Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Pengenalan

Tafsir Surah Asy-Shura – Pengenalan

422
0
Iklan

Tafsir Surah Shura

Pengenalan Surah Shura:

Surah ini menceritakan tentang guru-guru yang mengajar ajaran syirik dan bidaah kepada anak-anak murid mereka.

Ini ada disebut dalam ayat ke-21 iaitu mereka ‘buat’ syariat sendiri. Mereka mesyuarat sesama sendiri, dan kata amalan ini dan amalan itu adalah baik dan diterima. Mereka kata itu adalah ijma’ ulama. Padahal bukan ijma’ pun.

Patutnya, kalau mesyuarat untuk menyelesaikan hal kehidupan, memanglah boleh, tetapi bukan dalam hal ibadat kerana cara-cara ibadat telah ditetapkan oleh Allah dan telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Dan apabila mereka mengatakan itu adalah ijma’ ulama’, itu adalah perkara yang bohong. Seolah-olah mereka tidak faham apakah maksud ijma’ itu sendiri kerana bukan senang ijma’ itu dapat dijalankan, sampaikan ada ulama sunnah mengatakan yang ijma’ hanya berlaku pada zaman sahabat sahaja, kerana waktu itulah sahaja yang ulama satu dunia dapat bertemu dan bersetuju atas sesuatu perkara.

Salah satu yang manusia buat Shura adalah dalam hal agama. Itu mereka buat Shura kemudian setuju untuk buat bidaah.

Bidaah ini apabila mula dibuka mula dibenarkan, akan ditambah-tambah padanya. Itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang ditambah dan menyusahkan umat. Ia adalah salah di sini ugama kerana ia menambah-nambah perkara dalam agama.

Mereka tidak nampak beratnya dosa buat bidaah itu. Mereka tidak perasan bahawa mereka-reka ibadah itu sebenarnya mengganti kerja Tuhan. Sepatutnya, aturan agama ini diberikan oleh Allah SWT dan disampaikan oleh Nabi, tetapi mereka sendiri yang memandai menambah-nambah apa yang tidak ada. Masalahnya cuma satu: tidak belajar agama.

Perkataan ‘Shura’ bermaksud mesyuarat/konsultansi. Surah ini adalah surah Makkiah – diturunkan di Mekah. Ia adalah salah satu dari 7 surah hawameem – surah-surah yang dimulai dengan ‘Ha Mim’.

Surah-surah Ha Mim ini memperkatakan tentang doa kepada Allah iaitu dalam berdoa, kita kena tauhid kepada Allah sahaja. Jangan seru kepada selain Allah.

Ini adalah tafsir kepada ayat Iyyaka nas’tain dalam surah Al-Fatihah. Banyak sungguh kekeliruan dalam masyarakat Islam kita tentang doa dan cara-cara berdoa. Jadi, diharap dengan membaca surah-surah ini, akan lebih memberi kefahaman tentang ibadah doa.

Apakah Maksud Tauhid Dalam Berdoa?

Maksud utama tentang Tauhid dalam Berdoa telah dibentangkan dalam Surah Ghafir. Kita telah pun belajar mengenainya dengan panjang lebar.

Tetapi, mungkin ada yang keliru tentang Tauhid dalam Doa itu, maka Allah telah turunkan enam lagi surah selepas Surah Ghafir untuk menjelaskan tentang kesamaran tentang syirik dalam doa yang mungkin timbul di hati dan fikiran manusia.

Dalam Surah Fussilat, telah dibincangkan kesamaran pertama: manusia yang melakukan syirik dalam berdoa masih lagi mendapat apa yang mereka hajati dengan cara doa syirik mereka. Allah jawab dalam Surah Fussilat itu, walaupun mereka dapat apa yang mereka minta dengan cara syirik, itu bukanlah tanda bahawa cara itu benar.

Surah Shura ini hendak membincangkan kesamaran yang kedua. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa itu kata ada dalil yang membenarkannya.

Mereka bawa hujah dari merata tempat, dari kata ulama itu dan ini, kitab itu dan ini. Dalil-dalil dan hujah itu telah menyebabkan ramai yang keliru dan mereka berpegang dengan dalil dan hujah itu walaupun sebenarnya ia bukanlah dalil sebenarnya.

Mereka yang tidak belajar, memang akan keliru dengan hujah-hujah yang ada kerana mereka tidak dapat hendak bezakan mana dalil dan mana tidak. Surah ini menjelaskan bahawa tidak ada dalil sama sekali dalam nas yang diberikan kepada makhluk untuk buat syirik.

Semua ayat dalam Al-Quran hanya menyebut bahawa Allah SWT sahaja yang berkuasa. Tidaklah Allah SWT beritahu yang lain ada kuasa sampai boleh minta kepada mereka. Dalam Al-Quran, Allah tetap memperkenalkan bahawa Dia sahaja yang Maha Kuasa, tidak ada entiti lain yang ada kuasa seperti-Nya.

Tetapi, amat ramai manusia yang keliru tentang syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran dengan betul. Sedangkan dosa syirik ini amat bahaya kerana Allah SWT telah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik. Kalau dosa lain, Allah SWT boleh ampunkan lagi, tetapi tidak ada harapan kepada mereka yang melakukan syirik.

Umpama kalau isteri kita tidak pandai masak, kita boleh maafkan lagi, boleh pergi makan di kedai. Kalau tidak cantik pun tidak mengapa, kalau tidak pandai mengemas pun masih ada maaf lagi. Tetapi kalau isteri itu sampai menduakan suami, sampai ada lelaki lain yang naik atas katil dengan isteri kita, suami normal tidak akan terima dan tidak akan maafkan perbuatan isteri itu.

Itu kalau menduakan suami, bagaimana pula kalau menduakan Allah SWT? Tentu Allah SWT lebih layak untuk marah kepada mereka yang menduakan-Nya. Semoga kita faham kenapa kita menekankan tentang tauhid dan syirik dalam kelas tafsir ini.

Penerangan tentang syirik amat jelas dalam Al-Quran kepada mereka yang belajar. Segala bukti dan dalil telah diberikan untuk melarangnya tetapi ada pula yang bawa dalil boleh buat syirik.

Mungkin ada yang keliru dengan dalil-dalil yang dibawa itu. Mereka akan terfikir, bagaimana pula dengan dalil-dalil ini? Jadi surah Shura ini Allah SWT turunkan untuk menjawab kesamaran itu.

Ada yang tidak meyakini kitab wahyu kerana mereka tidak belajar. Dan apabila mereka diberikan dengan hujah dari sumber yang lain dari wahyu, mereka boleh keliru tentang tauhid.

Pada mereka, sudah ada bukti yang membenarkan mereka melakukan perbuatan syirik yang mereka lakukan. Oleh itu, pada mereka perkara yang mereka lakukan itu tidaklah syirik pada pandangan mereka.

Oleh itu, kalau ada dalil yang sampai kepada kita yang sudah belajar ini yang membenarkan syirik dalam doa, kita kena jawab bahawa apa-apa sahaja riwayat yang bersalahan dengan akidah tauhid, itu semua adalah palsu.

Kerana tidak ada lagi hadis sahih yang berlawanan dengan akidah yang diajar dalam Al-Quran. Kalau periksa mana-mana hadis yang seperti itu, kita pasti akan dapat kepastian bahawa ia adalah palsu.

Hadis-hadis sebegitu adalah hadis-hadis yang palsu yang ditulis oleh manusia hasil dari bisikan syaitan. Sebab itu penting belajar hadis juga. Kalau hadis pun tidak ada, tentulah pandangan lain pun tidak terpakai juga. Tidak kiralah datang dari kitab mana atau pandangan ulama mana pun.

Namun, jika tidak belajar wahyu Al-Quran, maka ada yang keliru apabila dihulurkan dengan hujah-hujah lain kerana mereka tidak belajar dengan sempurna.

Cara untuk menjawab kesamaran itu ada dalam ayat ke-14. Inilah ‘Maksud’ surah ini – iaitu ayat terpenting dalam surah ini yang kita kena beri perhatian yang lebih – kena tawajuh.

Kena belajar tafsir baru faham ayat ini kerana kalau baca sendiri tidak boleh faham kerana ianya memerlukan penjelasan.

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتابَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِنهُ مُريبٍ

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan melainkan setelah sampai ilmu tauhid kepada mereka; berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah SWT mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak terhadap Kitab itu.

Ayat ini memberitahu kita bahawa tidaklah golongan Ahli Kitab dahulu berbeza pendapat melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu tentang tauhid.

Maknanya, bukan mereka tidak tahu. Selepas mereka disampaikan dengan ilmu tauhid itu, ada antara mereka yang menerima tauhid dan ada yang kembali kepada syirik.

Perselisihan yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah perselisihan yang kecil tetapi perselisihan dari segi akidah. Jadi, mereka berselisih itu bukanlah kerana mereka jahil, tetapi kerana mereka degil sahaja kerana telah sampai kepada mereka ilmu tauhid.

Allah SWT beritahu kenapa mereka berselisih. Mereka berselisih itu kerana hasad dengki sesama mereka. Kerana ingin kedudukan dunia. Ini adalah kerana mereka tamak harta dunia dan tamak kedudukan di dunia.

Kerana mereka cari makan dengan cara syirik. Mereka dapat habuan dari apa yang mereka lakukan dari amalan syirik. Mereka ada hasad dengki itu sampai benda yang jelas jadi samar kepada mereka kerana hati mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan. Apabila ada orang bawa dalil dari wahyu, mereka tidak boleh terima.

Oleh itu, kita dapat faham bahawa yang melawan tauhid adalah kerana hendak cari makan sahaja. Begitulah juga dalam masyarakat kita. Yang menentang kita menyampaikan ajaran sunnah dan tauhid ini adalah kerana kita kacau carian makan mereka.

Memang mereka akan lawan sebab sudah menyusahkan mereka hendak cari makan. Sudah susah mereka hendak menipu masyarakat dengan amalan-amalan doa mereka yang mengamalkan tawassul itu.

Walaupun mereka telah mengamalkan syirik dalam doa mereka, Allah SWT tidak terus beri azab kepada mereka. Allah SWT telah takdirkan yang azab akan dikenakan kepada mereka pada waktu yang telah ditetapkan – hanya Allah sahaja yang tahu. Maka itu, mereka selamat kerana Allah SWT tidak terus beri azab. Namun, yang pasti mereka akan kena azab.

Mereka yang mewarisi kitab wahyu selepas mereka, seperti Taurat, Injil, terus menerus ragu-ragu dalam akidah tauhid. Walaupun mereka ada kitab, tetapi mereka tidak ada keyakinan atas akidah tauhid.

Mereka jadi keliru kerana mereka jumpa dalil-dalil palsu yang direka oleh manusia. Mereka pun terima dalil-dalil palsu itu sebab mereka pun tidak belajar kitab yang benar. Mereka tidak belajar dengan benar apa yang ada dalam kitab mereka sendiri. Kitab Taurat dan Kitab Injil mereka pun sudah tidak benar, telah dimasuki oleh elemen-elemen luaran, jadi memang mereka akan terus keliru.

Jangan sangka itu terjadi kepada ahli-ahli Kitab terdahulu sahaja. Begitulah yang akan terjadi kepada kita kalau kita pun tidak belajar Al-Quran dengan cara yang benar.

Apabila jahil tentang wahyu, maka apabila datang hujah yang lain dari wahyu, ada kemungkinan akan termakan dengan hujah-hujah itu kerana syaitan akan bagi indah hujah-hujah itu.

Sebab itu kena belajar tafsir Al-Quran itu sampai habis. Jika ada yang beri hadis-hadis, kena periksa status hadis itu. Pasti ada yang boleh tolong kita periksa sama ada hadis itu benar atau tidak.

Anjuran Mengadakan Shura (mesyuarat)

Surah ini juga menceritakan jalan dalam menyelesaikan perbalahan. Setiap manusia ada perbezaan pandangan antara mereka dan kadang-kadang akan ada perbalahan sesama manusia.

Ini termasuk juga mereka yang berdakwah ke jalan Allah SWT pun ada ketidaksamaan antara mereka. Tidaklah salah kalau berbeza pendapat, kerana ini menunjukkan kita menggunakan akal fikiran kita yang sihat. Jadi berbeza pendapat adalah bagus sebenarnya.

Macam sekarang pun kita tengok antara Asatizah sunnah pun ada yang berbeza pendapat juga. Itu perkara biasa.

Tetapi, ia menjadi tidak baik jikalau manusia berkelahi kerana perbezaan pendapat tersebut iaitu apabila seseorang hanya menganggap pendapatnya sahaja yang benar, sampai tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

Kalau sampai jadi begitu, maka perbezaan pendapat itu sudah menjadi buruk yang akan merosakkan masyarakat dan mereka yang terlibat.

Jadi, surah ini memberitahu kepada kita jalan penyelesaian kepada perbalahan pendapat itu, iaitu dengan melakukan ‘shura’ di mana semua pihak kena duduk berbincang dan mendengar pendapat masing-masing.

Diceritakan di dalam surah ini bagaimana orang-orang terdahulu pun ada berbeza pendapat dan bagaimana cara mereka menyelesaikannya. Maka ambillah pengajaran darinya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan