Utama Bilik (93) Cabang Cabang Iman Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-52 hingga Ke-56

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-52 hingga Ke-56

199
0
Iklan

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-52

Tolong Menolong Dalam Hal Kebaikan

Ta’awwun – adalah amal dalam bentuk bantuan dan pertolongan dalam perkara kebaikan

Lihat surah [ Al-Ma’idah: 2 ]:

..Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Terjemahan bahagian akhir ayat ke-2 Surah Al-Maidah.

Maka tasdiqkanlah di dalam hati akan perintah Allah SWT ini dan ia sunnah Rasulullah SAW.

Sampaikanlah akan kepentingan bantu membantu dan tolong menolong dalam hal kebaikan.

Amallah dengan mencari dan memerhatikan di mana-mana yang hampir dengan kita ruang untuk membantu dan menyumbang dari hal kebaikan dan kebajikan.

Cabang Iman Ke-53

Mempunyai sifat Malu

Malu adalah perasaan yang dirasai apabila kita melakukan perkara yang luar dari kebiasaan dan luar dari norma fikiran dan perasaan.

Orang yang tidak tahu malu, tidak merasai apa-apa perasaan apabila membuat perkara yang di luar kebiasaan dan norma.

Kebiasaan seorang di dalam amal soleh, menyebabkan dia malu hendak berbuat maksiat.

Mafhum dari satu hadis yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Sahihnya:

“Apabila tidak ada perasaan malu, buat lah apa-apa pun”

Tasdiqkanlah mempunyai sifat malu adalah suatu yang terpuji.

Sampaikanlah semua dalam diri setiap Muslim merasai rasa malu kepada Allah SWT, serta malu terhadap Rasulullah SAW yang telah menyampaikan agama dengan susah payah demi untuk menyelamatkan manusia dari seksa neraka, dan mahu semua manusia kekal di syurga.

Amallah dengan menerap sifat malu untuk melakukan perkara yang buruk dari pandangan agama. Rasulullah SAW mempunyai sifat malu seperti anak dara, dan sifat malu Usman ra selalu dijadikan contoh oleh Rasulullah SAW.

Cabang Iman Ke-54

Berbuat kepada kedua orang tua: Birr walidayn

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِنْكُمْ وَأَنْتُمْ مُعْرِضُونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. [ Al-Baqarah: 83 ].

Doa khas untuk ibu bapa dalam surah [ Al-Isra’: 24 ].

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [ Al-Isra’: 24 ].

Ihsan kepada ibu termasuk taat dalam hal kebaikan.

Doa keampunan dan rahmat di sana untuk ibu bapa yang telah tiada.

Tasdiqkanlah akan perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah perintah Allah SWT dan anjuran Rasulullah SAW.

Tablighkan lah kepentingan berbuat kebajikan kepada kedua-dua ibu bapa.

Amallah dengan menjaga kebajikan mereka dan membuat hati mereka senang. Di dalam Al-Quran Allah SWT memberikan amaran supaya menjaga tutur kata agar tidak mengguris hati kedua ibu bapa kita walau dengan satu perkataan “uh” sahaja. Menjaga tutur kata dan doakan mereka.

Cabang Iman Ke-55

Menyambung Silaturahim

Silaturahim adalah hubungan darah / kekeluargaan.

Lihat bahagian akhir ayat 1, surah An-Nisaa’

“…Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

Mafhum dari satu hadis fadhilat menjaga silaturrahim, di lapangkan rezeki dan dipanjangkan usia

Tasdiqkan lah akan perintah menjaga hubungan silaturahim ini di dalam hati kita.

Tablighkan lah akan anjuran dan ancaman mereka yang tidak menjaga hubungan silaturrahim ini.

Amallah dengan mengambil tahu silsilah keluarga di sebelah bapa dan ibu kita, dan mengetahui ehwal mereka. Ziarah dan bantulah mereka di dalam kesempatan yang ada.

Cabang Iman Ke-56

Menahan marah, Berlemah Lembut dan Tawadhu’

Ketiga-tiga ini Al-Baihaqi satukan kerana ia adalah sifat yang memerlukan tahammul (menahan perasaan) yang sama.

Seorang yang mahu menahan kemarahan, dia mesti cuba berlemah lembut dan bertoleransi, manakala untuk berlemah lembut dia mestilah merasakan dirinya sama taraf dengan sesiapapun dari hal manusiawi.

Menahan kemarahan terdapat satu hadis yang Sahih dalam matan Arba’in:

La Taghdob La Taghdob La Taghdob

عن أبي هريرة رضي الله عنه ، أن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم : ” أوصني ” ، قال : ( لا تغضب ) ، فردّد ، قال : ( لا تغضب ) رواه البخاري .

Maka benarkanlah akan menahan kemarahan itu adalah bahagian dan cabangan amal yang terhubung dengan hal iman yang di perintahkan oleh Allah SWT dan ditunjukkan cara dan kaifiayat oleh Rasulullah SAW.

Maka sampaikanlah akan perintah ini, ia sunnah bahkan ia suatu yang sangat baik dalam hubungan sesama manusia.

Amallah dengan menguruskan kemarahan kita dengan mengutamakan perasaan terhadap hal-hal diniyyah (keagamaan) daripada perasaan yang tercetus disebutkan keinginan keduniaan yang harus. Rasulullah SAW memarahi dalam hal agama, dan menahan kemarahan dalam hal keduniaan, misalnya tiada pernah Rasulullah SAW mengadu tentang sifat-sifat khadamnya seperti mana kata Anas bin Malik ra.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan