Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-14

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-14

207
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-14:

Dalam ayat sebelum ini Allah melarang kita berpecah belah dalam hal tauhid. Tetapi seperti yang kita tahu, amat banyak perpecahan yang berlaku. Soalan yang mungkin timbul dalam kepala manusia adalah: Kenapakah ini boleh berlaku sedangkan para Nabi menyampaikan ajaran tauhid yang sama sahaja?

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتٰبَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhan mu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

وَمَا تَفَرَّقُوا

Dan tidaklah mereka berpecah

Ini adalah tentang perpecahan antara umat-umat Rasul selepas ketiadaan Rasul-Rasul itu. Bukan zaman itu sahaja berpecah, zaman sekarang pun sudah banyak perpecahan iaitu perpecahan antara umat, dalam negara, dalam keluarga, dengan kawan dan sebagainya.

Namun apa yang paling penting adalah perpecahan ‘antara’ agama, malah ‘dalam’ agama sendiri. Yang paling teruk dan kita risaukan sangat adalah perpecahan dalam agama Islam ini, dan yang paling teruk adalah perpecahan tentang akidah.

Kenapakah mereka berpecah? Kalau semua Rasul-Rasul itu menyampaikan ajaran tauhid yang sama, kenapa ada perpecahan antara manusia dalam hal agama? Ini yang kita akan kupaskan sebentar lagi.

إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu

Pada mula kenabian, Nabi Muhammad SAW rasa susah berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Ini kerana mereka tolak baginda mentah-mentah. Maka Nabi rasa mungkin kerana mereka itu tidak berilmu agama sebelum ini kerana telah lama tiada Rasul diturunkan kepada mereka dan mereka tidak ada Kitab Suci kerana benda baru sampai kepada mereka dan mereka tidak boleh hendak terima.

Maka, Nabi SAW rasa kalau baginda mula berdakwah kepada Yahudi dan Kristian, akan jadi lebih mudah untuk mereka terima kerana mereka itu sudah biasa dengan agama, sudah ada kitab dan sudah berilmu. Maka, Allah terangkan tentang mereka yang ada ilmu pula dalam ayat ini. Mereka pun ada masalah juga. Ingat senang kah nak dakwah kepada mereka? Masalah orang jahil lain, masalah orang berilmu pula lain.

Samalah juga kalau hendak dakwah kepada mereka yang sudah belajar agama dalam kalangan kita. Kita sangka, tentu mereka yang sudah sekolah di pondok, sudah masuk tarekat, belajar agama di universiti, pergi sampai ke al-Azhar, sudah masuk Jemaah Tabligh itu, tentu senang untuk mereka terima akidah tauhid ini, bukan? Kerana mereka sudah ada keinginan kepada agama, bukan?

Kita sangka senanglah mereka terima kerana mereka pun sudah belajar agama, sudah mahu beriman, mahu jadi warak. Tetapi tidak semestinya. Kadangkala, merekalah yang menjadi penentang ajaran tauhid yang kuat kerana mereka sudah ada fahaman agama yang tebal dalam diri mereka hasil dari pembelajaran mereka sebelum ini. Dan mereka rasa susah hendak tinggalkan.

Perpecahan itu adalah kerana ilmu sebenarnya iaitu setelah datang kepada mereka ilmu tauhid. Apabila disampaikan sahaja tentang tauhid kepada manusia, maka tentu akan ada perbalahan. Akan ada ketidakpuasan dan rasa tidak senang kerana akan ada yang tidak dapat terima apa yang dibawa dalam hal tauhid. Selagi tidak memberitahu manusia tentang tauhid, tidak ada masalah malah boleh duduk bersembang macam biasa sahaja.

Namun, apabila diberitahu dan sentuh tentang tauhid, akan ada yang angkat punggung mereka dan meninggalkan majlis. Dan selepas itu tidak bertegur sapa dan kalau nampak akan bermasam muka.

Begitulah, kalau di masjid dan surau itu, jikalau ustaz mengajar tentang feqah macam solat, wuduk dan puasa, ramai yang boleh dengar. Tetapi kalau ada yang datang mengajar tauhid seperti yang ada dalam Al-Quran, ramai yang akan panas punggung sebab akan ada yang tidak sama dengan apa yang mereka fahami selama ini.

Amatlah malang sekali, apabila kita sampaikan ajaran tauhid, berpecah keluarga dan sahabat handai; antara suami dan isteri, penduduk kampung dan sebagainya. Kemudian mereka tuduh kitalah yang memecah belahkan sesama masyarakat. Mereka kata kita perosak agama pula.

Namun, itulah dugaan penyebar tauhid. Jangan kita sangka kita kena jaga hati mereka dan tetap terima apa yang mereka faham itu. Walaupun mereka menolak dan ada fahaman yang lain, kenalah kita sampaikan juga dakwah tauhid ini. Kalau bukan kerana hendak menyampaikan tauhid, tidaklah Nabi Muhammad SAW berpecah dengan masyarakatnya, malah ahli keluarga baginda sekali pun. Bayangkan, kalau baginda hendak jaga keharmonian Mekah waktu itu, tentu baginda telah buat senyap, bukan? Tetapi baginda terpaksa sampaikan walaupun ia akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat Mekah waktu itu.

Ayat ini juga memberitahu kita, ilmu bukanlah penyelamat segalanya. Kalau ada ilmu pun, masih boleh menyebabkan perpecahan juga. Sekarang akan disebut kenapa mereka berpecah walaupun ada ilmu.

بَغْيًا بَيْنَهُمْ

kerana hasad dengki sesama sendiri.

Ini adalah jawapan kepada soalan: kenapa manusia berpecah juga walaupun ajaran tauhid semua Nabi adalah sama sahaja – Jawapannya adalah: ahli agama telah mengubah agama kerana hasad dengki mereka. Agama yang asal adalah benar, tetapi apabila sampai ke tangan ahli-ahli agama, mereka telah ubah ikut kehendak mereka.

Mereka yang berilmu itu rasa mereka lebih pandai, sudah pandai tidak boleh diajar lagi. Lihatlah bagaimana orang Yahudi tidak dapat menerima dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kerana mereka rasa mereka sudah pandai, sudah berilmu, sudah lama ada kitab dan ada agama.

Mereka memandang agama itu sebagai satu kelebihan, komoditi, yang tidak boleh diberikan kepada orang lain. Mereka hendak pegang sendiri dan kata orang lain selain mereka tidak ada kefahaman agama. Padahal sepatutnya mereka kena sampaikan agama kepada orang lain, tetapi mereka simpan dan berbangga dengannya.

Kalau dulu, mereka yang dipandang mulia kerana ada agama, tetapi apabila Nabi akhir zaman diangkat dari bangsa Arab dan bukan dari bangsa Bani Israil, mereka rasa ia akan hilang kepada bangsa Arab pula.

Mereka sanggup buat apa sahaja supaya mereka menang dan berada di atas. Kita akan belajar bagaimana walau pun mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah benar-benar seorang Rasul, tetapi mereka masih lagi menolak baginda. Mereka tuduh bahawa apa yang Nabi Muhammad SAW bawa itu adalah salah dan sesat. Sampai begitu sekali mereka lakukan. Itu hasil dari rasa hasad dan dengki yang ada dalam diri mereka.

Begitulah juga dalam masyarakat kita sekarang. Pengajaran agama sudah lama ada dan berterusan dalam negara ini. Ada yang habis Sekolah Agama Rendah, Sekolah Agama Tinggi, masuk universiti, masuk madrasah, pondok, pesantren dan apa-apa sahaja. Mereka yang sudah belajar itu sebenarnya ada satu perasaan dalam hati mereka bahawa mereka sudah cukup ilmu, sudah pandai, sudah tahu agama.

Selama ini merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat – kalau ada majlis kenduri kendara, merekalah yang dipanggil untuk menjadi kepala majlis; kalau ada Majlis Tahlil, Doa Selamat, merekalah yang dipanggil untuk baca doa; kalau ada masalah agama, merekalah yang dirujuk oleh masyarakat.

Maka, apabila ada sekumpulan manusia yang mahu memperkenalkan kembali ajaran Tauhid dan Sunnah, mereka rasa tercabar, maka mereka akan rasa dengki. Takut mereka nanti tidak dipandang tinggi lagi. Mereka sudah tidak dapat lagi sampul berisi wang lagi – sudah hilang satu punca pendapatan mereka.

Jadi apabila kita menegur mereka, mereka tidak boleh terima. Mereka akan kata mereka sudah belajar di sana dan di sini, bertahun-tahun mereka belajar, bertahun-tahun mereka mengajar, anak murid pun ramai. Mereka rasa takkan mereka salah dan silap pula. Memang langsung melenting kalau kita tegur sikit pun.

Tegur pun bukan apa, hanya tanya dalil sahaja. Kita hendak tahu, dari mana mereka dapat ajaran dan amalan itu dan ini. Sebagai contoh, kita tanya mereka, yang mereka buat Solat Hajat ramai-ramai itu, manakah dalilnya? Adakah Nabi dan sahabat pernah buat? Tanya begitu sahaja, maka dengan anak murid mereka, dengan penyokong mereka, semuanya akan melenting dan memperlekehkan kita. Mereka akan kata: “Ustaz ini sudah belajar bertahun-tahun dah, engkau belajar di mana? Tentulah dia lebih tahu dari engkau!!” Itu sahaja ejekan mereka kepada kita, sedangkan dalil yang ditanya entah ke mana. Akhirnya dalil yang diminta masih tidak dapat lagi.

Mereka tidak kepada orang yang percaya kepada tauhid dari Al-Quran. Kita pun ada rasa benci juga kepada mereka kerana masih lagi kufur kepada Allah SWT. Kita benci perangai dan kesalahan mereka itu. Tetapi sebenarnya, kita tidaklah boleh benci kepada mereka sebaliknya kita kena kasihan kepada mereka. Kita dulu pun ada juga yang berfahaman seperti mereka, tetapi kita sudah diberi hidayah dan taufik oleh Allah, dan mereka belum lagi.

Namun, memang mereka benci sungguh kepada kita. Sudah tidak mahu bercakap dalam telefon dah. Kalau kita telefon pun, mereka tidak angkat. Kalau jumpa dalam mana-mana majlis, mereka akan cuba lari dari kita. Kalau tengok kita dari jauh, mereka akan juihkan mulut mereka kepada kita. Mereka akan cerita tentang ‘kesesatan’ kita kepada orang lain.

Hakikatnya, memang ada perasaan hasad dengki antara orang-orang yang berilmu. Dan amat buruk sekali apabila ahli agama berdengki dan hasad. Mereka tuduh macam-macam antara satu sama lain. Dan begitulah keadaan mereka sebelum datang ilmu tauhid pun. Kerana sudah ada perpecahan antara mereka. Kalau tidak antara guru-guru pun, antara anak-anak murid mereka.

Ada puak ini belajar dengan guru ini, puak itu belajar dengan guru itu. Dan mereka tidak boleh bercampur. Semuanya akan menceritakan kelebihan guru masing-masing. Sampai ada yang memperlecehkan kedudukan guru yang selain dari mereka. Ini adalah kerana mereka taksub dengan guru mereka. Mereka jadi taksub kerana guru mereka pun ajar mereka begitu. Padahal mereka itu belajar dan sudah mempunyai serba sedikit ilmu agama. Maknanya, mereka sudah ada keinginan kepada agama, perkara-perkara asas mereka sudah tahu.

Maka, hendaklah kita ingat bahawa ini adalah satu dugaan kepada mereka yang belajar. Hendaklah kita ingat bahawa ilmu sahaja tidak cukup. Kena ada keinginan kepada hidayah. Kena ada satu perasaan rendah diri dan tawaduk dalam hati kita, yang berkata: walaupun kita salah, kita akan terima kebenaran walaupun berlainan dengan apa yang kita telah belajar selama ini. Walaupun datang bukan dari kumpulan kita. Asalkan ia kebenaran, kita mahu terima.

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ

Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhan mu

Ada satu lagi soalan yang timbul: Kalau apa yang dilakukan oleh ahli-ahli agama menukar agama itu salah, kenapa mereka dibiarkan sahaja oleh Allah SWT? Allah SWT beri jawapan dalam ayat ini.

Kalimah apa yang dimaksudkan? Itulah kalimah janji dari Allah SWT yang Dia akan beri tangguh kepada mereka yang buat dosa, buat syirik. Allah SWT telah tetapkan ke atas Diri-Nya awal-awal lagi. iaitu, Allah SWT tidak terus beri azab atau matikan mereka yang buat syirik, bidaah dan dosa itu, Allah SWT tidak terus masukkan mereka ke dalam neraka, Allah SWT tidak terus beri azab kepada mereka. Allah SWT simpan dulu dan biarkan mereka buat apa yang mereka hendak buat.

Sampai bila?

إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

hingga ke suatu masa yang tertentu,

Inilah jawapan kepada soalan di atas. Allah SWT biarkan mereka dalam kesesatan dan kesalahan dan tidak terus hukum mereka kerana Allah SWT telah berjanji untuk menangguhkan hukuman kepada masa tertentu.

Iaitu apabila mereka mati, barulah mereka akan dikenakan dengan azab. Masuk kubur sahaja, mereka akan mula dikenakan dengan azab. Dan apabila Kiamat datang, mereka akan diperhitungkan segala amalan mereka dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka.

Kalau tidak kerana ketetapan Allah SWT untuk beri tangguh kepada manusia yang buat syirik, tentulah telah lama manusia itu dimasukkan ke dalam neraka atau diberikan azab semasa mereka di dunia lagi. Tentulah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka akan dikenakan dengan hukuman awal-awal lagi dah.

Sebagai contoh, kalau pergi buat ibadat di kubur, balik rumah kena sakit perut atau pening kepala dan sebagainya. Namun sikit pun Allah SWT tidak beri apa-apa hukuman kepada mereka. Mereka pergi dan balik sama sahaja.

Ini adalah kerana Allah SWT beri tangguh kepada mereka. Kerana Allah SWT beri tangguh itulah, ada antara mereka yang tetap dalam amalan syirik. Kerana mereka tidak nampak salahnya perbuatan mereka. Pada mereka, kalau mereka ada buat salah dalam agama, tentu Allah SWT telah beri ‘tanda’ bahawa mereka ada buat salah.

Kerana Allah SWT beri tangguh inilah juga yang menyebabkan kita masih terima ajakan tauhid ini. Kalau tidak, sudah lama kita ini kena azab, sudah lama mati masuk kubur kena azab dalam kubur.

Sebab kita dulu pun sebelum belajar tafsir Al-Quran dan sebelum belajar Sunnah, entah berapa banyak syirik yang kita lakukan, entah berapa banyak amalan bidaah yang kita buat. Kalau Allah SWT terus beri hukum azab bila manusia buat syirik, sudah lama kita tiada. Tetapi Allah SWT beri kesempatan untuk kita belajar mana yang salah dan bertaubat dari kesalahan dan kesilapan kita.

وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتٰبَ مِن بَعْدِهِمْ

Dan sesungguhnya orang-orang yang mewarisi Kitab selepas mereka,

Ayat ini merujuk kepada mereka yang telah diberikan dengan Kitab-Kitab Suci dahulu. Iaitu bangsa Yahudi dan Kristian. Mereka telah mewarisi Kitab Suci itu dari Rasul-rasul mereka. Tetapi, apa yang mereka telah lakukan?

Orang Yahudi tidak belajar Kitab Taurat dan tafsir kepada Kitab Taurat. Mereka hanya belajar kitab tulisan ulama-ulama mereka. Tulisan pendita mereka lah yang mereka pegang sebagai agama mereka. Kitab Taurat pula mereka letak ke tepi. Atau hanya dibaca pada hari perayaan sahaja. Penganut Kristian pun begitu juga. Dan kalau mereka belajar dari Taurat dan Injil pun, itu adalah kitab yang telah diubahsuai dari yang asal.

Kalimah مِن بَعْدِهِمْ bermaksud ‘selepas mereka’. Bermaksud selepas golongan awal. Selepas golongan yang awal menerima Kitab Taurat dan Injil, ia telah diwarisi oleh keturunan dan penganut seterusnya. Sampailah kepada Yahudi dan Nasrani dan zaman Nabi Muhammad SAW dan sampailah sekarang. Kerana kita pun ramai yang buat macam itu juga.

Maka, kerana mereka sudah tidak merujuk kepada Kitab yang Allah SWT sendiri turunkan, maka tentulah ada kesalahan yang mereka telah lakukan. Dan kesalahan itu berturutan dan bersambung sampailah kita lihat apakah yang terjadi kepada agama mereka sekarang. Tidakkah kita lihat apa yang terjadi kepada mereka? Tidakkah mereka itu agama yang sesat dari yang diajar oleh Allah SWT?

Kita pun tahu bahawa mereka itu asalnya adalah agama yang benar, tetapi sudah jadi sesat. Kalau ia boleh terjadi kepada umat-umat dahulu, adakah mustahil ia boleh terjadi kepada kita juga? Tentulah tidak mustahil. Kerana sejarah akan berulang. Itulah sebabnya kisah mereka disebut-sebut dalam Al-Quran kerana kalau kita tidak berjaga dan berhati-hati, kita pun akan jadi macam mereka juga. Dan sudah ramai yang sudah cenderung ke arah itu.

Maka begitulah yang terjadi dalam agama kita ini pun. Orang Islam sudah lama tidak belajar tafsir dan terjemahan Al-Quran tetapi mereka belajar kitab yang ditulis oleh manusia. Mereka tidak hiraukan Al-Quran, tafsir Al-Quran dan hadis Nabi yang sahih. Tetapi mereka belajar berjenis-jenis kitab tulisan manusia dari muda sampai ke tua. Bersungguh-sungguh mereka belajar.

Maka, kerana itulah agama kita sudah ikut ugama Yahudi dan Nasrani. Bagaimana dengan Al-Quran? Mereka memang sanjung tinggi Al-Quran. Kalau ada majlis, mereka akan baca; setiap tahun akan ada pertandingan Musabaqah Antarabangsa; sekali sekala mereka akan bacaAl- Quran; tetapi setakat itu sahaja. Mereka baca Al-Quran, tetapi mereka tidak faham. Samalah juga seperti yang terjadi kepada Bangsa Yahudi juga. Masyarakat Islam kita sama sahaja seperti mereka.

Kalau tidak percaya, tanyalah kepada ustaz-ustaz dan tokoh agama yang ramai dalam negara ini. Tanya mereka adakah mereka sudah habis belajar tafsir Al-Quran 30 juzuk? Sudah kah mereka belajar kitab hadis Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain kitab hadis yang muktabar? Kalau mereka terketar-ketar untuk jawab, tanya lagi sama ada guru mereka sendiri ada belajar? Kebanyakan mereka akan kata, mereka dan guru mereka pun tidak belajar. Cuma ambil sikit-sikit sahaja, cedok sana dan sini.

Termasuk dalam ayat ini adalah mereka-mereka yang menggunakan dalil ‘kitab’ dalam ajaran agama mereka. Termasuklah guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang ramai dalam negara kita ini. Apabila kita minta dalil kepada mereka dalam mana-mana amalan bidaah dan syirik mereka, jawapan standard dari mereka adalah: “sebenarnya ada dalam kitab”. Setelah mereka jawab ada kitab, mereka pun kata: “sebab awak tak belajar kitab itulah awak tak tahu”.

Ingatlah, kitab karangan manusia BUKAN DALIL. Manusia boleh tulis apa sahaja. Apa yang ditulis itu tidak semestinya benar, bukan? Kerana kita manusia, tidak lari dari kesalahan. Yang menjadi panduan kita adalah Al-Quran dan sunnah. Sepatutnya kalau kitab rujukan kita, kitab itu mestilah merujuk kembali kepada ayat Al-Quran yang mana, hadis yang mana, dan bukannya pendapat ulama itu dan ini sahaja. Kena ada sandaran kepada dalil.

Apakah Allah SWT kata tentang mereka ini?

لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ

berada dalam keadaan syak berkenaannya (Al-Quran) dan ragu-ragu

Mereka syak wasangka terhadap ajakan tauhid yang kita sampaikan kepada mereka. Dalam hati mereka, mereka berkata: “betul kah ajaran yang puak Sunnah ini bawa? Kenapa lain dengan apa yang aku faham?”

Mereka pun dalam keadaan termangu-mangu kebengongan. Perkataan ه dalam مِّنْهُ itu merujuk kepada Al-Quran. Mereka syak tentang Al-Quran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan mereka syak dengan Nabi Muhammad SAW sendiri. Sepertimana bangsa Yahudi tidak boleh terima yang baginda adalah seorang Nabi lagi Rasul, begitulah juga puak-puak bidaah tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan oleh penyebar Tauhid. Mereka tidaklah syak yang Al-Quran itu dari Allah SWT, tetapi mereka syak dengan tafsir-tafsir dari ayat Al-Quran itu.

Dalam hati mereka, akan sentiasa ada rasa ragu-ragu dengan agama mereka sendiri. Mereka tidak tenang sebenarnya dalam hati mereka. Itu juga adalah satu bentuk hukuman dari Allah SWT. Kerana Allah SWT tidak terus beri azab dunia, tetapi Allah SWT beri hukuman dalam bentuk lain.

Ketahuilah, mereka yang tidak belajar tafsir Al-Quran 30 juzuk dan hadis Nabi yang sahih, TIDAK LAYAK untuk mengajar masyarakat kerana mereka sendiri tidak faham agama. Mereka sendiri tidak ada asas. Kalau mereka sendiri tidak faham agama, masih lagi jahil, maka mereka akan mewariskan kejahilan mereka kepada anak murid mereka.

Maka carilah guru yang mengajar tafsir Al-Quran dan hadis Nabi. Habiskan belajar tafsir Al-Quran dan Hadis sebelum belajar kitab-kitab yang lain. Kalau telah belajar dua sumber utama itu, maka bolehlah kita menilai sama ada kitab-kitab karangan manusia itu bersesuaian dengan ajaran Allah SWT dan Nabi atau tidak.

Belajar kitab-kitab mana pun, bukannya kita halang. Tetapi tolonglah belajar asas agama dahulu – iaitu Al-Quran dan sunnah. Oleh itu, mereka yang ada masalah dengan tauhid kerana belajar dengan kitab-kitab karangan manusia, kena diajak belajar kembali Tauhid. Dan untuk belajar tauhid, kena belajar dari pengajian Tafsir Al-Quran.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan