Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-12

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-12

242
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-12

Satu lagi dalil kenapa kita kena sembah dan seru doa kepada Allah sahaja.

لَهُ مَقاليدُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Dia lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

لَهُ مَقَالِيدُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dia lah jua yang menguasai kunci perbendaharaan langit dan bumi;

Allah sahaja yang memiliki kunci langit dan bumi dan Dia tidak memberikannya kepada sesiapa sahaja. Kunci khazanah atau umpamanya kunci peti besi ada pada Allah SWT sahaja.

Dari segi balaghah, apabila kalimah لَهُ ditakdimkan (diawalkan, letak kat depan), ia memberi isyarat takhsis (khusus). Maknanya, kunci perbendaharaan hanya ada pada Allah SWT sahaja.

Kalau kuncinya dengan Allah SWT, maka mohonlah apa sahaja yang kita hendak kepada Allah SWT. Kerana kalau Allah SWT memegang kunci khazanah dunia dan langit, maka apa yang di dalamnya juga adalah kepunyaan-Nya.

Janganlah minta kepada yang lain. Janganlah ikut mereka yang tersilap faham yang minta kepada makhluk. Kononnya mereka tidak layak hendak minta terus kepada Allah SWT maka kena gunakan perantaraan pula. Itu sudah menjadi amalan tawassul yang dikutuk oleh Allah SWT.

يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ

Dia meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah SWT yang menentukan rezeki kita. Tidak ada entiti lain yang boleh menentukan rezeki kita. Allah SWT lah sahaja yang membuat keputusan siapa yang akan dapat banyak mana rezeki. Setiap rezeki yang ditetapkan kita akan mendapatnya, menunggu kita sahaja untuk sampai kepadanya. Ia tidak akan pergi ke mana-mana.

Allah SWT meluaskan rezeki kepada seseorang itu sebagai ujian bagi orang itu. Kerana kadang-kadang kalau kita ada harta, waktu itulah kita mudah lupa kepada Allah SWT.

وَيَقْدِرُ

dan Dia juga yang menyempitkannya

Sebagaimana Allah SWT meluaskan rezeki kepada seseorang sebagai ujian, begitu juga Allah SWT sempitkan harta seseorang sebagai ujian juga.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat menentukan rezeki kita. Maka janganlah kita rasa yang ada selain Allah SWT yang dapat memberi rezeki atau menahan rezeki kita. Sebagai contoh, janganlah kita cakap: “Kalau ayah aku sudah tiada nanti, apa kami nak makan?” Itu adalah kata-kata yang sesat kerana bukanlah ayah kita yang beri rezeki kepada kita, tetapi Allah SWT.

Allah SWT luas dan sempitkan rezeki kita sebagai ujian. Maka janganlah kita dengki kepada orang yang kaya, yang sihat (kesihatan pun rezeki juga) dan sebagainya. Semua itu adalah anugerah dari Allah SWT. Semuanya dalam taqdir Allah SWT. Kalau kita dengki, itu bermaksud kita tidak setuju dengan keputusan Allah SWT. Maka kena belajar redha. Jangan mengeluh.

Setiap makhluk ada mendapat sesuatu dari rezeki. Bezanya adalah sama ada sikit atau banyak sahaja. Jangan kita kata kita tidak ada apa-apa kerana pasti Allah SWT telah beri sesuatu kepada kita, bukan? Dan Allah SWT sentiasa memberi kepada kita. Jangan kita menidakkan pemberian Allah SWT kepada kita.

Maka Allah SWT sahaja yang buat keputusan siapa yang dapat banyak dan siapa yang dapat sikit. Jadi pulangkan balik kepada Allah SWT. Jangan kita merungut. Apa yang Allah SWT telah tetapkan, ada kebaikan padanya. Mungkin kita sahaja yang tidak nampak.

Sebagai contoh, Allah SWT tahu bahawa kalau seseorang itu dapat kemewahan, ia akan merosakkannya. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam ayat ke 27 surah ini:

وَلَوْ بَسَطَ اللهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Dan kalaulah Allah SWT memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah SWT menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.

Kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana seorang yang mulanya baik dan warak, tetapi apabila dia jadi kaya, perangainya bertukar serta merta, bukan? Sebagai contoh, dia sudah mula menggunakan kekayaannya itu untuk bermaksiat dan sebagainya. Tidakkah kekayaannya itu menjadikannya melampaui batas? Maka gunakan rezeki untuk kebaikan, bukan setakat sebut Alhamdulillah sahaja.

Bila syukur, Allah SWT akan tambah rezeki. Bila kufur tidak hargai nikmat, Allah SWT bagi azab. Mungkin rezeki ada sebagai istidraj. Azab itu pula mungkin di akhirat. Di dunia kaya raya. Itu sebab ramai yang tidak sedar diri.

Tiada doa atau zikir khusus untuk kita beramal supaya bersifat qana’ah. Qana’ah ini rasa cukup dengan apa yang ada. Ia perasaan yang boleh dipupuk dalam hati.

Allah SWT juga jadikan ada yang kaya dan ada yang miskin untuk kebaikan manusia juga. Bayangkan, kalau semua manusia kaya, siapakah lagi yang akan jadi tukang sapu sampah? Apa akan jadi dengan alam sekitar kita kalau tidak ada orang yang kerjanya menyapu sampah?

Miskin itu sebagai ujian kepada manusia, hendak uji dia sama ada dia taat kalau dia miskin dan lemah. Tetapi yang ramai orang tidak perasan adalah, kaya itu juga adalah ujian kerana Allah SWT hendak lihat adakah manusia itu akan taat kepada Allah SWT kalau dia mendapat kekayaan dan kesenangan. Selalunya kalau miskin dan susah, orang senang hendak ingat Allah SWT; tetapi bila telah senang lenang, susah pula hendak ingat Allah SWT.

إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah SWT Maha Mengetahui bagaimana hendak memberi rezeki kepada hamba-Nya. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita perlukan, apa yang baik untuk kita. Bila masanya diberi rezeki itu kepada manusia dan di mana hendak diberikan rezeki itu. Maka, kita terima sahajalah apa keputusan Allah SWT.

Allah SWT yang berikan rezeki kepada kita semua. Janganlah sesekali kita kata kita kaya sebab kita buat ini dan itu. Jangan kata sebab ‘nasib’ dan sebagainya. Sebenarnya Allah SWT lah yang menentukan yang kita akan dapat rezeki atau tidak. Kita kena kata yang Allah SWT lah yang menentukan rezeki itu. Allah SWT lah yang menentukan kita dapat atau tidak. Bukannya sebab kita dan bukannya sebab orang lain.

Allah SWT sebut tentang rezeki dalam surah ini adalah kerana salah satu perkara yang banyak manusia mula berbalah adalah kerana rezeki, harta dan wang. Dan surah ini tentang perbezaan pendapat di kalangan manusia.

Maka, Allah SWT beri isyarat dalam ayat ini bahawa rezeki itu adalah dalam tangan Allah SWT. Terimalah apa yang terjadi dan apa yang Allah SWT telah tetapkan. Jangan jadikan rezeki sebagai satu penyebab kepada pemecahan dalam umat kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan