Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-53 dan Ke-54

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-53 dan Ke-54

2791
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-53

Dalil Aqli Afaqi

سَنُريهِم آيٰتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belum kah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum kah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhan mu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

سَنُرِيهِمْ آيٰتِنَا فِي الْآفَاقِ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segala penjuru;

Lihatlah alam ini dengan mata hati: kalau pergi tepi pantai atau di kaki bukit, atau di mana-mana sahaja, boleh nampak kebesaran Allah Taala. Kita akan dapat lihat betapa indahnya alam ini.

Sepatutnya apabila kita melihat kepada ufuk, kita akan melihat betapa hebatnya kuasa Allah. Kalau alam yang begini cantik pun kita lihat hebat, apatah lagi Allah yang menjadikannya? Adakah sembahan-sembahan mereka selain Allah dari Nabi, wali dan malaikat itu ada buat apa-apa?

Perkataan سَنُرِيهِمْ bermaksud ‘akan ditunjukkan’. Manusia pada zaman dahulu tidak nampak kebenaran-kebenaran itu. Namun, apabila semakin lama masa berlalu, semakin kemajuan sains bertambah, semakin terbuka kebenaran-kebenaran itu. Semakin ditunjukkan kepada kita kebenaran-kebenaran yang disebut dalam Al-Quran itu. Ayat-ayat Al-Quran bersesuaian dengan sains.

وَفِي أَنْفُسِهِمْ

dan juga pada diri mereka sendiri;

Kajilah kehebatan kejadian kita – sekali jantung berdenyut, perjalanannya sejauh jarak mengelilingi dunia. Tidak berhenti mengalir dari semenjak kita dalam perut ibu kita hinggalah kita mati nanti.

Dan banyak lagi kehebatan-kehebatan pada diri kita sendiri. Semakin sains meneroka kehebatan diri kita, semakin kita rasa hebatnya Allah SWT yang telah menjadikan diri kita ini.

Segala alam ini dijadikan kepada kita untuk dilihat untuk kita fikirkan. Allah SWT gunakan dua jenis tempat: satu adalah tempat yang jauh – (ufuk) dan satu lagi tempat yang dekat – (diri kita sendiri) sebagai contoh.

Bermakna, ada banyak lagi perkara antara dua perkara itu yang boleh menjadi tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ

Sehingga nyata jelas bagi mereka bahawasanya ayat-ayat Al-Quran adalah benar;

Kebenaran apa yang hendak dibawakan dalam Al-Quran? Itulah kebenaran bahawa Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu ini, maka kepada-Nya sahajalah kita minta. Jangan minta kepada yang lain, sebab yang selain dari Allah SWT, tidaklah berupaya mencipta apa-apa pun.

Oleh yang demikian, kita kena minta terus kepada Allah SWT, tanpa melalui perantaraan. Itulah tauhid dalam berdoa. Tidak boleh guna perantaraan kerana itulah tawassul dan tawassul itu haram dalam agama Islam.

Allah SWT kata Dia akan tunjukkan kebenaran yang ada dalam Al-Quran. Lihatlah sekarang, bagaimana kadang-kadang sains baru dapat jumpa kebenaran yang telah lama disebut dalam Al-Quran. Zaman sekarang baru manusia dapat faham dengan lebih mendalam lagi.

Sebagai contoh, Al-Quran menyebut ‘alaq’ untuk zigot bayi. Dari segi bahasa, ‘alaq’ bermaksud ‘lintah’. Sekarang, apabila manusia telah boleh lihat dalam perut ibu, boleh besarkan penglihatan kita dengan menggunakan mikroskop, barulah jelas nampak bahawa memang zigot bayi itu macam lintah.

Al-Quran menyebut bahawa besi itu ‘diturunkan’. Kalau diturunkan, bermakna besi itu bukan berasal dari dunia tetapi jatuh dari tempat lain. Sekarang, barulah saintis dapat tahu bahawa memang besi itu adalah jatuhan meteor dari langit.

Ayat-ayat seperti itu sepatutnya menambahkan iman kita. Islam tidak lari dari sains. Bila sains semakin maju, semakin jelas nampak kebenaran Al-Quran.

Ayat-ayat sebegitu adalah salah satu dari mukjizat Al-Quran. Ini akan lebih banyak dipelajari jikalau kita mempelajari satu bidang ilmu yang dikenali sebagai i’jazul Al-Quran.

Kita boleh tahu kehebatan pelukis dengan tengok gambar yang dia lukis. Tidak perlu tengok pelukis pun kita sudah tahu tentu hebat pelukis itu.

‘Lukisan’ Allah SWT pada alam. Tidak perlu tengok Allah SWT pun sudah tahu mesti Allah SWT hebat boleh buat alam yang hebat begini.

أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ

Apakah tidak cukup bagi kamu dengan Tuhan kamu sahaja?

Ini adalah Dalil Aqli. Nampak dari segi luaran, Nabi Muhammad SAW tidak ada apa-apa untuk mempertahankan diri baginda dari serangan penentang mereka. Allah SWT hendak memberitahu, tidak cukup kah kalau baginda berharap dan bergantung kepada Allah SWT sahaja? Tentu cukup.

Dan hendak memberitahu kita tentang tauhid dalam berdoa: Tidak cukup kah Allah SWT sebagai tempat untuk kita berharap? Pohon dan ibadat hanya kepada Allah SWT. Harap hanya kepada Allah SWT sahaja.

Tidak perlu berharap kepada yang lain. Tidak perlu berharap kepada makhluk. Kalau kita berharap kepada makhluk, kita akan kecewa kerana makhluk tidak punya apa-apa.

Maka, berdoalah terus kepada Allah SWT. Allah SWT tidak perlu perantaraan dalam doa. Allah SWT tidak memerlukan ‘broker’ untuk menyampaikan hasrat kita. Allah SWT tahu apa yang kita hendak.

أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Sesungguhnya Dia itu atas segala sesuatu itu sedang menyaksi.

Allah SWT melihat segalanya apa yang kita lakukan. Allah SWT tahu apa yang kita perlukan. Tidak perlu cakap pun Allah SWT telah tahu apa yang kita hendak. Namun, Allah SWT hendak mendengar kita meminta kepada-Nya.

Tafsir Ayat Ke-54:

Takhwif Duniawi

أَلا إِنَّهُم في مِريَةٍ مِّن لِّقاءِ رَبِّهِم ۗ أَلا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ مُّحيطٌ

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak – ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah SWT Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu.

أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ

Ketahuilah semua, sesungguhnya mereka duduk dalam keraguan

Perkataan مِرْيَةٍ digunakan apabila seseorang ragu dengan sesuatu yang jelas nyata.

Ayat-ayat Al-Quran itu telah jelas nyata tetapi mereka masih lagi tidak percaya. Ayat-ayat tentang Tauhid yang ada dalam Al-Quran, memang sudah cukup untuk digunakan oleh manusia faham apakah maksud tauhid itu – berkali-kali diulang-ulang.

Tetapi mereka yang degil masih lagi beri hujah dan alasan yang macam-macam untuk tolak kebenaran yang ada dalam Al-Quran ini.

Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran. Mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Masyarakat kita hanya pandai membaca Al-Quran sahaja, tetapi mereka tidak faham makna dalam Al-Quran. Alangkah sedihnya, alangkah ruginya!

مِّنْ لِّقَاءِ رَبِّهِمْ

terhadap perjumpaan dengan Tuhan mereka;

Mereka tidak yakin pertemuan dengan Allah SWT. Kalau kita tanya, memang mereka akan jawab yang mereka akan berjumpa dengan Tuhan. Tetapi, kalau kita lihat bagaimana mereka menjalankan kehidupan mereka, macam mereka tidak percaya.

Keyakinan iman untuk berjumpa dengan Allah SWT tidak kelihatan dalam diri mereka. Mereka seperti tidak takut untuk bertemu dengan Allah SWT dan terpaksa menjelaskan kenapa mereka menolak tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

Kalau di dunia, mereka boleh beri berbagai-bagai hujah mereka, tetapi nanti di hadapan Allah SWT, mereka sangka mereka boleh berhujah dengan Allah SWT?

أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطٌ

Ketahuilah! Sesungguhnya Allah SWT terhadap segala sesuatu itu meliputi.

Kerajaan-Nya dan ilmu-Nya meliputi alam semesta. Tidak ada harapan untuk mereka keluar dari liputan Allah SWT. Maka Allah SWT cabar mereka yang ingkar: buatlah apa kamu hendak buat, kamu tidak akan terlepas.

Penutup Surat Fussilat

Surah ini dimulakan berkenaan Al-Quran. Bagaimana Al-Quran itu dijelaskan – Fussilat – dengan sejelas-jelasnya. Tidak ada keraguan pada Al-Quran itu.

Dan di hujung surah, ditunjukkan bagaimana ada kebenaran-kebenaran yang boleh dijelaskan dengan sains. Ini menambah keyakinan kita kepada Al-Quran.

Selain dari memperkatakan tentang Tauhid dalam Doa, surah ini juga tentang dakwah.

Kita diingatkan dalam surah ini yang dakwah itu mesti menggunakan Al-Quran. Kita boleh lihat sendiri bagaimana surah ini bermula dengan penjelasan tentang Al-Quran dan akhirnya disebut tentang Al-Quran semula. Ini mengajar kita supaya dakwah itu dimulakan dengan Al-Quran dan diakhiri dengan Al-Quran juga.

Itulah sunah dakwah Nabi kita. Kalau kita tidak pakai Al-Quran dalam dakwah kita, maka ada masalah dalam dakwah kita.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan