Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-45 dan Ke-46

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-45 dan Ke-46

654
0
Iklan

Tafsir Surat Fussilat

Tafsir Ayat Ke-45

Ini adalah satu lagi kesamaran yang asalnya datang dari Yahudi dan mungkin mereka telah ajar kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata tidak sama cara Al-Quran diturunkan dengan cara Taurat yang turun lengkap.

Mereka kata, kalau betul Al-Quran itu kitab dari Tuhan, mestilah turun terus lengkap macam Taurat itu. Mereka kata, entah-entah sebab Nabi Muhammad SAW keluarkan sikit-sikit itu sebab Nabi Muhammad SAW yang buat sikit-sikit ikut kemampuan dia.

Allah SWT jawab juga hujah dan tohmahan ini sebab bernas juga. Allah SWT tempelak mereka, yang Taurat diturunkan sekali gus pun mereka tidak guna juga, mereka tolak dan ubah, maka jangan salahkan kitab.

Kalau sudah degil, pun tidak akan terima juga walaupun turun sedikit demi sedikit atau turun lengkap. Memang akan ada yang beriman dan akan ada yang tolak wahyu. Al-Quran pun begitu juga, pasti ada yang tolak kerana memang akan ada jenis yang tidak mahu beriman.

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ فَاختُلِفَ فيهِ ۗ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhan mu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (kaum mu) masih menaruh syak yang meragukan tentang (kebenaran Al-Quran) itu.

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Dan sesungguhnya Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa kitab,

Iaitu Kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa a.s. Ia telah diturunkan kepada Nabi Musa a.s. lengkap bertulis.

فَاخْتُلِفَ فِيهِ

Mereka pun berselisih tentangnya;

Bani Israil yang telah diberikan dengan Taurat itu pun tidak beriman dengan Taurat itu. Bukan dengan Al-Quran sahaja manusia berselisih, Taurat dulu pun mereka berselisih juga. Perkara yang sama terjadi kepada Nabi Muhammad SAW sepertimana yang terjadi kepada Nabi Musa a.s dan Nabi-nabi lain pun.

Akan ada sahaja yang menentang kebenaran. Tidaklah perlu hairan. Penolakan manusia dengan wahyu Allah SWT itu bukanlah kerana ia diturunkan sedikit demi sedikit atau sekali gus. Itu semua alasan sahaja.

Ayat ini sekali lagi hendak memujuk Nabi dan para sahabat yang menjalankan dakwah. Mereka diberitahu, bukan sekarang sahaja mereka kena bantah, umat-umat yang dahulu pun telah membantah Rasul dan Nabi mereka.

Ia juga adalah pujukan kepada kita. Memang kita pun selalu dibantah apabila bawa tafsir Al-Quran kepada manusia. Namun, ini perkara biasa sahaja.

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَّبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu kalimah yang telah terdahulu daripada Tuhan kamu;

Ini ada satu soalan lagi. Mereka yang menentang wahyu itu berhujah: azab tidak datang pun kepada mereka walaupun mereka dikatakan menolak wahyu itu. Sedangkan berkali-kali Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa kalau tolak, Allah SWT boleh kenakan azab di dunia lagi. Mereka kata: mana dia azab yang kau janjikan itu?

Allah SWT jawab dalam ayat ini: kalau bukan kerana Allah SWT telah tetapkan mereka akan kena azab pada waktu tertentu, tentu mereka akan kena azab terus waktu itu juga. Maknanya, azab kepada mereka ditangguhkan sahaja, bukan tidak akan kena. Kena tangguh sahaja.

Sebenarnya mereka tidak terus kena azab kerana Allah SWT telah tentukan bila masa mereka akan kena azab. Jangan sangka tidak kena langsung sebab tidak kena azab lagi.

Apakah ‘kalimah’ itu? Itulah janji Allah SWT kepada diri-Nya untuk melewat-lewatkan azab iaitu Allah SWT akan menangguhkan azab sampai kita mati, baru Dia azab kita.

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentu Allah SWT akan beri keputusan kepada mereka.

Kalau Allah SWT tidak beri tangguh, tentu mereka telah kena azab lama.

Semasa dalam dunia, Allah SWT akan beri kita buat apa yang kita hendak buat. Allah SWT tidak terus turunkan azab kalau kita buat syirik, kalau kita buat dosa. Walaupun Allah SWT mampu untuk beri azab sekarang pun. Tetapi Allah SWT biarkan sahaja orang kafir duduk dalam kesesatan.

Tunggulah nanti di akhirat kelak. Kadang-kadang orang yang buat syirik dan buat dosa, mereka sangka mereka tidak salah. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, tentulah Allah SWT telah beri azab kepada mereka. Jatuh sakit kah, kena panah petir kah dan sebagainya. Tetapi Allah SWT tidak buat begitu, kerana Allah SWT telah janji kepada diri-Nya yang Dia akan lewatkan azab itu.

Oleh kerana mereka tidak kena azab semasa di dunia, mereka sangka mereka dalam kebenaran. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Oleh itu, kita fahamlah kenapa ramai sangat yang buat syirik tetapi tidak takut apa. Kerana mereka sangka mereka tidak kena apa-apa bala, mereka sangka Allah SWT redha dengan perbuatan mereka.

Pemahaman kedua, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa di akhirat kelak, Allah SWT akan buat penghakiman antara yang salah dan yang benar.

Ini adalah kerana kalimah قضى juga bermaksud ‘keputusan’. Dalam dunia, mereka kata kita yang salah. Mereka beri hujah macam-macam asalkan mereka tidak perlu terima ajaran Al-Quran itu. Mereka beri hujah akal, hujah tok guru mereka dan macam-macam lagi hujah batil dari mereka. Kadang-kadang mereka lagi pandai berhujah dari kita.

Mereka pun selalunya lagi banyak pengikut yang mengiringi mereka. Pendapat mereka adalah pendapat popular, kerana memang ramai yang pegang fahaman macam mereka juga. Yang betul-betul beriman bukannya ramai.

Kita kena ingat, Islam ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, tentu yang ramai akan menang. Tetapi Islam tidak begitu. Kalau seluruh dunia umat buat perkara salah, tidaklah perkara salah itu jadi benar. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Jadi, dari luarannya, mereka nampak macam berada di pihak yang benar. Tetapi, siapakah yang benar sebenar-benarnya? Allah SWT akan beritahu kelak di akhirat. Namun, waktu itu sudah terlambat. Kalau waktu itu baru mereka nampak mereka di pihak yang salah, mereka tidak ada peluang untuk kembali ke dunia untuk memperbetulkan keadaan lagi. Mereka kena terima hukuman yang akan diberikan kepada mereka.

وَإِنَّهُمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ

Sesungguhnya mereka duduk dalam syak wasangka tentangnya

Iaitu mereka syak wasangka dengan ajakan kepada mengesakan Allah SWT sahaja. Mereka tolak untuk ibadat hanya kepada Allah SWT. Bila kita hujah, mereka rasa macam boleh faham, tetapi mereka ragu-ragu. Antaranya sebab ada pendapat yang kata boleh.

Maka itu adalah bahaya. Tidak boleh ragu-ragu dalam hal agama. Kalau ragu-ragu, kena dapatkan maklumat yang benar. Jangan terus berada dalam keraguan. Kena cari kelas tafsir Al-Quran supaya keputusan yang tepat dapat diperolehi.

Tafsir kedua: Mereka tanya-tanya tentang azab yang tidak turun itu pun, mereka sebenarnya dalam ragu-ragu. Dalam hati mereka takut juga jikalau mereka betul-betul akan dikenakan dengan azab kerana mereka telah dengar kisah kaum terdahulu yang telah kena azab dan mereka pun telah ada rasa yang mereka pun akan kena azab juga. Mereka tidak pernah yakin yang mereka tidak akan kena azab itu. Maknanya, mereka kecut perut juga tu.

مُرِيبٍ

menjadikan orang lain pun syak juga.

Sudahlah mereka tidak percaya kepada tauhid, mereka pun buat orang lain syak dan tidak percaya juga. Tadi mereka yang ragu, sekarang mereka buat orang lain pula yang ragu-ragu supaya jadi macam mereka kerana mereka hendak juga cari geng.

Mereka akan beri hujah mereka yang batil, sampaikan orang yang tidak ada ilmu pun akan percaya kepada mereka juga. Kadangkala mereka pandai berhujah menggunakan logik. Dan memang ramai dalam negara ini dan masyarakat kita yang tidak berilmu.

Dan ini juga satu masalah yang kita kena berhati-hati kerana ada orang yang pandai berkata-kata dengan kata-kata mereka itu dapat mempengaruhi orang lain. Sehinggakan Rasulullah pernah bersabda bahawa ada ucapan yang seperti ‘sihir’.

5325 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

أَنَّهُ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

  1. Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengkhabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar radiallahu ‘anhuma bahawa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berucap maka orang ramai kagum dengan ucapannya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam ucapan itu ada yang betul-betul memukau (seperti sihir), atau sesungguhnya sebahagian dari ucapan itu adalah sihir.” Sahih Bukhari.

Jadi ramailah orang yang sudah tertipu dengan percakapan orang sahaja. Perkara agama ini hanya ikut-ikutan sahaja kepada mereka. Mereka akan terima sahaja apa yang disampaikan kepada mereka kerana yang menyampaikannya orang besar, nampak alim, nampak banyak pengikut, pandai bercakap dan sebagainya.

Tafsir Ayat Ke-46:

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhan mu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.

مَّنْ عَمِلَ صٰلِحًا

Sesiapa yang buat amal soleh

Ingatlah bahawa amal soleh adalah amal ibadat yang diajar oleh Nabi SAW iaitu ada contoh bagaimana Nabi SAW sendiri ada ajar amalan tersebut. Bukan amal ibadat yang direka oleh manusia.

Amal yang direka oleh manusia dinamakan ‘bidaah’. Itu bukan amal soleh, tetapi amal bidaah. Amal bidaah tidak diterima, tidak mendapat pahala, malah memberi dosa. Antara yang kita boleh sebut adalah Majlis Tahlil, Maulidur Rasul, Kenduri Arwah dan sebagainya lagi. Banyak sangat amalan bidaah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang.

فَلِنَفْسِهِ

ianya untuk dirinya sahaja.

Segala faedah dari amal ibadat itu adalah untuk pembuatnya, bukan untuk Allah SWT. Allah SWT tidak memerlukan ibadah kita. Kita buat ibadat atau tidak, Allah SWT tetap dengan kemuliaan-Nya. Maka jangan kita sangka Allah SWT memerlukan ibadah kita. Ibadah itu Allah SWT suruh kita buat, untuk kebaikan kita sebenarnya.

Sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, dia akan mendapat pahala. Namun, kalau amalan itu tidak soleh, ia adalah amalan bidaah, tidak dapat pahala langsung dari Allah SWT. Bukan sahaja tidak dapat pahala, dia akan dapat dosa pula dari perbuatannya itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu, sesiapa yang buat amal ibadat, dia sahaja yang akan dapat pahala itu. Bukan orang lain pula yang boleh dapat dari usaha orang itu. Kena buat sendiri amal itu, baru dapat. Tidak boleh buat ibadat untuk dikirimkan pahala kepada orang lain.

Maknanya, tidak betullah perbuatan ‘tahlil arwah’ yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Kemudian ada pula Majlis Tahlil yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang iaitu majlis di mana ramai-ramai akan baca Al-Quran, baca zikir dan mereka niatkan supaya pahala dari amalan mereka dalam majlis itu ‘dihadiahkan’ kepada si mati. Ini tidak ada.

Tetapi, kita boleh lihat dalam ayat ini, bahawa sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, pahalanya kepada dirinya sahaja. Tidak ada konsep ‘sedekah pahala’ kepada orang lain. Kalau seseorang itu sudah mati, dia tidak boleh buat amal ibadat lagi, maka dia tidak dapat pahala lagi. Ada pengecualian yang telah disebut oleh Nabi – seperti sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak kepada ibu bapanya. Itu sahaja.

Untuk lebih mudah faham, katakanlah esok kita ada peperiksaan. Takkan kita kata kepada kawan kita: “tidak mengapa, malam ini aku akan baca buku, esok kau boleh jawab soalan punya….” Kalau kita hendak faham dan senang hendak jawab soalan peperiksaan, kita kena baca sendirilah buku itu, bukan kawan kita yang baca.

Paling menyedihkan, ramai manusia yang menjadikan perbuatan ‘sedekah pahala’ ini sebagai sumber pendapatan pula. Mereka akan beri borang dan edarkan kepada masyarakat terutama bulan Ramadhan. Mereka akan tawarkan khidmat untuk baca Al-Quran yang akan disedekahkan kepada si mati bagi pihak kita. Kita cuma perlu bayar wang sahaja kepada mereka. Paling kurang yang saya tengok sekarang, RM10 untuk satu kepala. Modalnya, cuma air liur dan masa sahaja.

Kalaulah agama begitu mudah, maka orang-orang kaya, tidak perlu buat amal ibadat semasa mereka hidup. Selepas mereka mati, mereka wasiatkan sahaja kepada anak-anak mereka untuk upah orang membaca Al-Quran untuk diri mereka.

Adakah agama begitu? Kasihan kepada mereka yang miskin, tentunya tempat mereka di neraka kerana mereka tidak ada wang untuk upah orang sedekah pahala kepada mereka. Teruk sekali mereka meletakkan agama Islam ini kepada mata masyarakat – hanya orang kaya sahaja yang boleh lepas, yang miskin, pandai-pandailah buat sendiri.

Begitu juga mereka yang setiap kali dengar ada orang yang baru mati, mereka akan kata: “Al-Fatihah” kerana mereka hendak sedekah pahala kepada orang mati itu. Entah dari mana mereka dapat ajaran itu, kita pun tidak pasti.

Perkara ini tidak pernah diajar oleh Nabi SAW, tidak pernah diajar dan dibuat oleh para sahabat. Berhentilah dari buat amalan-amalan yang bukan dari Nabi SAW. Nanti akan ada sahaja benda-benda pelik yang manusia akan reka dan sandarkan kepada agama, lalu apa akan jadi kepada agama kita ini?

Kalimat لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ – pahala angan-angan. Buat ini dapat pahala ini, buat itu dapat pahala itu padahal tidak ada dalil. Ini orang tarekat selalu buat.

Kalimah وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ – berangan jadi insan terpilih. Ahli kitab berangan mereka akan masuk syurga kerana umat pilihan. Orang kita? Habib sahaja terus sanjung padahal ajar benda bidaah. Berangan selamat.

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

Dan sesiapa buat dosa, untuk dirinya sahaja;

Kalau sesiapa yang buat dosa, dia sendirilah yang tanggung. Bukanlah kita buat dosa, orang lain pula yang tanggung.

Namun, ada pengecualian juga dalam hal ini. Kita akan tanggung dosa orang lain, jikalau kita yang ajar dia buat dosa itu. Sebagai contoh, kita ajar dia main judi. Setiap kali dia berjudi, orang itu akan dapat dosa berjudi, dan orang yang ajar dia berjudi itu pun akan dapat dosa juga. Maka, walaupun dia sudah mati, tetapi dosanya akan bertambah-tambah selagi orang yang diajarnya itu masih lagi melakukan dosa itu. Bayangkan kalau orang itu ajar pula orang lain? Tentu beranak pinak dosa orang yang mula-mula mengajar itu.

Bagaimana pula kalau kita ajar seseorang untuk buat amalan bidaah? Orang yang buat amalan bidaah itu akan dapat dosa, dan kita yang ajar dia pun akan dapat dosa juga.

Begitu juga, kalau kita telah ajar anak kita untuk buat baik, contohnya suruh dia pakai tudung, tetapi dia tidak pakai juga, kita tidak tanggung dosa dia kerana kita sudah suruh dia pakai tudung. Dia sahaja yang akan tanggung dosa itu. Lainlah kalau kita yang suruh dia buka tudung, itu memang kita yang akan tanggung dosa bersama dengan dia.

وَمَا رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

Dan tidaklah Tuhan kamu itu ingin menzalimi hamba-hamba-Nya.

Apa sahaja hukuman yang Allah SWT berikan kepada seseorang hamba, orang itu memang patut terima azab itu. Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya. Jika orang itu tidak layak terima azab itu, tetapi Allah SWT azab juga, tentulah Allah SWT zalim kalau begitu.

Allah SWT juga tidak menghukum seseorang melainkan setelah diberikan dakwah kepada mereka. Telah sampai kepada mereka Rasul, Nabi atau pendakwah yang mengajarkan kepada mereka apa yang baik dan apa yang buruk. Jadi, dari sini kita tahu yang jika ada manusia yang duduk di pendalaman dunia ini yang tidak pernah sampai dakwah kepada mereka, Allah SWT tidak akan mengazab mereka.

Maka, jangan salahkan Allah SWT. Allah SWT telah berikan ajaran agama kepada manusia. Manusia sahaja yang tidak mahu ikut. Allah SWT azab pun bukan kerana Allah SWT zalim. Sikit pun Allah SWT tidak berlaku zalim. Walaupun azab itu bunyi berat sungguh. Sebab Allah SWT sudah bagi segala dalil dan hendak ubah pun senang sahaja sebenarnya, bukan Allah SWT suruh buat kerja susah. Kalau kita belajar agama ini dengan saksama, kita akan lihat bahawa agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak payah. Tidaklah agama ini suruh buat benda yang tidak patut-patut.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan