Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits Asas Ilmu Hadis: AL-MAZIID FI MUTTASIL AL-ISNAD

Asas Ilmu Hadis: AL-MAZIID FI MUTTASIL AL-ISNAD

690
0
Iklan

02.15 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

 

AL-MAZIID FI MUTTASIL AL-ISNAD (المزيد في متصل الإسناد)

Dari sudut bahasa, perkataan Al-Maziid (المزيد) berasal dari perkataan az-Ziyaadah (الزيادة) yang bermaksud penambahan.

al-Muttasil (المتصل) pula bermaksud bersambung, tidak terputus.

Istilah ‘Al-Maziid fi Muttasil al-Isnad’ (المزيد في متصل الإسناد) di sudut ilmu hadits merujuk kepada apa yang ditambah oleh periwayat pada sanad yang zahirnya kelihatan bersambung, tidak terputus.

Di antara contoh-contohnya:

1. Terdapat sebuah riwayat dari ‘Abdullah ibn Saalim, dari az-Zubaidi, dari az-Zuhri, dari Habib mawla ‘Urwah, dari ‘Urwah ibn az-Zubayr, dari ‘Aisyah – radhiyalLaahu ‘anha – (dia menyebutkan:)

أَنَّ الحولاء بنت تويت مَرَّتْ بِهَا وَعِنْدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: هَذِهِ الحولاء، وَزَعَمُوا أَنَّهَا لَا تَنَامُ اللَّيْلَ،

al-Hawla bint Tuwait lalu di hadapannya dan di sisinya (pada waktu itu) adalah RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, lalu ‘Aisyah berkata:

‘Dia ini al-Hawla, dan ramai orang mendakwa bahawa dia tidak tidur malam.’

فَقَالَ: “لَا تَنَامُ اللَّيْلَ؟ خُذُوا مِنَ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لَا يَسْأَمُ اللَّهُ حَتَّى تَسْأَمُوا

Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – pun menjawab:

“Dia tidak tidur malam? Ambillah amalan yang kalian mampu (untuk melaksanakannya – ie. amalan sunat -). Demi Allah! Allah tak akan bosan, sehinggalah kalian sendiri yang dilanda kebosanan!”

Melihat kepada sanad, nama Habib mawla ‘Urwah merupakan tambahan (الزيادة) dari ‘Abdullah ibn Salim, kerana periwayat-periwayat yang lain (yang seperingkat dengannya) seperti Yahya ibn Sa’id, Yunus, & Syu’aib ibn Abi Hamzah yang juga meriwayatkan dari az-Zuhri tanpa menyebutkan nama Habib, dan sebahagian mereka menyebutkan dengan jelas bahawa az-Zuhri mendengar secara langsung dari ‘Urwah. [Fathul Mugits]

2. Sebuah lagi riwayat dari ‘Abdullah ibn al-Mubarak, katanya [HR Muslim]:

Sufyan menceritakan kepada kami, dari ‘Abdur-Rahman ibn Yazid, Busr ibn ‘UbaydilLah telah menceritakan kepadaku, katanya: Aku mendengar Idris, katanya: Aku mendengar Waatsilah berkata: Aku mendengar Abu Martsad berkata: Aku mendengar RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – bersabda:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Dalam contoh ini terdapat 2 penambahan ada 2 tempat:

i- Tambahan nama periwayat ‘Sufyan’ adalah kesilapan dari salah seorang periwayat (di bawah) yang meriwayatkan dari Ibn al-Mubarak, kerana sejumlah periwayat-periwayat yang Tsiqah – seperti Ibn Mahdi, Hasan ibn ar-Rabi’ dan Hannad ibn as-Sariy – mereka meriwayatkan dari Ibn al-Mubarak, dari ‘Abdur-Rahman ibn Yazid tanpa perantaraan Sufyan, malah sebahagian mereka menyebutkan lafaz yang jelas bahawa Ibn al-Mubarak mendengar secara langsung dari ‘Abdur-Rahman.

ii- Tambahan nama periwayat ‘Abu Idris’ yang merupakan kesilapan Ibn al-Mubarak sendiri, kerana sejumlah periwayat-periwayat yang Tsiqah – seperti ‘Ali ibn Hujr, al-Walid ibn Muslim dan ‘Isa ibn Yunus – mereka meriwayatkan dari ‘Abdur-Rahman ibn Yazid, dari Bust, dari Watsilah, tanpa perantaraan Abu Idris, malah sebahagian mereka menunjukkan lafaz jelas bahawa Busr mendengar secara langsung dari Waatsilah.

[al-‘Ilal at-Tirmizi]

Syarat-syarat menolak penambahan (الزيادة) sebegini:

  • Hendaklah yang tidak melakukan tambahan itu lebih kuat kredibilitinya berbanding yang menambah.
  • Terdapatnya lafaz yang jelas mendengar secara langsung pada riwayat yang tiada tambahan.

Sekiranya kedua-kedua atau salah satu syarat ini tiada, maka tambahan itu diterima, malah sanad yang tiada tambahan tersebut dinilai sebagai terputus sanadnya.

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi, Cet. ke-6, m/s 245.

Komen dan Soalan