Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Ma’un – Tafsir Ayat Ke-2 dan Ke-3

Tafsir Surah Al-Ma’un – Tafsir Ayat Ke-2 dan Ke-3

1059
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ma’un

Pada perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan :

Kenyataan tegas Allah SWT mengenai orang yang mendustakan agama. Di samping gaya bahasa Allah SWT yang menyuruh kita melihat agar mengambil iktibar.

Kita sambung dengan persoalan :

Siapakah mereka yang mendustakan agama itu dan bagaimanakah sifat mereka? Allah SWT memberitahu dalam firman seterusnya.

Tafsir Ayat Ke-2:

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ

Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

Sepatutnya mereka menolong anak yatim, tetapi sebaliknya mereka menghalau.

فَذٰلِكَ

Maka tanda kekufuran mereka itu adalah

Allah SWT menerangkan : (Iaitu mereka menghalau, mengherdik anak yatim)

Mufassirin membincangkan tentang huruf ف pada kalimah ini. Ia menghubungkan antara ayat 1 dan 2. Bermakna, sifat orang itu saling berkait :

Kerana dia mendustakan agama (atau mendustakan hari pembalasan), maka dia akan menghina anak yatim. Pertama sekali dia telah membuat dosa kepada Allah SWT, membawa kepada berbuat dosa berkenaan manusia pula.

اليَتيمَ

Yatim (Seseorang yang kehilangan ibu bapa mereka)

Lazimnya, anak yatim sering berada dalam kesedihan, seolah-olah merasakan harapan mereka nampak gelap, atau merasakan tidak ada tempat bergantung lagi.

Sedangkan orang dewasa merasa sedih kehilangan ibu-bapa mereka, inikan pula seorang anak kecil yang masih memerlukan belaian kasih sayang dan sokongan.

Dalam Ayat 1 telah disebut bagaimana mereka itu mendustakan hari pembalasan. Apabila seseorang itu tidak mahu mengakui Hari Kiamat dan pembalasan, maka dia terkeluar dari fitrah matlamat hidup. Lalu orang yang menolak fitrah akan hilang sifat rahmahnya.

Seperti yang disebut dalam Surah Balad (90) ayat ke 17:

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

Selain dari itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Kalimah

يَدُعُّ

Bermaksud : Menolak jauh seseorang

Pada saat wahyu ini diturunkan, musyrikin membuli anak yatim dengan tidak merasa takut atau bersalah. Mereka mengherdik dan menghalau anak yatim.

Mereka sanggup melakukan demikian sedangkan Allah SWT amat menekankan tentang penjagaan anak yatim di dalam Al-Quran. Berkali-kali Allah SWT perintahkan kita menghargai dan berlaku baik dengan anak yatim.

Antara dalilnya :

  1. Surah Adh Dhuha (93) ayat ke 9,

فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

  1. Surah Al Fajr (89) ayat ke 17,

كَلّا ۖ بَل لا تُكرِمونَ اليَتيمَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

Allah SWT menegur manusia yang tidak memuliakan anak-anak yatim.

Apa lagi sifat mereka?

Tafsir Ayat Ke-3:

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Kalimah

يَحُضُّ

Bermaksud : Menggalakkan

Oleh itu, apabila dikatakan

لا يَحُضُّ

Ia bermaksud :

Mereka itu TIDAK menggalakkan orang lain. Dan dalam ayat ini, mereka tidak menggalakkan orang lain untuk memberi makan kepada fakir miskin.

Sekiranya mereka tidak menggalakkan orang lain memberi makan, apatah lagi mereka sendiri tidak memberi orang miskin makan.

Kalimah

المِسكينِ

Orang miskin

Apakah maksud fakir dan miskin? Ini jawapan menurut definisi ringkasnya :

Fakir : tidak ada sumber

Miskin : ada sumber, tetapi tidak mencukupi

Sebab itu hari ini ada istilah, “miskin bandar” : iaitu mereka yang bekerja di bandar, tetapi masih tidak cukup menampung keperluan.

Kalimah

المِسكينِ

Orang miskin

Dalam bentuk mufrad (satu). Ianya adalah orang-orang yang tidak dapat membantu diri mereka untuk keluar dari kesusahan mereka.

Jika ramai, kalimah yang digunakan ialah

المساكين

Kenapa digunakan seorang miskin sahaja? Ia boleh bermaksud :

“Jangan dikatakan ramai orang miskin, sedang seorang miskin pun mereka tidak bantu atau memberi makan”

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini juga adalah :

طَعامِ المِسكينِ

Makanan orang miskin.

Ia dalam bentuk mudhaf dan mudhaff ilaih (Hendak bagi senang faham : makanan itu adalah hak atau kepunyaan mereka)

Maksudnya, dari segi bahasa :

Allah SWT tidak katakan berilah makanan kepada orang miskin,

TETAPI Allah SWT berkata: berikan makanan orang miskin itu.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Kenyataan tegas Allah SWT berkaitan menjaga hak anak yatim dan fakir miskin menunjukkan Islam itu agama yang rahmat dan menjaga kebajikan.

Bukannya agama yang kasar atau keras seperti yang disalah-fahami oleh sebahagian manusia.

Kedua :

Pesanan Allah SWT berkenaan sifat buruk ini, turut mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bertoleransi dan saling menjaga kebajikan sesama manusia. Oleh itu, dunia ini akan lebih harmoni.

Ketiga :

Secara tidak langsung, Allah SWT sedang mengajar kita agar bersyukur. Ini kerana anak yatim dan fakir miskin tidak mempunyai peluang melakukan kebajikan seperti golongan yang berkemampuan.

Maka sekiranya kita sedang mempunyai ibu/bapa dan harta, maka perlakukan kebaikan dengan nikmat tersebut.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan