Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Quraisy – Tafsir Ayat Ke-2

Tafsir Surah Quraisy – Tafsir Ayat Ke-2

842
0
Iklan

Tafsir Surah Quraisy

Pada sesi sebelum ini, kita telah membincangkan mengenai :

1.  Kesinambungan nikmat Allah SWT kepada Mekah dan kaum Quraisy

2.  Kekuasaan Allah SWT yang tidak terbatas dalam memberikan kelebihan kepada Mekah

Maka seterusnya, perbincangan kita masih lagi nikmat atau kelebihan kepada kaum Quraisy.

Tafsir Ayat Ke-2:

 إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ

(Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Inilah kebiasaan mereka. Mereka tidak diganggu semasa perjalanan perniagaan mereka itu kerana Ka’bah.

Ada pengulangan kalimah :

إيلافِ

Ini kerana Allah SWT hendak memberi penekanan (taukid) kepada kalimah tersebut.

Di sini Allah SWT hendak menekankan perkara yang telah DIA lakukan untuk melembutkan hati mereka antaranya:

1. Allah SWT memusnahkan Tentera Abrahah.

2. Allah SWT memberikan mereka Ka’bah dan diberi kelebihan menjadi penjaganya.

3.  Mereka keturunan Nabi Ibrahim a.s.

4.  Allah SWT bangkitkan Rasul terakhir (Nabi Muhammad SAW) dari kalangan mereka.

إيلافِ

Terdapat dua kategori kalimah ini dalam surah Quraisy :

1. Dalam bentuk umum : Belum lagi melembutkan hati mereka lagi.

2. Dalam bentuk lebih spesifik : Untuk melembutkan hati mereka. Oleh itu, Allah SWT menyebut tentang kafilah mereka yang pergi berniaga ke luar kawasan mereka.

Kalimah “perjalanan perniagaan tersebut dipanggil :

رِحلَةَ

(Ianya dalam bentuk “mansub” kerana ianya menjelaskan apakah yang diberikan kepada mereka)

Saya jelaskan di sini bermaksud :

1. Quraisy ini ahli perniagaan yg tenang. Mereka ‘outstation’ seumpama “rihlah” (jalan-jalan)

2. Ini adalah satu pemberian nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih.

3. Kerana tidak dinafikan, ramai juga ‘businessman’ yang kalut. Padahal sama sahaja, rezeki dari Allah SWT juga. Usahakan yang terbaik, tetapi tetap bertenang..

Ada beberapa kalimah lagi yang boleh digunakan untuk menunjukkan “perjalanan?

Safar سفر : untuk perjalanan yang jauh.

Saaha ساحة : untuk perjalanan jalan-jalan seperti melancong.

Nafara نفر : perjalanan untuk berperang.

Namun kalimah :

رِحلَةَ

Bermaksud perjalanan yang membawa barang (seperti beg). Oleh kerana mereka pergi untuk berniaga, maka mereka membawa banyak muatan untuk perdagangan mereka.

Oleh itu kalimah ini amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana hendak memperkatakan perjalanan perdagangan mereka.

Masih mengenai kalimah rihlah..

Kalimah :

رِحلَةَ

Dalam bentuk mufrad (satu/singular)

Walaupun sebenarnya perjalanan Quraisy tersebut ke dua tempat (satu pada musim sejuk dan satu lagi pada musim panas). TETAPI ia disebut dalam bentuk “mufrad” kerana seolah-olah ia HANYA satu perjalanan yang panjang

Mereka akan pergi ke Yaman, kemudian berhenti dan luangkan masa sekejap di Mekah dan kemudian menyambung perjalanan ke Syria. Ini lah “rihlah” iaitu : satu perjalanan yang panjang.

الشِّتاءِ

musim sejuk

الصَّيفِ

musim panas

Allah SWT sebutkan (musim sejuk) sebelum menyebut (musim panas)

Maklumat ini adalah penting. Ini kerana musim sejuk dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana waktu itu tumbuhan tidak berbuah manakala masa menuai adalah pada musim panas.

Tetapi Allah SWT sebutkan dahulu tentang musim sejuk yang dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana mereka masih tetap dapat makanan pada musim tersebut.

Musim panas pula adalah waktu yang bahaya kerana pada waktu itu perompak jalanan akan menahan dan merompak kafilah yang sedang berdagang.

Ini kerana mereka telah lama berkurung di tempat mereka pada musim sejuk dan hanya keluar pada musim panas.

Oleh itu, boleh kita fahami :

1. Musim sejuk adalah masalah makanan/ekonomi.

2. Musim panas adalah masalah keselamatan.

Allah SWT sebut tentang ekonomi / makanan sebelum masalah keselamatan kerana surah ini berkenaan dengan ekonomi yang mereka dapat.

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama :

Suatu pesanan baru, agar orang beriman perlu sentiasa doa dan mengharap panduan dan redha Allah SWT agar urusan yang dilakukan mendapat bantuan Allah SWT serta berjalan dalam keadaan tenang.

Kedua :

Ayat ini bukan sahaja menceritakan kisah Quraisy, tetapi secara tidak langsung mengangkat kelebihan Nabi Muhammad SAW . Ia merupakan petunjuk / clue kepada kaum yang mahu berfikir.

Ketiga :

Perbanyakkan mohon redha dan pertolongan Allah SWT kerana tiada yang mustahil di sisi Allah SWT sekiranya ingin memberikan rezeki dan manfaat kepada hamba-Nya.

Allahu a’lam.

 

 

 

 

Komen dan Soalan