Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 68: Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Hadis 68: Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

223
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 68

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
March 22, 2017

68- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ، قَالَ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، عَنْ مَيْمُونِ بْنِ أَبِي شَبِيبٍ، عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْبَسُوا الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ».

68- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu r-Rahman bin Mahdiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Sufyan, daripada Habib bin Abi Sabit, daripada Maymun bin Abi Syabib, daripada Samurah bin Jundub, dia berkata: Telah berkata Rasulu Llah: «Pakailah yang putih, maka sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik. Dan kafankanlah di dalamnya mayat-mayat kamu».

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini sekali lagi mengulangi perintah Nabi agar memakai pakaian yang putih dengan katanya: (الْبَسُوا الْبَيَاضَ) «Pakailah yang putih», dan diberikan dua alasan iaitu ia lebih suci dan lebih baik. Justeru, adalah digalakkan agar kita memakai pakaian yang putih, begitu juga dengan pakaian yang suci dan baik.

Seterusnya, Nabi menyuruh agar dikafankan mayat-mayat di dalam kain putih. Perintah ini menjadi asas kenapa kain kafan yang digunakan adalah kain berwarna putih, bukan hitam, bukan belang-belang, bukan juga yang bercorak-corak atau yang berwarna-warni.

Walau bagaimanapun, perintah ini tidak menyentuh tentang material atau jenis fabrik, justeru, urusan tentang jenis fabrik itu adalah bebas dan luas, mengikut kemampuan dan keinginan si pemakainya.

Apabila dijelaskan bahawa warna putih adalah (أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ) lebih suci dan lebih baik, maka setiap muslim hendaklah beringat bahawa Nabi menyuruh agar kita sentiasa memilih yang lebih suci dan lebih baik, bukan mencari yang kurang daripada itu. Ini kerana sebagai seorang muslim, kita hendaklah mengutamakan kesucian dan keelokan pada diri kita.

Kita hendaklah mengutamakan kesucian pada pakaian kita, sekali gus pada tubuh kita, kerana dengan pakaian itu akan menjadi pelindung tubuh kita seharian, termasuk ketika bersalat dan bermasyarakat.

Kita hendaklah mengutamakan keelokan pada pakaian kita, sekali gus pada jasad kita, kerana manusia cenderung kepada menyukaï apa yang baik dan elok, yang mendatangkan imej yang baik, serta menenangkan mata yang melihat.

Dan apabila Nabi menekankan kepentingan pada pakaian, maka nyatalah keutamaan menyucikan dan mengelokkan pada hati, kerana Allah tidak melihat kepada rupa dan harta manusia, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan mereka. Ibnu Hibban meriwayatkan hadis daripada Abi Hurayrah seperti berikut:

إنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk tubuh kamu dan harta-harta kamu, tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu [Ibnu Hibban/ 394]

Justeru, apabila kita mementingkan kesucian dan keelokan pada pakaian, adalah menjadi keutamaan kepada setiap muslim untuk memastikan bahawa hati mereka sentiasa berada dalam keadaan suci daripada hasad dan penyakit, serta sentiasa dalam keadaan baik dan elok.

Sangatlah mendukacitakan apabila hadis Abi Hurayrah di atas tidak dibaca bersama-sama dengan hadis keenam puluh lapan ini, sehingga menyebabkan ramai orang hanya bertumpu kepada mengutamakan dan melebihkan perwatakan luaran terutama pada pakaian mereka, dan melupakan apa yang ada di dalam dada mereka.

Komen dan Soalan