Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 69: Rasulu Llah Memakai Mirt Daripada Bulu Hitam

Hadis 69: Rasulu Llah Memakai Mirt Daripada Bulu Hitam

147
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 69

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
May 06, 2017

69- حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ، قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ زَكَرِيَّا بْنِ أَبِي زَائِدَةَ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبِي، عَنْ مُصْعَبِ بْنِ شَيْبَةَ، عَنْ صَفِيَّةَ بِنْتِ شَيْبَةَ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ غَدَاةٍ وَعَلَيْهِ مِرْطٌ مِنْ شَعَرٍ أَسْودَ.

69- Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Mani`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Yahya bin Zakariyya bin Abi Za’idah, dia berkata: Telah bercerita kepada kami bapa saya, daripada Mus`ab bin Syaybah, daripada Safiyyah binti Syaybah, daripada `A’isyah, dia berkata: Rasulu Llah telah keluar pada suatu pagi, dan dia memakai mirt daripada bulu hitam.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menjelaskan tentang sejenis pakaian yang dipakai oleh Nabi yang dipanggil sebagai (مِرْط) mirt. Mirt ialah pakaian daripada bulu, yang dipakai oleh lelaki dan perempuan. Secara umum, ia ialah sejenis fabrik dan ia tidak berjahit, seperti kain batik lepas, atau selimut. Disebut (مِرْطٌ مِنْ شَعَرٍ أَسْودَ) mirt daripada bulu hitam, bermakna ia adalah fabrik yang bersulam dengan benang hitam.

Di dalam hadis dalam bab ini, kita dapat melihat pelbagai jenis fabrik atau nama pakaian yang dipakai oleh Nabi. Dan dengan membaca penjelasan tentang pakaian ini, terutama tentang mirt, kita dapat mengetahuï bahawa Nabi tidak memakai pakaian ketat, atau pakaian yang menonjolkan otot atau bentuk tubuhnya. Ini kerana, mirt dijelaskan sebagai kain atau selimut yang boleh dipakai oleh dua orang, dan ketika malam, sebahagian mirt menutup badan `A’isyah manakala sebahagian lagi menutup badan Nabi yang sedang bersalat.

Sebagai insan yang tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah `Arab, maka seseorang penuntut ilmu hadis dan bahasa haruslah mengetahuï kelemahannya dalam memahami teks seperti ini. Bercakap tentang kain, kita perlu menyentuhnya agar kita mengetahuï teksturnya, tebal tipisnya, kasar halusnya dan perlu melihat untuk mengetahuï ciri-ciri khususnya. Ia seumpama kita bercakap tentang batik Malaysia dan batik Indonesia, hanya kita di dunia Nusantara yang dapat membezakannya, sedangkan bagi orang luar, batik ialah batik.

Begitu juga dengan batik canting dengan batik blok, atau dengan batik cetak kilang. Bagi mata yang tidak tahu, ia sama sahaja. Namun, bagi mereka yang terlibat terus dengan perusahaan batik, atau mereka yang hidup dalam budaya tersebut, mereka dapat membezakannya berdasarkan perbezaan yang sangat kecil.

Mengetahuï hal ini, sesiapa yang dihantar belajar ke negara `Arab, mereka sebenarnya bertuah – jika mereka mengetahuïnya – kerana mereka boleh mengetahuï aspek budaya dalam banyak teks agama. Namun, jika mereka yang berada di tanah `Arab tidak mengambil peluang untuk mempelajari hal ini, maka rugilah masyarakat, dan terhijablah kita daripada memahami kalimah seperti mirt ini.

Ini kerana budaya biasanya datang dengan maksud sampingan, contohnya, jika disebut seseorang datang ke pejabat dengan memakai selipar Jepun, maka kita akan mendapat gambaran yang negatif terhadap orang itu. Jika seseorang menyebut bahawa dia biasa makan di KFC, maka kita akan mendapat gambaran tentang taraf ekonomi dan kewangan orang itu. Aspek budaya dapat memberikan kefahaman lebih tentang hal seperti ini.

Kewujudan kalimah bersabit budaya seperti ini, ia seharusnya menunjukkan seseorang ilmuwan bahawa masih ada perkara yang perlu dipelajarinya. Justeru, ada `ulama’ yang belajar daripada orang `Arab badawi, dan ada yang belajar daripada budak-budak tentang satu-satu perkataan atau unsur budaya. Mempelajari hadis, ia seharusnya menundukkan kita di hadapan keluasan ilmu Tuhan, dan merendahkan diri kita untuk terus mempelajari ilmu dan hikmah yang Tuhan ciptakan.

Komen dan Soalan