Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 71 – BAB: APA YANG DATANG BERKENAAN HIDUP RASULI LLAH

Hadis 71 – BAB: APA YANG DATANG BERKENAAN HIDUP RASULI LLAH

294
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 71

Mohd ‘Adlan Bin Mohd ShariffuddinDecember 01, 2017

بَابُ مَا جَاءَ فِي عَيْشِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab: Apa Yang Datang Berkenaan Hidup Rasuli Llah

71 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ، قَالَ: كُنَّا عِنْدَ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ مُمَشَّقَانِ مِنْ كَتَّانٍ، فَتَمَخَّطَ فِي أَحَدِهِمَا، فَقَالَ: بَخٍ بَخٍ، يَتَمَخَّطُ أَبُو هُرَيْرَةَ فِي الْكَتَّانِ، لَقَدْ رَأَيْتُنِي وَإِنِّي لَأَخِرُّ فِيمَا بَيْنَ مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحُجْرَةِ عَائِشَةَ مَغْشِيًّا عَلَيَّ، فَيَجِيءُ الْجَائِي فَيَضَعُ رِجْلَهُ عَلَى عُنُقِي يَرَى أَنَّ بِي جُنُونًا، وَمَا بِي جُنُونٌ، وَمَا هُوَ إِلَّا الْجُوعُ.

71- Telah bercerita kepada kami Qutaybah bin Sa`id, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammad bin Zayd, daripada Ayyub, daripada Muhammad bin Sirin, dia berkata: Kami telah berada di sisi Abi Hurayrah, dan dia memakai dua helai kain linen yang dicelup dengan tanah merah, dan dia mengeluarkan hingusnya pada salah satu daripadanya. Maka dia berkata: Bakh, bakh, Abu Hurayrah mengeluarkan hingus pada kain linen. Sesungguhnya saya telah melihat diri saya, dan sesungguhnya sungguh saya telah rebah di tempat di antara minbar Rasuli Llah dan bilik `A’isyah, pitam. Kemudian, datanglah seseorang yang datang, dan dia meletakkan kakinya di atas tengkuk saya, menyangka bahawa saya mempunyaï penyakit gila. Dan bukanlah saya mempunyaï penyakit gila, dan tidaklah ia melainkan lapar.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diletakkan oleh Imam At-Tirmizi di dalam Bab: Apa Yang Datang Berkenaan Hidup Rasuli Llah. Namun, secara kasarnya, hadis ini tidak bercerita tentang Nabi sebagai watak utama, sebaliknya tentang Abi Hurayrah. Sangat menghairankan apabila hadis ini bercerita tentang kelaparan Abi Hurayrah, dan bukan tentang Nabi. Justeru, apa kaitan hadis ini dengan Nabi?

Hadis ini menyebut tentang Muhammad bin Sirin, seorang dari kalangan tabi`in yang pernah berjumpa dengan tiga puluh orang sahabat, dan dalam hadis ini, Muhammad bin Sirin bertemu dan bersama dengan Abi Hurayrah. Ketika itu, dia melihat Aba Hurayrah memakai dua helai kain linen, yang menunjukkan bahawa ketika itu, dua helai kain merupakan pakaian biasa manusia.

Kain linen yang dipakai oleh Abi Hurayrah, ialah kain daripada pokok flaks (Linum usitatissimum), atau disebut juga pokok linsid. Kain linen ini adalah bahan utama membuat pakaian, sebelum ia digantikan dengan kain daripada kapas pada awal abad kedua puluh. Kain linen yang dipakai oleh Abi Hurayrah adalah kain berwarna merah bata. Perkataan (ثَوْبَانِ مُمَشَّقَانِ) dua helai kain linen yang dicelup dengan tanah merah, bermakna dua helai kain yang telah dicelup dengan (مِشْق) misyq, iaitu tanah berwarna merah.

Ketika Muhammad bin Sirin bertemu dengan Abi Hurayrah itu, dia melihat Aba Hurayrah telah membuang hingusnya pada pakaiannya, iaitu pada salah satu daripada dua helai kain tadi. Setelah itu, Abu Hurayrah menyebut, (بَخٍ بَخٍ) “Bakh, bakh”. Ucapan ini ialah ucapan yang menunjukkan rasa hairan. Ini dijelaskan dengan bahagian seterusnya iaitu “Abu Hurayrah mengeluarkan hingus pada kain linen”. Ia seolah-olah ucapan kita, “Amboi, sekarang saya buang hingus saya pada kain linen!”.

Ucapan Abi Hurayrah ini dengan jelas menunjukkan perbandingan dua zaman, iaitu zaman dahulu yang menunjukkan kemiskinannya, dan zaman semasa yang menunjukkan bahawa taraf hidupnya telah berubah menjadi lebih baik. Hal ini juga menunjukkan bahawa Aba Hurayrah bukanlah seorang yang lupa diri, atau orang yang lupa asal-usulnya, sebaliknya, dalam kemewahan hidupnya, dia masih mengenang keadaannya yang miskin dan melarat dahulu.

Seterusnya, hadis ini menceritakan tentang kemelaratan Abi Hurayrah. Abu Hurayrah menceritakan bahawa dia melihat dirinya sendiri yang telah rebah iaitu jatuh sehingga pitam di dalam Masjid Nabi. Ketika itu, Abu Hurayrah telah jatuh di bahagian hadapan masjid, iaitu di antara minbar dan bilik `A’isyah. Bilik `A’isyah kini sudah menjadi kubur tempat jasad Rasuli Llah bersemadi.

Apabila Abu Hurayrah jatuh sehingga pitam itu, datang seseorang menghampirinya. Melihatkan Aba Hurayrah yang tiba-tiba jatuh pitam seperti itu, orang itu meletakkan kakinya di atas tengkuk atau leher Abi Hurayrah. Ketika itu, dia menyangka bahawa Aba Hurayrah telah gila secara tiba-tiba, justeru, dia memijak tengkuk Abi Hurayrah untuk menahannya daripada bergerak-gerak menjadi liar. Walau bagaimanapun, Abu Hurayrah menjelaskan bahawa sebab dia jatuh pitam itu bukanlah kerana dia telah menjadi gila, sebaliknya kerana dia kelaparan.

Cerita Abi Hurayrah ini, adalah satu cerita yang kita tidak dapat bayangkan kerana kita tidak lagi melihat hal seperti ini. Jika mahu, cubalah bayangkan seseorang yang tidak makan sehingga dia tidak lagi dapat berdiri. Bayangkan seseorang yang begitu miskin, sehingga dia tidak mampu membeli makanan, dan kerana kelaparannya itu, dia sampai jatuh pitam.

Cerita Abi Hurayrah ini sebenarnya ialah sebuah cerita yang sangat indah, dan ia perlu dihayati oleh semua orang, terutama para penuntut ilmu. Abu Hurayrah telah meninggalkan dunianya untuk bersama dengan Nabi, untuk melazimi Nabi, untuk mendengar ucapan dan kata-kata Nabi, untuk mempelajari tentang Islam dan wahyu, iaitu untuk menuntut ilmu. Dan kerana kesungguhan Abi Hurayrah untuk mendampingi Nabi dan menuntut ilmu itu, dia sanggup untuk tidak keluar bekerja, yang bermaksud dia tidak mempunyaï sumber pendapatan. Justeru, Abu Hurayrah sanggup untuk berlapar demi menuntut ilmu. Bukan setakat berlapar yang biasa, bahkan Abu Hurayrah sanggup untuk terus mendampingi Nabi dalam keadaan lapar, sehingga kelaparannya memuncak dan menyebabkannya jatuh pitam.

Bandingkan pengorbanan dan keadaan hidup Abi Hurayrah ketika dia ingin menuntut ilmu dan melazimi Nabi, dengan keadaan para penuntut ilmu zaman sekarang. Kita telah tersilap dalam mendidik anak-anak kita, apabila kita mengajar mereka menuntut ilmu dengan gembira dan dengan segala kemewahan. Kita telah tersilap dalam mendidik anak-anak kita, apabila kita tidak lagi menghayati dan meniru jalan menuntut ilmu para sahabat dan para `ulama’ yang terdahulu, yang telah terbukti berkesan melahirkan manusia, para sarjana dan ilmuwan.

Lihatlah para penuntut ilmu sekarang – yang kita panggil sebagai pelajar –, tidakkah mereka sekarang dimanjakan dengan kemewahan melampau. Lihatlah kelengkapan sekolah mereka. Baju mereka bukan sepasang, tetapi setiap seorang pasti akan ada beberapa pasang. Lihatlah bekas pensel mereka, yang penuh dengan alat tulis, sehingga ramai antara mereka tidak menghargaï pen, pensel, pembaris, atau pemadam tersebut, dengan menghilangkannya atau meninggalkannya merata-rata. Lihatlah wang saku mereka, yang pasti akan diberikan oleh ibu bapa, kerana tidak mahu anak-anak mereka kelaparan. Dan anak-anak ini, jika tiada wang saku, mereka sanggup untuk tidak pergi ke sekolah kerana tidak mahu berlapar. Lihatlah pada kelengkapan lain mereka, contohnya, pada zaman ini, anak-anak ini sudah diberikan telefon bimbit, malah motosikal untuk ke sekolah. Dan anak-anak ini, jika tidak diberikan telefon bimbit, mereka akan memberontak, dan jika tidak diberikan motosikal, mereka tidak mahu pergi ke sekolah.

Apabila kita mempelajari kitab Syama’il Muhammadiyyah ini, adalah wajar kita mengubah diri, keluarga dan masyarakat kita, agar kita tidak keterlaluan dalam memanjakan diri kita, atau anak-anak kita, atau masyarakat kita dengan kemewahan. Kisah Abi Hurayrah ini adalah satu contoh yang agak ektrem dalam perjalanan seorang penuntut ilmu, dan ia bukan jalan yang ditempuh oleh semua sahabat. Namun, kerana jalan yang dipilih ini, Abu Hurayrah yang memeluk Islam pada tahun berlakunya peperangan Khaybar iaitu pada tahun tujuh Hijrah, telah menjadi seorang sahabiy yang agung dalam periwayatan hadis dalam masa empat tahun dia melazimi Nabi sehingga Nabi wafat pada tahun sebelas Hijrah.

Dengan membaca kisah Abi Hurayrah ini, para pelajar yang melangkah masuk ke universiti seharusnya berasa malu, kerana sebagai mahasiswa yang mempunyaï tempoh empat tahun pengajian, ramai antara mereka yang mensia-siakan peluang empat tahun itu. Mereka bukan menuntut ilmu, sebaliknya berjoli, berseronok, atau berpoya-poya. Ramai antara pelajar universiti yang tidak bersungguh-sungguh belajar, tidak membaca buku dan jurnal, tidak berjumpa dan berbincang dengan pensyarah, tidak menghafaz matan atau fakta, tidak melibatkan diri dalam seminar dan syarahan akademik, serta mensia-siakan pelbagai peluang yang terbuka untuk mereka di universiti. Sebaliknya, ramai antara mereka yang lebih gemar berkawan dan bersosial, menonton wayang dan filem, anime dan muvi, bercinta dan mencari kekasih, berniaga dan mencari duit, serta berjalan-jalan dan membeli-belah. Kesannya, mahasiswa kita menjadi sangat jauh berbeza dengan Abi Hurayrah, dan mereka menjadi lemah dalam ilmu dan akademik.

Hadis ini menceritakan tentang kesengsaraan yang dilaluï oleh Abi Hurayrah dalam perjalanannya mendampingi Nabi dan menuntut ilmu. Apabila Abu Hurayrah sanggup kelaparan sampai dia jatuh pitam di Masjid Nabi, sebenarnya hadis ini menunjukkan satu isi tersirat yang sangat penting bagi kita. Abu Hurayrah ialah sahabat Nabi, dan Nabi selalunya memberikan keperluan makanan untuk Abi Hurayrah. Namun, dalam hadis ini, seolah-olah Nabi tidak mengetahuï keadaan Abi Hurayrah dan tidak membantu Aba Hurayrah yang sangat-sangat kelaparan. Seolah-olah dalam hadis ini, Nabi – secara tidak langsung – digambarkan sebagai seorang lelaki yang tidak berperasaan dan tidak prihatin.

Sebenarnya, hadis Abi Hurayrah ini menggambarkan kemiskinan yang dilaluï oleh Nabi dalam hidupnya, sehingga Aba Hurayrah yang selalu melaziminya dan bersama dengannya pun tidak dapat dibantunya. Ini kerana sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang lain, jika Nabi mempunyaï makanan atau sesuatu, pasti Nabi akan berkongsi dan membantu Aba Hurayrah. Justeru, makna tersirat Imam At-Tirmizi meletakkan hadis ini dalam bab ini adalah untuk menggambarkan bahawa hidup Nabi selalunya adalah dalam kekurangan dan kemiskinan, bukan dalam kemewahan atau kecukupan.

Seseorang yang mahu mencontohi Nabi haruslah sanggup untuk hidup dalam kekurangan dengan hanya keperluan yang asas sahaja tanpa sebarang kemewahan. Ini bukan bermakna Islam menghalang ni`mat dunia, atau menegah umatnya menjadi kaya, sebaliknya Islam mengajar bahawa jika Nabinya sebagai seorang pemimpin ummah pun hidup dalam keadaan yang asas, maka tidaklah wajar kita berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan dalam kehidupan.

Nabi, yang dalam kekurangan hidup dunianya, sentiasa ber`ibadah dan bersyukur kepada Tuhan, jadi, jika kita sebagai umatnya, dan diberikan pula keluasan dalam rezeki dan kehidupan, maka apakah alasan untuk kita tidak bersyukur dan tidak ber`ibadah kepada Allah?

Abu Hurayrah, yang dalam kelaparannya pun dapat mengingat dan menghafaz sekian banyak hadis, mengapa kita – para penuntut ilmu – yang cukup makan ini, tidak berusaha untuk mencari ilmu dan mendalami ilmu?

Jika Abu Hurayrah sanggup ke masjid walaupun kelaparan melampau, mengapa kita yang kaya yang berharta tidak sempat untuk ke masjid?

Jika Abu Hurayrah yang kelaparan sehingga pitam pun tidak merungut atau bersungut, mengapa kita sentiasa menzikirkan tentang kemiskinan, kekurangan hidup dan kesempitan kita?

Hadis ini mengajarkan kita bahawa Nabi mempunyaï sahabat yang sanggup berkorban kehidupannya demi mendampinginya, dan kerana kekurangan hidup Nabi sendiri, dia juga tidak dapat membantu sahabatnya itu. Justeru, kita harus menjadi manusia yang bersyukur dengan segala ni`mat dan rahmat yang Tuhan telah bukakan ke atas kita.

Komen dan Soalan