Iklan
Perkongsian penulisan tentang adab khilaf, dari kuliah Dr. Rora. Semoga bermanfaat buat semua.
📌Adab Ikhtilaf – Dr. Rozaimie 📌
Al-Qur’an mencela berpecah- belah. Ada terdapat salah faham mengatakan semua perbezaan pendapat tidak boleh. Al-Qur’an bukan mencela perbezaan pandangan tetapi yang dicela adalah perpecahan kerana perbezaan pendapat itu. Jadi ada perbezaan di sana. Banyak kisah perbezaan pendapat antara para nabi pun ada. Sebagai contoh, antara Nabi Musa dan Nabi Harun di dalam surah Taha.
Yang dilarang berbeza pendapat adalah di dalam bab usul aqidah. Kalau bab tauhid, kena sama sahaja pandangan. Kalau ada yang berbeza pandangan tentang aqidah, kita tidak boleh raikan perbezaan pendapat itu, kerana di dalam al-Qur’an, kita disuruh berpegang pada tali Allah dan maksud tali Allah itu adalah tauhid. Kita kena pertahankan aqidah yang benar.
Nabi Muhammad saw pun berbuat seperti itu sampaikan Nabi saw berpecah dengan musyrikin Mekah. Memang dituntut pecah-belah sebegitu pun.
Sebenarnya Allah memberi ruang untuk kita berbeza pendapat. Dalam al-Qur’an dan hadis banyak perkataan yang boleh ditafsir lebih dari satu makna. Itulah sebabnya susah mendapat ijmak. Ayat-ayat itu dipanggil dzanni dholalah. Sampaikan boleh berbeza di dalam perkara furu’ aqidah. Antaranya samada Nabi saw nampak Allah semasa peristiwa Isra Mikraj, benar atau tidak.
Sebenarnya amat terhad sekali tempat yang ulama sepakat. Sebagai contoh, semua setuju bahawa solat itu wajib tetapi cara mengerjakan solat itu terdapat banyak sekali pendapat. Jadi kita kenalah hormati khilaf antara ahli agama dan janganlah mencela dan mengutuk orang yang berlainan pendapat. Janganlah memanggil mereka yang berlainan pendapat dengan kita sebagai wahabi dan apa-apa kata cacian yang lain.
Kenapa Allah benarkan ada khilaf pendapat?
Kenapa tidak memberi sahaja lafaz-lafaz yang mudah untuk difahami sampaikan tidak ada langsung khilaf?
Supaya adalah kerja ahli agama untuk menggunakan ijtihad. Iaitu menggunakan akal fikiran untuk melakukan kajian untuk mencapai satu keputusan agama dan memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pahala. Jikalau ijtihad mereka betul, maka mereka akan mendapat dua pahala. Kalau tersalah, mereka tetap mendapat satu pahala.Semoga Allah merahmati ulama terdahulu. Begitulah indah sekali Islam ini jika kita memahami.
Jangan takut dengan perbahasan ilmu dan janganlah menyekat manusia dari berbahasa tentang ilmu. Janganlah menghalang orang bijak untuk berbincang dan janganlah menghalang orang lain juga berbincang untuk mendapatkan pemahaman. Orang awam masih ada lagi yang bijak pandai. Antaranya peguam, pensyarah dan sebagainya. Mereka itu bijak pandai cuma mereka tidak sempat mengkaji sahaja dan kerana itu mereka cuma dapatkan maklumat dari ahli agama kerana itu bidang mereka.
Zaman Nabi saw juga sudah ada perbezaan pendapat. Contohnya hadis apabila baginda saw hendak menyerang Yahudi Bani Quraizah. Nabi saw telah memberitahu kepada sahabat untuk terus pergi ke sana dan berkata jangan menunggu untuk solat Asar. Solat di sana sahaja nanti tetapi ada sahabat yang solat juga di tengah jalan semasa dalam perjalanan ke kawasan Bani Quraizah. Ini kerana bagi mereka, yang Nabi saw maksudkan adalah jangan lambat, sebab itu Nabi saw menyuruh untuk melakukan solat di sana sahaja. Apabila diberitahu kepada Nabi saw tentang perkara ini, Nabi saw tidak memarahi mereka yang solat di perjalanan.
Khilaf di kalangan ulama memang banyak. Ini perkara biasa. Ada beberapa sebab:
1. Perbezaan pendapat sebab mereka berbeza didalam menilai hadis. Ada yang menerima sesuatu hadis dan ada yang tidak. Ini kerana mereka berijtihad. Apabila penilaian hadis berbeza, maka hukum yang dikeluarkan juga akan berbeza.
2. Dan ada di antara mereka yang tidak tahu hadis yang ada. Ini kerana pada zaman mereka tidak ada pengumpulan hadis lagi. Sahabat pun ada yang tidak tahu semua hadis.
Contohnya Saidina Umar pun ada hadis yang dia tidak tahu.
Jadi kalau kita menggunakan hadis yang lebih sahih, itu tidak ada salahnya kerana kita bukan mengikut Imam mazhab tetapi mengikut Nabi saw.
Tidaklah salah jika kita memilih pendapat yang kita rasa lebih kuat. Kita boleh buat perbandingan di antara dua ulama yang berbeza pandangan. Ada yang mengatakan siapalah kita untuk menilai pandangan ulama ada yang lemah. Ini tidak menjadi masalah kerana kita semua ada akal fikiran yang diberikan oleh Allah dan memang kita boleh menilai pandangan mana yang lebih kuat walaupun kita bukan ulama.
3. Perbezaan memahami dalil. Dalil ada tapi berbeza pandangan dari cara memahami dalil. Dalil sememangnya ada tetapi cara pemahaman yang berbeza. Sebagai contoh, di dalam al-Qur’an digunakan lafaz quru’ untuk mengira iddah wanita yang dicerai. Fahaman lafaz quru’ antara Imam Hanifah dan Imam Syafie berbeza.
4. Ada yang tidak tahu, ada hukum yang telah dibatalkan dari hukum yang asal. Sebagai contoh, Muaz bin Jamaliah telah di hantar ke Yaman. Jadi ada hadis yang dia tidak tahu telah dibatalkan.
Perbezaan kena ada adab. Bersangka baik kepada ulama. Walaupun ada ulama yang tersilap. Semoga Allah SWT mengampuni mereka . Kita pun ada berbuat salah juga. Bukanlah kena terima semua sampai tidak nilai langsung. Yang salah tetap kita katakan ianya salah cumanya jangan mengatakan ianya sesat. Apa pun kita kena hormati. Kalau tidak bersetuju tidak mengapa tetapi ada isu kita tidak setujui.
Itu semua dikira sebagai ‘Khilaf Muktabar’ kerana dalil ada, cuma berbeza fahaman tentang dalil itu sahaja. Bukanlah macam khilaf masyarakat kita sekarang. Satu pihak ada dalil dan satu pihak tidak ada dalil, cuma ada pendapat sahaja. Ini bukanlah khilaf yang diraikan. Jadi janganlah asyik mengatakan: “ini perkara khilaf, syeikh” kalau tidak ada dalil untuk menyokongnya. Kalau begitu, jadi rosaklah agama kalau buat benda bidaah dan kata itu ‘khilaf’.
Tidak boleh bantah membantah dalam perkara khilaf muktabar. Contohnya, khilaf samada kena membaca al-fatihah apabila solat di belakang Imam. Semua yang memberikan pendapat ada dalil dan pendapat masing-masing. Jadi, jika ada yang tidak membaca al-fatihah dibelakang Imam, janganlah kita menuduh dia sesat pula kerana ada pandangan dan dalil yang dia gunakan.