Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat ke-22 dan ke-23

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat ke-22 dan ke-23

231
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-22: Takhwif Ukhrawi.

تَرَى الظّٰلِمينَ مُشفِقينَ مِمّا كَسَبوا وَهُوَ واقِعٌ بِهِم ۗ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ في رَوضاتِ الجَنّاتِ ۖ لَهُم مّا يَشاءونَ عِندَ رَبِّهِم ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَضلُ الكَبيرُ

(Pada hari kiamat) engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.

تَرَى الظّٰلِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا كَسَبُوا

Engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Mereka akan merasai ketakutan yang amat sangat kerana amalan-amalan bida’ah yang mereka lakukan semasa di dunia itu yang telah menjadi azab di akhirat kelak.

Amat terkejut dan takutnya mereka kerana mereka sangka amalan itu akan menambah pahala kepada mereka tetapi yang terjadi adalah sebaliknya, tambah dosa sahaja.

Bayangkan kalau kawan yang kita sangka akan menolong kita, tetapi tiba-tiba dia yang datang pukul kita, tentulah kita terkejut sangat.

Dalam ayat ke-18, telah disebut bagaimana mereka yang ingkar itu meminta-minta dicepatkan Hari Kiamat. Itu adalah kerana mereka tidak tahu nasib mereka pada hari itu. Sekarang baru mereka tahu apakah hari kiamat itu.

وَهُوَ وَاقِعٌ بِهِمْ

sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka.

Mereka akan tetap kena azab itu, tidak dapat diselamatkan. Walaupun mereka telah sedar tentang kebenaran waktu itu, dan mereka telah takut dengan Allah SWT, tetapi mereka tetap kena azab juga. Tidaklah Allah SWT tarik balik azab itu kerana mereka telah takut.

Maknanya mereka telah beriman waktu itu, tetapi iman waktu itu tidak akan memberi faedah kepada mereka. Sepatutnya mereka takut azab itu semasa mereka di dunia seperti orang Mukmin dalam ayat ke-18. Kalau baru takut semasa di akhirat, sudah tidak berguna.

Mereka sudah nampak azab itu di hadapan mereka dan mereka pasti yang mereka akan kena. Ini adalah satu ketakutan yang teruk sekali kerana kadang-kadang kita takut kepada perkara yang belum tentu kena – ada harapan lagi tidak kena dan tidaklah takut sangat.

Tetapi bayangkan kalau kita nampak sesuatu keburukan di hadapan kita dan kita tahu ia pasti akan mengenai kita – tentu kita takut yang amat sangat kerana tunggu masa sahaja untuk kena.

Bandingkan antara orang yang sedang dibicarakan dengan orang yang menunggu hukuman gantung dijalankan. Orang yang sedang dibicarakan memang sedang takut, tetapi dia masih ada harapan tidak dikenakan dengan hukuman; tetapi mereka yang telah duduk di ‘Bilik Akhir’ dalam penjara, mereka itu tunggu masa sahaja.

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh

Sementara ahli neraka sedang diazab di neraka, orang beriman sedang menikmati nikmat dalam syurga.

‘Beriman’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘beriman sempurna’ iaitu tidak melakukan syirik. Mereka juga beriman dengan Al-Quran di mana mereka menerima seluruh ayat Al-Quran itu dan mengamalkannya.

Mereka juga beriman dengan Nabi di mana mereka hanya ikut melakukan amalan-amalan yang diajar oleh Nabi sahaja.

‘Amalan yang soleh’ pula bermakna amalan yang ada sumber perbuatannya daripada Nabi dan bukannya amalan bida’ah.

Malangnya, masyarakat kita ramai yang tidak faham maksud ini – maka mereka ramai yang melakukan amal bida’ah. Itu adalah kerana tidak belajar Al-Quran dan sunah. Mungkin mereka belajar agama, tetapi bukan dari sumber utama Al-Quran dan Hadis sahih.

Banyak sekali ayat ini disebut dalam Al-Quran di mana diletakkan amal soleh bersama dengan iman. Mengingatkan kita bahawa iman itu tidak cukup sempurna kalau tidak disertai dengan amal yang soleh. Dan amal soleh tidak bermakna kalau tidak disertai dengan iman yang sempurna.

Di mana mereka akan ditempatkan?

فِي رَوْضَاتِ الْجَنَّاتِ

dalam tempat paling subur dalam taman-taman Syurga;

Kalimah رَوْضَاتِ bermaksud tempat yang paling subur dalam taman. Tempat yang paling cantik dalam taman.

Taman itu sudah cantik dah tetapi ada dalam satu taman yang besar selalunya ada tempat yang paling hijau, paling subur, paling cantik.

Dalam banyak-banyak pokok dan tumbuhan dalam taman itu, adalah satu tempat yang paling subur dan paling lebar tanamannya. Itulah yang dimaksudkan sebagai ‘raudhah’.

Mereka mendapat kelebihan ini kerana semasa mereka di dunia, mereka takut kepada hari kiamat, maka mereka mengubah kehidupan mereka ke arah kebaikan. Mereka tidak tambah perkara baru dalam agama; mereka tidak ikut mengamalkan perkara baru dalam agama.

Kalau mereka tidak tahu sama ada amalan itu sunnah atau bida’ah, dia akan periksa dahulu. Dia berhati-hati dalam setiap amal perbuatannya. Lebih baik tinggalkan dulu amalan yang tidak ada dalil sehinggalah kita tahu atau berjumpa dalil tentangnya.

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ عِندَ رَبِّهِمْ

mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka;

Di syurga itu, mereka akan menikmati segala kenikmatan yang Allah sediakan untuk mereka. Mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka kehendaki.

Ada perkara yang mereka teringin semasa di dunia tetapi mereka tidak mampu untuk mendapatkannya, maka akan diberikan di syurga nanti.

Dan ada juga perkara yang mereka tidak tahu pun wujud, tetapi apabila ditunjukkan kepada mereka, mereka pun teringin juga, itu pun akan diberi kepada mereka.

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.

Inilah nikmat yang amat besar yang Allah SWT berikan kepada kita.

Lafaz الْفَضْلُ bermaksud pemberian yang tidak setimpal apa yang kita telah lakukan – macam lulus peperiksaan akhir tahun, dapat hadiah kereta – ini tidak setimpal.

Begitulah kita telah sebut yang Allah SWT akan beri balasan yang berkali-kali ganda dari amalan kita. Amalan tidak seberapa, tetapi balasan yang Allah SWT beri adalah banyak sekali.

Untuk mendapatkannya, hendaklah kita mengamalkan agama ini dengan betul. Dan untuk itu, hendaklah kita belajar tafsir Al-Quran dan juga hadis Nabi yang sahih.

Tafsir Ayat Ke-23: Ayat Tabshir Ukhrawi

ذٰلِكَ الَّذي يُبَشِّرُ اللَّهُ عِبادَهُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ ۗ قُل لا أَسأَلُكُم عَلَيهِ أَجرًا إِلَّا المَوَدَّةَ فِي القُربىٰ ۗ وَمَن يَقتَرِف حَسَنَةً نَزِد لَهُ فيها حُسنًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ شَكورٌ

 

(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah SWT gembirakan (dengannya): hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadap ku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)”. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).

ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّهُ عِبَادَهُ

Itulah yang Allah SWT gembirakan hamba-hambaNya

Iaitu berita gembira bahawa mereka yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan ditempatkan di tempat yang paling subur dan paling cantik di taman-taman syurga itu. Dan mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka mahukan.

Maka, apabila Allah SWT telah beri berita gembira itu, hendaklah kita berusaha ke arahnya. Janganlah kita buat tidak tahu sahaja macam ia tidak ada apa-apa. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya.

Dan jalan pertama adalah dengan belajar ilmu agama dimulai dengan tafsir Al-Quran dan kemudian hadis Nabi.

Kepada siapakah berita gembira ini diberikan? Adakah kepada semua orang?

الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

yang beriman dan beramal soleh.

Tetapi hanya kepada hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh sahaja yang diberikan dengan berita gembira ini.

Kepada mereka yang ingkar, mereka pun akan mendapat berita juga, tetapi berita buruk, iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Iman itu kena iman yang sempurna, iaitu tauhid dan tidak melakukan syirik; dan amal soleh adalah amal yang sunnah, ada contoh dari Nabi SAW dan sahabat dan bukan amal yang bid’aah.

قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا

Katakanlah: “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu,

Nabi tidak pernah meminta upah kepada umatnya. Dan inilah sunnah dalam mengajar ajaran agama.

Ayat ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama kerana apabila seseorang melakukan kerja baik kerana Allah SWT, dia hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT, bukan dari manusia.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas usaha mereka. Pahala mengajar pun sudah amat banyak, tidak terkira banyaknya. Maka, kenapa kita perlu balasan dari manusia?

Ini adalah satu perkara yang amat penting diketahui oleh mereka yang mengajar. Mengajar ilmu agama itu adalah WAJIB kepada mereka yang berilmu. Begitu juga, belajar agama itu adalah juga WAJIB bagi setiap orang yang sudah baligh.

Maka, kalau orang yang berilmu menetapkan bayaran untuk mengajar agama, akan ada masalah kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menuntut ilmu, sedangkan belajar agama itu WAJIB. Maka mereka tidak dapat datang belajar kerana mereka tidak ada kemampuan.

Maka tentulah mereka itu akan terus berada dalam kejahilan sampai bila-bila. Amat malang sekali kalau begitu.

Allah SWT tidak benarkan meminta upah dalam mengajar, kerana kalau tidak, mereka yang tidak mahu belajar akan ada alasan pula untuk tidak belajar agama.

Mereka akan kata: “bagaimana kami nak belajar, nak masuk kelas sahaja kena bayar RM100, setiap kali belajar kena bayar RM10 (dan apa-apa bayaran)”.

Jadi Allah SWT tutup alasan ini dengan melarang guru agama minta upah dalam mengajar supaya semua orang ada peluang untuk belajar.

Ini tidaklah menghalang guru agama untuk menerima pemberian dari anak muridnya. Anak murid yang berkemampuan sepatutnya memberi imbuhan kepada guru setakat yang mereka mampu.

Hendaklah kita menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru dengan memberi sedekah atau hadiah kepada guru dan mereka memang layak untuk menerima pemberian itu.

Cuma, guru itu TIDAK boleh menetapkan berapakah bayaran yang dikenakan. Kalau tidak ada sesiapa pun memberi pemberian, dia masih tetap perlu meneruskan pengajaran kerana itu sudah menjadi kewajipan kepadanya untuk mengajar.

Insha Allah, Allah SWT akan memberi rezeki kepadanya dengan cara yang lain.

Cuma, kalau ada kerja sendiri atau kerja lain, maka cubalah jangan ambil upah mengajar itu. Kerana bila mengambil upah/bayaran/pemberian, ditakuti akan mengganggu keikhlasan dalam mengajar itu.

Malangnya, banyak sangat ustaz di negara ini yang meminta upah dalam mengajar. Sampaikan ada yang menetapkan upah mengajar setiap kali RM5,000. Paling kurang, sekali mengajar selama sejam dua, mereka mengenakan bayaran sebanyak RM500.

Selalunya, ia bergantung kepada ‘populariti’ ustaz itu. Ustaz sebegini memang hendak mengajar agama untuk membuat duit sahaja. Dan selalunya apa yang mereka ajarkan itu bukanlah dari ajaran sunah kerana memang mereka bukan berfahaman sunnah pun.

Dan apabila mereka diberi bayaran, mereka tidak berani untuk menceritakan perkara yang akan menyebabkan anak murid marah. Jadi, mereka tidak tegur pun kesalahan anak-anak murid itu kerana mereka takut kalau mereka tegur, anak murid akan berasa hati dan tidak panggil mereka datang mengajar lagi.

Jadi, realiti sekarang adalah ramai guru yang meminta dan menetapkan bayaran upah dalam mengajar.

Padahal, cara pengajaran salaf dari dahulu lagi adalah tidak mengenakan bayaran. Dan memang ada sampai sekarang, guru-guru agama yang mengajar agama tanpa mengenakan bayaran dan mereka boleh sahaja hidup sempurna.

Allah SWT masih lagi memberi mereka rezeki dengan cara lain. Tetapi tidaklah ramai mereka itu, sampaikan jarang sekali kita dengar guru yang tidak meminta atau menetapkan bayaran dalam mengajar.

Ada satu lagi tafsir untuk lafaz أَجْرًا itu.

Selain daripada upah dalam bentuk kewangan dan harta, ia juga boleh diterjemahkan kepada ‘sanjungan’ kerana ada orang yang tidak mengharapkan harta, mungkin mereka sudah kaya, tetapi mereka mengharapkan sanjungan dari orang ramai.

Mereka suka kalau orang kata mereka pandai, bijak, berilmu dan sebagainya. Maka, ini pun kita kena jaga juga. Takut jika tidak mengharap upah dalam bentuk wang, tetapi kita mengharapkan أَجْرًا dalam bentuk sanjungan manusia pula.

Ada 3 jenis manusia yang akan dimaksudkan ke dalam neraka sebagaimana hadis yang dinyatakan:

Dari Abi Hurairah r.a, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya manusia pertama yang dihisab pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah SWT. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun membenarkannya. Allah SWT bertanya kepadanya : ‘Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Ia menjawab : ‘Aku berperang semata-mata kerana Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah SWT berfirman : ‘Engkau berdusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (bertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka. Berikutnya orang (yang dihisab) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah SWT menanyakannya: ‘Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’ Ia menjawab: ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca Al-Quran hanyalah kerana engkau.’ Allah SWT berkata : ‘Engkau berdusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca Al-Quran supaya dikatakan (sebagai) seorang qari’ (pembaca Al-Quran yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka. Berikutnya (yang dihisab) adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengenalinya (mengakuinya). Allah SWT bertanya : ‘Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab : ‘Aku tidak pernah meninggalkan shadaqah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata kerana Engkau.’ Allah SWT berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.’”

TAKHRIJ HADITS

Hadits ini diriwayatkan oleh :

1. Muslim, Kitabul Imarah, bab Man Qaatala lir Riya’ was Sum’ah Istahaqqannar (VI/47) atau (III/1513-1514 no. 1905).

2. An Nasa-i, Kitabul Jihad bab Man Qaatala liyuqala : Fulan Jari’, Sunan Nasa-i (VI/23-24), Ahmad dalam Musnad-nya (II/322) dan Baihaqi (IX/168).

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa Nabi Muhammad SAW tidak mengharapkan upah dari umatnya. Lalu apa yang baginda harapkan dari mereka?

إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ

melainkan hanyalah kasih mesra dalam pertalian kerabat

Maksud ayat ini adalah: Nabi SAW tidak mengharapkan balasan upah daripada umatnya kecuali hanya mengharapkan pertalian rapat antara baginda dan umatnya sahaja. Baginda hanya mengharapkan semoga umatnya menghargai pertalian persaudaraan sesama mereka.

Tambahan lagi, Nabi SAW memang ada pertalian persaudaraan dengan mereka. Boleh dikatakan semua yang tinggal di Mekah itu ada pertalian persaudaraan dengan baginda. Walaupun mereka tidak mahu terima, tetapi sekurang-kurangnya sokonglah baginda.

Kalau tidak mahu beriman pun, janganlah menentang baginda dan menyakiti baginda. Cubalah dengar apa yang baginda hendak katakan, kerana baginda bukan orang lain dengan mereka, tetapi saudara mereka juga.

Dalam adat bangsa Arab, mereka amat mementingkan pertalian persaudaraan. Kalau seseorang itu dari puak mereka, mereka akan beri sokongan dalam semua hal.

Namun, apabila Nabi membawa ajaran tauhid, mereka tidak menghargai langsung pertalian persaudaraan itu. Malah, mereka yang rapat dengan baginda pun menentang baginda. Maka Nabi SAW memohon mereka supaya mengingati kembali pertalian antara mereka itu.

Seperti kita dengan anak beranak kita, tidaklah hendak minta upah kepada mereka dalam mengajar, bukan? Tidaklah selepas memberi nasihat kepada anak beranak dan saudara mara, kita minta upah kepada mereka pula, bukan? Itu amat tidak patut kalau kita lakukan.

Ini juga sebagai isyarat yang kita kena sampaikan dakwah dan ajaran agama kepada kalangan kaum kerabat kita dahulu. Jangan sibuk dakwah kepada orang lain, tetapi keluarga sendiri tidak diberi galakan sunnah.

Keduanya, perkataan الْقُرْبَىٰ boleh diterjemahkan sebagai ‘rapat’. Ianya adalah dari kata dasar yang sama yang kita gunakan perkataan ‘karib’ yang kita gunakan dalam perkataan ‘sahabat karib’ kita yang bermaksud sahabat kita yang paling rapat.

Ini bermaksud Nabi SAW tidaklah mahukan upah daripada mereka sebaliknya Nabi SAW mahu mereka itu jadi rapat dengan Allah SWT. Kerana tugas setiap Rasul dibangkitkan adalah untuk mendekatkan manusia dengan Allah SWT.

Apabila manusia sudah rapat dengan Allah SWT dan menganggap Allah SWT kekasih mereka, apa-apa sahaja arahan dari Allah SWT akan mudah ditaati kerana ianya seumpama suruhan dari kekasih kita.

Bukankah kalau permintaan dari kekasih kita senang sahaja kita tunaikan, bukan? Oleh itu, Nabi Muhammad SAW tidak mengharapkan أَجْرًا dari umatnya, asalkan mereka jadi rapat dengan Allah SWT, sudah cukup untuk baginda.

Maksud ketiga yang diberikan oleh para mufassir adalah baginda tidak meminta upah melainkan hanya mengharap supaya mereka melayan baginda seperti kaum kerabat mereka yang rapat.

Apabila dengan kerabat yang rapat, tidaklah sepatutnya menyakiti sesama sendiri, sebaliknya bantu membantu. Itulah harapan baginda. Kerana waktu itu, banyak yang melayan baginda dengan teruk sekali.

Maksud keempat yang dibincangkan oleh mufassir adalah yang dimaksudkan oleh الْقُرْبَىٰ adalah ahli keluarga baginda. Iaitu Ali, Fatimah dan keluarga mereka atau selalu dipanggil dengan gelaran Ahl Bayt.

Tetapi, ayat ini diturunkan di Mekah di mana Fatimah masih kecil dan belum lagi berkahwin dengan Ali.

Dan ahli keluarga Nabi SAW bukanlah mereka sahaja, malahan ada ramai lagi.

Kalau tanya kepada kebanyakan orang Islam, mereka hanya tahu anak baginda ada Fatimah, dan cucu baginda adalah Hassan dan Hussin sahaja. Padahal ramai lagi.

Jadi, pendapat yang mengatakan ayat ini tentang mereka berlima adalah lemah. Allah a’lam.

Layanan yang teruk Nabi SAW terima daripada kaum kerabatnya ketika itu adalah semata-mata kerana mereka tidak bersetuju dengan ajaran tauhid yang disampaikan oleh baginda erana kalau hendak dikira kedudukan Nabi sebagai penduduk Mekah waktu itu, baginda memang dikenali sebagai seorang yang mulia dan dipercayai. Tetapi kerana baginda tolak ilah-ilah mereka, maka waktu itulah baginda dihina dan ditolak.

وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik,

Kata يَقْتَرِفْ terbit dari kata dasar قرف yang bermaksud ‘mengupil kulit pokok’. Atau ‘kopek luka yang sudah kering’ yang selalu dilakukan oleh kanak-kanak. Dalam ayat ini, ianya tentang melakukan kebaikan.

Dan untuk melakukan sesuatu, memerlukan usaha. Hendak solat, hendak tolong orang lain, mahu belajar, semua itu memerlukan usaha. Oleh itu, iqtarif adalah perbuatan yang bersungguh-sungguh dan ada sedikit kesusahan dalam melakukannya – memerlukan usaha dari seseorang.

نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا

Kami tambahi kebaikan baginya dalam kebaikannya itu.

Allah SWT beri ganjaran berganda-ganda dari amalan orang yang melakukan kebaikan itu. Allah SWT akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan semasa di dunia. Bukan itu sahaja, malah dia akan diberikan dengan taufik untuk melakukan kebaikan lagi iaitu, seseorang yang melakukan amalan baik akan timbul dalam hatinya untuk melakukan lagi kebaikan. Perasaan yang dinamakan taufik itu diberikan oleh Allah SWT. Dengan itu, orang itu akan mendapat lebih banyak lagi kebaikan.

Sebab itu kadang-kadang kita hairan memikirkan bagaimana ada orang yang boleh melakukan banyak perkara ibadat. Dia boleh belajar, dia boleh mengajar, dan dalam masa yang sama, sempat lagi menulis kitab.

Ini adalah kerana Allah SWT telah memberikan taufik kepadanya untuk melakukan amalan-amalan ibadat itu.

Allah SWT telah memberikan orang itu untuk merasai kemanisan dalam melakukan amalan-amalan itu. Sampaikan orang itu merasa gembira dan ‘ringan tulang’ untuk melakukannya.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa Allah SWT memberi perasaan ini kepada mereka yang mula melakukan ibadat itu sedikit demi sedikit. Apabila dia sudah mula melakukan sedikit amal kebaikan, Allah SWT akan beri dia rasa nikmat melakukannya.

Oleh itu, mulakan dengan melakukan amalan yang ringan-ringan dahulu.

Apabila kita sudah mula rasa kemanisan melakukan ibadah itu, maka tambah lagi dengan amalan yang lain. Janganlah terus hendak ikut orang lain yang melakukan amalan yang banyak. Mereka yang istiqamah melakukan amalan yang banyak, mereka pun bermula dengan sedikit dahulu.

Ini adalah targhib (ransangan) untuk umat memperbanyakkan amal mereka. Bila kita sudah tahu kebaikan yang amat banyak dalam mengerjakan amal soleh, maka rebutlah peluang dan jangan tunggu lagi. Banyak kali Allah SWT sebut dalam Al-Quran mengajak kita beramal dengan kebaikan.

Amat rugi kalau berlengah dan menangguhkan untuk melakukan amal kebaikan kerana ramai yang sudah tahu tetapi masih tunggu lagi. Mereka telah ditipu oleh syaitan. Syaitan pada awalnya tidak bagi kita belajar, tetapi bila kita sudah belajar, syaitan bisikkan kepada kita untuk tangguhkan pula amal kebaikan itu.

Inilah senjata kedua yang dinamakan taswif (melengahkan kebaikan). Syaitan tidak boleh hendak kata amal itu salah dah sebab orang itu telah belajar, tetapi mereka masih boleh lagi bisikkan supaya orang itu tangguhkan amal itu. Ramai yang mati dalam menjadi mangsa kepada senjata syaitan ini.

إِنَّ اللهَ غَفُورٌ شَكُورٌ

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun, lagi Amat Menghargai

Allah SWT Maha Menghargai makhluk yang beribadat kepada-Nya dan Dia akan membalas dengan lebih baik lagi. Allah SWT amat suka dengan amalan yang kita lakukan dan Allah SWT tidak akan mensia-siakannya.

Kenapa ada disebut sifat Allah SWT yang Maha Pengampun dalam ayat ini pula? Ini adalah kerana walaupun kita hendak taat kepada arahan dan suruhan Allah SWT, tetapi kadang-kadang kita cuai dalam amal.

Maka oleh kerana itu kita kena minta maaf dan ampun kepada Allah SWT. Dan kerana itulah Allah SWT beritahu yang Dia Maha Pengampun.

Oleh itu, ada anjuran minta ampun dari dosa dalam ayat ini. Kita memang selalu dianjurkan untuk minta ampun kepada Allah SWT kerana jika amalan kita sikit, tetapi dosa kita banyak, nanti ada masalah untuk kita di dunia dan di akhirat kelak.

Maka, kita minta ampun supaya dosa kita tidak ada lagi dan yang tinggal adalah pahala amalan kita walaupun ia sedikit. Dan Allah SWT memang suka makhluk-Nya minta ampun dan sebab makhluk-Nya minta ampunlah Allah SWT beri taufik untuk melakukan kebaikan lagi dan lagi.

Allah SWT suka kita minta ampun kerana Dia suka mendengar kita mengaku lemah.

Ilmu tanpa amalan adalah seperti pohon tanpa buah. Ini adalah satu kerugian. Mungkin juga ia terjadi kerana syaitan juga bisikkan kepada manusia supaya melambatkan buat amalan.

Sedangkan dosa akan menyebabkan kita lebih mudah buat dosa lagi, dosa juga akan menyebabkan kita kena musibah dosa juga akan menyebabkan doa kita tidak terangkat.

Kita kena selalu banyakkan istighfar kerana banyak sekali kelebihan istighfar ini. Ia adalah amalan meningkatkan kedudukan kita dalam syurga. Namun, untuk mula dapat masuk ke dalam syurga, kenalah selamat dari dosa dahulu.

Perumpamaan, kalau tidak dapat kedudukan tinggi dalam syurga pun, sekurang-kurangnya selamat dari neraka pun sudah nikmat besar, bukan?

Jika kita ulang balik dosa itu pun insya Allah, Allah SWT akan ampunkan Cuma belum tentu Allah SWT akan ampunkan kerana istighfar juga adalah doa dan belum tentu semua doa kita akan dimakbulkan.

Ini memang amat menakutkan sekali. Bagaimanalah kita kalau Allah SWT tidak makbulkan permohonan ampun kita? Maka kita kena sentiasa dalam keadaan risau dan elakkan diri dari melakukan dosa kerana kalau kita ‘yakin’ Allah SWT terus ampunkan dosa kita, maka ini akan menyebabkan kita ringan sahaja untuk melakukan dosa seolah-olah kita kata: “alaaahhh, aku buat dosa ni, nanti aku minta ampun lah!”

Itu telah jadi macam orang Kristian pula. Buat salah, kemudian pergi jumpa paderi untuk cuci dosa.

Namun, dalam masa yang sama, kalau kita sudah ada keinginan untuk minta ampun, itu juga sudah ada gerakan dan ketukan dari Allah SWT pada hati kita. Kalau Allah SWT sendiri telah ketuk hati kita untuk minta ampun, tentu Dia sudah bersedia untuk ampunkan kita, bukan?

Maka, angan termakan dengan bisikan syaitan yang hendak halang kita minta ampun atas dosa yang sama.

Syaitan akan bisik: “kau nak minta ampun lagi? dah berapa kali kau buat? kau tidak malu ke, taubat kemudian buat lagi dosa yang sama.. kemudian minta ampun balik.. kau nak main-main ke? Elok kau tidak payah minta ampunlah kalau begitu…. “

Lihatlah permainan syaitan itu. Boleh faham kan? Maka jangan kita termakan. Berapa banyak kali kita buat dosa pun, walaupun dosa yang sama, jangan kita putus asa dari rahmat Allah SWT.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan