Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-17 dan Ke-18

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-17 dan Ke-18

210
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-17

Ini adalah dalil seterusnya. Ia juga adalah Takhwif Ukhrawi.

اللهُ الَّذي أَنزَلَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ وَالميزانَ ۗ وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).

اللهُ الَّذِي أَنزَلَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran,

Al-Quran itu diturunkan untuk menzahirkan kebenaran iaitu Allah SWT lah Tuhan kita yang sebenar-benarnya. Kita kena kenal Allah SWT adalah Tuhan kita. Kena kenal dengan sifat-Nya.

Dan untuk mengenal Allah SWT, kenalah melalui apa yang diberitahu oleh-Nya kerana Dia sendiri akan memperkenalkan sifat-sifat-Nya.

Dan untuk faham itu hendaklah kita belajar Tafsir Al-Quran kerana telah lengkap Allah SWT beritahu kepada kita tentang Diri-Nya dalam Al-Quran. Maka, kenalah belajar tafsir.

Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk tidak tahu akidah tauhid dengan sebenarnya, kerana Allah SWT telah turunkan wahyu dalam bentuk Al-Quran. Kalau masih tidak tahu, itu adalah kerana salah sendiri.

وَالْمِيزَانَ

dan neraca.

 

Segala ajaran dari wahyu adalah adil. Dan Al-Quran menjadi neraca untuk menimbang manakah yang baik dan manakah yang tidak; manakah yang tauhid dan manakah yang syirik. Maka, kita kenalah belajar tafsir Al-Quran ini supaya kita boleh jadikannya sebagai neraca.

Barulah kita senang hendak membezakan manakah ustaz yang mengajar kebenaran dan ustaz yang mengajar ajaran yang salah. Insha Allah, kalau kita sudah mula belajar tafsir Al-Quran, walaupun belum habis, kita sudah boleh agak apakah yang disampaikan oleh seseorang penceramah itu benar atau tidak. Kita mungkin tidak jelas lagi, tetapi dalam hati kita sudah boleh agak bahawa ada yang tidak kena dengan penceramah itu.

Oleh itu, sebelum rujuk kepada kitab-kitab yang banyak di pasaran, maka hendaklah belajar dahulu tafsir Al-Quran ini, supaya boleh menilai dan menapis hujah-hujah dan dalil-dalil yang disampaikan oleh kitab-kitab tulisan tangan manusia itu.

Banyak sekali kitab-kitab dalam pasaran. Dari dulu sampai sekarang, entah berjuta kitab dalam dunia ini. Orang kita pun rajin juga rujuk kitab (tafsir tidak belajar lagi pun). Kita bukan hendak halang orang dari baca kitab dan bukanlah kita katakan semua kitab tidak boleh pakai.

Tetapi, sebagai seorang Muslim yang berhati-hati, hendaklah rujuk kepada kitab-kitab yang muktabar sahaja kerana kitab-kitab itu telah diteliti zaman berzaman dan diterima pakai oleh kebanyakan umat Islam. Hentikanlah baca kitab-kitab yang tidak muktabar, terutama sekali kalau belum belajar tafsir lagi.

Neraca juga adalah isyarat kepada keadilan. Ayat-ayat Al-Quran itu mengajak kita kepada berlaku adil dalam semua perkara.

Berkali-kali Al-Quran menekankan bahawa ia diturunkan untuk menegakkan keadilan.

وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir

Ini adalah Takwif Ukhrawi – Allah SWT hendak mengingatkan kita bahawa Kiamat itu amat dekat. Entah terjadi esok atau lusa, kita tidak tahu. Tidak ada jalan untuk kita mengetahuinya. Entah-entah kiamat itu sudah dekat.

Ini mengajar kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu, termasuklah Nabi Muhammad SAW sendiri. Sebab itu, dalam hadis ada disebut bagaimana kalau cuaca tidak elok, angin kencang, Nabi Muhammad SAW akan ketakutan kerana baginda takut kalau-kalau Kiamat sudah datang.

Kiamat ada dua: Kiamat yang besar dan Kiamat Kecil. Kiamat kecil adalah ‘mati’ yang boleh terjadi bila-bila masa sahaja kepada kita. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati, maka hendaklah kira segera belajar tafsir dan kemudian amalkan apa yang ada dalam Al-Quran ini.

Hendaklah kita segera mengubah diri kita untuk menerima kebenaran. Janganlah ditangguh-tangguhkan lagi.

Tafsir Ayat Ke- 18: (Sambungan tentang Kiamat)

يَستَعجِلُ بِهَا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِها ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا مُشفِقونَ مِنها وَيَعلَمونَ أَنَّهَا الحَقُّ ۗ أَلا إِنَّ الَّذينَ يُمارونَ فِي السّاعَةِ لَفي ضَلٰلٍ بَعيدٍ

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta supaya disegerakan kedatangannya,

Mereka yang tidak beriman itu selalu bertanya-tanya kepada Nabi Muhammad SAW bilakah hari Kiamat itu akan berlaku.

Mereka tanya dalam nada mengejek. Mereka kata Nabi SAW selalu cakap tentang Kiamat sahaja, maka kalau betul, bawa marilah Kiamat itu, mereka kata.

Mereka berani cakap begitu kerana mereka bodoh dan tidak percaya akan datangnya hari Kiamat itu.

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا

dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya

Kenapa mereka takut? Kerana mereka telah belajar apakah yang akan terjadi pada Hari itu. Oleh itu mereka amat takut. Mereka tidak pasti sama ada amalan yang mereka buat semasa di dunia ini diterima oleh Allah SWT ataupun tidak.

Mereka amat mengharap supaya amalan mereka diterima tetapi mereka sendiri tidak dapat memastikannya sama ada ia diterima atau tidak kerana ia salah satu daripada perkara ghaib.

Mereka juga tidak pasti sama ada taubat mereka diterima atau tidak. Dan mereka tahu yang mereka banyak dosa. Mereka hanya boleh mengharap sahaja.

Sama macam kita apabila ambil peperiksaan. Kita telah buat sehabis baik. Tetapi kita tidak pasti sama ada kita boleh lulus atau tidak.

Kalau seorang pelajar yang baik, kalau satu soalan dia tidak dapat jawab dengan baik pun, dia sudah risau. Tetapi kalau pelajar yang tidak kisah masa depannya, dia tidak ambil tahu sama ada dia lulus atau tidak.

Habis peperiksaan sahaja dia sudah gembira kerana tidak perlu susah baca buku dan belajar lagi. Mereka hendak bergembira sahaja sebenarnya. Itulah perumpamaan seorang Mukmin dan yang tidak.

وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ

serta mereka mengetahui bahawa ia adalah benar.

Mereka tahu dan ingat bahawa mati dan kiamat itu adalah dekat. Dan mereka tahu bahawa ia pasti akan terjadi.

Mereka percaya dan yakin tentang kedatangannya kerana ia telah diberitahu oleh Allah SWT. Dan mereka percaya benar kepada Allah SWT.

أَلَا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ

Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu,

Iaitu mereka yang ragu tentang Kiamat. Dan selepas mereka ragu tentangnya, mereka membantah tentangnya pula. Sudahlah mereka tidak terima, mereka bantah pula lagi.

لَفِي ضَلٰلٍ بَعِيدٍ

tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Kalau sudah jauh, susah untuk kembali ke pangkal jalan.

Memerlukan usaha yang banyak untuk membawa mereka kepada kebenaran.

Al-Quran mengajar kita kepada taat kepada Ulul Azmi. Pemerintah. Asalkan tidak langgar hukum dalam segenap kehidupan termasuk ‘traffic light’.

Dalam hal agama dan hukum, tetap kena tengok kepada Nas.

Kita tidak terikat dengan fatwa. Ia menjadi panduan tetapi tidaklah kita betul-betul terikat.

Macam juga mazhab, kita tidak terikat dengan satu-satu mazhab walaupun negara kita mengamalkan mazhab Shafie. Masih lagi ada ruang kepada pendapat lain. Kena tengok dalil dan hujah juga.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan