Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-51 dan Ke-52

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-51 dan Ke-52

1069
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-51

Ayat Zajrun (teguran). Allah SWT menceritakan tentang sifat manusia yang tidak beriman.

Apabila mereka mendapat nikmat, mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah SWT; tetapi apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berdoa panjang kepada Allah SWT. Semoga kita tidak mempunyai sifat yang sebegini.

وَإِذا أَنعَمنا عَلَى الإِنسٰنِ أَعرَضَ وَنَئا بِجانِبِهِ وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذو دُعاءٍ عَريضٍ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lanjut.

وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنْسٰنِ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada insan,

Apabila digunakan kata عَلَى, yang bermaksud ‘ke atas’, ia bermakna Allah SWT memberikan nikmat yang mencurah-curah kepada manusia. Kita boleh bayangkan bagaimana air terjun yang mencurah jatuh ke atas manusia yang berada di bawahnya.

Allah SWT ingatkan kepada kita dalam ayat ini, Dia yang beri nikmat itu. Cuma Allah SWT beri dengan perantaraan asbab. Tidaklah nikmat itu jatuh tergolek, tetapi ada cara yang Allah SWT jadikan untuk tolong kita.

Sebagai contoh, perniagaan kita jatuh, kita bankrap. Allah SWT boleh hantar seseorang yang beri idea baru untuk perniagaan, sampai perniagaan itu maju balik.

Memang ada orang yang tolong, tetapi dia datang itu kerana dihantar oleh Allah SWT, dari perancangan Dia juga. Ini yang manusia susah hendak nampak.

أَعْرَضَ

dia berpaling

Mereka berpaling dari apa? Mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah SWT, kerana mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah SWT dalam membantu mereka, menghilangkan masalah mereka itu.

Mereka nampak yang tolong mereka itu adalah manusia, diri mereka, kepandaian mereka, nasib mereka, apa sahaja, cuma bukan Allah SWT. Mereka tidak buka pintu hati mereka untuk melihat bahawa Allah SWTlah yang menguruskan semuanya.

Apakah maksud ‘berpaling dari bersyukur’ itu? Kalau kita bersyukur dengan Allah SWT, tentulah kita akan taat kepada Allah SWT. Tetapi kalau kita tidak bersyukur, maknanya kita tidak buat seperti apa yang Allah SWT hendak kita lakukan.

Mereka juga berpaling daripada Al-Quran dan agama kerana kebanyakan manusia, apabila mereka dapat banyak kebaikan dan nikmat di dunia, mereka akan berpaling dari agama. Sudah tidak hiraukan agama kerana sibuk dengan kelebihan dunia yang mereka dapat. Mereka akan hidup berfoya-foya.

Bukanlah semua orang, tetapi kebanyakan dari manusia. Ini realiti kehidupan. Kadang kita tengok orang yang tidak seberapa, baik sahaja, tetapi apabila telah diberi kekayaan dan kuasa oleh Allah SWT, mereka bertukar jadi lain.

Mereka tidak memikirkan tentang dari mana datangnya nikmat itu. Mereka tidak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT. Malah, dia jadi sombong dengan segala nikmat yang dia dapat itu.

Dia rasa segala kelebihan yang dia dapat itu adalah dari kelebihan yang ada padanya. Sedangkan, Allah SWT beritahu dalam ayat ini, Allah SWT yang beri nikmat itu kepada mereka. Oleh kerana itu, kalau kita dapat nikmat, ingatlah bahawa nikmat itu dari Allah SWT, maka bersyukurlah kepada Allah SWT.

Sepatutnya segala nikmat yang kita dapat, akan merapatkan lagi kita dengan Allah SWT, bukan menjauhkan kita dari Allah SWT kerana kalau seseorang beri sesuatu kepada kita, selalu tolong kita, tentulah kita akan rapat dengan dia, bukan? Dan siapakah yang paling banyak memberikan kepada kita? Tentunya Allah SWT.

وَنَئا بِجَانِبِهِ

dan menjauhkan diri dari tepinya

Ini bermakna, setelah menjauhkan diri, dia lebih menjauhkan lagi dari agama. Dia jadi sombong dan berlagak.

Janganlah jadi seperti orang kufur ini. Sifat orang mukmin, akan bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila mendapat kesusahan. Seperti sabda Nabi:

“Menakjubkan orang yang beriman itu. Tiap-tiap peristiwanya baik belaka. Dan tidak ada yang begitu seorang pun kecuali orang mukmin. Bila dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka menjadi baik buat dia. Dan jika ditimpa kesusahan, dia bersabar. Itu pun menjadikan baik buat dia.”

وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila disentuhkan kesusahan kepada dia,

Apabila ‘disentuh’ dengan kesusahan. Lihatkan penggunaan kata مَسَّ, yang bermakna ‘sentuh’ – ini bermaksud kesusahan itu sedikit sahaja, bukan banyak pun. Kena sikit sahaja.

فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ

maka dia akan doa panjang-panjang;

Bila kesusahan kena kepadanya, dia akan doa seperti tok wali. Doa sampai jatuh tangan dia sebab lenguh.

Datang pula guru yang salah, mengajar macam-macam perkara yang salah untuk mendapatkan sesuatu. Baca zikir itu, buat solat hajat begini, pergi jumpa Tok Wali itu dan ini, pergi ke maqam Habib Noh, habib lain, kubur keramat itu dan ini dan sebagainya dan mereka pun amalkanlah.

Perkataan عَرِيضٍ bermaksud kata-kata yang panjang berjela tetapi sedikit maknanya. Mereka baca doa panjang-panjang tetapi perkataan yang disebut tidak bermakna. Kata-kata kosong sahaja.

Ini adalah kerana mereka tidak tahu cara berdoa. Berdoa panjang, tetapi hanya meminta macam-macam benda tidak penting. Tentang dosa kesalahan mereka tidak sebut pun, tidak mengaku pun bahawa selama ini mereka telah buat banyak kesalahan.

Sepatutnya, dalam kita berdoa, hendaklah kita mengaku kesalahan kita, mengaku depan Allah SWT bahawa kita banyak dosa dan kita menyesal dan minta ampun atas dosa kita itu.

Begitulah masyarakat kita. Kalau sudah ada masalah, baru hendak berdoa kepada Allah SWT. Kalau ada yang berubah perangai jadi baik pun, masyarakat pun telah dapat agak dia itu mesti ada masalah. Namun, orang itu apabila dia dapat kelebihan, dia akan berfoya-foya balik seperti asal dia, macam tidak pernah ada masalah sebelum itu.

Jangan pula ayat ini dijadikan hujah untuk menolak orang yang berdoa panjang-panjang. Berdoa, panjang atau pendek, secara dasarnya, memang elok. Cuma jangan buat begitu kalau ada masalah sahaja.

Hendaklah kita ingat Allah SWT di kala senang, supaya Allah SWT ingat kepada kita di kala kita susah. Seperti juga kalau kita minta tolong dengan manusia. Kalau kita cuma jumpa dia pada masa susah sahaja, tentulah dia tidak suka. Tetapi kalau waktu senang kita datang jumpa dia, lawat dia, tentulah dia senang hati hendak tolong kita kalau kita ditimpa malang.

Begitulah dengan Allah SWT, kalau waktu senang kita ingat Dia, Dia akan ingat kita pada waktu kita susah. Jangan waktu susah sahaja hendak berdoa kepada Dia, buat ibadat kepada Dia. Itu bukan sifat orang Mukmin. Doa-doa yang diajar oleh nabi, pendek-pendek belaka, tepat dan pendek dan doa itu bermakna sungguh kalau kita faham.

Ya, adab berdoa adalah dimulai dengan minta ampun atas dosa kita. Itu perkara paling penting.

Kesungguhan, harapan, ikhlas, takut kalau Allah SWT tidak makbulkan. Itulah doa yang bagus. Jika sambil lewa sahaja, itu tidak ikhlas.

Kena ada harapan Allah SWT akan makbulkan. Tetapi tidak pasti lagi Allah SWT akan makbulkan. Oleh itu WAJIB kita minta doa kepada Allah SWT, tetapi Allah SWT TIDAK WAJIB makbulkan. Allah SWT itu Tuhan, terpulang kepada-Nya hendak makbul atau tidak. HARUS sahaja Allah SWT makbulkan.

Kalau Allah SWT tidak makbulkan di dunia, Allah SWT boleh ganti di akhirat.

Tafsir Ayat Ke-52

Ini adalah rumusan penutup kepada rungutan dari Allah SWT. Berkali-kali Allah SWT suruh manusia beriman dengan Al-Quran dan ajaran yang ada di dalamnya, tetapi kalau mereka menolak juga, maka inilah yang Allah SWT suruh kita tanya kepada mereka, supaya mereka dapat memikirkan.

Ini juga adalah dalil wahyi kerana Allah SWT yang suruh Nabi berkata begitu.

قُل أَرَأَيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ ثُمَّ كَفَرتُم بِهِ مَن أَضَلُّ مِمَّن هُوَ في شِقاقٍ بَعيدٍ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu fikirkan, jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah SWT kemudian kamu mengingkarinya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang tetap berada dalam perbalahan dan pertentangan, yang menyimpang jauh dari kebenaran?”

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كَانَ مِنْ عِنْدِ اللهِ

Katakan kepada mereka: Tidakkah engkau lihat?: Sekiranya Al-Quran ini betul-betul dari Allah SWT,

Tentulah Al-Quran itu dari Allah SWT. Tetapi Allah SWT hendak beri satu perumpamaan. Kalau betullah Al-Quran itu dari Allah SWT, apa akan jadi kepada kamu kalau kamu tidak beriman kepadanya?

ثُمَّ كَفَرْتُمْ بِهِ

kemudian kamu kufur kepadanya;

Kufur itu boleh jadi macam-macam – sama ada tidak mahu belajar atau tidak mahu ikut isi kandungnya, apabila dibacakan kepadanya, dia tolak, apabila diajak belajar, tidak mahu; itu semua termasuk dalam rangka ‘kufur’ kepada Al-Quran.

Ada jumlah muqaddar di sini: Cubalah kamu fikir, kalau betul segala ayat dalam Al-Quran itu benar, apakah akan jadi kepada kamu. Tidakkah kamu takut? Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu memikirkan?

Memanglah Al-Quran itu dari Allah SWT – orang yang beriman memang telah terima. Tetapi kepada mereka yang tidak beriman, suruh mereka fikirkan: kalau betul-betul Al-Quran ini dari Allah SWT, bagaimana?

مَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ هُوَ فِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

Siapakah yang lebih sesat dari seorang yang duduk dalam persimpangan yang jauh sekali?

Allah SWT tambah lagi soalan untuk mereka memikirkan lagi: Sesiapa yang ada persimpangan dan konflik dengan Al-Quran bermakna dia ada konflik dengan Allah SWT.

Kalau dibacakan ayat Al-Quran dan mereka tolak, mereka bukan tolak kita, tetapi sebenarnya mereka menolak Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Adakah mereka hendak lawan Allah SWT? Mereka tidak akan menang kalau mereka lawan dengan Allah SWT.

Ini adalah seperti satu jalan terakhir dalam kita berdakwah kepada mereka. Apabila kita baca, mereka tolak juga tidak terima walaupun setelah berkali-kali kita berikan ayat-ayat Al-Quran yang jelas, maka kita kena buat macam ini.

Berikan mereka berfikir: Kalau betul ayat Al-Quran itu dari Tuhan, apa kamu hendak buat untuk menyelamatkan diri kamu nanti?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan