Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Quraisy – Tafsir Ayat Ke-3 dan Ke-4

Tafsir Surah Quraisy – Tafsir Ayat Ke-3 dan Ke-4

533
0
Iklan

Pada sesi lepas, kita telah membincangkan :

  1. Keadaan Quraisy yang sangat tenang dalam berdagang (umpama rehlah).
  2. Keselamatan dalam urusan perdagangan mereka.

Maka, setelah Allah SWT menerangkan nikmat-nikmat tersebut, ada perkara yang Allah SWT ingatkan kita semua untuk dilakukan.

 

Tafsir Ayat Ke-3:

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ

Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

Kalimah

فَليَعبُدوا

Bermaksud : Maka hendaklah kamu semua “menghambakan” diri .

Maksud “hamba” adalah lebih besar kerana ada orang yang menyembah Allah SWT tetapi tidak menghambakan diri kepada Allah SWT.

Mereka melakukan ibadah seperti solat dan puasa, tetapi mereka tidak menghambakan diri sepenuhnya, ibarat mereka tidak mengikut arahan Allah SWT yang lain.

Juga ayat ini boleh bermaksud: supaya hati mereka menjadi lembut, maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuan kepada rumah ini (Ka’bah).

Ini kerana kelebihan yang Allah SWT berikan itu, hendaklah mereka mentauhidkan Allah.

Kalimah :

هٰذَا البَيتِ

Rumah ini

Ka’bah (rumah ibadat) itu dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Ka’bah itulah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di mata masyarakat Arab yang lain.

Kerana itulah mereka tidak diserang dalam perjalanan perdagangan mereka. Ini kerana ramai orang menghormati mereka dan tidak berani menyerang mereka.

Dan kerana itulah ekonomi mereka kuat; inilah juga rumah yang Allah SWT selamatkan dari serangan Tentera Abrahah; dan rumah inilah yang Allah SWT telah berjanji untuk menjadikannya selamat dan diberi dengan makanan.

Oleh kerana peranan Baitullah/Ka’bah ini amat penting dan kerana itu Allah SWT sebut dalam ayat ini.

 

Tafsir Ayat Ke-4 :

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Ayat ini merujuk kepada kaum Quraisy yang telah diberikan nikmat makanan dan keamanan dari Allah seperti yang telah disebut oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam doa baginda [ Al-Baqarah: 126 ].

Kalimah

جوعٍ

Bermaksud lapar yang bersangatan

Kalimah

خَوفٍ

Bermaksud takut yang juga yang amat sangat.

Ini boleh kita dapati dari kaedah Bahasa Arab, Allah SWT menggunakan lafza yang disertakan tanwin (baris dua).

Cara Allah menjauhkan mereka dari “kelaparan” itu adalah dengan membenarkan kaum Quraisy melakukan perjalanan perdagangan.

Oleh itu mereka dapat mencari rezeki dengan banyak. Malah Allah SWT selamatkan perjalanan kafilah perdagangan mereka dengan tidak diserang oleh orang lain.

Allah sebut juga keadaan ini di dalam Surah [ Al-Ankabut (29) : 67 ]

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالباطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللَّهِ يَكفُرونَ

Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?

Mengapa Allah sebut tentang ‘lapar’, dan bukannya tentang ‘miskin’?

Ini bertepatan dengan doa Nabi Ibrahim a.s :

وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ

dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan.

Akhir sekali dalam surah ini, kita telah banyak menyebutkan mengenai kelebihan yang telah diberikan kepada Quraisy.

Oleh yang demikian sepatutnya dengan segala nikmat yang jelas nyata itu, menjadikan mereka hamba yang baik, lembut hati terhadap Allah SWT dan buat kebaikan di atas muka bumi ini. Namun keadaan mereka nanti ada dalam bersambung dalam yang surah seterusnya, iaitu Surah Al-Ma’un.

 

Tambahan dari saya :

  1. Allah tidak menyebutkan perkataan kaya / miskin pada ayat ini tetapi Dia menggunakan lafaz lapar (lawannya = kenyang)
  2. Ini mengajar kita akan nikmat yang sebenar bukan pada kaya semata, tetapi kecukupan dan terselamat dari lapar.
  3. Contoh, ada yang kaya, tetapi “berpantang” dari pelbagai makanan

 

Ibrah dan kesimpulan :

Pertama :

Pada surah ini, sangat jelas peringatan Allah SWT agar manusia sentiasa fokus mengabdikan diri pada Allah SWT sama ada dalam kesusahan, apatah lagi apabila mendapat nikmat dari Allah SWT.

Kedua :

Setiap kesenangan dan nikmat yang diperoleh hari ini adalah atas pemberian Allah SWT. Manusia hanya berusaha / bekerja dan berharap kepada Allah SWT.

Oleh itu, janganlah kita menjadi sombong dengan merasakan setiap kesenangan yang diperolehi hari ini seumpama usaha diri sendiri semata-mata.

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقْنَٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. [ Al-Baqarah 2: 172 ].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan