: Boleh, kerana ilmu itu adalah alat menjadi orang bertaqwa, namun ia juga boleh tertipu dengan “fitnah / ujian” menjadi orang berilmu.

Soalan: Adakah kesombongan boleh menghalang hidayah seseorang?

Jawapan: Ya, antara puncanya adalah seseorang itu tidak dapat melihat kebenaran.

Tafsir Ayat Ke-14:

أَلَم يَعلَم بِأَنَّ اللَّهَ يَرىٰ

“Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya”?

Pada kali ini Allah SWT memperkatakan tentang kebodohan Abu Jahal itu dan mereka yang bersifat seperti dia).

Abu Jahal tidak sedar bahawa Allah SWT sedang memerhatikan setiap perbuatannya itu iaitu perbuatan mengganggu Nabi SAW.

Jika kita meneliti Sirah/kehidupan musyrikin Mekah pada ketika itu, kita akan dapati mereka mengenali Allah SWT sebagai Tuhan.

Walaupun mereka itu melakukan syirik dengan menyembah berhala dan sembahan-sembahan yang lain, tetapi mereka juga mengenali Allah sebagai ‘Tuhan Utama’.

Cuma mereka menyangka bahawa berhala dan sembahan-sembahan itu adalah sampingan sahaja.

Begitu jugalah dengan Abu Jahal – yang turut “mengenali” Allah SWT.

Namun, kerana terlalu membenci Nabi Muhammad SAW dan kebenaran yang dibawa oleh baginda, maka Abu Jahal terlupa kepada Allah SWT yang sedang memerhatikan (sedangkan Abu Jahal pun sebenarnya tahu bahawa Allah itu Maha Melihat).

Dunia memenuhi hati —> Jadilah orang yang sombong —> Sombong tu hanya “alat” untuk berkeras menjaga dunia dalam hatinya. Benci atau tidak, itu terpulang kepada reaksi.

Abu Jahal : terbit reaksi benci tetapi Abu Talib : tidak benci malah sayang Nabi SAW. Namun tetap dikira sombong sebab terang-terang Nabi SAW seru, tidak mahu juga terima Islam (sebab dunia lebih utama dalam hati).

“Negeri akhirat itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. [Al-Qasas: 83].

Apabila digunakan kalimat أَلَم يَعلَم (tidakkah mereka tahu?),

Itu menunjukkan mereka sepatutnya tahu, kerana itulah digunakan soalan dalam bentuk “retorik”.

**Retorik : Seni dalam berkata

Iktibar yang boleh diambil:

—> Ada ilmu : Tapi sombong = Maka boleh mendatangkan mudarat ( ingkar kepada Allah SWT )

—> Tiada ilmu : Terbuka / rendah diri = Maka dia akan berpeluang melihat kebenaran yang hendak disampaikan.

AKAN TETAPI paling terbaik, jadilah orang yang berilmu, namun sedia/merendah diri/terbuka untuk mendengar seterusnya berfikir untuk mencari kebenaran.

Firman Allah SWT dalam surah [Fatir: 28]

إِنَّما يَخشَى اللَّهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama ( orang berilmu)”.

Maka sesuailah kaitan perbincangan ini dengan ayat yang pertama, seruan untuk membaca ( pelajari sesuatu ) iaitu; Iqra!

Kena membaca/cari ilmu. Namun untuk mencari kebenaran/petunjuk kena datang dari Allah SWT.

Di dalam Al-Quran ada cerita Abu Jahal, Qarun, Firaun dan lain-lain kerana zaman berzaman tetap ada orang-orang seperti mereka ini.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Allah SWT yang jadikan dunia dan seisinya. Maka kembalilah kepada Allah SWT melalui kalam dan agama-Nya (Al-Quran). Ia mampu menjadikan seseorang itu lebih baik kerana berada di atas manual yang tepat.

Sebaliknya jika sombong dan mencari manual yang lain, penghujungnya akan kembali kepada urusan sia-sia.

2. Kerap kali dalam kehidupan kita, Allah SWT berikan peluang kebaikan yang terhidang luas seperti nikmat pengajian Al-Quran yang mudah didapati. Contohnya: Medium Channel Pengajian Tafsir dan Tadabbur ini.

Maka jangan “sombong” seperti Abu Jahal. Kelak kita yang rugi kalau terlepas peluang baik.

3. Jadilah orang berilmu yang menundukkan diri kepada Allah SWT.

Resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Resmi orang beriman, semakin berilmu semakin taqwa / takut kepada Allah SWT.

Ilmu yang membimbing diri semakin taqwa, barulah naik darjat, jika sebaliknya, maka boleh jatuh lebih teruk dari binatang.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan