Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Bolehkah Doa Merubah Ketentuan (Qadha’ dan Qadar)?

Bolehkah Doa Merubah Ketentuan (Qadha’ dan Qadar)?

7554
0
Iklan

Bolehkah doa merubah ketentuan (Qadha’ dan Qadar) yang telah ditetapkan? contoh umur dan jodoh.

1. Qadha’ dan Qadar terbahagi kepada dua iaitu Mubram dan Muallaq.

Pertama : Qadha’ Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak,  manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti.  Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaan-Nya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qadha’ dan Qadar.

Kedua : Qadha’ Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qadha’ itu melainkan oleh do’a dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Do’a itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah. Mereka yang berdo’a perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi: “Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do’a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi).

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat do’a itu padahal Qadha’ (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qadha’ juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdo’a. Maka do’a menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi s.a.w  walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan do’a-do’a ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :”Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim.”(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qadha’ Muallaq boleh berubah-rubah sama ada dipanjangkan atau dipendekkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim. Umur dan jodoh seseorang termasuk dalam Qadha’ Muallaq. Boleh berubah bila banyak berdoa, bermunajat, hubungkan silaturahim, taat pada ibu bapa, banyak bersedekah dan beramal soleh.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan