Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-10 dan Ke-11

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-10 dan Ke-11

202
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-10

وَمَا اختَلَفتُم فيهِ مِن شَيءٍ فَحُكمُهُ إِلَى اللهِ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبّي عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ

Tentang sesuatu apa pun kamu berselisih maka putusannya [terserah] kepada Allah; [Yang mempunyai sifat-sifat demikian] itulah Allah Tuhanku; kepada-Nyalah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”.

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ

Dan apa jua perkara yang kamu berselisihan padanya

Sama ada berselisih dalam perkara agama atau perkara dunia iaitu perkara apa sahaja. Sama ada perbezaan itu antara sesama Islam atau dengan orang bukan Islam pun.

Apa-apa sahaja perbezaan. Manusia memang ada banyak perbezaan pendapat yang mereka berselisihan. Tetapi perbezaan yang paling penting adalah tentang Tauhid. Ini adalah kerana perkara inilah yang menyebabkan sama ada kekal atau tidak di neraka atau syurga. Dan inilah pemisahan antara manusia yang utama kerana perbezaan pendapat inilah yang ada Ahli Haq dan Ahli Bathil.

Kalau ada perbezaan itu, apa yang boleh kita lakukan?

فَحُكْمُهُ إِلَى اللهِ

maka hukumnya terserah kepada Allah;

Allah SWT akan buat keputusan dalam bentuk ‘amali’. Hukum dalam bentuk teori telah ada dalam kitab Allah SWT. Kita sudah tahu mana yang benar dan mana yang tidak berdasarkan apa yang Allah SWT beritahu dalam wahyu. Asalkan mahu belajar sahaja dan meluangkan masa untuk belajar. Kalau tidak tahu itu kerana tidak belajar.

Dan di akhirat nanti, akan dijelaskan perkara itu dalam bentuk kenyataan (bentuk amali) nanti. Waktu itu menyesallah mereka yang tidak melihat dan memahami apakah hukum dalam bentuk teori semasa di dunia.

Maka, dari sini kita tahu yang kita KENA rujuk kepada Allah SWT apabila kita ada perbezaan pendapat itu. Allah SWT yang menentukan manakah yang benar dan baik. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menentukan manakah yang betul dengan pasti. Kita kena ikut apa yang Allah SWT beritahu kita, bukannya ikut hawa nafsu dan akal kita. Sebaliknya kita kena cari apakah keputusan Allah SWT dalam sesuatu perkara itu. Kerana keputusan Allah SWT lah yang terbaik.

Allah SWT juga telah berfirman dalam [ An-Nisa: 59 ]

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah SWT (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Tetapi bagaimanakah cara untuk merujuk kepada Allah SWT? Tentulah dengan merujuk kitab Allah SWT iaitu Al-Quran. Dalam Al-Quran telah diberikan berbagai-bagai hukum yang lengkap untuk menangani apa-apa masalah yang kita hadapi. Tetapi untuk faham, kenalah pula belajar tafsir dan kaji pendapat ulama dalam pentafsiran ayat-ayat itu.

Allah SWT Maha Bijaksana, maka keputusan Allah SWT adalah keputusan yang terbaik. Allah SWT tidak tertakluk kepada emosi. Macam manusia, keputusannya ada yang terikut-ikut dengan nafsu dan kerana itu keputusannya tidak berapa tepat. Dan Allah SWT juga sempurna ilmu-Nya, maka tentulah Dia sahaja yang boleh keputusan dengan tepat.

Di dunia, Allah SWT telah beri hidayah dan hukum manakah yang perlu dipakai. Dan di akhirat nanti, kalau ada perselisihan yang tidak dapat diselesaikan di dunia, Allah SWT akan tetapkan manakah yang benar antara dua pendapat itu.

Namun, kalau keputusan itu kita hanya tahu di akhirat sahaja, sudah terlambat untuk kita memperbetulkan keputusan kita itu. Maka, hendaklah kita tahu manakah keputusan yang benar semasa di dunia lagi. Maka kerana itu, hendaklah kita belajar wahyu ini semasa hidup lagi supaya kita tidak menyesal di akhirat kelak.

Malangnya, ramai orang kita yang pandai membaca ayat ini tetapi mereka tidak mengamalkannya langsung. Mereka selalu mengatakan “marilah kembali kepada ajaran Al-Quran”, tetapi mereka sendiri tidak pernah pun belajar tafsir Al-Quran.

Lalu bagaimana mahu kembali kepada Al-Quran kalau tidak belajar pun apakah makna yang hendak disampaikan oleh Al-Quran itu? Maka kata-kata mereka itu hanyalah kata-kata kosong sahaja. Itu adalah kata-kata menunjuk sahaja – hendak menunjuk bahawa kononnya mereka itu beriman.

ذَٰلِكُمُ اللهُ رَبِّي

Itulah untuk kamu, Allah Tuhanku;

Allah SWT menekannya sifat Rabb dalam ayat ini. Rabb bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ tetapi ia merangkumi sifat Allah SWT yang mencipta, memelihara makhluk-Nya. Allah SWT sentiasa mentadbir kehidupan kita.

Allah SWT bukan sahaja mencipta kita dari tidak ada kepada ada, kemudian biarkan kita hidup begitu sahaja. Allah SWT tidak biarkan kita tetapi Allah SWT bekalkan kita dengan petunjuk wahyu dan diangkat para Rasul-Nya untuk membimbing. Oleh kerana Allah SWT yang jadikan kita, maka tentunya Allah SWT yang paling tahu apa yang kita perlukan.

عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ

Kepada-Nyalah aku berserah diri

Kita hendaklah menerima apa sahaja yang Allah SWT telah tetapkan. Itulah maksud ‘tawakal’. Iaitu kita usaha dan kemudian kita serahkan kepada Allah SWT. Apa-apa sahaja yang terjadi selepas itu, kita serahkan kepada Allah SWT dan kita redha dengan keputusan Allah SWT dalam hal itu.

Kita mungkin tidak faham kenapa Allah SWT suruh buat begini dan begitu. Akal kita tidak mungkin dapat mencapai pemahaman seperti Allah SWT. Tetapi kerana kita percaya dengan Allah SWT, kita terima sahaja. Kerana kita tahu yang Allah SWT adalah Maha Bijaksana.

وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

dan kepada-Nyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”.

Kita rujuk kepada Allah SWT dalam membuat keputusan kita. Tetapi kita tidak boleh bercakap-cakap dengan Allah SWT. Oleh itu, kita hendaklah belajar ayat-ayat Allah SWT kerana itulah cara yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita berinteraksi dengan-Nya.

Oleh kerana itu, satu tips yang dapat mendekatkan diri kita dengan Al-Quran adalah bayangkan kita sedang berinteraksi dengan Allah SWT semasa kita baca Al-Quran. Bayangkan yang Allah SWT sedang bercakap-cakap dengan kita. Ini akan lebih memberi kesan kepada pembacaan Al-Quran dan tadabbur kita.

Maksud ayat ini adalah kena taat kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, tawakal kepada Allah SWT hanya boleh dilakukan setelah taat kepada Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-11

Dalil kenapa kita kena ikut hukum Allah SWT dan kena tawakal kepada-Nya sahaja.

فاطِرُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا وَمِنَ الأَنعٰمِ أَزوٰجًا ۖ يَذرَؤُكُم فيهِ ۚ لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ ۖ وَهُوَ السَّميعُ البَصيرُ

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

 فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi;

Allah SWT sahaja yang mencipta alam ini. Yang selain Allah SWT, tidak boleh mencipta apa-apa. Nabi, wali dan malaikat yang disembah dan dipuja oleh mereka yang sesat itu, tidak boleh mencipta. Langsung tidak boleh cipta apa-apa pun walaupun seekor lalat. Maka kenapa hendak sembah dan buat ibadat kepada mereka?

جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri,

Manusia kahwin dengan manusia dan jin kahwin dengan jin. Itulah lumrah alam. Maka, kalau ada kisah karut yang mengatakan ada manusia yang berpasangan dengan jin, bunian dan sebagainya, itu adalah kisah dongeng sahaja dan tidak perlu dilayan. Walau pun ada pendapat yang mengatakan harus, tetapi sifat jin dan manusia tidak sama, maka macam mana mahu kahwin?

Kenapa tiba-tiba disebut tentang pasangan pula? Kerana sebelum ini disebut tentang perbezaan pendapat. Dan dengan pasangan kitalah kita selalu ada perbezaan pendapat ini. Kerana kita selalu berhubungan dengan mereka, duduk rumah sekali dan sentiasa berkomunikasi, maka tentulah sekali sekala akan ada perbezaan pendapat dan berbalah. Ini biasa sahaja.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa pasangan kita adalah nikmat dari Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT telah memberikan Hawa kepada Nabi Adam. Kerana Allah SWT tahu apa yang kita perlukan. Iaitu setiap manusia memerlukan pasangan hidup masing-masing. Allah SWT ingatkan kita dalam ayat ini tentang nikmat pasangan itu.

وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا

dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan.

Binatang juga ada pasangan mereka. Kita memerlukan binatang ternak itu untuk makanan dan kegunaan kita, maka Allah SWT beri pasangan juga kepada binatang itu. Kerana kita memerlukan binatang ternak itu berpasangan untuk berkembang biak.

يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ

dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua.

Allah SWT mengembangbiakkan manusia dan binatang di dunia dengan proses pasangan itu. Kalau sendirian sahaja, tidak akan ada lahir anak dan penambahan bilangan. Ini cara yang Allah SWT jadikan bagi kita walaupun Allah SWT boleh sahaja lahirkan anak tanpa bapa seperti Nabi Isa a.s. dan tanpa ibu dan bapa sekali seperti Nabi Adam a.s.

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya.

Makhluk tidak sama langsung dengan Allah SWT. Allah SWT tahu segala-galanya. Allah SWT tahu apa yang baik untuk kita. Maka sebab itu kita perlu menggunakan hukum Allah SWT itu. Keputusan yang Allah SWT buat bukan seperti keputusan kita. Semua yang Allah SWT lakukan adalah untuk kebaikan kita.

Kerana Allah SWT tidak sama dengan makhluk, kerana itulah Dia marah kalau minta kepada selain dari-Nya, kerana selain dari-Nya, tidak boleh memberikan kita apa-apa.

Ayat ini pun menjadi satu perbalahan di antara manusia yang beragama Islam. Ramai yang berhujah dengan ayat ini untuk mengatakan Allah SWT langsung tidak bersifat dengan makhluk.

Salah satu perbalahan antara manusia sesama Islam adalah sama ada Allah SWT bersemayam di Arash atau tidak. Satu pihak mengatakan kalau Allah SWT bersemayam di Arash, maka itu sudah menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Kerana mereka mengatakan pernyataan itu membawa maksud yang ‘Allah SWT bertempat’.

Kita yang mengamalkan ilmu sunnah ini mengatakan bahawa pernyataan yang Allah SWT bersemayam di Arash itu tidaklah berlawanan dengan ayat ini kerana kita tidak menyamakan duduknya Allah SWT itu seperti duduk kita di kerusi dan sebagainya.

Kita katakan yang duduknya Allah SWT itu tidak sama dengan duduknya makhluk. Ini bermakna, kita masih berpegang dengan ayat ini. Allah SWT memang berada di langit kerana banyak ayat-ayat yang menyebut perkara itu. Tetapi keberadaan Allah SWT tidak seperti makhluk kerana Allah SWT tidak sama dengan makhluk.

Dan pemahaman sebenarnya kita serahkan balik kepada Allah SWT. Kita sebenarnya tidak perlu memikirkan tentang Dzat Allah SWT kerana kita tidak akan dapat mencapai pengetahuan itu. Itu semua adalah buang masa dan kerana itu tidak perlu dipanjangkan perbincangan ini. Semua ini adalah termasuk dalam perkara-perkara mutashabihat – ada persamaan dengan makhluk, tetapi tidak sama. Yang sebaiknya ditinggalkan sahaja perbincangan yang tidak memberi faedah ini.

Kena tahu ayat ini kerana ayat ini adalah penawar bagi banyak salah faham antara manusia. Dalam apa-apa hal, Allah SWT tidak akan sama dengan makhluk. Apabila Allah SWT kata Dia ada tangan, tangan-Nya pasti tidak sama dengan tangan makhluk; kalau Allah SWT sebut tentang ‘wajah’, tentu ‘wajah’ Allah SWT tidak sama dengan wajah kita pula. Kalau dapat terima perkara ini, maka senang hendak teruskan dengan perkara yang lebih penting.

وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Sebelum ini disebut yang Allah SWT tidak sama dengan makhluk. Tetapi dalam ayat ini disebut Dia juga mendengar dan melihat, makhluk juga mendengar dan melihat, bukan?

Ini maksudnya, cara Allah SWT mendengar dan melihat tidaklah sama dengan cara makhluk mendengar dan melihat. Inilah pemahaman yang susah sangat kebanyakan masyarakat Islam kita hendak terima. Mereka menolak langsung yang Allah SWT berada di Arash, yang Allah SWT ada tangan, yang Allah SWT bersuara dan sebagainya.

Mereka kata kita yang berkata begitu adalah mujassimah (mengatakan Allah SWT berjisim macam makhluk) kerana menyifatkan Allah SWT sama dengan makhluk, tetapi bila sebut tentang sifat Allah SWT mendengar dan melihat, kenapa tidak takwil sekali? Sebab kita pun mendengar dan melihat juga, kan?

Padahal, apa yang kita katakan itu adalah apa yang Allah SWT sendiri katakan, bukan kita yang reka. Cuma, kita tambah dengan satu lagi pemahaman seperti yang disebut dalam ayat ini – tidak ada yang sama dengan-Nya – maknanya, kalau Allah SWT duduk, tidaklah duduk-Nya itu sama macam duduk kita. Tangan Allah SWT tidak sama dengan tangan makhluk. Suara Allah SWT tidak sama dengan suara makhluk dan sebagainya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan